Memburu al-Qadar
SUDAH dua pertiga bulan Ramadan berlalu. Masih tersisa hanya beberapa hari. Dalam masa yang masih berbaki ini kita disunat mempertingkatkan amal ibadat seperti berjaga di waktu malam, beriktikaf dan mengejutkan anggota keluarga melaksanakan ibadah sunat, di samping membanyakkan sedekah.
Bulan Ramadan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam kehidupan setiap Muslim. Dalam tempoh 10 malam terakhir Ramadan, kita dijanjikan akan adanya malam al-Qadar, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5.
Allah SWT sengaja merahsiakan kemunculan sebenar lailatulqadar. Kerahsian itu mempunyai kaitan dengan kesengajaan Allah SWT untuk menguji setiap umat Islam agar lebih serius dan dedikasi dalam mencari jalan bagi mendapatkan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Maka di situlah terletaknya tahap keimanan setiap orang Islam dan akan membezakan ketakwaan, kerana kemuliaan seseorang Islam di sisi Allah adalah darjah ketakwaan dan keimanannya.
Usaha mencari malam al-Qadar, turut dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya: Carilah Lailatulqadar pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari)
Dalam satu riwayat lain, Rasulullah SAW dilaporkan melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.
Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.
Teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sepanjang bulan Ramadan telah menjadi contoh yang terbaik bagi setiap umat Islam untuk mendapat kerahmatan Allah SWT.
Maka, teladan itulah juga mungkin memberikan ilham kepada seorang pelajar Malaysia yang dirompak dan tercedera dalam rusuhan di London pada awal Ramadan lalu berupaya membaiki imej buruk Islam dalam pandangan masyarakat Barat.
Mohamed Asyraf Haziq Rossli yang dibelasah dan dirompak tidak sedikit pun menyimpan dendam kepada remaja yang mencerobohnya. Dia bukan sahaja menjadi ikon terbaru remaja Islam malah membantu menghapuskan imej buruk terhadap Islam.
Asyraf akan menderma wang yang bakal diterimanya setelah pelbagai pihak mengumpul dana bagi membantunya. Malah Perdana Menteri Britain, David Cameron terasa dimalukan oleh rakyatnya sendiri.
Pengajaran ini jelas membuktikan semangat melakukan kebajikan dan keberkatan Ramadan telah berupaya menghakis pandangan buruk barat terhadap Islam.
Ia juga mungkin dibantu oleh amukan seorang pemuda di Norway beberapa hari menjelangnya Ramadan, bahawa tindakan melampau itu bukanlah hak mutlak umat Islam.
Setiap manusia, setiap penganut agama tetap ada semangat yang berbelah bahagi sama ada melakukan kebaikan atau bertindak ganas.
Ia adalah sifat semula jadi semua manusia dan agama sebenarnya tidak pernah mengajar penganutnya melakukan keganasan.
Inilah kekuatan terbesar yang telah berlaku sepanjang bulan Ramadan tahun ini berbanding pada tahun lalu. Bulan Ramadan penuh kontroversi apabila seorang paderi gereja kecil di Florida membuat kecoh membakar al-Quran sebagai memperingati ulang tahun kesembilan runtuhnya Pusat Dagangan Dunia di New York.
Tahun lalu, tarikh ulang tahun itu jatuh dalam bulan Syawal.
Tahun ini, kerana Ramadan bermula sama dengan hari pertama bulan Ogos, maka itulah mungkin sesuatu yang tidak kita fahami secara lahiriah, ia adalah petunjuk bahawa Allah SWT sedang menunjuk arah bahawa imej buruk yang selama ini ditakuti oleh orang barat terhadap Islam semakin terhapus dan tenggelam.
Ramadan tahun ini turut membongkarkan banyak rahsia, antaranya percubaan untuk memurtadkan orang Islam melalui malam rakaman kasih, thanksgiving di Damansara Utama Methodist Church dan kegiatan sebuah pusat tuisyen di Jalan Kelang Lama, cuba mengindoktrinasikan pemikiran kanak-kanak dengan ajaran Kristian terdedah dengan jelas.
Ramadan kali ini juga memberi kesedaran kepada umat Islam, bahawa sebenarnya orang yang setiap hari bercakap dan mendakwa dirinya Islam, sebenarnya tidaklah bertindak secara Islamik.
Di sebalik memburu lailatulqadar, Ramadan mengingatkan kita sebagai umat Islam, banyak peristiwa yang perlu kita jadikan teladan.
Maka, secara tidak langsungnya Allah SWT telah memberikan kita kekuatan, atas kesabaran dan niat yang ikhlas kita mampu mengerjakan perintah-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan