kasih ibu bawa kepada Islam
ISLAM! Aku benci Islam... Kerana Islamlah keluarga kami porak peranda. Islamlah yang telah menyebabkan ibu bapa aku berpisah dan kehidupan kami sudah tidak seceria dan sesempurna dahulu lagi..."Peristiwa tragis yang menimpa keluarga bahagia gadis dari Kerala, India ini meninggalkan parut yang begitu dalam. Sekali gus menjadikan anak sulung daripada tiga adik-beradik itu anti-Islam.
Peliknya, jauh di sudut hati kecilnya, Sariya begitu terpesona acap kali mendengarkan laungan azan meskipun tidak mengetahui maksud di sebalik panggilan mengerjakan solat ke atas umat Islam itu.
Pun begitu, keterujaan itu pudar sedikit dan persepsi bertukar negatif rentetan peristiwa hitam yang melanda keluarganya. Malah sejak itu, Sariya bertekad untuk tidak sekali-kali bergelar Muslim.
Walau apa pun yang terjadi dalam kehidupannya, seperkara diakui Sariya yang tidak dapat mengubah pendiriannya ialah kekaguman terhadap ibunya.
"Walaupun ibu yang menjadi punca kepada segala hura-hara dalam keluarga kami kerana keputusannya untuk memeluk Islam. Lebih teruk lagi, kerana terlalu kecewa dan sedih, bapa mengambil keputusan untuk meninggalkan kami terkontang-kanting.
"Namun, aku tetap memandang tinggi, mengagumi malahan kasihku kepada ibu tidak pernah berbelah bahagi. Aku cuba untuk memahami dan bertanyakan kepada diri apakah yang menarik sangat tentang Islam sehingga ibu sanggup membelakangkan agama Kristian yang dihayati dan diamalkan sepenuh hati selama ini.
"Aku memberanikan diri dan pada suatu hari terpacul satu soalan yang mungkin dianggap kasar apabila seorang anak mempersoalkan keputusan insan mulia bergelar ibu. Ringkas sahaja jawapan ibu: "Bacalah Bible muka ke muka."
Akui Sariya, sejak itu pencariannya bermula. Pada masa itu usianya baru menjangkau ke 13 tahun. Namun, dalam usia semuda itu, Sariya telah dikurniakan dengan sifat matang dan faham apa yang dibacanya daripada Bible.
Jelas Sariya, dia mula menemui fakta-fakta yang tidak konsisten dan salah di dalamnya. Ada perkara yang disebutkan tetapi tidak langsung dipraktikkan oleh penganutnya. Ada perjanjian yang telah diingkari.
Malah dalam membuat kajian itu dia juga ada menemui dan mendapati kitab Bible ada menyebutkan perihal Rasulullah SAW, tetapi kerana terlalu keras hati dan degil, semua kebenaran itu dinafikan.
Walaupun ada keperluan mendesak untuk dia membuat perbandingan agama Kristian dengan agama lain tetapi kerana keegoan yang tinggi menyebabkan Islam tidak tersenarai sebagai salah satu agama yang mesti dijadikan perbandingan.
"Pada masa dan ketika itu juga, ibu telah mengirimkan sepucuk surat yang disertakan sekali terjemahan surah al-Ikhlas. Entah macam mana, saya begitu obses dengan surah ini dan ia menjadi rutin bacaan saya setiap hari.
"Akhirnya, keterujaan untuk mencari menyebabkan saya kembali kepada kitab suci umat Islam iaitu al-Quran.
Ia bagaikan satu kejutan hebat. Apabila saya mula membaca al-Quran. Inilah kebenaran sebenar yang saya cari selama ini. Kitab inilah yang telah menjawab segala kemusykilan yang wujud selama ini.
"Saat itu saya sedar inilah takdir saya. Ia mengambil masa dua tahun untuk saya mengkaji tentang Islam. Alhamdulillah...," kata Sariya yang pada ketika itu berusia 15 tahun.
Kemudiannya, Sariya ke Lapangan Terbang Bombay menunggu ketibaan ibunya, sekali gus mahu ibunya menjadi saksi kepada pengislamannya.
Si Ibu akhirnya membuat pengakuan yang dia sebenarnya sentiasa memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar Sariya diberikan hidayah Ilahi.
Kata Si ibu lagi, dia perlukan sokongan satu-satunya anak sulungnya itu. Alhamdulillah Allah SWT telah makbulkan doanya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan