Assalamu'alaikum,
Wassalam.
Selepas berehat sekejap, kami sekeluarga 'berjalan lagi'. Ini rezeki dari Allah. Hamba memang dah lama tak ke Pulau Langkawi, kira-kiranya 6-7 tahun juga. Nak kata, banyak kali ke Langkawi, rasanya dah 7-8 kali dah. Dalam hujung November, hamba 'terpilih' untuk mengikuti satu kursus di Langkawi. Jadi, tanya anak-isteri dulu, mereka nak ikut atau tidak...sebab cuti sekolah, pasti mereka nak ikut. Jadinya, pada 1 Disember, kami bertolah dari BBBangi ke Kuala Kedah.
Kami bertolak lambat juga, sampai Kuala Kedah dalam jam 2 petang lebih. Bila beli tiket dan kira perbezaannya dengan feri Kuala Perlis-Langkawi, dah tersilap. Congaknya mudah saja. Kalau naik feri Kuala Perlis, masa perjalanan lebih singkat dan tiket feri lebih murah. Tetapi anda harus menambahkan duit minyak dan masa dari Alor Setar ke Kuala Perlis. Memandangkan feri Kuala Kedah-Langkawi memakan masa yang lebih panjang, maka, perbezaan masa Alor-Setar ke Kuala Perlis jadi kurang relevan.
Perkara kedua bab parkir. Umumnya caj bayaran parkir kereta sehari semalam di kedua-dua tempat lebih kurang sama sahaja. Kalau berbumbung dan dekat dengan jeti, memang mahal, dalam RM15 semalam. Kalau jauh sikit dan tidak berbumbung, RM10 semalam. Kalau banyak malam, boleh minta diskaun sedikit. jadi perkara yang penting dalam menentukan sama ada nak ambil feri Kuala Kedah-Langkawi atau Kuala Perlis-Langkawi adalah bilangan penumpang dalam kenderaan anda. Kalau datang berdua, maka elok ambil feri Kuala Kedah-Langkawi sahaja. Kalau ramai macam hamba, tiga dewasa dan tiga kanak-kanak, maka, perbezaan tiket antara feri Kuala Kedah-Langkawi dengan feri Kuala Perlis-Langkawi amat signifikan. Jadi, kalau datang berkeluarga, elok ambil feri Kuala Perlis-Langkawi.
Memandangkan dah lama tak menjejakkan kaki ke Langkawi, terkejut juga dengan tiket yang dah mahal. Lumrah alam, semua harga barang naik, maka tiket feri pun naik. Yang keduanya, dah tak ada tiket pergi-balik. Dulunya tiket pergi-balik murah sikit. Yang ketiganya, feri-feri yang disediakan memang besar-besar. Dulunya, muatan penumpang dalam 100 orang sahaja, kalau besar sedikit dalam 150 orang. Feri yang hamba naik ini boleh memuatkan lebih 400 penumpang. Memang besar, tiga tingkat lagi. Setiap penumpang diberikan nombor tempat duduk. Yang ini hamba setuju, kalau dulu "free seat", sekarang lebih tersusun. Cuma tempat letak barang masih kecil dan tidak strategik. Hamba lihat bertimbun-timbun beg dan barang penumpang disusun di belakang feri. Memandangkan Langkawi merupakan destinasi membeli-belah, maka kawasan/ruang yang disediakan untuk letak beg/barang memang tak cukup. Nampaknya perkara ini tidak diambilkira semasa merekabentuk feri ini.
Alhamdulillah, kami sampai ke Langkawi dekat-dekat jam 400 petang juga. Kalau sampai di jeti Kuah, hamba menmang dah tahu perangai agen-agen kereta sewa di jeti. Jadi, jangan pakai cantik sangat, nanti susah nak tawar-menawar. Elok berpakaian yang mudah-mudah supaya mudah tawar-menawar dengan agen kereta sewa. Seorang agen menghampiri hamba dan menyenaraikan jenis kereta dan harga sewa sehari. Hamba kata nak Proton Iswara sahaja dengan RM90 sehari. Beliau setuju dan "pass" dengan agen lain. Agen lain pun bawa ke kawasan dalam jeti tu juga, lepas telefon sana-sini, beliau kata tak ada Proton Iswara dengan RM90 sehari. Beliau tawarkan Proton Wira RM110 sehari dan hamba tak setuju ambil Proton Wira RM110 sehari sebab agen sebelumnya dah setuju dengan tawaran hamba. Akhirnya beliau mengalah, dan hamba dapat Proton Wira dengan RM90 sehari....rezeki...Kalau Kancil, anda boleh dapat RM50-RM60 sehari, kalau kena caranya.
Tip mudah untuk ke Pulau Langkawi dengan kos yang berpatutan adalah:
- Jangan datang waktu cuti kelepasan am seperti Aidil Fitri, Tahun Baru Cina dan lain-lain hari kelepasan sebab ramai sangat orang, harga hotel naik, banyak hotel penuh dan harga kereta sewa pun naik. Begitu juga waktu Pameran LIMA, memang mahal sikit.
- Jangan datang hari Sabtu/Ahad yang bertembung atau bersambung dengan cuti umum (kelepasan am) atas sebab yang sama seperti di atas.
- Jangan datang waktu cuti sekolah seminggu...memang ramai orang dan anda akan hadapi masalah seperti di atas.
- Cuba elakkan datang waktu cuti sekolah dua minggu. Kalau nak datang juga, elakkan hari Sabtu/Ahad.
- Kalau waktu cuti sekolah panjang seperti November dan Disember lebih menarik sebab kunjungan pelancong berselerak sepanjang bulan. Kalau dapat elakkan hari Sabtu/Ahad lebih baik.
- Waktu musim tidak padat, harga kereta sewa, chalet/resort/hotel, harga barang di Langkawi tidak semahal musim padat. Dalam perniagaan, ini biasa/lumrah. Perniagaan di Langkawi adalah "seasonal", ada musim. Waktu ramai pelancong, peniaga-peniaga akan cuba dapatkan untung sebaik mungkin.
- Jadinya, kalau datang Isnin-Jumaat pada waktu bukan cuti sekolah, bukan cuti umum, ini antara yang terbaik.. Nak "walk-in" hotel pun mudah sebab banyak kosong, kalau tempah hotel melalui online pun harganya tidaklah naik tinggi, kereta sewa pun murah, harga barang pun tidak sengaja dinaikkan oleh para peniaga di Langkawi...
Dalam feri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan