KEPENTINGAN TAREKAT DALAM PENINGKATAN ILMU DAN AMAL
Oleh: TUAN GURU DR HJ JAHID HJ SIDEK, Mantan Profesor Madya Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM)
Istilah Tarekat (Tariqah) digunakan dalam tasawwuf dengan berbagai makna dan konsep mengikut berlainan aspek yang dihubungkan dengannya. Bagaimanapun tarekat yang dimaksudkan dalam kertas kerja ini adalah yang dikonsepkan oleh Rasulullah (s. ’a. w.) dalam sabda baginda sebagai jawapan terhadap pertanyaan ‘Ali bin Abi Talib (r.’a). ‘Ali bertanya:
يا رسول الله دلني على اقرب الطرق إلى الله وأسهلها على عباده وأفضلها عنده تعالى
Maksudnya :
“Ya Rasulullah tunjukkan atau ajarkan kepadaku satu tarekat dari berbagai tarekat yang paling dekat (untuk sampai kepada keredaan Allah dan mengenal-Nya) dan yang paling mudah (untuk diamalkan) oleh para hamba Allah dan paling afdal atau baik di sisi Allah”
Rasulullah (s. ‘a. w.) memberikan jawapan dengan sabdanya:
يا على عليك بمداومة ذكر الله سرا وجهرا
Maksud:
“Ya ‘Ali (jika engkau mahu tarekat yang engkau maksudkan itu) maka wajiblah engkau sentiasa kekal berdhikru-‘lLah secara sirr (dalam hati, tanpa suara) dan secara kuat (bersuara).”
Akhirnya ‘Ali (r. ‘a.) diajarkan zikir tahlil lisan لا اله الا الله oleh baginda.[1]
Konsep tarekat yang disebutkan dalam sabda Rasulullah (s.a.w) itulah yang menjadi amalan khusus bagi golongan ulul albab seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, ayat 190-191 surah Al ‘Imran:
[2]
Maksudnya :
“Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan pertukaran (waktu) malam dan siang adalah sebagai ayat-ayat (tanda-tanda yang membuktikan keagungan dan kesempurnaan Allah) bagi golongan orang ulul-albab. Iaitu orang-orang yang (sentiasa) berdhikru-‘lLah (dalam apa juga keadaan), ketika berdiri, duduk dan berbaring, dan (sambil mereka berdhikru-‘lLah itu) mereka tafakkurkan (ayat-ayat Allah) yang ada di langit dan bumi itu. (Mereka berkata, setelah lama mereka berdhikru-‘lLah dan tafakkur itu) : Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan (seluruh langit dan bumi ini) sia-sia (tapi penuh hikmah) Mahasuci Engkau, maka peliharalah diri kami dari seksa neraka.”
Tarekat yang dimaksudkan di atas dianggap menjadi salah satu asas tasawwuf yang sangat penting Sheikh Abu Qasim al-Junaydi al-Baghdadi (w. 297H) pernah menegaskan:
ذكر الله ركن قوى في هذا العلم بل لا يصل أحد إلى الله إلا بدوام الذكر
Maksudnya :
“Dhikru-‘lLah adalah rukun atau asas yang penting dalam ilmu ini (tasawwuf). Bahkan seseorang tidak akan sampai kepada (mengenal dan keredhaan) Allah kecuali dengan kekal berdhikru-‘lLah.” [3]
Nabi (s.’a.w.) sentiasa kekal berdhikru-‘lLah sepanjang siang dan malam, kerana amalan tarekat diwajibkan ke atas diri baginda. Allah berfirman:
[4]
Maksudnya :
“Dan ingatkanlah (Ya Muhammad) nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut (terhadap keagungan-Nya) dan dengan tidak bersuara di waktu pagi (siang) dan petang (malam) dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf: 205)
Dengan perintah Allah tersebut di atas maka hati Nabi (s. ‘a. w.) sentiasa berdhikru-‘lLah sepanjang masa siang dan malam, sehingga semasa baginda tidur pun hatinya terus berdhikru-‘lLah. Baginda pernah menyebutkan :
“Sesungguhnya kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur.”[5]
Dari fakta-fakta yang dijelaskan dapat kita simpulkan bahawa amalan sentiasa kekal berdhikru-‘lLah itu adalah menjadi amalan tetap Rasulullah (s. ‘a. w.) dan juga para sahabat (r.’a.h.). Golongan ulul albab yang sentiasa berdhikru-‘lLah seperti yang disebut dalam Ali Imran, ayat 191 itu adalah terdiri dari para sahabat. Mereka boleh berdhikru-‘lLah dan tafakkur itu, kerana telah diajar oleh baginda Rasulullah (s.’a.w.)
Golongan Ashabu’s-Suffah adalah merupakan golongan sahabat yang sentiasa beribadat dan berdhikru-‘lLah. Kedudukan mereka begitu istimewa di sisi Allah. Nabi (s.’a.w.) diperintahkan supaya sentiasa mendampingi mereka dan jangan membiarkan mereka kerana desakan pemimpin-pemimpin Yahudi. Allah berfirman:
[6]
Maksudnya:
“Dan bersabarlah engkau (ya Muhammad) bersama-sama dengan o
rang-orang yang menyeru Tuhan mereka itu pada setiap pagi dan petang (sepanjang masa) kerana mengharap keredaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah engkau mengikuti (kemahuan) orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah urusan mereka ini melampaui batas.” (Surah Al-Kahfi: 28)
Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib (r.’a.) sendiri pemah menceritakan keadaan sahabat-sahabat yang menjadi ahli suffah tersebut sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh ‘Arikah r.a. Antara lain riwayat tersebut menegaskan:
“Telah berkata ‘Arikah (r.‘a.): Aku telah bersembahyang subuh bersama-sama ‘Ali. Selepas ia (‘Ali) memalingkan muka ke kanan (memberi salam) maka iapun diam, seolah-olah ia bersedih, sehingga terbit matahari di atas tembok masjid setinggi satu galah. lapun sembahyang dua rakaat. Kemudian iapun menadah kedua tangannya sambil berkata: Demi Allah, sesungguhnya telah aku lihat sahabat-sahabat Muhammad (s. ‘a. w.), tidak pemah aku lihat pada hari ini orang lain yang menyerupai mereka sedikitpun. Sesungguhnya mereka itu berpagi-pagi dengan keadaan rambut kusut masai dan pakaian mereka berdebu, wajah mereka pucat. Sesungguhnya mereka itu telah berjaga malam dengan sujud dan berdiri di hadapan Allah dan membaca kitab-Nya. Apabila tiba waktu pagi pula, mereka segera berdhikru-‘lLah dengan menggerak-gerakkan badan mereka seperti bergoyangnya pokok pada masa ribut. Demi Allah, telah mengalir air mata mereka sehingga membasahi baju mereka”.[7]
Berbagai tarekat yang terdapat seperti Ahmadiyyah, Naqshabandiyyah, Qadiriyyah, Samaniyyah, Idrisiyyah, Rifa’iyyah, Shadhaziliyyah dan sebagainya lagi adalah didasarkan kepada asas ajaran dhikru-‘lLah seperti yang terdapat dalam al-Qur’an dan Sunnah. Dapat kita simpulkan bahawa tarekat-tarekat yang mu’tabarah itu adalah sunnah mut’taba’ah.
Tarekat sebagai salah satu institusi amalan Islam yang wujud bersama lahirnya Islam mempunyai asas-asas atau prinsip-prinsipnya sendiri. Antara prinsipnya yang penting ialah:
1) Taqwa.
2) Taubat.
3) Dhikru-‘lLah dan Tafakkur.
4) Uzlah dan khalwat.
5) Himmah yang kuat.
6) Sentiasa dipimpin guru.
7) Tujuan hidup hanya Allah dan keredhaan-Nya.
8) Sentiasa menjaga adab.
9) Mencari Ilmu khasnya Tauhid, Feqah dan Tasawwuf.
10) Muhasabah diri.
Nota Kaki:
[1] ‘Abdul al-Qadir ‘Isa, Haqaiq ‘an al-Tasawwuf, Diwan Press, U.K. T. Tarikh, hlm. 84
[2] Al-Qur’an, al-‘Imran, 190-191
[3] Abd al-Samad Al-Falimbangi, Hidayatus’-Salikin, Pulau Pinang: Dar al-Ma’arif, 1353 H.) hlm. 36
[4] Al-Qur’an, al-A’raf, 205
[5] Abd al-Samad Al-Falimbangi, Hidayatus’-Salikin, hlm. 36
[6] Al-Qur’an, al-Kahfi, 28
[7] Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld VIII (Cairo: Kurdistan al-‘Ilmiyyah, 1348 H.), 6
Tiada ulasan:
Catat Ulasan