Hamba petik dari laman sesawang sahabat di dalam BSC, seorang lulusan Al-Azhar
sumber : http://ibnuazmiasy-syafii.blogspot.com/2009/08/hukum-beramal-dengan-hadis-dhaif.html
Hukum Beramal dengan Hadis Dhaif
Para ulama berkhilaf pendapat dalam penggunaan hadis dhaif. Ringkasnya ada tiga golongan:
GOLONGAN PERTAMA Hadis dhaif TIDAK BOLEH DIGUNAKAN walaupun untuk tarqib (galakan),tarhib (menakut-nakutkan),fadhail amal (kelebihan beramal) ataupun untuk langkah berjaga-jaga. Ini merupakan pendapat IMAM BUKHARI dan MUSLIM yang disokong oleh Abu Bakar al-Arabi (Mazhab Maliki), Abu Syamah al-Maqdisi (Syafie), Ibnu Hazmin (Zahiri) dan lain-lain.
GOLONGAN KEDUA Harus (boleh) menggunakan hadis dhaif jika tidak ada sandaran-sandaran lain tentang sesuatu perkara sama ada daripada al-Quran, hadis, qias, ijma, istihsan dan lain-lain. Ini adalah pendapat IMAM AHMAD, IBNU TAIMIYYAH dan IBNU QAYYIM. Kata Imam Ahmad: " Hadis dahif lebih kami sukai daripada fikiran seseorang."
GOLONGAN KETIGA Hadis dhaif boleh digunakan sebagai hujah dalam fadhail amal, peringatan, kisah-kisah, galakan dan sebagainya. Namun begitu secara umumnya tidak boleh digunakan dalam soal akidah dan hukum-hakam. Ini adalah pendapat yang muktamad bagi para ulama muhaqqiqin dengan syarat-syarat yang tertentu. Antara tokoh yang berpegang dengan panangan ini ialah IMAM NAWAWI dan AL-HAFIZ IBNU HAJAR.
Jika hendak menggunakan hadis-hadis dhaif, Imam Nawawi mensyaratkan:
1. Yang diguna dalam soal hukum ialah hadis-hadis sahih dan hasan sahaja
2. Boleh digunakan dalam soal hukum untuk 'berjaga-jaga', sebagai usaha untuk menjauhi perkara-perkara syubhat
Al-Hafiz Ibnu Hajar pula mensyaratkan:
1. Hadis itu tidak terlalu dhaif
2. Isi hadis dhaif itu menepati kaedah-kaedah umum dalam agama Islam
3. Ketika beramal dengannya, tidak iktikadkan sebagai HADIS RASULULLAH tetapi sebagai usaha 'berjaga-jaga'.
Dho’if dari sudut bahasa adalah: lawan bagi kuat. Dho’if dari sudut istilah ilmu hadith adalah: hadith yang tidak terhimpun padanya segala sifat-sifat (syarat-syarat) qobul (penerimaan).
Adapun syarat-syarat atau sifat-sifat penerimaan dalam hadith adalah:
Pertama: Bersambung sanadnya dari satu generasi ke satu generasi (perawi)
Kedua: Perawi-perawi tersebut dhobit (menjaga hadith yang diriwayatkan)
Ketiga: Perawi-perawi tersebut adil
Keempat: Tiada syaz dalam hadith
Kelima: Tiada ‘illah (sebab yang mencacatkan status hadith dan perawi). Hilangnya salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka ia termasuk dalam hadith dho’if.
Perbahasan tentang hadith dho’if, maka yang kita maksudkan tentang penggunaan hadith dho’if adalah hadith yang disepakati kedho’ifannya, bukan yang diperselisihkan tentang kedho’ifannya, kerana hadith yang diperselisihkan mengenai kedho’ifannya boleh jadi nilainya sahih di sisi para ulama’ yang mengamalkan dan menggunakannya.
Ulama’ dan ahli ilmu berselisih pendapat tentang penggunaan hadith dho’if (yang disepakati kedho’ifannya) kepada tiga pendapat (rujuk At-Tamazhub m/s 228-229) (sebagaimana yg disusun oleh tuan alex):
Pendapat Pertama: Boleh beramal dengan hadith dho’if dengan syarat-syaratnya yang akan dijelaskan sebentar nanti (insya Allah), yang mana pendapat ini dipegang oleh majoriti ahli hadith, ahli fiqh, ahli usul fiqh dan para ulama’ empat mazhab.
Pendapat Kedua: Tidak boleh beramal dengan hadith dho’if secara mutlak. Ia adalah mazhab sebahagian ahli hadith seperti Ibn Al-‘Arabi Al-Maliki, diriwayatkan juga ianya dipegang oleh Imam Ahmad, begitu juga salah satu pendapat daripada Yahya bin Ma’in dan sebagainya. Ia adalah suatu pendapat yang sedikit keras kerana hadith-hadith dho’if dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh majoriti ulama’ yang membolehkan penggunaan hadith tersebut, bukanlah suatu pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w. kerana perawinya juga dikenali sebagai jujur dan beragama, cuma ada beberapa faktor yang mengurangkan kredibiliti perawi tersebut dari sudut dhobitnya.
Pendapat Ketiga: Boleh beramal dengan hadith dho’if secara mutlak. Ia merupakan pendapat sebahagian ahli ilmu. Ia juga satu pendapat yang agak longgar namun boleh jadi yang dimaksudkan oleh golongan yang berpendapat dengan pendapat ini, hadith dho’if tersebut tidaklah terlalu dho’if. Ia dinukilkan oleh Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqollani dan Imam As-Sakhawi. Imam Al-Laknawi menjelaskan juga dalam kitab Al-Ajwibah Al-Fadhilah m/s 50:-
"Diriwayatkan daripada Imam As-Sakhawi r.a. yang berkata: Kesimpulannya, tentang masalah beramal dengan hadith dho’if, maka ada tiga mazhab: Tidak boleh beramal dengannya secara mutlak, boleh beramal dengannya secara mutlak dan boleh beramal dengan hadith dho’if pada fadho’il amal dengan syarat-syaratnya".
Perbahasan Pertama: Pendapat yang Mengatakan: "Telah Sepakat Ulama’ pada Beramal dengan Hadith Dho’if pada Fadho’il dan Sebagainya" Imam An-Nawawi berkata dalam kitab Al-Majmu’ (3/226):- "Telah kita jelaskan sebelum ini bahawasanya, para ulama’ telah bersepakat tentang keharusan beramal dengan hadith dho’if pada fadho’il amal (kelebihan-kelebihan dalam amalan), bukan dalam bab halal dan haram…"
Catatan: Imam An-Nawawi juga turut meriwayatkan perkataan beliau tentang ittifaq (kesepakatan) ulama’ dalam membolehkan amalkan hadith dho’if dalam fadho’il amal dengan syarat-syaratnya dalam kitab Al-Arba’in pada muqoddimah beliau.
Imam Ar-Ramli berkata dalam fatwanya (4/383):- "Imam An-Nawawi menjelaskan dalam banyak kitabnya bahawasanya ijmak (telah sepakat) ahlul-hadith dalam keharusan beramal dengan hadith dho’if pada bab fadho’il amal dan sebagainya secara khusus..." Al-Khattab dalam kitab Mawahib Al-Jalil (1/17) dan syarh Al-Kharsyi (1/23) berkata: "Saya katakan: Walaupun hadith ini dho’if (hadith kullu amrin zi balin...), maka ulama’ bersepakat boleh menggunakan hadith dho’if dalam fadho’il amal..."
Imam Mulla Ali Al-Qari berkata dalam Al-Khath Al-Aufar sebagaimana juga diriwayatkan oleh Imam Al-Laknawi dalam Al-Ajwibah Al-Fadhilah (m/s 36):- "Hadith dho’if diambil-kira (digunapakai) dalam bab fadho’il amal di sisi seluruh ulama’ yang mempunyai kesempurnaan keilmuan mereka..." Begitu juga dalam Al-Maudhu’at oleh Imam Mulla Ali Al-Qari dan Al-Ajwibah Al-Fadhilah (m/s 36) ada menyebut:- "Hadith dho’if digunakan dalam bab fadho’il amal berdasarkan kesepakatan ulama’..." Imam Ibn Hajar Al-Haitami berkata dalam Syarah Al-Arba’in m/s 32:- "Para ulama’ telah sepakat boleh menggunakan hadith dho’if dalam bab fadho’il amal kerana ia sebenarnya merupakan hadith yang sahih dari sudut asalnya (matannya), maka perlulah diberikan haknya iaitu beramal dengannya..."
Imam Ibn Hajar Al-Haitami berkata dalam fatwanya (2/54):- "Telah menjadi kaedah bahawasanya hadith dho’if, mursal, munqoti’, mu’addhol dan mauquf boleh diamalkan dalam bab fadho’il amal secara ijma’..." Beliau juga menjelaskan kesepakatan ulama’ dalam keharusan dalam menggunakan hadith dho’if dalam kitab beliau Tathir Al-Jinan m/s 3. Sebahagian Pendapat Ahlul-Hadith Dalam Masalah Ini Imam As-Sakhawi dalam Fath Al-Mughith (1/287) berkata: " Imam Ibn Abdil Barr berkata: Hadith-hadith menceritakan tentang fadho’il tidak perlu syarat-syarat (kesahihan dan kekuatan hadith) sebagaimana hadith-hadith yang digunakan (dalam bab halal dan haram".
"Imam Al-Hakim mendengar Abu Zakaria Al-Ghabri berkata: "Sesuatu khabar itu, jika disebut bukan mengharamkan apa yang halal (daripada nas-nas qat’ie thubut), bukan menghalalkan apa yang haram dan tidak juga berkaitan dalam masalah hukum, tetapi sebaliknya hanya dalam bab targhib wa tarhib, maka ahli hadith akan memejamkan mata daripadanya dan mempermudahkan dalam meriwayatkannya (maknanya, tidak bersusah payah untuk menolak penggunaan hadith dho’if dalam bab galakan dan fadho’il).
"Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dalam Al-Madkhal bahawasanya Imam Ibn Mahdi menjelaskan: "Jika kami meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. tentang halal dan haram, maka kami sangat menitikberatkan masalah sanad (pastikan sanadnya sahih) dan kami sangat mendalami hal perawi. Adapun jika kami meriwayatkan dalam masalah fadho’il, pahala dan dosa, maka kami akan mempermudahkan (tasammuh) dalam masalah sanadnya dan kami bertoleransi dalam hal perawi. "Begitu juga dengan lafaz Imam Ahmad pada riwayat Al-Maimuni: "Adapun hadith-hadith raqa’iq (menceritakan tentang kelebihan, pahala dan dosa), maka berkemungkinan ahli hadith akan bertoleransi dalam kedudukan hadith tersebut, kecualilah dalam bab hukum (halal dan haram)…" –tamat nukilan daripada kitab Fath Al-Mughith oleh Sheikh Abdul Fattah Al-Yafi’ie dalam At-Tamazhub m/s 230-231-
Imam Al-‘Iraqi berkata dalam syarah Alfiyahnya 2/291:- "Adapun hadith tertolak yang tidak sampai tahap maudhu’ (palsu) sanadnya, riwayatkannya tanpa menjelaskan kedho’ifannya, jika ia bukan berkaitan dengan masalah hukum-hakam dan maslaah aqidah, tetapi sekadar dalam masalah targhib, tarhib, galakan, cerita-cerita, fadho’il amal dan sebagainya… Ini pendapat sebahagian imam seperti Ibn Mahdi, Ibn Mubarak, Imam Ahmad dan sebagainya"
Imam As-Suyuti pula berkata dalam Tadrib Al-Rawi (1/298):- "Diriwayatkan daripada Imam Ibn Hanbal, Imam Ibn Mahdi dan Imam Ibn Mubarak berkata: "Jika dalam bab halal dan haram, maka kami akan menitikberatkan masalah kedudukan hadith namun jika kami riwayatkan dalam bab fadho’il dan sebagainya, maka kami akan bertoleransi..." Dalam perenggan yang lain daripada kitab tersebut, Imam As-Suyuti meriwayatkan juga:- "Sebahagian pendapat mengatakan bahawasanya, tidak boleh beramal dengan hadith dho’if secara mutlak. Ia adalah pendapat Imam Abu Bakr Ibn Al-‘Arabi.
"Sebahagian yang lain mengatakan bahawasanya, boleh beramal dengan hadith dho’if secara mutlak. Ia adalah pendapat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad. Imam Al-Zarkasyi pun meriwayatkan hal tersebut…" Imam Al-Sakhawi berkata dalam Fath Al-Mughith (1/287) menguatkan pendapat Imam An-Nawawi tentang kesepakatan ulama’ dalam menggunakan hadith dho’if yang tidak terlalu lemah kedudukannya, dalam masalah fadho’il. Sebahagian Perkataan Fuqoha’ dalam Masalah Hadith Dho’if Imam Al-Kamal bin Al-Humam berkata dalam Fath Al-Qadir (1/349):- "Boleh dijadikan hujah jika hadith itu sahih. Kalau tidak, hadith dho’if juga, selagimana tidak sampai tahap mau’dhu’ (palsu), boleh diamalkan dalam bab fadho’il amal". Imam Ibn ‘Abidin membenarkan perkataan Imam Al-Kamal tersebut dalam hasyiyahnya (1/128) dan turut menukilkan perkataan Imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam masalah ini. Imam Al-Khadimi berkata dalam kitab Bariqah Mahmudiyyah 1/115:- "Boleh dan sunat beramal dalam bab fadho’il, galakan dan peringatan, dengan hadith dho’if selagimana tidak sampai tahap hadith maudhu’ (palsu)."
Adapun dakwaan hadith dhoif di sisi Imam Ahmad bin Hanbal adalah hadith hasan, maka itu suatu dakwaan yang tidak berasas. Memang benar, hadith hasan tidak dikenali lafaznya melainkan pada penggunaan Imam At-Tirmizi. Namun, hatta di sisi penggunaan Imam At-Tirmizi juga, hadith hasan itu sendiri gagal difahami oleh sebahagian ulama’. Kita simpulkan di sini. Hadith itu ada dua jenis yang utama. Hadith Maqbul (diterima) dan hadith Mardud (tidak diterima). Hadith Maqbul adalah hadith yang diterima utk dijadikan hujah dalam penggalian hukum dan sebagainya. Syarat hadith itu diterima adalah jika menepati lima syaratnya iaitu:-
1 Bersambung sanadnya dari satu peringkat ke satu peringkat
2 Perawi hadith perlu adil (beragama) dalam setiap peringkat
3 Perawi perlulah dhobit (teliti) dalam menjaga hadith dan menyampaikannya.
4 Hadith itu sejahtera daripada Syaz (keganjilan: berlawanan daripada hadith yang lebih kuat)
5 Tiada Illah (kecacatan) yang boleh mencacatkan sanad atau matan hadith
Jika sesuatu hadith itu memenuhi kelima-lima syarat ini, maka ianya dikira sebagai hadith maqbul (diterima). Hadith maqbul juga disebut sebagai hadith sahih (benar) yang boleh digunakan untuk berhujah dan mengambil hukum. Jika sesuatu hadith itu hilang salah satu atau kesemua lima-lima syarat tersebut, maka ianya disebut sebagai hadith mardud (ditolak). Hadith ini ada pelbagai jenis mengikut kecacatan dalam hadith tersebut.
Antara jenis-jenis hadith mardud (ditolak) adalah hadith dho’if, hadith matruh (tidak dipakai), hadith munkar (diingkari) dan hadith maudhu’ (palsu). Darjat antara kesemuanya adalah berbeza-beza. Klasifikasi inilah yang dipegang oleh para mutaqoddimin (ulama’ terdahulu) dari ahli hadith. Jadi, hatta Imam Ahmad bin Hanbal memahami penggunaan istilah dho’if merujuk kepada hadith yang tidak cukup salah satu syarat daripada lima syarat hadith maqbul tersebut yang menyebabkan ianya termasuk dalam hadith mardud (ditolak untuk dijadikan hujah) (demikian menurut Al-Khallal). Jadi, memang jelas hadith dho’if di sisi ulama’ adalah hadith yang mardud. Masalah kesamaran bukan pada hadith dho’if, tetapi kesamaran timbul pada memahami makna "hadith hasan".
Para ulama’ hadith muta’akhirin (seperti Ibn Sholah, Ibn Hajar, Az-Zahabi, As-Sakhowi dan sebagainya) yang menjelaskan kesamaran dalam memahami lafaz "hasan" bagi penggunaan ulama’ hadith terdahulu. Mereka cuba memahami adakah hadith hasan itu sebahagian daripada hadith maqbul (seperti hadith sahih) atau sebahagian daripada hadith mardud (seperti hadith dhoif) di sisi ulama’ terdahulu. Mereka merujuk kepada penggunaan Imam At-Tirmizi yg terkadang berkata: "hadith ini hasan sahih". Kalau hadith ini sudah sahih, mengapa hasan pula? Adakah sama darjatnya antara hasan dan sahih? Atau sebahagian ulama’ anggap sanadnya hasan sedangkan sebahagian lain anggap sanadnya sahih? Atau hasan dalam ungkapan ini adalah hasan dari sudut makna? Persoalan-persoalan sebeginilah yang cuba ditimbulkan oleh Imam Az-Zahabi dalam kitab Al-Muqizah (m/s 36-38 dgn tahqiq Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah).
Para ulama’ hadith mutaakhirin cuba memberi tafsiran tepat tntang hadith hasan, samada ianya sama maqbul (diterima) atau mardud (ditolak). Kalau maqbul, apa yang membezakan hadith sahih dengan hadith hasan kerana syarat utk diketogorikan sebagai hadith maqbul mestilah memenuhi lima syarat tadi. Kalau hadith hasan memenuhi lima syarat diterima hadith tadi, maka tiada yang membezakan antara hadith hasan dan hadith sahih. Kalau hadith hasan adalah hadith yg kurang memenuhi syarat yang lima tadi, maka ianya juga termasuk dalam hadith mardud. Sedangkan, ulama’ muta’akhirin meletakkan hadith hasan antara hadith sahih (hadith maqbul) dengan hadith dho’if (hadith mardud). Akhirnya, Imam As-Sakhowi sendiri menjelaskan, kesukaran utk membezakan antara hadith hasan dengan hadith sahih (fath Al-Mughith 184). Imam Az-Zahabi pn menjelaskan kesamaran sebahagian ulama’ dalam meletakkan status hadith hasan, samada dalam bahagian maqbul atau mardud (Al-Muqizhah 38 ) Imam At-Thibi juga mengakui kesukaran hal itu (Al-Khulashoh 38 )
Maka, penggunaan hadith hasan juga bukanlah suatu penggunaan di sisi ulama’ mutaqoddimin seperti zaman Imam Ahmad bin Hanbal r.a.. jadi, dia sudah tentu memaksudkan hadith dho’if sebagai hadith mardud (ditolak utk dibuat hujah dalam bab hukum), kerana tidak timbul kesamaran dalam makna hadith dho’if. Apa yang menjadi masalah adalah memahami lafaz hadith hasan di sisi ulama’ mutaqoddimin (terdahulu) seperti Imam At-Tirmizi. Sebahagiannya menganggap lafaz hasan di sisi mutaqoddimin adalah jenis hadith maqbul dan sebahagian lain menganggap ianya jenis hadith mardud (tinggi sedikit darjatnya daripada hadith sahih). Pun begitu, hadith hasan diletakkan pada bahagian hadith maqbul di sisi ulama’ hadith mutaakhirin. Ini kerana, menurut mereka, hadith hasan adalah hadith yang memenuhi kelima-lima syarat hadith maqbul cuma ketelitian perawinya kurang berbanding ketelitian perawi berdarjat sahih. Maka, tidak timbul Imam Ahmad memaksudkan hadith dho’if dengan hadith hasan kerana hatta penggunaan hadith hasan sebenarnya adalah di sisi ulama’ mutaakhirin. Sedangkan, ulama’ mutaqoddimin hanya memahami ada dua jenis pembahagian yg utama iaitu antara hadith maqbul yang dikenali sebagai hadith sahih dan hadith mardud yang pelbagai namanya berdasarkan jenis-jenis kekurangan syaratnya. Maka, kesimpulannya, hatta di sisi Imam Ahmad bin Hanbal, hadith dho’if yang sesemangnya hadith dho’if, boleh digunakan dalam fadho’il a’mal, tidak pada berhujah. Malah, sebahagian ulama’ hanabilah mengutamakan hadith dho’if berbanding qiyas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan