Assalamu'alaikum,
Semalam, 5 September 2011 bersamaan 7 Syawal 1432, hamba dalam perjalanan balik ke Selangor dari Utara. Sengaja ambil cuti hari Isnin, lagipun cuti tahunan hamba banyak lagi, dalam 22 hari... Dah masuk Selangor... dalam jam 215 petang, saudara Kanjeng Sunan telefon memaklumkan pulangnya Tuan Guru Shohibul Wafa Tajul Arifin atau lebih dikenali sebagai Abah Anom ke rahmatullah. Kemudiannya Sheikh Mangkuk juga telefon jam 235 petang memaklumkan perkara yang sama. Terima kasih kepada mereka berdua atas makluman itu. Hamba baca berita di internet hari ini (6 September 2011) yang mana arwah Abah Anom akan dimakamkan pada hari ini. Hamba kira anak-anak dan warisnya membuat keputusan yang tepat kerana pastinya anak muridnya di sekitar Asia Tenggara akan mencari jalan untuk ziarah guru mursyid mereka pada kali yang terakhir. Kalau dimakamkan semalam (5 September 2011), sudah pasti ramai anak murid Abah yang akan terkilan.
Hamba sekeluarga pernah ziarah Abah Anom pada tahun 2003 sewaktu ekspedisi menziarahi Wali Songo bersama isteri dan dua anak. Ceritanya ada di sini dan juga di sini. Sepertimana yang dijangka, itulah pertemuan pertama dan terakhir hamba dengan beliau di alam dunia. Kasih-sayang dan ambil berat beliau akan hamba kenang selalu, Insya-Allah. Semoga perhubungan hamba dengan beliau tidak terputus begitu sahaja. Maklumlah hamba yang banyak masalah ini pasti memerlukan sentuhan dan nasihat guru mursyid seperti beliau... Semoga amanah beliau itu akan sempurna apabila tiba masanya...
Guru mursyid ibarat gambar di atas. Mereka ibarat mentari, menyinari alam yang masih gelap, menyinari hati-hati manusia yang penuh dengan kegelapan dengan limpahan cahaya dan mengeluarkannya dari kegelapan, melorongkan manusia ke arah jalan yang lurus. Mereka ibarat air, mengisi ruang-ruang kosong di muka bumi, mengisi hati-hati dan akal manusia dengan ilmu yang bermanfaat, membasahi diri anak murid dengan lautan ilmu yang mereka perolehi, menghilangkan dahaga si salik terhadap ilmu tasawuf dan ilmu hakikat dan makrifat, membersihkan si salik dengan amalan-amalan yang hak dan menyucikan hati kita dengan cahaya-cahaya keimanan. Mereka ibarat salji yang wajah mereka itu sejuk mata memandang, menyejukkan hati-hati yang penuh dengan nafsu ammarah dan nafsu-nafsu tercela, lantas disinari dengan hati yang tenang, sesejuk salji dan salju. Guru mursyid ibarat gunung, menjadi tempat rujuk anak murid yang bermasalah, guna meneguhkan pendirian anak muridnya dalam 1001 isu dan perkara, menjadi pasak bumi kepada mereka yang bernaung di bawahnya, menjadi payung rahmat kepada anak murid yang menagih sedikit limpahan kasih dan rahmat Ilahi yang dilimpahkan Allah ke atas mereka. Dan anak-anak murid itulah ibarat pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan yang mendapat cahaya sang mentari, dapat terus menetap di atas tanah, menerima limpahan air yang ada untuk terus hidup, mendapat rahmat dari keberadaan salji di sekelilingnya.
Pemergian beliau pasti mengundang kesedihan dan kepiluan dalam kalangan anak muridnya yang berjuta-juta itu. Hanya mereka yang pernah berguru mursyid dan kehilangan guru mursyid sahaja akan tahu dan merasai kesedihan itu. Apatah lagi kalau kasih sayang dan cinta itu disemai antara anak murid dan guru mursyid. Sesungguhnya kasih-sayang guru mursyid kepada anak muridnya itu ibarat kasih-sayang RSAW kepada umatnya. Dan kasih-sayang dan cinta anak murid kepada guru mursyid ibarat kasih-sayang dan cinta para sahabat kepada RSAW, sanggup berbuat 1001 perkara demi mempertahankan RSAW.
Semoga anak muridnya yang ramai itu terus bernaung di bawah payung baru yang akan dipilih kelak. Patah tumbuh, hilang berganti. Jangan terburu-buru membawa diri ke tempat lain. Banyak sangat bezanya antara bernaung di pawah payung guru mursyid dengan berjalan sendirian tanpa dipayungi oleh mana-mana mursyid... Bernaunglah di bawah guru mursyid yang murabbi jika kamu mengetahui, kecuali menerima petunjuk dan perintah DIA yang berbeza...Hamba tidak merisaukan akan Abah Anom, beliau pasti bergembira di alam sana. Semoga anak muridnya dan mereka yang menerima keberkatan dari ziarahnya terus istiqamah dalam beramal. Wallahu'alam.
Al-Fatihah buat guruku Tuan Guru Shohibul Wafa Tajul Arifin....Al-Fatihah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan