|
SEAWAL usia tiga tahun, beliau membuatkan orang lain bingung untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan. Orang pertama yang menjadi mangsa, adalah bapanya sendiri.
"Saya bertanya kepada bapa saya, apa yang perlu kita lakukan setelah kita mati," katanya.
Soalan itu menyebabkan bapa Katlin Hommik bingung dan kemudiannya hanya mampu memberitahu kepada anak perempuannya itu: "Katlin, ketika mati nanti kamu cuma hanya tidur di dalam tanah".
Katlin berasal dari Estonia, negara yang terletak di wilayah Baltik iaitu paling utara di Eropah Tengah. - sebuah negara yang rakyatnya dilarang bercakap soal agama, kepercayaan dan keyakinan terhadap tuhan di hadapan umum ketika di bawah pemerintahan komunis Kesatuan Soviet.
Malah para penduduknya juga dipaksa mempercayai bahawa hanya orang gila sahaja yang percaya bahawa tuhan itu wujud.
Dalil singkat yang mereka gunakan ialah bagaimana mungkin untuk percaya pada sesuatu yang tidak dapat dilihat dek mata?
Apabila ada angkasawan Rusia yang berjaya berada di angkasa lepas dan mereka tidak melihat tuhan yang kononnya sepatutnya 'duduk' di atas gumpalan awan, ia dijadikan bukti bahawa tuhan itu sememangnya tidak ada.
"Begitulah komunis menyerapkan fahaman antiagama. Tidak seorang pun diizinkan berbicara mengenai agama jika mereka tidak mahu menempah nahas dan seksaan jika cuba berbuat demikian," kata Katlin.
Katlin yang tidak berpuas hati dengan jawapan bapanya tidak pernah putus asa mencari jawapan mengenai pelbagai persoalan hidup. Iaitu hidup untuk apa dan mati akan ke mana.
Bertahun-tahun lamanya beliau bersendirian mencari jawapan. Dalam pada itu, Katlin tetap merasakan segala tindak tanduknya seolah-olah sedang 'diperhatikan' oleh Tuhan.
Namun, beliau semakin merimaskan bapanya dengan pelbagai pertanyaan sehingga menyebabkan Katlin dihantar untuk tinggal bersama neneknya yang sempat merasakan kehidupan gereja semasa usianya masih muda.
"Neneklah yang pertama kali memperkenalkan kepada saya cara memanggil tuhan iaitu dengan mengajar cara berdoa mengikut ajaran Kristian.
"Namun yang uniknya, nenek melarang saya mengucapkan semua itu di hadapan orang ramai supaya bapa saya tidak mendapat masalah di kemudian hari.
"Tetapi saya berazam untuk terus belajar ajaran Kristian daripada nenek secara sembunyi-sembunyi," katanya.
Sesuatu yang agak melucukan berlaku ketika Katlin berusia 11 tahun dan pertama kali dia menghadiri kelas hari minggu di gereja yang ketika itu umpama menyambut kemerdekaan dari Soviet Union.
Pada hari pertama dia telah dibuang kelas. Ia hanya kerana Katlin bertanya terlalu banyak sehingga beliau dituduh iman telah rosak.
Pada hal yang soalan yang ditanyakan itu baginya tidak salah.
Namun semua persoalan yang dibangkitkan menyebabkan paderi sebagai pengajar menjadi bingung.
Namun Katlin tetap mempelajari ajaran Kristian selain sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia mempunyai agama untuk dipegang.
"Waktu itu saya masih menganggap saya penganut Kristian. Tetapi akhirnya saya sendiri tak mampu bertahan. Ini kerana saya tidak mampu menerima perkara-perkara yang tidak rasional dalam ajaran agama itu yang akhirnya saya memutuskan untuk mencari sesuatu yang lain.
"Yang lain itu adalah Islam itu sendiri," katanya.
Melalui pengenalan terhadap Islam, Katlin mengambil masa sehingga tiga tahun untuk mengenal siapa dirinya yang sebenar.
"Saya selalu bertanya pada diri adakah saya sudah benar-benar yakin untuk menjadi seorang muslim. Apakah saya benar-benar telah bersedia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan