Assalamu'alaikum,
Alhamdulillah, hamba memang kepenatan yang amat sangat. Hari ini hari bekerja, pagi tadi ada perbincangan di pejabat. Hamba sekeluarga baru menamatkan pengembaraan keluarga dari hari Sabtu (10 November 2012) sehingga semalam, 15 November 2012 (1 Muharam 1434), 6 hari 5 malam ziarah, riadhah, makan angin, melawat, berjalan-jalan, dan melancong sekitar Johor dan Melaka sempena cuti sekolah. Biasalah nak cuti sekolah, anak-anak dah tanya, cuti sekolah nanti nak pergi mana? Hamba pun dah lama tak mengembara sebegini, maksudnya pada tahun 2012 ini. Sebelum kita mendengar pengembaraan hamba dan keluarga dari BBBangi ke Benut ke Parit Raja ke Batu Pahat ke Nusajaya ke Johor Bahru ke pasir Gudang ke Kota Tinggi ke Melaka ke Pengkalan Balak ke Pulau Besar dan ke BBBangi, kita ikuti perjalanan hamba ke Bumi Palembang pada bulan lepas, dah sebulan pun artikel ini terperap.
Pada 17 Oktober 2012, hari Rabu, sehari selepas anak sulung habis PMR, hamba ke Palembang untuk urusan kerja. Dari LCCT KLIA, hamba dan kawan-kawan naik AirAsia. Hamba pun semenjak pulang dari luar negara, belum pernah naik AirAsia. Kami 'ambil' menu nasi lemah dalam perjalanan udara ini. Boleh tahanlah nasi lemah ni, kalau beli atas kapal terbang memang jauh lebih mahal dari tempah secara online. Kami mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badarudin II di Palembang. Palembang merupakan ibukota Sumatera Selatan (SumSel), bandaraya kelima terbesar di Indonesia (bukan kecik noo) dan ibukota ini mempunyai penduduk 1.5/1.6 juta penduduk. Memandangkan Sukan SEA yang lalu turut diadakan di ibukota ini, maka infrastruktur kota ini telah banyak ditambahbaik. Waktu di Palembang lewat sejam dari Malaysia (Waktu Wilayah Barat Indonesia). Kalau waktu hamba pergi ni, Maghrib di KL dan sekitar dalam jam 700 malam, maka di Palembang, dalam 600 petang dah Maghrib.
Kawasan luar Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badarudin II
Setelah turun dari kapal terbang, proses imigresen memakan masa yang agak panjang kerana hanya dua kaunter yang dibuka. Bagi penumpang yang belum pernah ke Indonesia selepas 'sistem biometrik' diperkenalkan di Indonesia, maka kena ambil gambar, ibu jari kanan dan kiri dan dua tapak tangan. Hamba kali terakhir ke Indonesia pada Jun 2006, kira-kira tiga bukan sebelum ke United Kingdom, jadi kena 'ambil biometrik' di kaunter Imigresen. Dalam sejam juga beratur di sini. Selepas kaunter imigresen, ambil beg-beg dan kemudian beg-beg penumpang tertentu akan dibuka (hamba tak kena). Segala minyak wangi, jel, dan bahan cecair akan diperiksa termasuk talkum. Indonesia nampaknya dah mengetatkan peraturan berkaitan dadah dan bahan-bahan kimia. Maklumlah, banyak kes bom buatan sendiri berlaku di Indonesia.
Troli di lapangan terbang
Selesai urusan di lapangan terbang, kemudiannya hamba dan kawan-kawan naik bas pelancong untuk makan tengahari dulu. Kami makan tengahari di Restoran Sederhana yang menyediakan Masakan Padang. ALhamdulillah....
Masih di Restoran Sederhana
Masih di Restoran Sederhana Lintau
Ehmmm, masih baru Restoran ini, dalam setahun setengah...Dato Bandar yang rasmikan...
Kena pajak a.k.a cukai 10% lagi...Kita di Malaysia masih rendah kadar cukai perkhidmatannya...
Restoran ini ada perkhidmatan penghantaran...
Selepas menjamu selera di Restoran Sederhana Lintau, kami ke Kedai Batik "Koleksi Fikri"...Kami bersolat di sini sementara rakan-rakan mencari kain songket, batik di sini. Koleksi songket dan batik di sini memang banyak, tapi harganya boleh tahan. Hamba jamu mata sahaja. Ada satu baju batik berlengan pendek yang hamba minat, tetapi tiada saiz.
Koleksi di sini buatan tangan
Corak batik dan songket mungkin sedikit berbeza. Namun umumnya ia masih memperlihatkan nilai dan tradisi Melayu
Keindahan dan keunikan songket dan batik harus dipertahankan kerana ia juga mencerminkan jatidiri Melayu.
Pekerja sedang menenun songket menggunakan kaedah tradisional
Minat dan kesabaran perlu kalau nak jadi penenun songket
Kalau anda baca sejarah, Palembang dan Semenanjung Malaysia berkongsi adat, budaya, nilai, tradisi yang sama (sudah tentu juga pada agamanya)... Penjajahan dan putar-belit sejarah oleh British dan Belanda memisahkan rumpun yang sama ke dalam dua negara yang berbeza. Semangat kenegaraan yang melampau menyebabkan ada dalam kalangan rakyat Malaysia memandang orang Indonesia sebagai orang Indonesia dan sebaliknya, sedangkan kita serumpun dan seagama. Jadi kalau kita ke Indonesia, persamaan antara kira orang Melayu Malaysia dengan mereka sebagai saudara seagama dan serumpun itu harus ditekankan. Jangan dilebarkan perbezaan yang ada sebaliknya dicari persamaan yang boleh mendekatkan kita.
Hamba dok cari baju batik yang selapis, bukan dua lapis, yang kainnya lembut dan sejuk. Kebanyakan baju batik di Indonesia ada dua lapis (panas sikit). Tak jumpa di Fikri Koleksi...
Ini kedainya...
Beca masih popular di sini
Anak baru pulang dari sekolah.
Baru lepas hujan...basikal juga popular sebagai medium pengangkutan
Ini kedainya dari jauh. Ada kawasan parkir untuk bas pelancong di situ.
Kemudian kami ke Ramayana, sebuah kompleks membeli-belah yang amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia yang ke Palembang. Ramayana memang popular cuma tidak sebesar mana.
Banyak songket, batik dan koleksi pelbagai pakaian ada di sini. Cuma baju budak-budak bawah 10 tahun susah juga nak cari....
Hamba ke kedai sebelah Ramayana. Beli telekung solat untuk anak sulung di sini. Kalau beli telekung untuk solat, hamba memang beli kain yang lembut dan sejuk sebab anak-isteri nak pakai untuk solat. Biarlah beli yang berkualiti dan 'sedikit mahal' kerana nak pakai untuk ibadat dengan Allah. Biarlah mereka pakai telekung yang selesa. Kekadang orang kita silap. Untuk hiburan dan lain-lain kegiatan, mereka sanggup berbelanja besar. Untuk ibadat dan kegiatan agama, mereka 'sedikit kedekut'.
Jumpa lagi dalam artikel seterusnya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan