Hindari sifat tamak, megah miliki harta
Oleh Mohd Adid Ab Rahman
2011/10/18
ISLAM tidak menghalang umatnya mencari dan memiliki harta benda yang banyak, malah amat digalakkan demi mencukupi keperluan hidup asalkan halal di sisi agama.
Usaha melengkapi keperluan hidup yang halalsatu kewajiban setiap individu Muslim seperti mana pernah diingatkan oleh Rasulullah yang bermaksud: “Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa, dan lain-lain).” (Ath-Thabrani dan Al-Baihaqi)
Pada zaman serba canggih ini masih ada yang enggan bekerja dan lebih suka hidup menganggur serta hanya mengharapkan belas kasihan orang lain. Golongan ini biasanya mencetuskan kekeruhan dalam masyarakat seperti kes penagihan dadah, mencuri dan meragut. Di samping itu terdapat juga manusia yang bekerja namun tidak menitikberatkan sumber rezeki sehingga sanggup menempuh jalan yang jelas diharamkan agama lantaran mementingkan gemerlap kemewahan duniawi.
Orang seperti ini sebenarnya dihinggapi penyakit hati yang berupa tamak dan paling malang lalai daripada mengingati Allah, pada hal kita sedia maklum Islam telah menetapkan garis panduan yang harus dipatuhi dalam mencari dan mengurus harta benda. Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya) dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.” (Surah Al-Munafiqun, ayat 9)
Tidak dinafikan sesetengah orang memandang harta benda itu sebagai lambang kemewahan dan kemegahan. Pada hal sifat tersebut mampu menjerumuskan kita ke cerun kelalaian (daripada ketaatan kepada Allah) sepanjang hayat. Firman Allah SWT bermaksud: “Bermegah-megahan melalaikan kamu sampai kamu masuk dalam kubur.” (Surah at-Takatsur, ayat 1-2)
Lantaran itu golongan yang tidak berada selalu tersisih daripada masyarakat. Demikianlah sebagaimana yang sering terjadi dalam masyarakat kita.
Anggapan yang salah ini bukan saja perlu diperbetul, tetapi hanya akan mencipta jurang antara orang kaya dengan golongan tidak bernasib baik yang seterusnya mewujudkan perpecahan dan putusnya tali silaturahim. Bukankah persaudaraan dalam Islam itu diajar oleh Nabi Muhammad SAW?
Ketakwaan itu di sini sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.”(Hadis Riwayat Muslim)
Seharusnya kekayaan yang dimiliki disalurkan ke jalan yang memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat mengikut syariat, diiringi dengan keyakinan bahawa sesuatu yang dikeluarkan itu tetap tidak berkurangan bahkan bertambah.
Keinsafan dapat menghindarkan seseorang daripada sifat sombong, tamak dan bakhil. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah saw: “Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan