TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Khamis, 5 Julai 2012

Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga


Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga
Seorang pemceramah menyebut bahwa sebuah qasidah yang masyhur di kalangan masyarakat adalah merupakan suatu yang khurafat, sesat dan sebagainya. Pengunjung boleh mendengar kritikan penceramah berkenaan disini.

Bagi menjawab kritikan tersebut, al-Fagir bawakan tulisan al-Fadhil Ustaz Raja Mukhlis bin Raja Jamaludin yang beliau tulis di FB beliau.

Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga

Ada satu qasidah yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam yang berbunyi:

إلهي لست للفردوس أهلاً *** ولا أقوى على نار الجحيم
فهب لي توبةً واغفر ذنوبي *** فإنك غافر الذنب العظيم

Maksudnya:

Wahai Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga Firdaus
Bahkan, aku juga tidak sanggup untuk ke neraka Jahim.
Maka kurniakanlah taubat (keampunan) kepadaku dan ampunilah segala dosaku,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengampuni segala dosa yang besar.

Ada juga sebahagian pihak yang menjadikan qasidah ini suatu isu lalu menyalahkan ungkapan ini dengan memahami bahagian atas sahaja daripada lafaz tersebut. Lalu, menurut mereka, orang yang mengucapkan lafaz ini bererti tidak mahu masuk syurga. Orang ini sudahlah tidak memahami bahasa yang asas sehingga tidak dapat membezakan antara “layak” dengan “mahu”, apatah lagi tidak memahami unsur kesenian dalam berbahasa.

Bagi setiap insan yang mempunyai jiwa yang lembut dan hati yang tawadhuk kepada Allah سبحانه وتعالى, pastilah dapat memahami dengan mudah apakah maksud di sebalik ungkapan di atas dan betapa tingginya adab orang yang mengungkapkan ungkapan tersebut kepada Allah سبحانه وتعالى.

Budaya rendah diri dan tawadhuk memang merupakan adab yang tinggi dalam hati para nabi dan wali. Bahkan, kita lihat contoh terdekat, bagaimana sebahagian para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga sendiri, diriwayatkan mempunyai kemuncak tawadhuk dalam bab syurga dan neraka, walaupun sudah diberi jaminan bahawa mereka adalah ahli syurga.

Imam Abu Nu’aim meriwayatkan:
لما قدم أهل اليمن زمان أبي بكر وسمعوا القرآن جعلوا يبكون ، قال : فقال أبو بكر : هكذا كنا ، ثم قست القلوب

Maksudnya: Ketika Ahli Yaman sampai ke Madinah pada zaman Abu Bakar رضي الله عنه, maka mereka mendengar bacaan Al-Qur’an sehinggalah mereka menangis. Lalu Saidina Abu Bakar رضي الله عنه berkata: 

“Beginilah kami dahulu. Sehinggalah kesat hati kami.” Rujuk kitab Hilyah Al-Auliya’.

Tidak mungkin Saidina Abu Bakar رضي الله عنه mempunyai hati yang kesat dan keras sedangkan jika iman beliau ditimbang dengan iman ahli Madinah, nescaya imannya akan mengalahkan iman ahli Madinah. Ini adalah ungkapan tawadhuk.

Lihatlah perkataan insan paling mulia dalam umat Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم selepas Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan Saidina Abu Bakar رضي الله عنه. Beliau ialah Saidina Umar رضي الله عنه. Beliau adalah seorang insan telah diberi jaminan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sebagai ahli syurga. Bahkan, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم pernah menyebut bahawa, jika ada nabi selepas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sudah tentu nabi tersebut ialah Saidina Umar رضي الله عنه.

Pun begitu, apa kata Saidina Umar رضي الله عنه tentang syurga dan neraka, dengan segala kelayakan yang dimiliki dan jaminan daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم? Beliau berkata:

لو نادى مناد من السماء : أيها الناس إنكم داخلون الجنة كلكم أجمعون إلا رجلا واحدا ، لخفت أن أكون هو ، ولو نادى مناد أيها الناس إنكم داخلون النار إلا رجلا واحدا لرجوت أن أكون هو .

Maksudnya: “Kalaulah ada suatu panggilan yang memanggil dari langit: “Wahai manusia. Sesungguhnya kamu akan masuk syurga melainkan seorang sahaja (yang tidak akan masuk syurga). Maka, nescaya aku takut aku adalah dia (seorang yang tidak masuk syurga tersebut). Jika ada panggilan memanggil: “Wahai manusia, semua kamu akan masuk neraka kecuali seorang sahaja (yang tidak masuk neraka). Maka sudah pasti aku harap aku adalah dia (seorang sahaja yang tidak masuk syurga tersebut).” [Ibid]

Lihat betapa tingginya adab Saidina Umar رضي الله عنه. Dengan banyak kemungkinan lain, di mana ramai lagi orang-orang kafir dan mati kafir pada zaman beliau seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, namun di sisi beliau, jika ada seorang sahaja yang tidak masuk syurga, dia takut seorang itu adalah beliau, sedangkan Abu Jahal dan Abu Lahab lebih layak untuk tidak masuk syurga berbanding beliau kerana kekufuran mereka. Begitu jugalah dalam masalah masuk neraka. Betapa tinggi adab para sahabat رضي الله عنهم terutamanya mereka yang telah dijamin sebagai ahli syurga, namun masih menyatakan ketakutan terhadap neraka dan ketidak-layakan mereka untuk memasuki syurga.

Tidak cukup lagi. Kita boleh lihat pula bagaimana adab Saidina Uthman رضي الله عنه di hadapan Allah سبحانه وتعالى terutamanya dalam masalah syurga dan neraka. Beliau juga merupakan salah seorang daripada para sahabat رضي الله عنهم. yang dijamin sebagai ahli syurga. Bahkan, beliau termasuk dalam empat khulafa’ rasyidin yang agung.

Saidina Uthman رضي الله عنه pernah berkata:
لو أني بين الجنة والنار ولا أدري إلى أيتهما يؤمر بي لاخترت أن أكون رمادا قبل أن أعلم إلى أيتهما أصير

Maksudnya: “Kalaulah aku berada di antara syurga dengan neraka, sedang aku masih tidak tahu aku akan disuruh untuk memasuki yang mana satu, nescaya aku akan memilih untuk menjadi tanah sebelum mengetahui ke mana satu hala tuju aku. [Hilyah Al-Auliya’ dalam manaqib Saidina Uthman رضي الله عنه]

Ini adalah Saidina Uthman رضي الله عنه, sebagaimana kedua-dua sahabat agung yang telah disebutkan sebelum ini. Adakah mereka tidak yakin dengan janji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kepada mereka sehingga tidak merasa layak untuk masuk syurga? Demi Allah, ia adalah keadaan adab mereka yang tinggi di hadapan Allah سبحانه وتعالى, yang gagal difahami oleh mereka yang tidak dikurniakan kemanisan hubungan dengan Allah سبحانه وتعالى.

Para sahabat رضي الله عنهم yang agung semuanya fokus kepada hubungan mereka kepada Allah سبحانه وتعالى, bukan kepada syurga mahupun neraka tersebut. Oleh sebab itulah, walaupun mereka diberi jaminan sebagai ahli syurga dan telah terjamin selamat daripada neraka, namun mereka tetap melahirkan adab yang sangat tinggi di hadapan Allah سبحانه وتعالى dengan tidak melihat kelebihan itu sebagai kelayakan untuk diri mereka. Ini kerana, mereka mengutamakan hubungan mereka dengan Allah سبحانه وتعالى berbanding syurga dan neraka itu sendiri.

Kita lihat, bagaimana Saidina Ali رضي الله عنه sendiri menyebut tentang keutamaan di sisi beliau (sebagaimana para sahabat رضي الله عنهم yang lain) adalah dalam hubungan mengenal dan berinteraksi dengan Allah سبحانه وتعالى berbanding syurga itu sendiri. Beliau menyebut:

ما يسرني لو مت طفلا وأدخلت الجنة ولم أكبر فأعرف ربي عز وجل

Maksudnya: “Tiadalah menggembirakan aku jika mati sebagai anak kecil lalu masuk syurga sedang aku tidak dewasa lalu mengenal Allah سبحانه وتعالى.” [Hilyah Al-Auliya’]

Ini menunjukkan betapa jiwa para sahabat رضي الله عنهم tidak tertakluk baik kepada syurga mahupun kepada neraka. Maka, mereka akan beradab di hadapan Allah سبحانه وتعالى lalu menafikan kelayakan diri mereka untuk mendapatkan syurga kerana mereka tahu, kemuliaan hamba adalah pada kehinaan diri dalam kehambaan di hadapan-Nya.

Jadi, dua asas dalam pendirian para ulama’ sufi secara umum dan dalam qasidah ini secara khusus iaitu tidak melihat kelayakan diri terhadap syurga dan mengutamakan Allah سبحانه وتعالى berbanding selain Allah سبحانه وتعالى, kedua-duanya adalah daripada asas ajaran murni kerohanian Islam sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat رضي الله عنهم. Sangat malang bagi mereka yang tidak membaca sirah dan riwayat hidup para as-salaf as-sholeh dengan baik lalu membuat tohmahan sewenang-wenangnya terhadap ajaran tasawwuf Islam yang murni. Qasidah ini, walaupun tidak jelas dinisbahkan kepada siapa, namun mempunyai makna yang sangat baik dan tidak wajar dianggap sesat sebagaimana dilakukan oleh segelintir manusia.

Kita lihat pula doa seorang sahabat agung yang diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, iaitulah Saidina Muaz bin Jabal رضي الله عنه yang hampir sama makna rohaninya seperti qasidah ini. Antara doa Saidina Muaz رضي الله عنه ketika tahajjud adalah:

اللهم طلبي للجنة بطيء وهربي من النار ضعيف

Maksudnya: “Wahai Tuhanku. Usahaku untuk mendapatkan syurga sangat perlahan sedangkan lariku dari neraka juga sangat lemah.” [Hilyah Al-Auliya pada Mu’az bin Jabal رضي الله عنه]

Saidina Abu Musa Al-Asy’ari رضي الله عنه menyebut tentang pentingnya menzahirkan rasa takut dan gerun di hadapan Allah سبحانه وتعالى terutamanya terhadap neraka yang dijanjikan oleh-Nya bagi para penderhaka. Beliau menyebut:

يا أيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا ، فإن أهل النار يبكون الدموع حتى تنقطع ، ثم يبكون الدماء حتى لو أرسلت فيها السفن لجرت

Maksudnya: “Wahai manusia. Menangislah kamu. Jika kamu tidak dapat menangis, maka berusahalah untuk menangis. Sesungguhnya, ahli neraka itu akan menangis dengan air mata sehinggalah terputus air mata (kering air mata). Kemudian mereka akan menangis dengan mengalir darah sehinggalah jika dilepaskan kapal pada himpunan tangisan mereka, nescaya kapal pun boleh berlayar padanya.” [Hilyah Al-Auliya’]

Seseorang minta syurga dan minta berlindung daripada neraka adalah ibadah, tetapi niat seseorang beribadah adalah kerana Allah سبحانه وتعالى. Minta syurga adalah ibadah, yang mana juga dilakukan kerana ingin berinteraksi dan berhubungan dengan Allah سبحانه وتعالى dalam hubungan kehambaan. Takut kepada neraka juga adalah sebahagian daripada takut kepada Allah سبحانه وتعالى tetapi jika tujuan ibadah lebih daripada sekadar takut neraka, iaitulah takut kepada tidak diterima oleh Allah سبحانه وتعالى, atau melakukan sesuatu kerana mengharapkan penerimaan dan redha Allah سبحانه وتعالى, maka sudah tentulah niat itu lebih tinggi berbanding sekadar melakukan sesuatu kerana takutkan neraka atau inginkan syurga.

Wallahu a’lam.

Pesan Ustaz Adnan Che Abu di FB beliau: “Petikan dari Kitab Tafridul-Kathir mukasurat 3:
إذا سمعت كلمات من أهل التصوف والكمال ظاهرها ليس موافقا لشريعة الهدى من الضلال توفق فيها واسأل من الله العليم أن يعلمك مالم تعلم ولا تمل إلى الإنكار الموجب للنكال, لأن بعض كلماتهم مرموزة لاتفهم, وهي فى الحقيقة مطابقة لبطن من بطون القرأن الكريم وحديث النبي الرحيم. فهذا الطريق هوالأسلم القويم, والصراط المستقيم.

Mafhumnya: “Apabila engkau mendengar beberapa kalimah-perkataan dari ahli Tasawwuf dan kesempurnaan zahirnya tidak sesuai bagi syariatnya Nabi yang menyatakan petunjuk dari segala kesesatan maka bertawaquflah (berdiamlah) engkau padanya dan bermohonlah (berserahlah) kepada Allah Yang Maha Mengetahui agar engkau di beri akan ilmu yang belum engkau mengetahuinya. Janganlah engkau cenderung mengingkarinya yang mengakibatkan kepada natijah yang buruk. Kerana sebahagian daripada kalimah-perkataan mereka itu adalah isyarat yang tidak mudah difahami. Padahal hakikat-isinya itu sesuai dengan batinnya daripada isi al-Quran al-Karim, dan haditsnya Nabi yang penyayang. Maka jalan ini lebih selamat sejahtera, dan jalan yang lurus.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan