Antara kritikan yang dilontarkan kepada ulama-ulama Syafi'i yang berpendapat boleh memberi sedekah pahala untuk si-mati ialah kononnya mereka membelakangi Imam al-Syafi'i dan tidak bertaklid kepadanya dalam isu ini kerana Imam al-Syafi'i mengatakan tidak sampai pahala kepada si-mati. Adakah ini benar? Sedangkan ada kenyataan jelas daripada Imam al-Syafi'i sendiri yang zahirnya bertentangan dengan apa yang dinukilkan daripada beliau. Iaitu kata Imam al-Syafi'i dalam kitab al-Umm:
وأحب لو قرئ عند القبر ودعي للميت. “
Dan aku suka kalau dibacakan (al-Quran) di sisi kubur dan didoakan untuk si mati”.
Imam al-Khallal meriwayatkan dalam kitabnya al-Qira’ah ‘inda al-Qubur daripada al-Hasan bin al-Sabbah al-Za‘farani: “Aku bertanya al-Syafi‘i tentang bacaan (al-Quran) di sisi kubur, lalu beliau menjawab: Tidak mengapa”.
Barangkali timbul persoalan, sekiranya pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati, mengapa Imam al-Syafi‘i membenarkan bacaan al-Quran di kubur? Ini tidak lain selain memberi maksud bahawa si-mati dapat memperolehi manfaat dengan bacaan al-Quran daripada orang yang hidup itu. Jika tidak, tentu ia hanya suatu amalan yang sia-sia dan tidak mungkin Imam al-Syafi‘i menggalakkan kepada sesuatu yang sia-sia seperti ini. Walaupun dikatakan yang masyhur daripada beliau ialah pahala bacaan al-Quran tersebut tidak sampai kepada si-mati.
Imam an-Nawawi, tokoh besar dalam Mazhab Syafi'i telah menukilkan dalam kitab-kitabnya dua pendapat Imam al-Syafi'i yang kelihatan bertentangan ini.
1) Kata Imam an-Nawawi dalam Riyad al-Salihin: “Kata al-Syafi'i rahimahullah: Disukai agar dibacakan di sisinya (si mati) sedikit daripada al-Quran. Jika mereka mengkhatamkan al-Quran keseluruhannya itu adalah baik.”
2) Kata Imam an-Nawawi dalam al-Azkar: “Kata al-Syafi'i dan ashab: Disukai agar mereka membacakan di sisinya (si mati) sedikit daripada al-Quran. Kata mereka: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran keseluruhannya itu adalah baik. Telah kami riwayatkan dalam Sunan al-Baihaqi dengan isnad hasan, bahawa Ibnu ‘Umar RA menyukai agar dibaca di atas kubur sesudah pengebumian awal surah al-Baqarah dan akhirnya”.
3) Selang beberapa lembar dalam al-Azkar, Imam an-Nawawi menyebut pula: “Ulama berselisih tentang sampainya pahala bacaan al-Quran. Maka yang masyhur dari mazhab al-Syafi'i dan sekumpulan ulama bahawa ia tidak sampai. Manakala Ahmad bin Hanbal, sekumpulan ulama dan sekumpulan ashab al-Syafi'i berpendapat bahawa ianya sampai".
4) Kata al-Imam al-Nawawi dalam Fatawanya (hlm. 83): "Masalah: Adakah sampai kepada si-mati pahala apa yang disedekahkan untuknya, doa, ataupun bacaan al-Quran? Jawapan: Sampai kepadanya pahala doa dan pahala sedekah dengan IJMAK ULAMA. Dan mereka berselisih pula tentang pahala bacaan al-Quran. Maka kata Ahmad dan sebahagian ashab al-Syafi'i: Ia sampai. Manakala kata al-Syafi'i dan kebanyakan ulama: Tidak sampai".
5) Kata al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (7/90): “Pendapat yang masyhur dalam mazhab kami (Imam al-Syafi'i) bahawa bacaan al-Quran untuk si mati tidak sampai pahalanya kepadanya. Manakala, kata sekumpulan ashab kami (al-Syafi'iyyah): Sampai pahalanya kepadanya. Ini juga pendapat Ahmad bin Hanbal".
6) Kata al-Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu‘: “Disukai agar menunggu seketika di atas kubur selepas pengebumian, berdoa dan beristighfar untuk si mati. Ini telah dinyatakan oleh al-Syafi'i dan disepakati oleh ashab. Kata mereka: Disukai agar dibacakan di sisinya sedikit daripada al-Quran dan jika mereka mengkhatamkan al-Quran, itu adalah afdal (lebih baik)”.
Secara ringkas, meskipun Imam al-Syafi'i tidak jelas mengatakan bahawa memberi sedekah pahala dapat sampai kepada si-mati, namun beliau seperti yang jelas dalam kitabnya sendiri yang dapat kita faham daripadanya, berpendapat bahawa si-mati dapat memperoleh manfaat daripada amalan orang yang hidup. Bagi keluar dari sedikit kekeliruan ini, ulama Syafi'i telah menghuraikan dengan lebih lanjut dengan menyatakan bahawa kita perlu berDOA selepas bacaan al-Quran tersebut agar disampaikan pahalanya kepada si-mati, kerana DOA yang dipohonkan akan sampai kepada si-mati secara ijmak ulama. Kata Imam an-Nawawi dalam al-Azkar: “Pendapat yang dipilih ialah hendaklah pembaca mengucapkan selepas selesai daripadanya: Ya Allah, sampaikanlah pahala apa yang kubaca ini kepada si fulan, wallahu a‘lam”.
Menurut Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari dalam Fath al-Wahhab: “Apa yang disebut sebagai pendapat yang masyhur dalam mazhab itu dimaksudkan sekiranya ia dibaca bukan di hadapan si mati dan tidak meniatkan pahala bacaannya kepadanya, atau ada meniatkannya tetapi tidak berdoa”. Jadi kata-kata Imam al-Syafi'i dalam kitab al-Umm: “Dan aku suka kalau dibacakan (al-Quran) di sisi kubur dan diDOAkan untuk si mati”, bermaksud jika kita tidak berDOA selepas bacaan al-Quran tersebut memohon agar disampaikan pahalanya kepada si-mati, maka ia tidak akan sampai kepada si-mati. Inilah maksud sebenar Imam al-Syafi'i, wallahu a‘lam.
Ini pun yang sebenarnya diamalkan oleh kebanyakan orang yang mengharuskan amalan tersebut, di mana mereka akan berDOA memohon agar disampaikan pahala amalan yang dilakukan kepada si-mati. Selain bacaan al-Quran, termasuk juga bacaan tahlil, zikir dan juga selawat. Ini berdasarkan dalil umum hadis sahih yang menyebut bahawa kalimah yang baik itu juga merupakan sedekah (الكلمة الطيبة صدقة). Dan pahala SEDEKAH juga sampai kepada si-mati secara ijmak ulama.
Kata Imam al-Qurtubi dalam al-Tazkirah: “Asal dalam bab ini ialah SEDEKAH yang tiada ikhtilaf padanya. Maka sebagaimana sampai kepada si mati pahalanya, maka demikian juga sampainya bacaan al-Quran, doa dan istighfar kerana semua itu adalah SEDEKAH. Sesungguhnya sedekah itu tidak terkhusus hanya dengan harta sahaja”. Sebab itu amalan dalam masyarakat kita ialah berdoa menyebut: “Pahala bacaan ini kita SEDEKAHkan kepada si fulan, si fulan...”.
Karya-karya ulama berkaitan isu ini
Para ulama telah membincangkan masalah ini secara panjang lebar berserta hujah-hujah dan dalil-dalil dalam banyak karya yang telah disusun secara khusus. Antara karya-karya ulama dari berbagai mazhab berkaitan dengan masalah ini, yang saya susun menurut kronologi kewafatan pengarangnya adalah sepertimana berikut;
1- (القراءة عند القبور) oleh al-Imam Abu Bakr Ahmad bin Muhammad bin Harun al-Khallal al-Hanbali (w. 311H).
2- (هدية الأحياء للأموات وما يصل إليهم من النفع والثواب على ممر الأوقات) oleh al-Imam ‘Ali bin Ahmad bin Yusuf al-Hakkari (w. 489H).
3- (كتاب صلات الأحياء إلى الأموات) oleh al-Imam ‘Abd al-Ghani bin ‘Abd al-Wahid al-Maqdisi al-Hanbali (w. 600H).
4- (انتفاع الأموات بإهداء التلاوات والصدقات وسائر القربات) oleh al-Imam Abu Ishaq Ibrahim bin al-Muzaffar Ibn al-Barni al-Harbi al-Mawsili al-Hanbali (w. 622H).
5- (نفحات النسمات في وصول الثواب إلى الاموات) oleh al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ibrahim al-Saruji al-Hanafi (w. 701H).
6- (رفع الأصوات في نفع الأموات) oleh al-‘Allamah Zainuddin Sarija bin Muhammad al-Malti (w. 788H).
7 (الكواكب النيرات في وصول ثواب الطاعات إلى الأموات) oleh al-‘Allamah Saaduddin Sa‘id bin Muhammad Ibn al-Diri al-Maqdisi al-Hanafi (w. 867H).
8- (قرة العين بالثواب الحاصل للميت والابوين) oleh al-Hafiz Syamsuddin Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi (w. 900H).
9- (رسالة في نفع مساعي الأحياء للأموات) oleh al-‘Allamah Awhaduddin ‘Abd al-Ahad al-Nawawi bin Mustafa bin Isma‘il bin Abi al-Barakat al-Siwasi (w. 1061H).
10- (القول البات في إيصال الثواب للأموات) oleh Syeikh Ibrahim bin Husain bin Ahmad Ibn Biri al-Hanafi, mufti Hanafi di Makkah (w. 1099H).
11- (القول السديد في وصول ثواب فعل الخيرات للاحياء والاموات بلا شك ولا ترديد) oleh Syeikh ‘Isa bin ‘Isa al-Sifati al-Hanafi al-Buhairi (masih hidup tahun 1131H).
12- (رسالة في لحوق ثواب القراءة المهداة من الأحياء إلى الأموات) oleh al-Imam Muhammad bin ‘Ali al-Syawkani (w. 1250H).
13- (إفادة الطلاب بأحكام القراءة على الموتى ووصول الثواب) oleh al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad bin Ahmad bin ‘Abdul Bari al-Ahdal (w. 1298H).
14- “Pembantu Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca al-Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati” oleh al-‘Allamah Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Muttalib al-Mandili (w. 1385H).
15- (إسعاف المسلمين والمسلمات بجواز القراءة ووصول ثوابها إلى الأموات) oleh al-‘Allamah Syeikh Muhammad al-‘Arabi bin al-Tabbani al-Maliki al-Jaza’iri (w. 1390H).
16- (توضيح البيان لوصول ثواب القرآن) oleh al-‘Allamah al-Sayyid ‘Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1413H).
17- (الآيات البينات في وصول ثواب الطاعات والقراءة إلى الأموات) oleh Syeikh Ishaq ‘Aqil ‘Azzuz (w. 1415H).
18- (تحقيق الآمال فيما ينفع الميت من الأعمال أو هدايا الأحياء للأموات) oleh Dr. al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani (w. 1426H).
19- “Sampaikah Doa Amal Orang Hidup Untuk Yang Mati?” oleh Ustaz Salim bin Usman, Jakarta. Selesai ditulis pada tahun 1978.
20- (دفع الافتئات بجواز الجلوس للتعزية والقراءة للأموات) oleh Dr. ‘Isa bin ‘Abdullah bin Mani‘ al-Himyari.
21- “Sampaikan Pahala Kepada Si Mati” oleh Tuan Guru Hj. Yahya Zikri bin Alang Mat Piah, Telok Intan.
22- “Sampaikah Amalan Orang Hidup Kepada Arwah?” oleh Syeikh Dr. Muhammad Afifi al-Akiti, pensyarah di Universiti Oxford. Kitab kecil ini diberi kata-kata aluan oleh Mufti Perak, Sahibus Samahah Dato' Seri Hj. Harussani bin Hj. Zakaria.
23- “Tahlil dan Kenduri Arwah Tidak Haram” oleh Ustaz Dr. Zamihan Mat Zin al-Ghari.
24- “Benarkah Tahlilan & Kenduri Haram?” oleh Kiyai Muhammad Idrus Romli.
25- (إهداء ثواب قراءة القرآن للميت) oleh ‘Ali bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Ali Dubais. Jami‘ah al-Iman: http://www.jameataleman.org/
26- (قراءة القرآن الكريم يصل ثوابها للميت) Markaz al-Fatwa, Islam Web, Jabatan Dakwah dan Bimbingan Agama, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar. http://fatwa.islamweb.net/
27- Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Mesir. http://www.dar-alifta.org/
# Berdasarkan penelitian, isu ini juga sebenarnya berasaskan prinsip saling bantu membantu antara satu sama lain dalam kalangan sesama saudara Islam, sebagaimana maksud firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa dan pencerobohan” (Al-Ma’idah: 2). Perbahasan ini tentu sekali tidak berkaitan dengan orang-orang yang malas beramal ibadat semasa hidup di dunia dan hanya mengharapkan sedekah pahala daripada orang lain setelah ia mati kelak. Orang seperti ini hanya merugikan diri sendiri dengan kerugian yang amat besar kerana ia meninggalkan sesuatu yang dijamin baginya dan mengharapkan sesuatu yang belum dijamin baginya. Apakah pasti nanti ada orang yang akan menyedekahkan pahala kepadanya? Berapa banyakkah yang ia akan perolehi berbanding jika ia lakukan amal ibadat sendiri? Apakah ia pasti akan terlepas dari beban kewajipan-kewajipan yang ditinggalkan dan dosa-dosa yang dilakukan? Ia sewajarnya mengetahui bahawa perkara ini hanyalah di atas ijtihad para ulama dan bukannya sesuatu yang diijmakkan oleh mereka kecuali yang telah nyata sabit nas-nasnya. Semoga Allah SWT memelihara kita semua. Amin…
وفقنا الله لما يحب ويرضى...
http://sawanih.blogspot.com/
Penulis Adalah Ustaz Dr. Khafidz Soroni
Pensyarah Di Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor & Co- Editor DI Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD), KUIS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan