Assalamu'alaikum,
Selepas singgah di Pantai Pasir Hitam (2 Disember 2012), kami ke Tanjung Rhu di utara Langkawi. Tanjung Rhu terkenal kerana pantainya yang cantik dengan pokok-pokok rhu yang menghiasi pemandangan. Resort di sini (Tanjung Rhu Resort) agak mahal dan kebanyakannya diinap oleh pelancong asing. Namun, untuk mandi-manda di pantai Tanjung Rhu, anda harus berhati-hati kerana pantainya yang curam dan pusaran air. Ada juga pelancong yang mati lemas di pantai ini. Kalau pelancong asing, mereka bukan nak mandi sangat tetapi "berjemur" di bawah sinaran mentari. Apatah lagi, bulan Disember menandakan bermulanya musim sejuk di Eropah dan Hemisfera Utara. Jadi mereka 'turun' ke negara seperti Malaysia untuk lari daripada musim sejuk.
Biasanya hamba dan keluarga makan di sebuah gerai apabila datang ke sini. Kali ini kami membuat rancangan yang berbeza. Kami nak ambil Mangrove Tours. Selepas berbincang dengan sebuah syarikat tempatan yang menguruskan Mangrove Tours di Tanjung Rhu, kami setuju untuk ambil sebuah bot. Jurumudi kami berterus-terang bahawa harga kami memang dah rendah kerana kami berurusan terus dengan pengusaha, bukan melalui agen. Harga untuk pelancong asing memang berganda mahalnya. Kami turun sedikit dari Pantai Tanjung Rhu, kami ke jeti yang disediakan.
Jeti Mangrove Tours
Memang banyak bot yang tersedia untuk melayan pelancong
Hamba bertanya sama ada jaket keselamatan untuk budak-budak...Alhamdulillah, ada jaket keselamatan untuk budak-budak 3-6 tahun, tidak seperti Taman Negara Teluk Bahang.
Kami dah meninggalkan jeti
Bot kami sebesar ini. Melalui temubual hamba dengan En. Hafiz, jurumudi kami, bot ini secara keseluruhannya berharga RM50,000. Tokey beliau, seorang usahawan Melayu memiliki 10 bot.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan