TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Khamis, 16 Jun 2011

Makam Tok Selehor, Kok Pasir, Tumpat, Kelantan

Assalamu'alaikum,

Selepas selesai urusan di Pengkalan Kubur, kami ke Pantai Sri Tujuh...boleh camping di sini dan terdapat beberapa khemah di sini...Kemudian kami ke bandar/pekan Tumpat. Kami memang tak pernah ke bandar/pekan Tumpat ni...ehmmm, tak besaq mana pun, nak cari kedai makan pun susah. Pusing-pusing jumpa satu kedai makan di tepi jalan jual nasi ayam. Tengok ramai orang makan. Tu petanda bahawa makanannya mungkin sedap. Kami pun berhenti dan minta nasi ayam 4 pinggan, cukuplah tu utk 2 dewasa dan 4 anak. Memang boleh tahan nasi ayam dia, maksudnya sedap jugaklah. Selepas makan, kami mencari Kampung Kok Pasir. Nasib baik GPS hamba boleh cari kampung Kok Pasir. Kemudian cari Makam Tok Selehor a.k.a. Tok Selehong. Alhamdulillah, tak susah mencarinya dah berjumpa.


Kami sampai ke Makam Tok Selehor (Abdur Rahman bin Utsman bin Senik) kira-kira jam 325 petang, hari Sabtu, 4 Jun 2011. Hamba pun selesaikan urusan hamba di situ. Kemudian, ketiga-tiga anak lelaki hamba datang ke Makam Tok Selehor, nak ambil gambar. Ini merupakan suatu yang 'istimewa' bagi hamba sebab biasanya hanya seorang atau dua sahaja yang datang sekejap nak tengok 'Pak dia buat apa'. Jadi, ambillah gambar sikit dan kemudian hamba ajar anak-anak ini tentang doa ketika ziarah kubur/makam. Moga2 ia dimakhbulkan Allah Taala.

Kemudian, hamba masuk ke dalam Masjid Tok Selehor (asalnya madrasah yang dinaikkan taraf menjadi masjid) dan bersolat di situ. Selesai kerja apabila masuk waktu Asar di mana masjid pun dah mula ramai orang. Kemudian hamba sekeluarga ke Suluk Tok Selehor dengan anak isteri. Tapi berkunci, ehmm boleh cari pewarisnya tapi badan hamba dah nak habis bateri. Maklumlah semalam dalam perjalanan 12 jam 30 minit, tidur 3 jam saja dan sambung dengan perjalanan hari ini lagi. Sepatutnya hamba 'berehat' dalam kereta sewaktu di Pengkalan Kubur, tapi sebab parkir di luar kawasan, jadi kena ikut anak-isteri. Fikir punya fikir, hamba kata kita pergi cari tempat bermalamlah di jalan menghala PCB.  Jadinya, tak jadilah nak 'masuk ke suluk Tok Selehor'. Hamba beritahu anak-anak lelaki, nanti bila dah besar, kita datang waktu malam, masing-masing kena ambil syif seorang 3 jam dalam 'kubur' tu...:-)...

Kami pun keluar dari Tumpat, menghala ke Kota Bharu dan ke arah Pantai Cahaya Bulan. Nak tukar angin, kami cari bilik sewa yang lain pulak. Alhamdulillah, dalam jam 6 petang, walaupun hari Sabtu dan cuti sekolah, kami dapat sebuah bilk sewa berhawa dingin utk 4 katil dengan harga RM50..Bolehlah tu...

Kemudian hamba berSMS dengan Tuan WKA, cadangnya nak ke Majlis Ilmu Tariqat Ahmadiah Idrissiah di Surau Hj Awang Alim (dah nampak lorongnya semasa menghala ke PCB tadi), dengarnya tiga orang Mursyid Ahmadiah  akan hadir. Memandangkan bateri dah tahap kritikal, hamba tak jadi ke situ. Rancangan asal nak 'turut serta' dalam Majlis Tariqat Ahmadiah pun dibatalkan. Rasa rugi pun ada tapi kalau pergi dan dok jadi 'Burung Belatuk' pun buat apa...Akhirnya bagitau Tuan WKA, tak jadilah...  Malam pun tak ke mana-mana, caj bateri bagi penuh...
Ada 3 makam semuanya di sini

Anda rasa yang mana?

Masih meneka?

Ni Masjid Tok Selehor, hamba tak sempat selesaikan satu urusan lagi sebab bateri dah nak habis...

Tak susah mencari makamnya kalau dah sampai di masjidnya

Dari jauh pun dah boleh agak di mana makamnya

'Kubur' untuk bersuluk/khalwat yang dibina oleh Tok Selehor



TOK SELEHOR KELANTANI

Berdakwah lewat puisi
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TOK Selehor atau Tok Selehong, nama lengkapnya ialah Abdur Rahman bin Utsman bin Senik. Ulama yang berasal dari Kelantan ini lahir di Kampung Lubuk Jong, tahun 1289 H/1872 M, wafat malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353 H/20 Februari 1935 M. Beliau adalah sahabat Tok Kenali, yang juga berasal dari Kelantan dan lebih tua sedikit daripada Tok Selehor. Tok Kenali lahir pada tahun 1287 H/1871 M, wafat pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Sahabatnya pula ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, tahun 1293 H/1876 M, wafat di Mekah al-Mukarramah, hari Rabu, 6 Rabiulawal 1376 H/10 Oktober 1956 M), Utsman bin Haji Muhammad bin Haji Abdul Wahhab atau Tok Bacok (lahir tahun 1277 H/1860 M, wafat pada malam Ahad, 15 Zulkaedah 1372 H/27 Julai 1953 M), dan ramai lagi yang belum dibicarakan dalam artikel ini.

Tok Selehor memulai jihad keilmuannya belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik, Sungai Pinang Kelantan. Kemudian memondok di Patani selama tujuh tahun, belajar kepada Tuan Guru Haji Abdur Rasyid di Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdulah di Tok Jum. Tok Selehor belajar di Mekah selama 18 tahun. Di antara gurunya ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani wafat, beliau masih tetap belajar kepada ayah saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), mendalami ilmu-ilmu alat Arabiyah, ilmu fikah Mazhab Syafie, dan ilmu qiraat yang berbagai-bagai. Tok Selehor mulai membuka pengajian pondok tahun 1340 H/1921 M.

TOK SELEHOR DAN KITAB HIKAM

Salah sebuah kitab ilmu tasawuf yang diajar oleh Tok Selehor ialah Kitab al-Hikam. Sebelum membicarakan keterlibatan Tok Selehor dalam pengajaran Kitab al-Hikam karya Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari yang sangat terkenal itu, saya dulukan cerita tentang Kitab al-Hikam terlebih dulu, bahawa terdapat dua buah Kitab al- Hikam versi bahasa Melayu, yang sebuah dalam bentuk matan dan yang sebuah lagi dalam bentuk syarah. Penerbitan awal kedua-dua versi dalam bahasa Melayu itu ditashih dan diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Kitab al-Hikam yang dalam bahasa Arab pula terdapat berbagai-bagai syarah. Syeikh Ahmad al-Fathani dipercayai telah mengajar kitab tersebut kepada murid-muridnya, sama ada di rumahnya di Mekah mahu pun di Masjid al-Haram. Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar wa ar-Rayahin, istilah `hikam', beliau takrifkan sebagai jamak daripada perkataan `hikmah', yakni `perkataan yang diteguhkan'. Ada pun istilah hikmah/hikmat mengandungi pengertian yang berbagai-bagai, di antaranya ialah: `pandai menyurat/menulis, ilmu yang dapat melahirkan sesuatu yang luar biasa/menyalahi adat kebiasaan, kata-kata nasihat yang mantap, dan lain-lain lagi. Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa perkataan `hikmah', ditafsir oleh Ibnu Abbas r.a. yang terdapat dalam al-Quran ialah, ``dengan belajar halal dan haram''. Yang lain berpendapat, ``ditinjau dari segi lughah ialah ilmu serta amal''. Pendapat yang lain, ``hikmah itu diambil faedah daripadanya, iaitu yang sebenar pada diri pekerjaan dengan sekira-kira kuasa manusia''. Pendapat yang lain, ``tiap-tiap kalam yang muafakat akan hak, maka iaitu hikmah''.

Sanad

Jika kita jejak sanad pengajian Kitab al-Hikam mulai pengarangnya, iaitu Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari hingga turun sampai kepada Tok Selehor, ialah Tok Selehor merupakan yang ke-17. Untuk lebih jelasnya dapat diperhatikan sanad sebagai berikut:

1. Tok Selehor, Kelantan, belajar kepada (2)
2. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, belajar kepada (3)
3. Saiyid Abi Bakri Syatha, belajar kepada (4)
4. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada(5)
5. Syeikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada (6)
6. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, beliau telah menulis syarah kitab yang dibicarakan ini. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi belajar kepada (7)
7. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada (8)
8. Syeikh `Id an-Namrisi, belajar kepada (9)
9. Syeikh `Abdullah bin Salim al-Bashri, belajar kepada (10)
10. Syeikh Muhammad bin `Ala' al-Babli, belajar kepada (11)
11. Syeikh Abi an-Naja Salim bin Ahmad as-Sanhuri, belajar kepada (12)
12. Saiyid an-Naju Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada (13)
13. Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari, belajar kepada (14)
14. Saiyid al-'Izzu Abdur Rahim bin al-Farrat, belajar kepada (15)
15. Syeikh at-Taju `Abdul Wahhab bin `Ali bin `Abdul Kafi, belajar kepada ayahnya (16)
16. Syeikh at-Taqiy `Ali bin `Abdul Kafi as-Subki, belajar kepada (17)
17. Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin `Abdul Karim bin Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari atau disingkat namanya dengan Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari, iaitu pengarang Kitab al-Hikam yang sedang dibicarakan ini.

Ulama yang aktif beramal dengan Thariqat asy-Syaziliyah ini menghasilkan beberapa buah kitab, selain Kitab al-Hikam ialah Tajul `Arus fil Washaya wal Mawa'izh, Lathaiful Minan fi Manaqib al-Mursi wa Abi al-Hasan, dan lain-lain. Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari, ulama besar sufi yang sangat besar pengaruhnya di seluruh dunia Islam, termasuk dunia Melayu, tersebut wafat di Kaherah, tahun 709 H/1309 M.

Ustaz Ismail Awang, dalam majalah Pengasuh menyebut: ``Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibnu Ataillah merupakan kitab paling suka diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum`ah dan sebagainya.'' Oleh sebab Tok Selehor adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani, maka bererti sanad Tok Selehor dan murid-murid beliau dalam pengajian Kitab al-Hikam dan kitab-kitab lain karangan Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari dapat disambung seperti sanad yang telah disebutkan di atas.

Tasawuf

Kitab pengetahuan tasawuf selain Kitab al-Hikam secara umum juga dipelajari di seluruh dunia Melayu, termasuk dalam pondok yang diasaskan oleh Tok Selehor. Keseluruhan karangan Imam al-Ghazali, dalam hal ini yang paling ditekankan dan dimantapkan di antaranya ialah Minhajul Abidin dan Ihya' Ulumid Din. Sanad yang sampai kepada Imam al-Ghazali mulai nombor 1 sampai nombor 7 (Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni) pada sanad Kitab al- Hikam adalah sama, tetapi untuk sampai kepada Imam al-Ghazali adalah belajar kepada (8)

8. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Budairi, belajar kepada (9)
9. Syeikh Mullah Ibrahim al-Kuarni, belajar kepada (10)
10. Syeikh Muhammad Syarif, belajar kepada (11)
11. Syeikh Abi Ishaq at-Tanukhi, belajar kepada (13)
13. At-Taqiy Sulaiman bin Hamzah, belajar kepada (14)
14. Syeikh `Umar bin Karam ad-Dainuri, belajar kepada (15)
15. Syeikh al-Hafiz Abi al-Faraj `Abdul Khaliq bin Ahmad bin Yusuf al-Baghdadi, belajar kepada (16)
16. Al-Imam Hujjah al-Islam Abi Hamid bin Muhammad bin al-Ghazali yang disingkatkan panggilan dengan Imam al-Ghazali saja. Sebagaimana yang tertulis dalam sanad yang tersebut di atas jelaslah bahawa ulama dunia Melayu yang diriwayatkan ini adalah sanadnya bersambung sampai kepada pengarang Minhajul `Abidin dan Ihya' Ulumid Din, iaitu Imam al-Ghazali yang sangat masyhur namanya itu.

BERZANJI DAN BURDAH

Ustaz Ismail Awang menulis, ``Tok Selehor pernah mengadakan Maulid an-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid Nabi anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasulullah s.a.w. yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.''

Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama, oleh itu yang dilakukan oleh Tok Selehor seperti yang tercatat di atas adalah tidak dapat dimasukkan dalam klasifikasi bidaah dhalalah seperti yang pernah dilemparkan oleh hanya sekelompok kecil orang. Kitab Berzanji yang disyarah dalam bahasa Arab banyak dilakukan oleh ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi pernah dilakukan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain.

Lima

Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin, yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul Nazham Nuril Anam, diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46.

Kitab Berzanji dapat dikategorikan dalam bidang sastera Arab, demikian juga Burdah Bushiri. Burdah Bushiri pernah diterjemah oleh Tok Kenali, sahabat Tok Selehor, yang diberi judul Risalatud Durril Mantsur, selesai beliau tulis pada bulan Jumadilakhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Meah, Jumadilakhir 1310 H. Selain itu juga oleh guru kedua-duanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan yang diberi judul Risalah Majma' al-Qashaid wa al-'Awaid yang selesai ditulis pada bulan Zulkaedah 1320 H/ Februari 1903 M.


TOK SELEHOR 

(1871-1935)   
TOK SELEHOR adalah seorang ulama� yang telah memasyhurkan nama sebuah kampung pedalaman di jajahan Tumpat kerana ilmu pengetahuan yang disebarkan kepada para pelajar yang membina pondok-pondok di Kampung Selehor  (Kini kampung ini lebih dikenali dengan nama Kampung Kok Pasir).  Murid Tok Selehor bukan sahaja dikalangan penduduk tempatan tetapi juga mereka yang datang dari Patani, Kemboja, Pelembang, Jawa, Siak dan seluruh Tanah Melayu.  Beliaulah ulama semasa dengan Tok Kenali bahkan dikenali sebagai  ulamak' lima serangkai yang paling masyhur di kalangan rakyat Kelantan.  Mereka ialah Tok Selehor (1871-1935)  dari Tumpat, Tok Kenali (1868-1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (1860-1953) dari Bachok, Tok Jelapang(1861-1934 dari Pasir Mas dan Tok Kemuning(1885-1934) dari Machang. 

Pengenalan   
Nama penuhnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik.  Dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, (di kawasan pondok Selehor)  di pinggir Sungai Selehor oleh ibunya Mek Wi binti Muhammad Amin pada tahun 1871*.  Beliau diasuh dan dibesarkan di kampung itu dengan mandian air sungai Selehor yang tenang dan masam kelat.(Sedikit berasid) 
            
Pada zaman itu, di Kelantan pengajian al-Quran dipandang sesuatu perkara yang amat mustahak.  Muda-mudi yang tidak menghabiskan al-Quran 30 juzuk itu dipandang dengan suatu pandangan hina dan sukar untuk mendapat pasangan.  Bagi Tok Selehor beliau beruntung besar kerana bapanya seorang guru al-Quran yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran dengan bapanya sendiri. 

Belajar di Patani  

Ayah Tok Selehor , Haji Uthman bin Senik mempunyai cita-cita besar supaya anaknya menjadi seorang ulama' kerana pada pandangannya anak yang soleh itu akan dapat memberi faedah yang besar kepadanya, sama ada ketika masih hidup apatah lagi setelah dia meninggal dunia.  Kerana hasratnya itulah beliau telah menghantar anaknya belajar di Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malek.  Tidak lama di sini, beliau menyambung pelajarannya ke Patani.  

Di sana beliau belajar daripada Tuan Guru Haji Abdul Rashid, Kuala Bekah.  Tetapi oleh kerana Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thai sebab dibimbangkan pengaruhnya yang besar itu menimbulkan masalah politik di Selatan Thai.  Beliau  menyambung pelajarannya pula dengan Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Jong.  Tok Selehor belajar di Patani selama kira-kira tujuh tahun. Demikian dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Kampung Kok Keli (Kampung berjiranan di sebelah Utara ) yang menjadi murid Tok Selehor selama lebih lapan belas tahun.
             
Semasa belajar di Patani beliau pernah berulang-alik balik ke Kelantan dengan berjalan kaki.  Sepanjang perjalanannya beliau tidak gentar kepada musuh-musuh dan penyamun yang berada di Bukit Tanjung dan beberapa tempat lain kerana beliau pandai bersilat dan pandai bermain keris.

Minat Dalam Sastera  
Minatnya kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok Selehor menjadi cenderung membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya.  Beliau pandai pula membaca dengan lagu-lagunya yang merdu.  Tambahan pula suara beliau sangat merdu serta dapat menarik minat umum untuk mendengar  kemerduan irama suaranya ketika bersyair.   Tok Selehor bukan sekadar pandai mendendangkan syair tetapi juga pandai mengarang syair.  Kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu tiada sesiapa yang dapat menandinginya.  Oleh kerana kebolehannya yang agak luar biasa itu, namanya menjadi masyhur dan beliau pernah diminta mengarang syair romantis.  Lantaran syairnya beberapa orang isteri yang dibencikan suami  kembali berdamai setelah menerima surat syair yang ditulis oleh Tok Selehor.  Antara syair yang sangat berpengaruh yang masih diingati oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Che Yim dan Che Abdullah di Kampung Kok Pasir, Tumpat. (Kini Selehor adalah sebahagian daripada Kampung Kok Pasir). 

Kahwin dan ke Mekah  

Ketika masih belajar di Patani lagi beliau berkahwin dengan wanita pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dollah, tetapi  perkahwinan  itu langsung  tidak menjejaskan pelajarannya malah tambah mendorong lagi beliau belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.  Setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mohamad, Kalsum dan Abu Bakar beliau pulang ke Kelantan.  Sekembalinya ke Kelantan dari Patani beliau menyambung pelajarannya di Mekah selama kira-kira lapan belas tahun.  Menurut Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Hussin (Haji Lah Hutan Pasir), bahawa Tok Selehor sempat belajar di Mekah dengan Pak Cik Daud, mertua kepada Pak Da Ail, seorang guru bangsa Melayu yang masyhur di Mekah. Disebabkan catatan-catatan dan penerangan yang ditulis oleh Tok Selehor menarik perhatian Tok Kenali maka Tok Kenali  telah memimjam kitab Musalli untuk mengajar murid-muridnya.

Ketika berada di Mekah Tok Selehor telah berkahwin dengan Hajjah Aishah binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu.  Tidak lama setelah pulang ke Kelantan mereka berpisah.  Kemudian Tok Selehor berkahwin dengan Hajjah Mek binti Mat Saman dari Lambor Wakaf Bharu yang termasyhur dengan kecantikannya pada ketika itu.  Hasil daripada perkahwinannya dengan Hajjah Mek, Tok Selehor telah dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Hajjah Khadijah isteri kepada Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, (ibu dan  ayah kepada Dato' Dusuki Hj. Ahmad)  

Manakala anak perempuan keduanya bernama Hajjah Maimunah.  Tok Selehor berkahwin lagi dengan Che Bidah binti Hj. Umar dari Penambang Kota Bharu.  Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti Che Man  dan hasil daripada perkahwinan ini beliau dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Aisyah, isteri kepada Tuan Guru Haji Awang Jal.  

Membuka Pondok  

Setelah kembali dari Mekah, Tok Selehor membuka pondoknya di tepi Sungai Selehor, dipercayai pada tahun 1340H.  Beberapa tahun saja selepas penubuhan, pondok Tok Selehor berkembang dengan pesat sekali dengan penyertaan daripada pelajar dari dalam dan luar negeri.  Pelajar-pelajar pondok Tok Selehor bukan saja  terdiri daripada anak tempatan , tetapi juga mereka yang datangnya dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya.  Bagi keperluan air bersih yang mencukupi, Tok Selehor  telah mengali sebuah telaga besar pada tahun 1343H.   Sehingga kini ( November 1999) telaga itu masih wujud dengan disesuaikan oleh waris beliau yang tinggal di Selehor.  

Mengajar  

Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi sangat diminatinya ialah bidang tasawwuf.  Kitab Hikam oleh Ibn Ataillah merupakan kitab yang paling disukai diajarkan kepada  muridnya dan orang ramai. Mungkin Tok Selehor mendapati kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah serta menjauhi dari sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, ria, sum'ah dan sebagainya.  

Tok Selehor menyampaikan ajarannya begitu dimesrai oleh para pendengarnya.  Pengajarannya tidak menjemukan walaupun disampaikan berulang-ulang kali. Menurut Tuan Guru Haji Hassan Ahmad: " Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih manis dan mesra yang dapat menandingi pengajaran Tok Selehor." 
          
Ketika membicarakan tentang dosa maka Tok Selehor menyampaikan dengan begitu berkesan sekali sehinggakan ada di kalangan pendengarnya yang menanggis kerana takut dan insaf dengan ajaran-ajaran itu.  Pada setiap hari Selasa Tok Selehor mengajar untuk mesyarakat umum dan pada hari itu berduyun-duyunlah manusia datang ke pondok selehor dengan berjalan kaki, walaupun berpuluh-puluh batu jauhnya. Disebabkan sukakan pengajaran Tok Selehor mereka tetap datang walaupun terpaksa merempuhi hujan dan panas terik. 
            
Kebanyakan orang yang datang mendengar Tok Selehor mengajar ialah dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat, Bunohan, Telaga Bata, Geting dan sebagainya sehingga Pondok Selehor menjadi seakan pekan kecil atau pasar minggu.  Demikian dijelaskan oleh Pak Su Ismail bin Haji Abdul Rahman, bekas imam Tua Mukim Delima, Wakaf Bharu, yang juga seorang murid Tok Selehor.  

Selain daripada mengajar di Selehor, Tok Selehor juga pernah mengajar di Wakaf Bharu, dan salah satu tempat beliau mengajar  menjadi tapak kepada Masjid Wakaf Bharu.  Di Wakaf Bharu tidak kurang juga  ramai pendengar yang datang untuk mendengar ajaran Tok Selehor.  

Tok Selehor juga  suka membaca kisah Isra dan Mi'raj.  Ketika beliau membaca kisah itu terasa benarlah kemesraan orang ramai terhadap nabi Muhammad s.a.w. dan ada orang terpaksa memanjat batang kelapa untuk melihat Tok Selehor yang sedang mambaca Isra' dan Mi'raj itu.  Kebanyakan orang yang datang mendengar pengajaran Tok Selehor telah berubah dari tidak pernah sembahayang kepada sembahayang, dari berperangai jahat kepada berperangai baik dari seorang yang nakal kepada seorang yang insaf.  Sehingga kampung Selehor yang dulunya banyak amalan pemujaan hantu-hantu dan lain-lain amalan khurafat hapus sama sekali.  

Perayaan Maulid al-Nabi  

Tok selehor pernah mengadakan perayaan maulid al-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan seperti itu.  Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran diadakan. Pernah beribu-ribu orang datang ke majlis perayaan maulid anjurannya.  Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar di zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada nabi yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam.  Dengan  cara ini anak-anak pondok lebih cepat bermera dengan ajaran Nabi dari hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja. 

Kegemarannya  

Tok Selehor sebagai seorang peminat seni iaitu beliau begitu gemar kepada perkara yang cantik-cantik.  Beliau sukakan kuda yang cantik, biri-biri jantan yang cantik, dan suka kepada ayam jantan laklung (berkokok dengan suara yang merdu dan panjang). Selain itu hobinya  ialah suka memburu rusa dan memukat ikan.  Beliau pernah keluar memukat ikan di kuala Tumpat dan sebagainya.  Istimewanya ikan-ikan yang diperolehi itu dibahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan kepada anak-anak pondoknya.  

Bersuluk  

Tok Selehor adalah seorang yang Zahid dan Wara'.  Beliau bimbang hatinya menjadi angkuh kerana terlalu dipuja dan takut menjadi ria.  Oleh itu beliau mengadakan suatu lubang di atas Kubur Selehor untuk tempat sembahayang dan tempat berkhalwat.  Lubang yang dikenali sebagai suluk ini masih kekal hingga ke hari ini.  Hj. Che Mamat Sharif menerangkan bahawa Tok Selehor berkata kepadanya tujuan dibuat lubang di dalam tanah itu supaya hati menjadi kecut dan sentiasa ingat kepada mati. 

Inilah sebenarnya suatu langkah untuk benar-benar insaf dan mendekatkan diri kepada mati ialah  dengan berkhalwat di dalam lubang terutama di atas kubur  dan kerana di sana akan dirasai bagaimana hidup seorang diri di dalam tanah itu dan akan lahirlah perasaan ingin membuat bekal untuk menghadapi mati supaya tidak menyesal kemudiaan.   

Kawan Baik Tok Kenali  

Tok Selehor  adalah kawan baik Tok kenali.  Sebab itu perhubungan mereka sering terjalin dan pernah mereka mengadakan perbincangan-perbincangan dalam usaha mengembangkan Islam.  Tok Kenali mengelarnya sebagai "Penyair Kita".  Mengikut keterangan Tuan Guru Encik Ismail Ali (pak Su Wail) Kampung Danggar, bahawa beliau bersama-sama melawat kematian Tok kenali dan pergi ke kubur bersama-sama Tok Selehor pada tahun 1933M.  

Tok  Selehor telah menyuruh beliau mengamalkan wirid wali tujuh dan supaya sentiasa membaca ayat Al-Kursi.  Encik Ismail yang sempat belajar selama 15 tahun dengan Tok Selehor itu menjelaskan bahawa Tok Selehor seorang Zahid, wara, dan tawadhu; tidak banyak bercakap sia-sia dan suka beribadat.  

Berburu di Tempat Puaka  

Pada suatu hari pada tahun 1935M, Tok Selehor pergi memburu rusa sebagaimana kegemarannya, biasanya di Selatan Thai. Tetapi pada kali ini dia pergi berburu dekat Gual Periuk suatu tempat yang dianggap berpuaka.  Tok Selehor tidak takut sedikitpun.  Semasa berburu beliau mengunakan pipit pemanggil rusa.  Setelah ditiup pipit itu maka rusa pun datang dan ketika itulah  rusa dapat ditembak dan disembelih.  Sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa.  Demikian dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Husain dan Encik Mamat bin Senik, Selehor. 
 Yu Besar di Pengkalannya   

            Selepas tiga hari pulang dari memburu rusa, seekor ikan yu yang besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor.  Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, kemudian keluar semula ke  laut . Dua hari kemudian  datang kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah maksudnya.  

            Beberapa hari selepas itu Tok Selehor ditimpa sakit kepala. Walaupun diubati tidak juga sembuh.  Selepas lapan hari, iaitu pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935 jam 8.30 malam dia pun meninggal dunia dalam usia 64 tahun.    (Pengasuh bil 459 ). 
 
 ******* 
TULISAN      :          USTAZ  ISMAIL  AWANG (Allahyarham)  -  Sila Rujuk Link  Tokoh
PENYUNTING:       DATO' HAJI DUSUKI AHMAD - Sila  Rujuk Link Tokoh




Merupakan tempat beribadah atau pertapaan seorang Wali yang digelar Tok Selehor atau nama sebenarnya Abd. Rahman bin Othman. Lokasi perletakannya adalah di Tanah Perkuburan Kok Pasir yang dibuat seperti lubang kubur dimana saiznya hampir sama dengan kubur yang dibina untuk beribadat kepada Allah S.W.T.

Pondok ini didirikan pada penghujung abad ke 19. Beliau juga telah mendirikan sebuah madrasah untuk mengajar murid-muridnya. Tok Selehor seorang yang zuhud dan warak, beliau bimbang hatinya menjadi angkuh dan riak. Oleh itu, beliau membuat suatu lubang khas di antara perkuburan Kampung Selehor (berhampiran madrasah) untuk tempat "SULUK" agar beliau sentiasa ingatkan mati. Tempat tersebut masih kekal hingga ke hari ini.

Kini madrasah yang pernah beliau jadikan tempat mengajar ini telah dinaikkan taraf menjadi masjid dan kini dikenali dengan nama Masjid Tok Selehor.



Abdul Rahman bin Haji Uthman (1871 - 1935; nama penuhnya Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik) atau lebih dikenali sebagai Tok Solehor / Tok Selehong merupakan salah seorang tokoh ulamak Melayu yang terkemuka kerana mengembangkan syi'ar Islam di Nusantara.

Haji Abdul Rahman bin Haji Osman juga dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Syair, atau Tok Syair.
Beliau merupakan tokoh guru pondok yang paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok Kemuning.

Seorang daripada guru awalnya tentulah Haji Abdul Malek Sungai Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kamudian menyambung belajar di pondok Cha-Ok, Patani berguru dengan Tok Cha-Ok @ Haji Abdullah bin Mohd Akib. Akhir sekali beliau pergi mendalami pengajian agamanya di kota Makkah - berguru dengan Pak Chik Wan Daud Patani, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Shafie Kedah dan ramai lagi.

Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Makkah, beliau pulang ke tanah air pada tahun 1921 lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di pinggir sungai Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah ihsannuddin atau tasawuf dengan Syarh Hikam Ibn Ata'Allah sebagi teks utama. Tok Seleong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubung khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran pondok Selehong yang dijadikan semacam kamar khusus tempat belau beribadat dan bersuluk.

Hobi tok guru yang pandai bersilat ini pun agak aneh. Beliau bukan sahaja sering keluar memukat ikan dan berburu rusa, malahan meminati haiwan yang cantik-cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayan jantan laklung persis orang pelihara ayam serama zaman kini. Bapa mertua kepada Tuan-tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga Repek dan Haji Awang. Beliau kembali ke rahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20 Fabruari 1935 dan dikebumikan di Kubur Selehong, Tumpat. Kegiatan dakwah Islamiahnya diteruskan oleh murid-muridnya hingga ke hari ini.

Antara yang mashur termasuklah Pak Cu Che Abbas Kelong, Haji Yaakub Kelong, Haji Pak Man Berangan, Haji Che Mamat Kok Keli, Haji Awang Lambor, Haji Yaakub Wakaf Bharu, Haji Abdul Rahman Dalam Pator, Haji Abdul Rahman Tendong, Haji Abdul Rahman Pohon Tanjong, Hj. Abdullah Tal Tujoh, Hj Che Mat Padang Upeh, Hj. Abdul Aziz Kg. Tujoh, Hj. Mat Bola Geting, Hj. Saleh Pedada Bunohan, Pak Su Wil Kg. Dangar, Hj. Abdul Kadir Gaal, Yb Hj. Muhammad Batu Hitam dan Hj. Wan Abdul Latif Jerteh (Terengganu).

Rujukan

Pautan luar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan