Assalamu'alaikum,
sumber: http://sawanih.blogspot.com/
Wallahu a’lam.
Memandangkan Israk Mikraj yang semakin hampir, hamba lampirkan salah satu penjelasan berkaitan Israk Mikraj, yakni berkaitan Bukit Tursina. Bukit Tursina bukan sebarang bukit, salah satu bukit yang istimewa di bumi. Hamba belum sampai ke sini, tapi jika hamba sampai ke Mesir, ini adalah 'lokasi wajib bagi hamba'. Sepertimana Bukit ini menyimpan rahsia antara Musa Kalamullah dengan Tuhan semesta alam, ia juga menyimpan rahsia berkaitan Israk Mikraj dan juga Lailatul Qadar sebenarnya. Sepertimana kata penulis tulisan di bawah, jarang dibincangkan kaitan Bukit Tur Sina dengan peristiwa Israk Mikraj, tetapi ia sebenarnya dan sememangnya istimewa. Kekadang kita tidak dapat memahami mengapa Allah A.W.J menyembunyikan sesuatu itu kepada orang ramai tetapi tidak disembunyikan pada mereka yang khusus, QHAWASUL QAWWAS. wallahu'alam.
sumber: http://sawanih.blogspot.com/
Kelebihan Bukit Tur Sina
Bukit Tur Sina Menurut Perspektif Hadis
Bersempena kehadiran 27 Rejab, ingin saya sentuh tentang suatu sudut kecil yang mungkin jarang diberi perhatian, iaitu tentang bukit Tur Saina’ – juga disebut Tur Sina -. Bukit ini terletak di Madyan, yang dahulu adalah sebahagian dari daerah Syam, dan kini termasuk dalam Semenanjung Sinai, Mesir.
Bukit Tur Saina’ adalah antara bukit-bukit yang diberi keistimewaan dalam disiplin Islam, selain dari bukit Nur di Makkah dan bukit Uhud di Madinah. Bukit ini berketinggian 2240 meter.
Antara kelebihan bukit Tur Saina’ ialah Allah SWT telah bersumpah di dalam al-Quran dengannya dalam firman-Nya: (وَالطُّورِ (1)) ”Demi bukit Tur” (al-Tur: 1).
Bukit Tur Saina’ adalah tempat Nabi Musa AS bermunajat dan bercakap-cakap dengan Allah SWT (al-A’raf: 143).
Ada beberapa khabar yang diriwayatkan tentang kelebihannya. Ada diriwayatkan bahawa Dajjal tidak dapat memasuki empat buah masjid, iaitu Masjid al-Haram, Masjid Madinah, Masjid Tur Saina’ dan Masjid al-Aqsa (HR Nu’aim bin Hammad dalam al-Fitan, no. 1578). Dan di atas puncak bukit Tur Sina memang ada dibina sebuah masjid kecil di situ dan kekal sehingga kini. Namun, hadis yang sahih menyebut negeri yang tidak akan dapat dimasuki oleh Dajjal ialah Makkah dan Madinah sahaja (HR al-Bukhari dan Muslim).
Ada diriwayatkan bahawa Tur Saina’ adalah penghulu bagi segala bukit (HR al-Dailami, no. 3471), dan ia adalah salah satu daripada empat bukit dari bukit-bukit syurga (HR al-Tabarani dalam al-Awsat, no. 7669).
Juga diriwayatkan bahawa manusia di akhir zaman mempunyai tiga buah benteng, iaitu; benteng mereka dari peperangan besar ialah di Antakiyah, Dimasyq. Benteng mereka dari Dajjal ialah Baitul Maqdis, dan benteng mereka dari Ya’juj dan Ma’juj ialah Tur Saina’ (HR Abu Nu’aim dalam al-Hilyah dan Ibn ’Asakir dari al-Husain bin ’Ali RA)
Namun, hadis-hadis ini tidak dapat dipastikan kesabitannya. Mungkin satu-satunya hadis yang sabit tentang kelebihan Tur Saina’ ialah Nabi SAW pernah bersolat di sana. Dimaklumkan bahawa antara kelebihan sesuatu tempat itu ialah Nabi SAW pernah bersolat di situ. Tempat-tempat sedemikian adalah tempat-tempat yang harus diharapkan keberkatan darinya. Hadis tersebut adalah sebahagian daripada riwayat mengenai peristiwa Isra’ dan Mi’raj baginda SAW.
Matannya:
عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُتِيتُ بِدَابَّةٍ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ خَطْوُهَا عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهَا فَرَكِبْتُ وَمَعِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَسِرْتُ، فَقَالَ: انْزِلْ فَصَلِّ، فَفَعَلْتُ، فَقَالَ: أَتَدْرِي أَيْنَ صَلَّيْتَ؟ صَلَّيْتَ بِطَيْبَةَ وَإِلَيْهَا الْمُهَاجَرُ، ثُمَّ قَالَ: انْزِلْ فَصَلِّ، فَصَلَّيْتُ، فَقَالَ: أَتَدْرِي أَيْنَ صَلَّيْتَ؟ صَلَّيْتَ بِطُورِ سَيْنَاءَ حَيْثُ كَلَّمَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام، ثُمَّ قَالَ: انْزِلْ فَصَلِّ، فَنَزَلْتُ فَصَلَّيْتُ، فَقَالَ: أَتَدْرِي أَيْنَ صَلَّيْتَ؟ صَلَّيْتَ بِبَيْتِ لَحْمٍ حَيْثُ وُلِدَ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَام، ثُمَّ دَخَلْتُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ، فَجُمِعَ لِي الْأَنْبِيَاءُ عَلَيْهِمْ السَّلَام، فَقَدَّمَنِي جِبْرِيلُ حَتَّى أَمَمْتُهُمْ، ثُمَّ صُعِدَ بِي إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا... إلخ. [رواه الإمام النسائي في سننه (446) بسند صحيح، والإمام الطبراني في مسند الشاميين (341)، والإمام الطبري في تهذيب الآثار (2776)]
Terjemahan:
Sabda Rasulullah SAW: ”Aku diberikan seekor binatang yang tingginya lebih dari keldai dan kurang dari baghal. Langkahnya adalah sejauh mata memandang. Lalu aku menunggangnya dan bersamaku Jibril AS. Lantas aku pun bergerak. Setelah itu, Jibril berkata: Turun, dan bersolatlah. Maka aku pun melaksanakannya. Lalu dia berkata: Adakah kamu tahu di mana kamu bersolat? Kamu telah bersolat di Taybah, dan kepadanya nanti tempat berhijrah.
Kemudian setelah itu, Jibril berkata lagi: Turun, dan bersolatlah. Maka aku pun bersolat. Lalu dia berkata: Adakah kamu tahu di mana kamu bersolat? Kamu telah bersolat di Tur Saina’, di mana Allah ’azza wajalla telah berbicara dengan Nabi Musa AS.
Kemudian setelah itu, Jibril berkata lagi: Turun, dan bersolatlah. Maka aku pun bersolat. Lalu dia berkata: Adakah kamu tahu di mana kamu bersolat? Kamu telah bersolat di Bait Lahm, di mana tempat Nabi ’Isa AS dilahirkan.
Kemudian aku memasuki Baitul Maqdis. Lalu dihimpunkan untukku para anbiya’ (nabi-nabi) AS. Lantas Jibril pun mengedepankanku sehingga aku mengimamkan mereka bersolat. Kemudian aku diangkatkan ke langit dunia...”.
Apa yang mahu difokuskan ialah titik perjalanan Nabi SAW dari Makkah ke Baitul Maqdis, di mana baginda SAW telah singgah di tiga perhentian. Antaranya ialah di bukit Tur Saina’ serta bersolat di situ. Perjalanan yang menunggang binatang supersonik ini bukanlah satu perjalanan yang berbentuk rohani atau ghaib. Ini kerana Isra’ adalah perjalanan merentas alam nyata, dan Mi’raj barulah perjalanan merentas alam ghaib. Maka semua yang dilalui dan dilihat oleh Nabi SAW adalah realiti dan benar belaka, bukannya metafora ataupun majazi.
Justeru, sesiapa yang berpeluang untuk mendaki ke sana, maka janganlah melepaskan peluang berkenaan. Namun, perjalanannya bukanlah perjalanan yang selesa. Dari kaki bukit menuju ke puncaknya pula mengambil masa sekitar 2-3 jam.
Barangkali tempat ini jarang disebut oleh orang-orang yang menceritakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj kerana ianya tidak direkod oleh riwayat al-Bukhari dan Muslim, atau lain-lain. Ia hanya disebut dalam riwayat al-Nasa’i, al-Tabari dan al-Tabarani dengan taraf yang sahih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan