TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (3) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (15) ASWJ (62) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (4) Bab Tauhid (7) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (2) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (20) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (27) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (129) Jihad Ekonomi (37) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (7) Makam Sultan/Raja Melayu (8) Makam Wali Allah (45) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (47) Masjid Lama (25) Masjid Utama (34) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (11) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (3) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) Peluang Perniagaan (1) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (1) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (24) Tawassul (5) Tulisanku (331) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (5) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) wahdatul wujud (2) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (52) Wali Melayu (24) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Ahad, 28 Mei 2017

PENGENALAN TASAWUF


PENGENALAN TASAWUF

Terdapat beberapa pendapat mengenai asal perkataan tasawwuf: Asal perkataan tasawwuf seolah-olah begitu hampir dengan kalimah sofa, yasfu, yang membawa maksud bersih. Perkataan ini dilihat hampir kerana jika dikaji daripada segi maksud dan istilah, tasawuf bertujuan untuk membersihkan batin. Justeru, makna perkataan ini bertepatan dengan kehidupan seorang ahli tasawuf atau ahli sufi yang sentiasa membersihkan diri daripada segala kekotoran batin dan membersihkan diri selain daripada Allah S.W.T.

Dalam penghuraian pengertian tasawuf, ulama sufi yang ulung di Nusantara, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani mengatakan bahawa ilmu yang memberi manfaat di negeri akhirat dan menyampaikan kepada pengetahuan hakikat terhadap kebesaran dan keagungan Allah dinamakan ilmu tasawuf. Syeikh al-Falimbani memanjangkan lagi huraiannya dengan kata beliau:

"Dan demikian ini segala kitab ilmu tasawuf semuanya itu iaitu ilmu yang memberi manfaat kerana kitab tasawuf ini telah tergantung di dalamnya ilmu usuluddin dan ilmu fiqh yang fardhu 'ain dan tiada dapat tiada daripada mengetahui akan dia oleh segala orang-orang yang suluk yakni orang yang menjalani jalan akhirat yang menyampaikan ke dalam syurga dan menyampaikan makrifat akan Allah dengan mengetahui sebenar-benarnya yang membawa takut akan Allah."

Maulana Abu Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi menyatakan bahawa tasawuf ialah intipati dan saripati islam dan juga merupakan kesempurnaan iman. Sesungguhnya tidak mungkin seseorang itu menerima dan merasa keberkatan islam serta menikmati keasliannya di dunia dan di akhirat pada individu, masyarakat, umat dan negara tanpa menghayati bidang ilmu tasawuf untuk mengikhlaskan diri, mengubati diri, membersihkan jiwa dan menghiasi diri dengan sifat ihsan dan mahmudah.

Secara tegasnya dinyatakan bahawa tasawuf adalah merupakan satu disiplin ilmu yang sah dan berasal daripada sumber-sumber yang sahih iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Cara hidup para Sahabat Nabi Muhammad s.a.w, pengikut-pengikut Sahabat dan ulama-ulama yang muktabar juga menjadi sumber ambilan tasawuf selagi tidak terkeluar daripada batas-batas yang dibenarkan oleh islam.

Dalam menyatakan hubungan antara tasawuf dan syariat Syeikh Ahmad al-Dandarawi menegaskan, "Aku jaga akan dikau daripada berkata engkau bermula Tariqah Sufiyah tiada mendatang dengan dia oleh al-Quran dan al-Sunnah, maka bahawa yang demikian itu kufur kerana perjalanan sufiyah semuanya Akhlak Muhammadiyyah tenunan panjangnya dan lebarnya daripadanya." Ibn Khaldun juga telah menegaskan bahawa ilmu Tasawuf adalah sebahagian daripada ilmu syariat. Walaupun jika dilihat sekali imbas tasawuf merupakan satu disiplin ilmu yang baru namun, ilmu ini adalah berdasarkan dan berasaskan perjalanan hidup Sahabat-sahabat r.a., pengikut-pengikut Sahabat dan ahli-ahli salaf. Asasnya adalah penumpuan kepada ibadat menuju kepada Allah S.W.T serta menolak kebanggaan dan kemewahan hidup di dunia. Sikap ini adalah merupakan sikap umum para Sahabat dan ahli salaf. Sikap-Sikap para Sahabat yang menumpukan perhatian akhirat lebih daripada dunia serta mengamalkan kehidupan zuhud mendapat sanjungan daripada Nabi Muhammad s.a.w dan Sahabat-sahabat lain.

Perkataan Imam Malik bin Anas banyak dijadikan sandaran dalam hubungan ini. Menurut Imam Malik, sesiapa yang bersyariat tanpa bertasawuf adalah fasiq dan sesiapa yang bertasawuf tanpa syariat adalah zindiq, orang bersyariat dan bertasawuf adalah orang yang selamat dan sampai kepada matlamat dan tujuan yang sebenar. Selain pegangan akidah, ahli sufi dan tasawuf adalah berdasarkan iktikad Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Hal ini telah dijelaskan oleh Imam Sya’rani:

"Ketahuilah iktikad golongan sufiyah bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa, Ianya bukan dua, Maha Suci Allah dari beranak dan diperanakkan, tiada sesuatu yang menyerupaiNya dan tiada sekutu bagiNya. Ianya menjadikan setiap suatu dengan kehendakNya tanpa diarah dan dipandu oleh yang lain, kewujudanNya adalah dengan zatNya tiada berhajat kepada yang lain. Tiada permulaan bagiNya adalah mutlak. Berterusan dan kekal abadi. Ianya terdiri dengan sendirinya. Allah bukan jawhar, bukan arah dan bukan jisim. Maha Suci dari mengambil tempat dan ruang. Allah boleh ditanggapi melalui penglihatan mata hati... Kami naik saksi bahawa Allah adalah Yang Maha Esa, memiliki sifat-sifat ketinggian dan berhak dengan sifat-sifat kepujian, maka demikianlah dengan penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. Kami naik saksi bahawa risalah dan perutusan Baginda s.a.w. adalah untuk seluruh umat manusia dengan membawa berita gembira, amaran keras dan juga menyeru mereka kepada Allah supaya beriman dan mentauhidkanNya. Sesungguhnya Baginda s.a.w. telah menyampaikan setiap sesuatu yang telah diturunkan kepadanya oleh Allah. Baginda s.a.w. telah menyempurnakan amanah yang telah diberikan kepadanya dan juga telah memberi tunjuk ajar, pimpinan dan nasihat kepada umatnya seperti yang telah dilakukan oleh Baginda s.a.w. semasa Khutbah Wida’... Golongan sufiyah percaya bahawa iman ahli neraka seperti Firaun dan lainnya tidak diterima dan tiada mendatangkan manfaat dan juga kumpulan orang-orang yang menerima tauhid tetapi melakukan dosa-dosa besar dimasukkan ke dalam neraka kemudian mereka akan dikeluarkan darinya. Syafa'at adalah hak dan setiap apa yang dibawa oleh kitab-kitab samawi dan Rasul-Rasul daripada Allah sama ada diketahui atau tidak adalah hak… Golongan sufiyah juga percaya bahawa orang mukmin menerima nikmat di dalam syurga berterusan dan berkekalan adalah hak dan demikian juga berkekalan orang-orang kafir, munafik dan musyrik di dalam neraka adalah hak dan inilah akidah golongan sufiyah seluruhnya."

Dengan ini adalah jelas bahawa asas tasawuf adalah syariat dan perjalanan tasawuf adalah bersumberkan syariat dan terikat dengannya, tiada tasawuf melainkan selari dengan syariat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan