TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Jumaat, 7 Oktober 2011

Memahami asnaf fisabilillah



Memahami asnaf fisabilillah








Surah at-Taubah ayat 60 adalah ayat yang paling jelas menyebut asnaf fisabilillah sebagai satu daripada asnaf zakat. Banyak lagi ayat lain yang menyentuh mengenai fisabilillah ini.

Contohnya di dalam surah as-Saff, ayat 10-11 telah menunjukkan bahawa fisabilillah adalah satu perkara yang penting dalam konsep menginfaqkan harta.

Pada zaman nabi dan zaman sahabat, definisi fisabililliah ini lebih terarah dalam kategori membela agama Allah dengan cara berperang.

Sebab itu ada ayat al-Quran yang mana Allah menyebut orang yang sibuk berjuang dalam perjuangan fisabilillah ini sehingga mereka jatuh fakir tapi mereka segan memohon bantuan dan kita mengenali mereka dengan melihat keadaan mereka, maka itulah golongan yang paling layak untuk mendapat bantuan zakat (rujuk al-Baqarah: 273)

Zaman berubah, kini fisabilillah lebih meluas definisinya dan ia bersangkut paut dengan usaha untuk membela agama Allah dengan apa cara sekalipun.

Justeru, apa sahaja pekerjaan atau usaha untuk membela agama Allah, misalnya mengembangkan agama Allah, mempertahankan agama Allah, mempromosikan syariat dan syiar Islam dan membela nasib umat Islam itu juga dikategorikan sebagai fisabilillah.

Maka, mengikut perbincangan ulama, jika seseorang itu mewakafkan dirinya kepada bidang ilmu maka dia layak dibantu dengan dana asnaf fisabilillah sebab dia tidak sempat untuk mencari rezeki. Atas sebab itulah, mereka dibantu.

Namun, mungkin ada orang terfikir, kenapakah institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) menaja ramai pelajar dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sebagainya lagi dengan dana zakat. Kenapa tidak difokuskan hanya kepada para penuntut aliran agama sahaja?

Jawapan mudah, dana zakat atas nama fisabilillah ini perlu dimanfaatkan demi maslahah ammah jangka panjang. LZS perlu menaja pelajar dalam pelbagai bidang, kerana bidang-bidang ini adalah perlu kepada umat Islam.

Contohnya bidang perubatan dapat melahirkan ramai doktor perubatan muslim. Bidang ini adalah suatu keperluan bahkan boleh menjadi fardu kifayah. Atas dasar itulah zakat dimanfaatkan di sini, dengan matlamat akhir mereka yang ditaja ini kelak dapat berperanan meninggikan agama Islam dan memberi faedah kepada umat Islam.

Persoalan lain yang timbul, kenapakah berlakunya pengembangan dalam memahami skop asnaf fisabilillah ini? Yakni, kenapa berbeza zaman dahulu dan hari ini?

Oleh itu, apa yang perlu difahami, corak kehidupan pada hari ini adalah berbeza dengan zaman dahulu, khususnya sewaktu khilafah Islamiah masih berfungsi.

Ini kerana, pada zaman pemerintah Islam dahulu, fokus dalam mengembangkan Islam ke seluruh pelosok dunia adalah terletak di bahu pemerintah.

Maka, pemerintah Islam akan menggunakan dana Baitul Mal (yang zakat termasuk di dalamnya), bukan sekadar menyantuni keperluan individu, bahkan untuk melestarikan Islam menerusi pengembangan ilmu dan juga perluasan wilayah. Sebab itulah, pada waktu itu fokus fisabilillah lebih kepada peperangan.

Hari ini, peperangan bagi meluaskan wilayah Islam tidak lagi menjadi keutamaan. Hanya ada beberapa buah negara umat Islam sahaja yang dilanda peperangan dan itu pun lebih bersifat defensif, seperti Palestin misalnya.

Maka bagi negara yang aman seperti Malaysia, definisi dan skop asnaf ini perlu dikembangkan supaya manfaatnya dapat dilebarkan demi kelangsungan ummah.

Seperkara lagi yang perlu difahami, asnaf fisabilillah ini berbeza kerana tujuannya adalah untuk meninggikan syiar Islam dan syariat-Nya. Lagi pun, natijah akhirnya mampu membawa seluruh manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Jika dibandingkan dengan asnaf-asnaf yang lain; fakir dan miskin misalnya, mereka dibantu atas dasar keperluan hidup dan supaya mereka dapat melepaskan diri daripada belenggu kepayahan.

Sebagai contoh, berbalik kepada seorang pelajar perubatan yang menyambung ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang neurologi (kaji saraf) dan dibiaya dengan wang zakat, maka ia adalah melihat kepada keperluan untuk wujudnya seorang pakar dalam kaji saraf kepada umat Islam.

Dana fisabilillah digunakan untuk menaja pelajar berkenaan supaya dia boleh berbakti kepada agama. Manfaat fisabillillah ini lebih kepada umum, ia tidak kepada individu.

Begitu juga apabila asnaf fisabilillah ini digunakan antara lain untuk tujuan pembangunan agama, misalnya untuk pembinaan masjid dan surau, sekolah agama, membaiki keperluan sekolah, membina perpustakaan dan apa-apa sahaja yang wajar. Ia juga adalah untuk maslahah ammah, yakni kepentingan ramai.

Hari ini, zakat atas nama fisabilillah turut menyediakan geran yang besar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membolehkan mereka melaksanakan kerja dan usaha dakwah secara lebih berkesan.

Misalnya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan banyak lagi NGO Islam mendapat bantuan zakat sehingga membolehkan mereka lebih luwes merencanakan agenda perubahan ummah.

Hakikatnya, dana fisabilillah amat bermanfaat demi ummah. Pemahaman terhadap isu ini dapat meredakan salah faham sesetengah pihak, bahawa dana fisabilillah ini hanya terbatas dalam skop tertentu sahaja, kerana kelak ia lebih merugikan ummah. Wallahu a'lam.

l HAMIZUL ABDUL HAMID ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan