Assalamu'alaikum,
Kerana tasawuf/hakikat/makrifat tidak berpisah, tidak bercerai dengan kehidupan kita walau sesaat. Kerana fiqh dan tauhid tidak berpisah, tidak bercerai dengan kehidupan kita walau sesaat.
Dan begitulah juga fiqh dan tauhid, jangan kita pisahkan ia, jangan kita ceraikan ia dengan kehidupan kita walau sesaat...jangan kita hanya melihat fiqh dan tauhid dalam konteks 'ilmu fiqh dan tauhid semata2'...Lihatlah ia dalam konteks yang lebih luas, dalam kehidupan sepanjang hari, dari bangun tidur di waktu pagi sehingga tidur di waktu malam dan bangun semula dari tidur di waktu pagi.....
Kerana tasawuf/tauhid/fiqh sentiasa ada dalam kerja kita di dunia, dalam urusan menjalankan mesyuarat contohnya, dalam urusan berjual-beli, dalam urusan berkeluarga, dalam berurusan dengan orang Islam dan bukan Islam, dalam urusan kita dengan alam, alam sekitar...
Justeru itu, jika kita membicarakan tentang perkara dunia dalam facebook contohnya, maka jangan kita pisahkan perkara itu dalam konteks fiqh, tauhid dan tasawuf. Kita, umat Islam jangan jadi seperti penganut Kristian yang membahagikan agama itu 'kerja paderi sahaja', ketika ke gereja pada hari Ahad sahaja, ketika nak kahwin sahaja, ketika anak baru lahir sahaja dan ketika nak mati saja. Selain perkara2 itu, penganut Kristian menganggap 'ia bukan urusan agama'. Inilah yang dinamakan sekularisme, faham sekular, yakni memisahkan agama dari kehidupan. Jika kita memisahkan urusan agama yang khusus (solat, zakat, haji,dll) dengan urusan dunia, maka kita juga mengamalkan faham sekular. Jika kita menganggap bab memandikan jenazah, mengkafankan, mensolatkan dan mengkebumikan jenazah urusan masjid, urusan tok imam dan tok bilal sahaja, kita sudah 'sekular' secara tidak langsung, sedangkan Islam itu adalah satu cara hidup.
Justeru itu, jika kita membicarakan tentang perkara akhirat dalam facebook contohnya, maka jangan kita pisahkan perkara itu dalam konteks dunia, dalam konteks fiqh, tauhid dan tasawuf. Jika kita membicarakan bab hukuman kepada orang yang memakan riba di negeri akhirat kelak, kita harus mengaitkan dengan kehidupan sekarang. Apa hukumnya dari segi kaedah fiqh, bagaimana tauhid dapat mengelakkan kita daripada memakan riba, bagaimana tasawuf akan membantu kita dalam memohon pengampunan kepada Allah Taala yang bersifat maha pengampun, jika kita bersalah dalam hal ini. Jika kita membicarakan tentang tempat makan/restoran contohnya, tak bolehkah kita masukkan/bicarakan sekali wajibnya memakan makanan yang halal (fiqh), pentingnya berwaspada dengan perkara yang was-was, peri perlunya kebersihan makanan itu pada zahirnya, ingat-mengingati bahawa pada hakikatnya makanan itu tidak memberi kenyang melainkan dengan izin Allah jua (tauhid), penting juga makanan itu bersih pada batinnya, penting juga memilih 'makanan rohani' yang dapat menjadikan hati lebih bersih dan bercahaya (tasawuf).
Dalam bermesyuarat contohnya, fiqh menetapkan agar menepati masa dalam bermesyuarat, mengikuti sunnah-sunnah dalam bermesyuarat, tidak bercampur-aduk yang hak dan batil dalam keputusan yang dilakukan. Tauhid menentukan agar tiada keputusan yang menyekutukan Allah dalam urusan mesyuarat, agar tiada unsur-unsur syirik tersembunyi dan lebih tersembunyi dalam bermesyuarat sebagai contoh. Tasawuf meraikan agar kita berlaku adil dan ihsan dalam keputusan mesyuarat, keputusan tidak dibuat berlandaskan prasangka buruk, hasad-dengki, menindas, berlaku zalim ke atas pihak lain. Jika kita bukan pengerusi mesyuarat, maka bertindak bijaksana dan berhikmahlah dalam menghadapi keputusan yang zalim, keputusan yang berat sebelah, keputusan yang berlandaskan prasangka buruk. Berusahalah kita agar tidak berdiam diri dan membisu seribu bahasa sahaja dengan mengambil pendekatan selemah-lemah iman (tolak dalam hati) tetapi berusaha menegakkan kebenaran melalui perbuatan dan perkataan, dalam konteks yang bijaksana dan penuh berhikmah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan