Assalamu'alaikum,
Telah hampir 2 tahun setengah aku berjuang menentangnya. Ada kalanya aku menang dan ada kalanya aku kalah. Umumnya, aku belum berjaya memenangi peperangan ini. Aku sendiri tidak tahu peperangan ini apakah penghujungnya....Yang pasti aku redha atas segala ketentuan-Nya untukku dan aku berdoa agar isteriku juga redha atas segala ketentuan-Nya untuk aku. Selalu aku khabarkan pada isteriku, keredhaan beliau atas ketentuan Ilahi untukku merupakan antara kuncinya, namun beliau masih 'belum berjaya nampaknya'.
Aku memang tidak punya banyak masa...Yang jelas, tidak bergelar hamba-Nya jika tidak diuji-Nya kita ini sebagai hamba-Nya. Hamba wajib dan sentiasa patuh akan arahan Tuannya, tidak banyak soal, tidak banyak karenah. Apa Tuan kata wajib dipatuhi, kalau tak ikut, 'bukan hamba'lah darjatnya...Sedangkan hamba itu sekurang-kurangnya dua darjat yakni 'hamba-hamba-NYA', maka di mana kita, adakah tergolong dalam 'hamba' yang pertama ataupun 'Hamba-NYA'...
Yang pasti, bukanlah dikatakan kekasih jika tidak saling kasih-mengasihi. Sedangkan DIA memang maha mengasihani sifat-NYA, adakah kita kasih kepada DIA? Jika kita dapat lafazkan, buatkan sesuatu yang menunjukkan kasih kita kepada anak dan isteri kita, adakah kita mampu lafazkan dan buatkan sesuatu atas dasar kasih kita kepada-NYA....Masih jauh kita daripada bergelar kekasih-NYA....
Sesama kekasih itu itu Cintalah kemuncaknya...Ibarat Rabiatul Adawiyah r.a. dan DIA, tenggelam Rabiatul Adawiyah r.a. dalam cintanya kepada DIA...Adakah aku cinta kepada-NYA? Belumlah ada cinta selagi masih ada dunia di dalam hati kita walau setitik. Belumlah ada cinta kepada DIA selagi belum kita cinta kepada Junjungan RSAW melebihi cinta kita kepada diri sendiri dan anak-isteri. Ya, itulah tanda arasnya. Kecintaan kepada RSAW melebihi cinta kepada diri sendiri dan anak-isteri, satu tanda iman yang sempurna sebagaimana maksud hadisnya.
Nampaknya begitulah diriku, masih tenggelam dan lemas dalam lautan dunia. Apa nak dihairankan? Sebahagian besar mereka di awal agama leka di situ saja, ibarat perjuangan yang sudah selesai agaknya...Masih ramai rakanku dalam Facebook dan BSC yang masih leka dengan hiburan dunia, cerita bola, kisah politik, pertelingkahan cendekia agama, sibuk menambah harta, asyik mengejar kuasa, mengembangkan perut agar melebihi dada, dan 1001 kisah dunia. Begitu jugalah dakwah kita melalui FB dan BSC jangan sampai tertitik di dalam hati, itu juga dicemburui-NYA.
Sedangkan orang yang ditunggu akan menjelma apabila tiba masanya, adakah rata-rata ahli sufi muda itu bersedia pabila tiba janji-Nya sebagaimana menepati kata junjungan tercinta. Dan aku yang telah gagal akan ujian-ujian-NYA berkali-kali, maka musibah, kafarah dan bala lah hukuman yang diterima, dan bakal diterima. Larikah aku daripada semua itu? Tidak, hadapilah ia kerana ia permintaanku kepada-NYA sebelum aku menghadap-NYA dalam alam selepas alam dunia. Biarlah kegagalan diriku dan mereka yang dipertanggungjawabkan ke atasku aku yang menerimanya di dunia ini, aku yakin DIA mendengarnya...Tidak mahukah kita menerima itu semua sedangkan para kekasih-Nya yang terpilih itu 'memikul dan menanggung' azab sengsara atas dasar 'rahmat ke sekalian alam'.
Maka selepas ujian besar di luar negara, pasti diuji-Nya perkara yang kita tidak suka di Tanah Tercinta pula sebagaimana kata guru utama, yang kita tidak suka itulah yang akan diuji-Nya. Maka aku sememangnya bersedia menghadapinya kerana aku ini hamba-Nya yang banyak noda dan dosa...Kesakitan 'Rotan'-Nya telah kuterima semasa berubat di Kuang, Selangor. Keperitan azab di-Rotan-Nya' itu tidak terkira sakitnya, sehingga aku berkata dibayar berjuta-juta sekalipun aku tidak akan mengunjungi tempat itu semula. Namun aku bersyukur, 'biarlah dirotan' beribu kali di dunia asalkan aku 'terlepas di sana'.
Aku memang semakin tertunggu-tunggu hari yang diisyaratkan oleh-Nya. Tidak tolak aku akan ketentuan itu kerana mengubah ketentuan awal itu lebih banyak susah di kemudiannya. Aku ingin menghabiskan peperangan ini, aku ingin melihat penghabisan peperangan ini. Aku perlu melepasi peperangan ini. Jika maut adalah ketentuan-Nya, insya-Allah aku bersedia dan sememangnya semakin bersedia berbanding sebelumnya. Yang pasti perjuangan belum berakhir dengan peperangan ini, moga-moga begitu. Walaupun aku ada jalan mudah untuk melepasi peperangan ini melalui 'bantuan salah seorang dari guruku', itu bukan kehendak-Nya. Guruku itu tidak mahu membantu anak muridnya yang satu ini walau 1001 manusia lain yang menghadapi peperangan yang sama sudah dibantunya. Itulah kehendak-NYA, tiada jalan mudah, tiada jalan pintas jika mahu betul-betul kembali kepada-Nya.
Yang pasti banyak hikmahnya semasa menerima hukuman dan tarbiyah daripada-NYA. Seperi di luar negara, hari-hari terlantar itu banyak hikmahnya kepada diriku ini. Kini aku bersedia untuk tempoh yang lebih lama jika itu suratan-Nya. Aku bersedia untuk kesakitan yang lebih hebat jika itu kehendak-NYA. Aku bersedia untuk hilangnya ceria diwajahku jika itu ujian-NYA. Aku bersedia dimamah usia dalam umur yang muda jika itu takdir-NYA. Fikiranku, dan seluruh diriku semakin bersedia menghadapi hari yang tiada orang biasa suka menghadapinya. Hanya isteriku yang sedikit gusar, walaupun telah aku peringatkan pelbagai perkara kepadanya dan telah aku siapkan apa yang perlu agar dia tidak terlalu sukar semasa aku ditarbiyah oleh-NYA.
Ketiadaan berita dariku dalam FB, blog dan BSC dalam masa yang lama itulah tandanya....Tidak perlu bermuram durja, doakan diriku tabah dan redha menghadapi ketentuan-Nya. Ya Allah Ya Tuhanku, moga-moga aku sentiasa dalam rahmat-Mu, sentiasa mendapat perhatian dari-Mu kerana tidak dapat aku memperhatikan diriku ini walau sedetik tanpa perhatian dari-Mu.
wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan