TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (3) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (4) Anti Hadis (1) Aqidah (15) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (4) Bab Tauhid (7) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (2) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (17) Guru Mursyid (17) Guru Tariqat (17) guruku (15) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (2) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (20) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (27) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Isu Yaqazah (10) Jalan-Jalan (130) Jihad Ekonomi (37) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (7) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (3) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (7) Makam Sultan/Raja Melayu (8) Makam Wali Allah (46) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Martabat Tujuh (4) Masjid (47) Masjid Lama (25) Masjid Utama (34) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Mengenal Diri (9) Merdeka (1) Misteri (11) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (3) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) Peluang Perniagaan (1) pengumuman (7) Penyakit (1) Perjalanan Diri (2) Perubatan Islam (3) Perubatan tradisional (2) Petua (1) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (7) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (8) Tasawuf (26) Tawassul (5) Tulisanku (358) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (22) Ulamak Tanah Melayu (18) Universiti (5) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) wahdatul wujud (5) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (62) Wali Melayu (33) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Isnin, 5 Mei 2014

Masih Dengan Isu Telaga Barahut


sumber : http://www.malaysiakini.com/columns/260402  (Penulis MAZA)

Nilai munasabah cerita

Menjadi satu masalah yang besar apabila penceramah ataupun penulis mengutip semua cerita yang dia jumpa dalam buku tanpa mampu menilai kemunasabahannya. Bagi mereka yang tidak memahami disiplin ilmu, menganggap setiap yang ada dalam kitab itu sahih.

Terbaru kita dengar ada pihak mempopularkan cerita memanggil arwah di Telaga Barahut (Barahut atau disebut juga Burhut seperti yang dinyatakan dalam Lisan al-‘Arab).  Kononnya, ada orang memanggil roh dari telaga berkenaan untuk mengetahui di mana hartanya disimpan oleh kawannya sebelum dia meninggal.

Mungkin niatnya ikhlas, tapi cerita itu tak berasas dan ‘kartun’ sekalipun disebut dalam beberapa kitab. Saya terbayang, jika ini benar, bolehlah kita pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang.

Sahih
    
Walaupun asas nama Telaga Barahut itu disebut dalam hadis yang thabit riwayat al-Tabarani dan selainnya sebagai seburuk-buruk telaga, namun cerita si fulan memanggil roh kawannya dari telaga itu tiada asas yang sabit. Mudah untuk difahami seperti cerita Nabi Khidir.

Kisah itu ada dalam al-Quran dalam Surah al-Kahf. Nama Khidir itu pula disebut dalam Sahih al-Bukhari. Namun cerita dalam Hikayat Melayu Lama bahawa Hang Tuah bertemu Khidir tiada asas yang boleh dipercayai.
    
Menggunakan kewujudan cerita itu dalam al-Quran dan as-Sunnah sebagai dalil untuk membenarkan cerita yang direka kemudian adalah satu kaedah yang tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali.

Cerita yang datang kemudian, jika pun hendak diterima, hendaklah dinilai dari segi keselarasan dengan dengan al-Quran dan as-Sunnah serta lojik yang kukuh.
    
Menjadikan alasan ia wujud dalam sesebuah kitab (dalam bahasa Melayu kitab bermaksud buku) bukan alasan yang diterima di sisi ahli riwayat. Kewujudan sesebuah cerita dalam sesebuah kitab tidak menjadi bukti kesahihannya.

Bahkan banyak riwayat dalam kitab-kitab terdahulu yang tidak sahih. Dalam kitab-kitab tafsir ada pelbagai riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Tidak boleh semuanya dipercayai. Ada disiplin ilmu yang mesti diikuti sebelum memetik kisah-kisah itu.

Benar seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu Israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin."(Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Palsu
    
Dalam kitab-kitab hadis, banyak hadis yang palsu. Para ulama hadis menyuruh kita menyemak sanad dan matan sebelum sesuatu hadis diterima. Bahkan para sarjana hadis telah bertungkus-lumus melakukan klasifikasi hadis bagi membezakan yang sabit dari selainnya.

Kata al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H): “Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah." (Ibn al-Salah, 'Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir)    
    
Dalam membaca bahan sejarah juga demikian. Bukan semua yang ada dalam buku sejarah itu boleh dipetik tanpa menyemak sanad dan matannya. Empunya kitab sejarah terbesar al-Imam al-Tabari (meninggal 310) sendiri mengingatkan hal ini pada mukadimah kitabnya:

“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”. (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi)
    
Saya petik kata-kata Syeikh Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi dalam membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari:

“Para ahli sejarah Islam telah menulis himpunan riwayat yang begitu banyak dalam penulisan mereka. Mereka mencampuradukkan antara yang sahih dengan yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan apa yang sahih daripada yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan riwayat-riwayat tersebut secara bersanad. Mereka juga menyebut perawi-perawi bagi setiap sanad. Selain itu, mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu dengan yang lain. Ini bukanlah bererti kehendak mereka adalah untuk berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap berita yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar, dusta, betul atau salah." (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, ms 7)

Malangnya apabila kedangkalan disiplin ini tidak dikuasai, ada yang menceduk apa sahaja yang dia jumpa tanpa menghayati disiplin dalam periwayatan.

Lojik
    
Perkara yang tidak lojik dan menyanggah akal waras tidak mungkin hendak dikaitkan dengan Islam. Inilah yang kita ulang apa yang disebut oleh sesetengah sarjana hadis:

Apabila engkau melihat sesebuah hadis menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ia hadis yang palsu. (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut: Dar al-Fikr)
    
Ilmuwan al-Azhar sendiri, Dr al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah juga menyebut:

“Sepertimana para ulama hadis mengambil berat berhubung analisa kritis terhadap sanad yang merupakan analisa kritis luaran, mereka juga membuat analisa kritis terhadap matan (textual criticism) iaitu analisa kritis dalaman. Ini terbukti dengan mereka menjadikan salah satu tanda-tanda hadis palsu ialah percanggahannya dengan akal, atau al-musyahadah (apa yang disaksi di alam kenyataan), atau al-hiss (apa yang dikesan oleh pancaindera) sedangkan ia tidak mampu untuk ditakwilkan dengan takwilan yang hampir dan mungkin (untuk diselaraskan). Dalam banyak keadaan mereka maksudkan ialah percanggahan dengan al-Quran, atau al-Sunnah yang masyhur lagi sahih, atau sejarah yang diketahui, sedangkan ia tidak mampu untuk diharmonikan." (Abu Syahbah,  Difa’ an al-Sunnah, m.s. 31. Kaherah: Maktabah al-Sunnah)
    
Buku-buku memang banyak. Pun begitu, mensahihkan sesuatu perlukan kaedah yang betul. Bukan salah untuk mengutip cerita-cerita yang lemah sekadar iktibar, tapi hendaklah jangan disandarkan kepada agama Allah yang maha mulia ini.

Jangan pula cerita itu menjatuhkan mertabat Islam sebagai agama yang rasional dan penuh dengan alasan yang munasabah bagi setiap perkara nanti orang bersalah sangka kepada agama.
    
Kisah-kisah pengajaran orang soleh dan para wali boleh dipetik tapi pasti ia seiras dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Juga agama tidak mungkin membawa sesuatu yang tidak dapat disaksikan kebenarannya oleh akal yang waras.

Jangan kita main ceduk semua benda dan masukkan ke dalam bakul agama.



Jawapan  Balas

sumber : http://www.malaysiakini.com/columns/260402   (Penulis Zainudindamin Damin )


Assalamualaikum WB 
Segala Puji Bagi Allah, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar SAW. Semalam saya baru bertafaquh mengulangkaji kitab hadis an-Nawawi. Seorang Doktor Phd menjadi pembimbingnya. Apa yang menarik sempat juga dia menyentuh tentang ‘kisah Ustaz Don’ berkaitan kisah seorang hamba Allah berseru di Mekah dan berseru di telaga Barahut. Urusan syurga dan neraka adalah perkara ghaib katanya; mana boleh berlaku begitu. Sebagai hadirin, kami pun diam tanda hormat dan kenal diri. Namun pada pandangan saya seseorang yang ‘berilmu’ tidak akan memperpanjangkan pertikaian di khalayak awam; sebaliknya orang yang jahil akan mendengar dan mengatakan ia atau tidak tahu. Hanya orang yang benar-benar alim dan berakhlak akan menjaga mulutnya (atau tulisannya).

Berkait dengan tulisan Dr Maza, tentulah bagi orang awam, atau sebahagian orang yang berilmu akan rasa tulisan ini begitu ilmiah sebab ada nota kaki atau rujukan. Sebahagian daripada rujukannya pula bukan semua orang boleh baca, malah menyentuhpun tak pernah. Kaedah penulisan ilmiah sebegini (nota kaki, rujukan) adalah sebahagian cara penulisan ilmiah yang diperkenalkan oleh sarjana Barat yang mungkin kita boleh terima. Namun kembali kepada topik yang diperkatakan dalam tulisan tersebut dan kesediaan penulis, termasuk penyanjungnya untuk menerima buah fikiran orang lain; maka beberapa komentar saya cuba ajukan.

Pertama; memberikan nilai dan gambaran yang begitu hodoh kepada hasil penulisan kitab-kitab lama di mata awam dengan menyamakan istilah ‘kitab’ (Arab) dengan ‘buku’ (book), dengan nada yang menghinakan atau memandang rendah atau curiga; termasuklah menggunakan bahasa yang menghilangkan rasa hormat khalayak kepada penuturnya bukanlah cara dan akhlak Islam. Kitab-kitab itu bukan saja telah berusia puluhan tahun malah sesetengahnya berusia ratusan tahun. Walaupun usia kitab bukan syarat kebenarannya, dan fokus kesangsian yang dibincangkan adalah berkaitan dengan satu andaian peristiwa atau seumpamanya, rasa curiga disematkan pada persepsi awam secara tangkap borong, dengan alasan tiada nilai ilmiah - sekadar berdasarkan peristiwa ‘seruan di telaga’ adalah tidak adil. Kadang-kadang biadap itu pun tidak semestinya ada sandaran nasnya, seperti meletakkan kaki di atas meja waktu berbicara dengan orang lain.
Kedua, teguran itu boleh disampaikan atau sekurang-kurangnya bertanya kepada penuturnya untuk mendapatkan suatu penjelasan atau menjernihkan keadaan atau mencari muafakat. Itu disebut akhlak alim ulama, bukan dengan mengeruhkan keadaan, menjatuhkan maruah walau soal benar atau tidak menjadi keutamaan. Ini seakan masing-masing berebut khalayak dan pengaruh dengan menzahirkan kebenaran yang tidak pasti; atau sekadar pasti kebenarannya pada bibir sendiri dan lingkungan kita sahaja; di sebalik statusquo kita sebagai sarjana kononnya.

Ketiga, berapa ramai ulama silam yang menulis tanpa rujukan (nota kaki), malah memang ramai penulis yang menulis berbagai hukum dan kisah tanpa menyebut sanadnya; malah berapa ramai pula yang menghasilkan hasil tulisan tanpa menulis nama pengarangnya. Terdapat juga ulama yang kitab-kitabnya bukan daripada hasil tulisannya; sebaliknya hasil pembukuan oleh murid-muridnya seperti Imam Hanafi. Apa yang mereka tulis dan apa yang mereka ungkap melalui kata-kata adalah hasil luahan daripada dada mereka sendiri. Ungkapan kata mereka adalah hasil keilmuan mereka sendiri termasuk apa-apa yang mereka riwayatkan – bukan hafal dan petik di sana sini; sebaliknya mereka telah amal dengan apa yang mereka tahu. Apa yang mereka tulis adalah kerana Allah semata-mata, bukan bertujuan supaya diikut orang dan bukan untuk tujuan mengkartunkan orang lain atau untuk memperlekeh orang-orang yang tidak setaraf dengannya.

Keempat, saya rasa kita perlu beringat bahawa bukan kita sahaja yang berhasrat menjadikan agama ini sebagai suatu yang murni; tidak lari dari asal usulnya. Bebas daripada tahyul, khurafat dan kartun. Namun, kita tidak pula boleh merasakan tulisan dan kata-kata kita sahaja yang paling murni, bersih daripada kelemahan, khoto’ dan khilaf; sehingga secara tersurat menuduh orang lain cuai mengagamakan sampah dan perkara tidak masuk akal (orang lain : khususnya ‘ulama’ yang selalunya disinonimkan sebagai orang biasa yang banyak kelemahan dan kesilapan, tidak berhati-hati dalam menukil hukum dan kisah; atau melakukan tipudaya untuk kepentingan diri dan mendapatkan pengaruh; kolot dan fanatik)

Kalau agama ini semata-mata berlandaskan kepada perkara yang diterima akal, rasional; maka para rasul dan para nabi (A.S) tidak pernah dituduh ‘gila’ oleh orang yang tidak beriman. Hatta perbuatan Nabi Noh (AS) membina kapal di daratanpun dikata gila begitu juga dengan kisah unta Nabi Syuib (AS). Apatah lagi perbuatan Nabi Khidir (AS) ketika bermusafir bersama Nabi Musa (AS) memenggal kepala seorang budak lelaki, sudah tentu mereka menganggap karut. Sefaham saya, rasional di dalam Islam tidaklah setaraf dengan ‘kajian empirikal’ dalam sosiologi Barat yang menolak wahyu dan karomah.

Kelima, perkara khawariqul adat memang tidak boleh diterima akal kerana ia berlaku di luar batas akal. Itu yang disebut sebagai di luar kebiasaan atau luar biasa. Ia berlaku sekali dan mungkin tidak berlaku lagi. Kata-kata penulis ‘..jika ini benar, bolehlah kita pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang’ secara tersiratnya adalah bertujuan mempersenda atau menghina. Bukan sahaja menghina sipencerita, malah menghina pengarang-pengarang kitab yang berkenaan. Naifnya, pengarang-pengarang itu sudah tidak boleh bangun untuk memberi hujahnya atau mempertahankan diri kecuali di Mahsar nanti. Kisah-kisah seperti riwayat Syeikh Ahmad Khuza’i yang telah dihukum pancung oleh Khalifah al-Wasiq, kepalanya telah digantung berhari-hari tetapi mulutnya masih boleh bertutur malah membaca al-Quran merupakan riwayat luar biasa dan ‘tidak masuk akal’. Begitu juga kisah seluar Imam Ahmad Ibnu Hanbal terangkat sendiri menutupi auratnya sewaktu jatuh terlondeh ketika sedang menjalani hukuman rotan adalah peristiwa luar biasa. Adakah berbaloi kalau kita kata contoh-contoh peristiwa itu dan lain-lain yang ditulis atau diceritakan oleh seseorang yang jasanya besar di dalam sejarah tamadun keilmuan Islam sebagai kartun? Penulisan buku dan periwayatan cerita adalah nikmat bid’ah yang sangat besar.

Keenam, pesan diri saya dan semua ikhwan, binalah kekuatan sendiri dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT bukan dengan menjatuhkan orang lain. Sebaik-baik kita adalah orang yang memberi munafaat kepada orang lain – berfaedah kepada orang kebanyakan atau kepada orang alim. Wallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan