Assalamu'alaikum para pembaca,
Alhamdulillah, hari ini, 10 Disember 2011, 14 Muharam 1433, selepas lebih sebulan, ringan sedikit kepala hamba, terasa lapang sedikit di dalam dada, berkurang gundah gulana, semakin diuji-NYA kita oleh DIA, maka seharusnya kita semakin dekat dengan DIA, bukan semakin menjauhi-NYA. Yakinlah dengan Kalam-NYA dalam kitab yang mulia, tidak diuji hamba-NYA akan ujian yang tidak mampu ditempuhi kita. Akan hamba sendiri, memang agak besar ujian ini, walaupun pernah menempuhi ujian lain yang lebih besar dari segi hakikatnya, ujian kini memang cukup besar dan hebat. Itulah Maha Kaya dan Maha Bijaksana Allah Taala yang mengatur ujian-ujian kepada hamba-hamba-NYA. Banyak benar yang hamba belajar dalam ujian sekarang. Maha Hebat Allah Taala dalam 'membimbing' hamba-NYA agar jangan terus leka dengan dunia, jangan lupa akan amanah-amanah dari-NYA, agar pelayaran sesebuah kapal itu akan menemui destinasinya. Sudah pasti nakhoda itulah tonggaknya kerana pincang nakhoda, maka pincanglah perjalanan kapal tersebut, lambatlah sampai ke tempat yang dituju, banyaklah pula angin taufan dan ribut datang melanda, yang merencatkan arah tuju kapal tersebut. Walaupun sebenarnya angin taufan dan ribut itu adalah untuk menyedarkan nakhoda akan destinasinya, berhati-hati dalam pelayaran, jangan sampai menempuh lautan api, jangan sampai bertempur dengan garuda, jangan sampai diusik jembalang di lautan, kerana pelayaran menuju destinasi sebenarnya adalah mudah, hanya berada di atas jalan yang lurus, tetap di jalan yang lurus, istiqamah di jalan yang lurus. Walaupun banyak pulau yang indah di kiri dan kanan pelayaran, walaupun banyak harta karun di tengah perjalanan, walaupun banyak tawaran raja di sekitaran agar singgah semalaman, maka niat dan arah tuju harus jelas, agar selamat sampai ke destinasi yang dituju dengan sempurna.
Sebulan ini dan sehingga beberapa bulan akan datang merupakan satu tempoh yang amat penting buat hamba dalam berhadapan dengan siri ujian dari-NYA. Dalam ujian-NYA juga, ada siri-siri ujian yang kecil dan ada juga 'peperiksaan akhir' yang besar yang harus ditempuhi dalam satu 'kursus' atau 'pelajaran' atau 'silibus' yang perlu ditempuhi oleh ahli tasawuf dalam berjalan menuju Allah Taala. Sama ada silibus itu berorientasikan peningkatan martabat nafsu, bersandarkan latihan zikrullah, berteraskan penghayatan dan pengamalan tauhid sifat, maka 'kuiz, pop kuiz, ujian pertengahan tahun, peperiksaan akhir, ujian lisan, ujian zahir dan batin, ujian pancaindera' dan lain-lain jenis ujian, maka ahli tasawuf tidak harus leka akan ujian yang ditempuhi mereka. Contohnya, bagi mereka yang 'bersuluk', ujian Allah bukan di dalam suluk semata2, tetapi juga di luar suluk. Bagaimana melaksanakan mujahadah, muraqabah dan lain2 dapatan di dalam kehidupan 24 jam. Sememangnya kita tidak tahu, tetapi disisi-NYA, disisi malaikat yang mengawasi kita, ada 'siri-siri ujian' yang disediakan untuk kita. Bukanlah menjadi wali Allah matlamat kita, bukanlah diangkat sebagai kekasih-NYA arah tuju kita, bukanlah kekeramatan yang dicari, bukanlah kehebatan dunia yang dipinta, bukanlah gelaran, kepopularan, sanjungan manusia yang kita kehendaki. Kita hanya mahu menjadi hamba-NYA yang diredhai-NYA. Cukuplah setakat itu matlamat kita, tidak perlu pening-pening kepala dengan macam2 istilah dan haluan, tetapkan dalam hati, kuatkan dalam minda, ikrar pada diri sendiri, kita hanya ingin menjadi hamba-NYA, hanya ingin menjadi hamba-NYA, hanya ingin menjadi hamba-NYA yang diredhai-NYA.
Jadikanlah Saidina Uwaisy al-Qarny r.a.sebagai contoh yang nyata. Tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit. Tidak mahukan sanjungan dunia, hanya mahukan 'perhatian Ilahi'. Tidak perlukan dunia untuk dirinya tetapi 'dunia' memerlukan dirinya untuk terus 'dilimpahi rahmat-NYA'. Jadikanlah sahabat paling rapat kepada Junjungan Nabi SAW, Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. sebagai contoh. Seluruh hartanya dan apa miliknya diserahkannya kepada agama, tidak ada apa yang tinggal pada dirinya, kecuali Allah dan Rasul.
Satu dunia dan isinya ini tiada nilai bagi seorang yang menjadi hamba-NYA yang diredhai-NYA. Kepada mereka yang dalam perjalanan menuju Allah, itulah matlamat kita. Mengapa masih mencari ilmu-ilmu yang tidak membawa kita semakin dekat dengan-NYA? Mengapa masih berhajat pada hikmah-hikmah dalam amalan? Mengapa masih 'berdamping' dengan makluk kita tidak tahu ia membawa kita kepada kesyirikan dan kesesatan yang nyata? Mengapa masih suka dengan amalan-amalan yang 'cepat jadi', 'mujarabnya jelas sekali' sedangkan ia menjauhkan kita dari Ilahi? Adakah contoh dalam sirah dan sunnah RSAW, habuan dunia seperti wang ringgit boleh ditukarkan dengan 'ilmu yang menjadi', 'amalan yang mujarab', 'kesaktian yang nyata', 'kehebatan yang diakui'? Sedarlah kita, insaflah kita, semua itu menyesatkan kita, tidak langsung membawa kita menjadi hamba-NYA, jauh sekali mendapat keredhaan-NYA.
Tahun baru hijrah baru setengah purnama berlalu. Moga kita terus melipatgandakan amalan-amalan kita, khususnya dalam mendekatkan diri kita dengan Sang Pencipta. Semua yang hamba tulis adalah nasihat pada diri hamba sendiri, lantaran masih banyak maksiat pada diri, masih banyak kejahilan pada diri, masih banyak 'keakuan' pada diri', masih belum menyerahkan 'diri sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi', sedangkan DIA yang bersifat maha mengetahui, sedangkan hamba sendiri masih ' bersifat nafsu-nafsi', hanya memikirkan diri sendiri. Moga kita sama-sama berusaha 'menyerahkan sepenuhnya diri kita di dalam takluk-NYA', mencapai hakikat penyerahan yang selalu dilafazkan kekasih-NYA yang Agung, junjungan Nabi SAW tercinta, 'Tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan dengan bantuan dari Allah Taala yang Maha Agung'.
Hakikat penyerahan bukanlah sekadar dilafazkan di mulut, bukan sekadar sedetik penerimaan di dalam hati, tetapi, penyerahan sepenuhnya atas prasangka baik kita dengan Allah A.W.J., sentiasa 24 jam berprasangka baik kita dengan ujian Allah, sama ada baik atau buruk ujian itu untuk kita, maka kita sentiasa berparasangka baik dengan DIA, walau sebesar mana ujian itu, walau seteruk mana kita menghadapi satu-satu ujian itu, kita yakin bahawa semua itu ketentuan DIA, semua itu baik disisi-NYA, baik juga disisi kita pada hakikatnya. Kita menyerahkan sepenuhnya apa yang kita usahakan di dalam kuasa-NYA yang menentukan hasil usaha kita itu, bukan kita yang menentukan hasil kepada sesuatu usaha kita. Kita hanya hamba-NYA, tanggungjawab hamba adalah buat kerja, ikut perintah 'Tuan' kepada hamba, jangan buat apa yang 'Tuan' larang, buat kerana DIA, lillahi taala. Bukan mengharapkan walau sezarah balasan, bukan berkehendak walau sekecil habuan. Ikhlaskah kita sebagai hamba-NYA kalau masih mengharap sesuatu daripada-NYA? Tidak tahukah DIA apa yang baik untuk kita? Tidak adilkah DIA jika tidak mengganjari apa yang kita kehendaki?
Bukalah dada kita sepenuhnya, sepenuh-penuhnya....Kosongkan dan lapangkan dada kita daripada hajat, kehendak dan habuan dunia, daripada hambatan-hambatan dunia. Kosongkan akal dan minda kita daripada 1001 masalah dunia dan kongkongan-kongkongannya. Duduklah kita pada sisi kita ini hamba-NYA, atau ingin menjadi hamba-NYA. Setelah lapang dan kosong akal dan dada, maka duduklah pada menerima sepenuhnya apa sahaja yang datang sebagai ketentuan dari-NYA...Sinarilah cahaya zikrullah dari dalam hati ke seluruh jiwa dan raga, ke seluruh anggota dan pancaindera, ke segenap penjuru dalam alam dunia pada diri kita, ke segenap rasa dan rahsia pada diri kita. Kekalkanlah kita dalam sentiasa menyerah diri kita sepenuhnya pada ketentuan-NYA....Moga kita sama-sama berjaya.
Wassalam.