*HALIM HASAN MENYAMAKAN PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DENGAN PERARAKAN TAIPUSAM*
Perarakan sempena sambutan Maulid Rasul yang dilakukan oleh umat Islam adalah suatu perkara yang tidak bercanggah dengan syarak. Bahkan ia adalah perkara yang sangat baik bertujuan menzahirkan kegembiran dan kesukaan di atas kelahiran junjungan besar Nabi kita Muhammad ﷺ disamping mereka mendendangkan qasidah-qasidah memuji baginda Nabi serta zikir demi mensyukuri nikmat Allah mengutuskan baginda Nabi Muhammad ﷺ kepada manusia.
Antara dalil yang mengharuskan umat Islam melakukan perarakan sempena Maulid Nabi ini adalah sebagaimana berikut :
Setelah keislaman ^Umar ibn al-Khattab di Darul-Arqam, para sahabat Nabi keluar dan mereka berjalan-jalan beramai-ramai dalam 2 barisan. Tujuan mereka adalah ingin bersyukur di atas kenikmatan yang diberikan oleh Allah ta^ala kepada mereka iaitu nikmat Allah taala telah memberikan hidayah atau petunjuk kepada Sayyidina ^Umar _radiyallahu ^anhu_. Ini antara dalil-dalil yang menunjukkan keharusan berarak dan berjalan beramai-ramai dengan melaungkan zikir, tahlil dan sebagainya demi menzahirkan kegembiraan atas kenikmatan yang telah berlaku sebagai syukur kepada Allah ta^ala atas nikmat tersebut. Antara yang meriwayatkan bahawa umat Islam keluar beramai- ramai dalam 2 barisan setelah keislaman Sayyidina Umar adalah al-Hafiz Abu Nu^aim al Asfahani dalam kitabnya Hilyah al-Awliya, Percetakan Darul Kitab al-^Arabi, Beirut-Lubnan, jil 1 hlm. 40.
Al-^Allamah Datuk Sayyid ^Alawi ibn Thahir al-Haddad, merupakan Mufti Negeri Johor (1356 - 1381 H/ 1936 - 1961 R) dalam _Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor_ (jil.2, hlm. 343) ketika beliau ditanya berhubung hukum umat Islam yang berarak pada sambutan Maulidur-Rasul, jawab beliau:
_*“Tidak mengapa jika tidak ada perkara mungkar”*._ Intaha.
Oleh itu, dakwaan Halim Hasan bahawa _perarakan Maulid tidak ada beza dengan perarakan Thaipusam seperti adik dan abang_ itu adalah tuduhan yang melampau yang wajib diwaspadai oleh masyarakat keseluruhannya.
[Perkara ini dinyatakan di laman sesawang youtube, di bawah tajuk _*“Ustaz Halim Hassan - Perarakan maulid tiada beza dengan Thaipusam”*_]
Sedangkan Rasulullah ﷺ bersabda:
*يَا أَيُّهَا النَّاسُ وَإِيَاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ، فَإِنَّهُ أهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الغُلُوُّ فِي الدِّينِ*
Mafhumnya: _“Wahai manusia, awasilah kamu dari sifat melampau dalam agama, sesungguhnya telah hancur binasa golongan sebelum kamu berpunca daripada sikap melampaui batasan dalam urusan agama”._
(Diriwayatkan oleh Ahmad dalam _Musnad Ahmad_, al-Nasai'i dalam _Sunan al-Nasa'i_ dan Ibn Majah dalam _Sunan Ibn Majah_ serta al-Hakim dalam _al-Mustadrak_ daripada Ibn ^Abbas _radiyallahu ^anhuma_)
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas^ud _radiyallahu ^anhu_ bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda:
*هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُون*
Mafhumnya: _“Telah binasa golongan yang melampau”._ (Diriwayatkan oleh Muslim)
والله أعلم وأحكم
✒Disediakan oleh:
*Kajian Ilmiah Ahlis-Sunnah (KIAS)*
Tiada ulasan:
Catat Ulasan