Selasa, 12 Jun 2018

Taqlid Sesebuah Mazhab Tidak Menyalahi Falsafah “Mengikut Sunnah” Nabi SAW

#Taqlid Sesebuah #Mazhab Tidak Menyalahi Falsafah “Mengikut Sunnah” Nabi SAW

Huraian ini dibuat terhadap soalan yang diajukan pada saya mengenai pendirian beliau bahawa lebih baik kita (#baca: dia) mengikut sunnah Nabi SAW dan meninggalkan amalan orang Melayu yang tidak pernah ada pada zaman Baginda. Katanya jika amalan itu boleh dibuat sekalipun, ia tetap tidak afdhal. Maka lebih selamat adalah mengikuti Nabi SAW. Mohon pandangan saya!

Jika dibaca pendiriannya itu memang kelihatan ringkas dan “betul”, tetapi adakah kefahamannya tentang ittiba’ perkara yang dinamakan Sunnah itu Sahih seperti yang difahami oleh semua fuqaha mutaqaddimin (khususnya sebelum kemunculan #Ibn #Taymiyyah 661H)?. Rumusan pendirian seperti itu telah melompat daripada beberapa asas penting yang telah disepakati oleh fuqaha yang hampir keseluruhannya bertaqlid mazhab muktabar. Untuk menjelaskan kembali asas-asas itu bukan suatu yang mudah kerana kita terpaksa kembali menyelongkar lembaran yang telah lama tertutup, kerana perbahasannya #telah #selesai. 

Maka sebab itu, saya katakan semua orang yang mahu memahami hukum Islam secara lebih mendalam perlu mempelajari semua disiplin syariah side-by-side secara teratur. Kefahaman hukum yang holistik tidak akan sempurna jika mendalami disiplin hadis semata-mata. Hukum Islam bukan bersumberkan hadis semata-mata. Terdapat banyak lagi adillatul ahkam (dalil-dalil hukum) seperti Qiyas (meliputi istihsan), Maslahah Mursalah, Sadd al-Zara’ik, Uruf dan lain-lain yang dirumuskan fuqaha di samping hadis. Itu belum lagi melihat sejajaran hukum dengan Maqasid Syariah (umum dan khusus) dan impak perubahan zaman/tempat/sosiobudaya yang menuntut kajian terhadap illah (rasional) hukum diteliti semula. Fiqh al-Sunnah penting seperti pentingnya Fiqh al-Kitab, Fiqh al-Maqasid, Fiqh al-Waaqi’, Fiqh al-Awlawiyyat, Fiqh al-Ikhtilaf dan satu lagi Fiqh al-Nafs.

Kita mulakan dengan beberapa asas berikut :

#Pertama
Hukum syarak semua bersumberkan al-Qur'an dan Sunnah yang mana teks kedua-duanya ada yang bersifat qat’iy dan zanniyy dari segi dilalahnya (petunjuk makna). Al-Qur'an semuanya qat’iyy dari segi kesabitannya sebagai wahyu Allah, begitu juga Sunnah (hadis) yang mutawatir. Namun, banyak dilalah kedua-duanya bersifat zanniy kecuali pada tempat yang dijelaskan sendiri oleh Allah/Rasulullah mengenai bentuk dan kaifiyyat pelaksanaannya. Oleh kerana tiada dokumentasi video dan rakaman terhadap amalan pada zaman Rasulullah melainkan perkhabaran (riwayat) oleh para Sahabat yang tersebar di merata tempat, maka ketepatan dilalah dalam riwayat itu terpaksa dihukum zanniyy kerana banyak faktor. Apatah lagi every single part of petunjuknya tidak mampu diyakini 100% oleh setiap orang dalam generasi terkemudian. 

Dalam bahasa mudah, hadisnya Sahih tetapi adakah kefahaman terhadap makna hadis itu Sahih? Di sinilah para fuqaha mengkaji dan menganalisis apakah makna yang hampir tepat pada ayat al-Qur'an dan hadis untuk mengistinbat hukum. Tidak pernah ada fuqaha berani berkata pendapatnyalah tepat dengan Sunnah atau Sunnah itu adalah pendapatnya. Daripada usaha penggalian makna dalam Sunnah inilah lahirnya perbezaan pendapat dalam kalangan mujtahidin yang kemudiannya melahirkan mazhab.

#Kedua
Senario khilaf dalam penggalian makna itu hanya melibatkan pakar hukum atau mujtahidin yang diiktiraf keilmuan mereka. Satu persoalan, bagaimanakah orang awam dapat mengetahui makna dalam al-Qur'an dan Sunnah? Semua ulama bersepakat (ijmak) bahawa orang awam perlu merujuk kepada orang yang lebih berpengetahuan seperti mujtahidin dan ulama. Sebagaimana diperintahkan Allah sendiri dalam surah al-Nahl ayat 43:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ 43

Maksudnya:
”Dan Kami tidak mengutuskan sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (jika kamu tidak mengetahui).

Dalam surah di atas, Allah megarahkan manusia merujuk kepada Ahl al-Zikr atau golongan pakar jika tidak tahu. Ini bermakna pengetahuan yang diperolehi daripada pakar, #tidak #akan #bernilai melainkan ia dimanfaatkan oleh orang yang bertanya. Itulah keadaan yang berlaku dalam amalan bertaklid kepada mana-mana mazhab Fiqh. Ayat ini menjadi hujah bagi kebanyakan ulama muktabar dalam mazhab empat bagi mengharuskan masyarakat awam bertaklid kepada ulama.

Juga ingin saya tegaskan bahawa tiadalah pengertian rujuk kepada Ahl al-Zikr itu melainkan bermaksud taqlid dan ittiba’. Kenapa disebut ittiba’? Kerana ia pada hakikatnya one type of taqlid. Tiada beza pun antara taqlid dan ittiba’ disebabkan motif keduanya ialah kepengikutan orang yang bukan mujtahid akan ijtihad orang lain yang menjadi mujtahid. Para ulama membahagikan manusia kepada dua kategori iaitu mujtahid dan muqallid. Istilah muttabi’ #hanya #dipopularkan oleh Sheikh al-Albani dan penyokong Salafiyyah. Walau bagaimanapun, muttabi’ walaupun bebas mazhab, tetap muqallid kepada makna dalam hadis yang diijtihadkan oleh guru-guru mereka (Al-Buthi, 2005).

#Ketiga
Taqlid mazhab bukanlah suatu yang pelik dalam tradisi perkembangan hukum Islam. Ia tidak membawa pengertian yang hina atau menjadikan para muqallid sebagai kumpulan manusia yang menyeleweng. Para usuliyyun dan fuqaha pelbagai mazhab bersepakat (ijmak) secara dasarnya, keharusan taqlid bagi orang awam dalam mengamalkan hukum fiqh. Asas persepakatan tersebut merujuk kepada amalan para Sahabat yang merujuk atau mengikut pandangan beberapa Sahabat yang faqih hukum (mujtahid). 

Ini kerana konsep taqlid juga adalah suatu yang daruri dalam erti kata semua manusia akan merujuk kepada pandangan ahli ilmu dalam pelbagai persoalan terutamanya hal ehwal agama. Majoriti ulama berpandangan orang awam wajar bertaklid dalam hukum furuk kepada para mujtahidin manakala bagi orang yang mencapai tahap mujtahid, tidak boleh bertaklid sama sekali (Al-Hafnawi, 1995). 

Antara hujah yang dikemukakan, tidak wajar memaksa orang awam berijtihad sendiri kerana ia menyalahi prinsip 'fas`alu ahla al-zikr' dalam al-Quran (Al-Nahl: 43). Masyarakat awam pada zaman Sahabat dan Tabi’in juga merujuk kepada para fuqaha’ mereka dan tidak pernah terbukti para Sahabat dan Tabiin menyuruh mereka agar berijtihad sewaktu mengemukakan persoalan (Al-Hafnawi, hlm 211). Hal ini juga telah dicatatkan oleh Ibn Khaldun (1988) seperti berikut :

إنّ الصّحابة كلّهم لم يكونوا أهل فتيا ولا كان الدّين يؤخذ عن جميعهم. وإنّما كان ذلك مختصّا بالحاملين للقرآن العارفين بناسخه ومنسوخه ومتشابهه ومحكمه وسائر دلالته بما تلقّوه من النّبيّ صلّى الله عليه وسلّم أو ممّن سمعه منهم ومن عليتهم. وكانوا يسمّون لذلك القرّاء أي الّذين يقرءون الكتاب لأنّ العرب كانوا أمّة أمّيّة، فاختصّ من كان منهم قارئا للكتاب بهذا الاسم لغرابته يومئذ. وبقي الأمر كذلك صدر الملّة

Dalam pengajian syariah, taklid seperti di atas berbeza dengan konsep taqlid yang dicela oleh para ulama khususnya dalam perkara yang batil, sesat dan menyeleweng dalam usul iktikad. Adapun taqlid sebagai amalan beriltizam dengan mazhab Hanafi, Maliki al-Syafi’i atau Hanbali adalah suatu yang baik malah turut didokong oleh ramai fuqaha dan muhaddiith terbilang.

#Keempat
Persepsi terhadap istilah taklid berbeza disebabkan jenis makna yang diberikan. Makna yang lebih 'cool' bagi taklid ialah seseorang muqallid mengikuti (ittiba’) fatwa-fatwa mazhab seseorang imam dan para ulamanya kerana percaya bahawa rumusan ijtihad mereka daripada sumber al-Qur.an dan Sunnah berdasarkan metodologi hukum yang dipercayai benar, yang mana dia (muqallid) tidak mampu mengetahuinya dengan sendiri (Al-Hafnawi, 1995). 

#Kelima
Tidak dinafikan seseorang boleh mengetahui sendiri hukum yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah jika dia menguasai ilmu-ilmu alat seperti bahasa Arab, ulum al-Quran dan tafsir ayat-ayat hukum, ulum al-hadith dan sub-sub ilmunya, maqasid syariah dan sebagainya. Itu pun jika dia mendalami disiplin pengajian Syariah daripada peringkat asas hingga peringkat pakar. 

Bagaimana dengan pelajar-pelajar disiplin falsafah, sejarah, bahasa Melayu, kejuruteraan, perubatan, ekonomi ataupun hanya bersekolah sehingga tahun enam?. Memaksa mereka ini untuk meneliti sendiri nas-nas hukum terutama hadis Nabi SAW dan amalan para sahabat, tanpa merujuk kepada pakar hukum Islam merupakan satu taklif yang membebankan. Islam bukanlah agama yang menyusahkan umatnya sehingga semua orang wajib menjadi ustaz, agamawan, pakar syariah ataupun pakar sunnah, sehingga banyak bidang ilmu pembangunan duniawi dikuasai oleh orang-orang bukan Islam. Taklid atau ittiba’ mazhab merupakan kaedah terbaik untuk mengimbangi keperluan duniawi dan ukhrawi. Solusi dalam kedua-dua keperluan ini ialah merujuk kepada ahl al-zikr (ulama/mujtahidin) seperti dalam ayat 43 surah al-Nahl.

#Keenam
Dalam persidangan Majmak Fiqh Islam kali ke-10 yang berlangsung di Mekah pada tahun 1987, suatu resolusi merumuskan khilaf antara mazhab bukanlah suatu percanggahan dalam Islam dan membenarkan umat Islam mengikut mana-mana mazhab tanpa sekatan dalam pelbagai urusan ibadat, muamalat, kekeluargaan, kehakiman dan jenayah, yang berpandukan sumber hukum syarak. Resolusi tersebut turut menyangkal pihak yang bersikap anti mazhab dan mereka yang sering mencerca mazhab-mazhab fiqh dan para Imamnya dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai keji dan menyesatkan umat Islam (Al-Qaradhawi, 1991, hlm 81-83).

Berdasarkan huraian di atas, beberapa asas penting tentang mengenai kepengikutan mazhab dapat dirumus seperti berikut :

i. Mazhab merupakan sebuah institusi Fiqh (School of Thought) yang mempermudahkan umat Islam untuk memahami syariah dengan lebih jelas dan sempurna.

ii. Bagi masyarakat awam, 'ittiba’ al-mazahib' menyediakan ruang kemudahan untuk mengamalkan rutin hukum Islam seharian tanpa diserabuti persoalan khilaf yang komplikated.

iii. Keharusan mengikut mana-mana mazhab adalah terbuka dan tidak terikat secara rigid dengan suatu mazhab tertentu. Umat Islam boleh bertukar mazhab a.k.a pandangan fuqaha’ kepada fatwa mazhab lain yang lebih kuat, releven dan bermanfaat. 

iv. Ikhtilaf pendapat tidak seharusnya membawa perpecahan dalam masyarakat.

#Ketujuh
Mengenai ikhtilaf yang menimbulkan banyak mazhab pula, Abdul Karim Zaydan (1993) menyimpulkan sekiranya ikhtilaf dalam kalangan para Sahabat pun mendatangkan kesan lebih besar kepada orang lain, apatah lagi bukan sahabat. Ikhtilaf para mujtahid tidak sewajarnya dilihat memecah-belahkan agama Islam. Sebaliknya merupakan sumbangan para fuqaha’ kepada masyarakat walaupun berlaku di sana fanatisme atau pemujaan (تقديس) terhadap individu sehingga kata-kata mereka mengatasi al-Qur'an dan Sunnah.

Sedikit tambahan lagi, apabila disebut mazhab Al-Syafi’i (sebagai contoh), ia mencakupi rumusan pemikiran imam Al-Syafi’i termasuk doktrin dan juga metodologi ijtihad beliau dalam pengkajian al-Qur'an dan Sunnah, dan aliran pemikiran fiqh yang berkembang pada zamannya. Istilah mazhab Al-Syafi’i turut meliputi segala penulisan dan pandangan hukum yang dihasilkan para murid dan pengikut Imam al-Syafi’i, berlandaskan manhaj ilmiah beliau (Izz al-Din al-Tamimi,1990). Orang yang tidak melazimi mazhab ini tidak akan faham 'nature' perbezaan pandangan antara Imam Syafie dengan fuqaha Syafi’iyyah terkemudian lalu menghukumkan kita telah melanggar pandangan Imam mazhab sendiri.

Akhir sekali, saya ingin merumuskan pentingnya kita beriltizam dengan sesebuah mazhab seperti mazhab Syafi’i di Malaysia dan begitu juga mazhab lain seperti berikut:

1) Mazhab Fiqh menjadi institusi yang menyusun secara sistematik keseluruhan syariat Islam melalui hukum-hukum Fiqh sama ada yang disepakati semua fuqaha atau yang diijtihadkan oleh fuqaha Syafi’iyyah dalam soal ibadat, mualamat, munakahat dan sebagainya. Ia secara tidak langsung menghubungkan masyarakat dengan tuntutan al-Qur'an dan Sunnah dengan cara yang wajar atas alasan, bukan semua orang mampu memahami tuntutan kedua-dua sumber tersebut. Al-Qur'an dan Sunnah mempunyai pakar yang menguasai perbahasannya. Kepakaran turut berlaku dalam semua bidang ilmu sama ada Sains Sosial mahupun Sains Tulen. Dalam hal berikut, mereka yang bukan pakar perlu merujuk kepada Ahl al-Zikr (Al-Nahl : 43). Justeru, mazhab memanifestasikan konsep rujukan Ahl al-Zikr mengikut cara yang paling baik.

2) Mazhab turut memperlihatkan proses penyusunan hukum syarak dengan penggunaan pelbagai kaedah dan metodologi ijtihad oleh para fuqahanya untuk berijtihad. Proses yang sama turut dilalui pelbagai mazhab lain seperti mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan sebagainya. Suatu hal yang menarik di sini ialah, teks al-Qur'an dan hadis tidak diamalkan secara literal dan semberono melainkan setelah dianalisis statusnya, diteliti dan dihubungkan dengan illah, hikmah dan Maqasid Syariah. Ia penting supaya tuntutan syarak tidak mendatangkan beban kepada mukallaf selain tidak menimbulkan kontradiksi suatu hukum furuk dengan prinsip umum Syariah. Penentuan hukum bukan sekadar bernoktah dengan semakan status kesahihan sesuatu hadis semata-mata. Analisis fuqaha turut bergantung kepada penguasaan bahasa Arab, pengambilkiraan sosiobudaya setempat yang baik dan perbezaan pendapat fuqaha lain.

3) Mendisiplinkan masyarakat awam dengan pengetahuan dan amalan berkaitan hukum syarak secara konsisten. Dengan itu, mereka yang bukan bertaraf mujtahid akan dapat mengetahui perkara-perkara yang menjadikan suatu hukum itu sah atau tidak sah, wajib atau sunat, haram atau makruh, dan wajar diikuti atau patut ditinggalkan. Dengan ikutan mazhab, para pengikut akan mengetahui fatwa dalam mazhabnya yang mungkin berbeza dengan mazhab lain. Ia memudahkan orang awam mengesani titik-titik perbezaan pendapat antara para fuqaha. Keharmonian berbeza pandangan dan sifat bertasamuh akan lebih terurus dalam konteks mazhab. Berbeza halnya tanpa mazhab. Ia akan merungkai konsistensi ilmu dan memporak-perandakan amalan apabila perkara sunat akan dianggap wajib dan yang halal dikatakan haram. Malah lebih teruk, jika hal-hal #khilafiyyah #turut #dihukumkan #bid’ah, sesat dan rekaan manusia yang kononnya bercanggah ajaran Islam.

Jangan kita mengabaikan satu hakikat penting iaitu ramai fuqaha terkemudian selepas zaman imam-imam mazhab yang turut memiliki syarat-syarat mujtahid, masih memilih untuk ‘bernaung’ di bawah salah satu mazhab empat. Mereka tidak menonjolkan diri sebagai pengasas mazhab baharu atau mengangkat tahap kesarjanaan mereka di luar daripada lingkungan mazhab imam-imam besar. Mereka menjadi salah seorang pendokong yang mengembangkan mazhab yang diikuti, kepada masyarakat awam. Hatta Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim yg menjadi rujukan sahabat kita daripada aliran Salafiyyah pun masih bermazhab Hanbali.

Kepada anak-anak muda, silalah belajar dengan mendalam untuk lebih faham dan janganlah dengan sedikit pendedahan ilmu dalam bidang tertentu, membuatkan anda merasakan diri itu sudah setanding dengan para imam mujtahidin.

Yang benar,
Dr. H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan