TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Rabu, 1 Mei 2013

Nak Undi Siapa? Pandangan Hamba


Assalamu’alaikum warrahmatullahi wabarakatuh,







Agak lama tiada posting terbaru di blog hamba. Hamba memang sibuk sedikit 2-3 bulan ini. Kekadang Sabtu dan Ahad pun ada urusan kerja. Tapi itulah kehidupan dan perjuangan, ada pasang-surutnya. Insya-Allah, bulan Jun sehingga Disember nanti kurang sibuk sedikit, moga-moga begitu. Banyak najitah tulisan hamba ini kepada para pembaca. Akan ada yang melabel hamba penyokong parti tertentu dan sebagainya. Stereotaip adalah masalah manusia, melabelkan manusia berdasarkan perkara tertentu sedangkan RSAW tidak ajar kita begitu. Tidak bolehkah kita tidak melabel seseorang berdasarkan ciri tertentu sebaliknya mengambil langkah berprasangka baik dan mengenali hati budi seseorang terlebih dahulu. Bukankah itu yang diajar RSAW. Bukankah RSAW mengajar kita mengasihi seseorang dengan sederhana, jangan taksub kerana kelak orang yang kita kasih itu jadi musuh kita bagaimana? (Cintailah seseorang secara sederhana ( berpada-pada, tidak berlebih-lebihan) dan bencilah pada sesorang secara sederhana juga).


Beberapa sahabat meminta pandangan hamba tentang situasi politik semasa, nak undi siapa. Hamba jawab, Insya-Allah hamba akan tulis di blog hamba. Kerana ‘Insya-Allah’ seorang Islam bukanlah bermaksud mudah untuk lari daripada berbuat sesuatu dan berlapik dengan jawapan Insya-Allah, tetapi berusaha untuk membuat apa yang diperkatakan, maka hamba tuliskan coretan ini.  Hamba bukanlah seorang yang tinggi iman, bukanlah seorang yang banyak amal-ibadat, bukanlah seorang ulamak, bukan pula seorang ahli politik. Moga-moga ada manfaatnya. Jika bermanfaat pada pandangan anda, sebarkanlah, jika tidak bermanfaat dan ada kesilapan, anda boleh komen. Jika tidak puas hati, anda boleh emel hamba dan kita boleh berjumpa secara zahir dan batin. Emel hamba adalah qulamirulhakim@gmail.com.  Kalau jumpa hamba pun, hamba bukan nak debat panjang-panjang, hamba akan setuju jumpa di masjid, ajak sama-sama buat solat hajat berjemaah dan serah/mohon petunjuk Allah...tu saja.


Agak mendukacitakan melihat akhlak2 rakan2 di FB apabila musim pilihanraya ini tiba. Dalam Pilihanraya ini kita boleh lihat siapa yg beriman dengan sistem demokrasi sbg rukun iman ketujuh... Terlalu ramai yg memenangkan puak masing2...terlalu sedikit yg mengajak kepada penyatuan ummah... politik menjadi agama baru di Malaysia...Lihatlah bagaimana mereka yg mengaku pengamal tasawuf pun 'terperangkap' dalam mainan sistem demokrasi... mencari kemenangan parti, bukannya kebenaran agama Allah...Lihatlah bagaimana pengamal tasawuf berkongsi macam2 perkara di FB dll tanpa menghiraukan benar atau salah, fitnah, umpatan atau berita, tanpa kisah bab dosa dan pahala...itukah yg diajar dalam tariqat anda? Itukah yg dididik Mursyid anda? Kata belajar tasawuf, zikir dalam dan nyata, tetapi bila masuk musim pilihanraya, baru 'nampak wajah sebenar'... Tasawuf tak dapat membaiki akhlak dan diri...habis tu? Masa pilihanraya inilah utk org tasawuf tunjuk contoh, Yang bergaduh didamaikan, Yang jauh didekatkan, bukan menyemarakkan lagi....berhujah dgn dalil Al-Quran tak habis...masing2 guna ayat Al-Quran utk memenangkan puak masing2...rujuklah dan mohonlah petunjuk Allah...Selagi melihat org UMNO sbg org UMNO, org PAS sbg org PAS, masih pemikiran dipengaruhi oleh sistem demokrasi...Lihatlah org UMNO sbg org Islam, org PAS sbg org Islam, lihatlah orang Muslim sbg saudara seagama...itukan yg diajar RSAW...`.



Kalau anda baca posting-posting hamba yang lalu, anda sedikit sebanyak pernah membaca satu pandangan hamba, “Jangan beriman dengan sistem demokrasi”. Sistem demokrasi bukanlah sistem pemerintahan yang dianjurkan dalam Al-Quran dan bukan sistem pemerintahan yang dijalankan oleh Junjungan Nabi Muhammad SAW. Ia adalah rekaan Barat dan sejarah menunjukkan banyak negara kini menjalankan sistem pemerintahan demokrasi. Malaysia juga melaksanakan sistem ini dengan sedikit pengubahsuaian berbanding Barat iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan, ini berbeza dengan demokrasi di Indonesia, Mesir, Amerika Syarikat dan lain-lain negara.

Sistem ini walaupun dilihat baik, banyak kelemahannya. Apa kelemahannya, anda boleh baca dalam huraian hamba kelak.  Memandangkan sistem ini rekaan manusia, maka sistem ini telah merosakkan manusia sama ada ulamak, pemimpin masyarakat, peniaga, hubungan suami-dengan isteri, hubungan ibu-bapa dengan anak-anak, hubungan dalam masyarakat dan lain-lain. Hamba bukanlah golongan Hizbur Tahrir yang menolak langsung sistem demokrasi. Sebagai rakyat Malaysia yang berpendidikan, memahami sejarah lalu dan perkembangan semasa, demokrasi di Malaysia perlu digunakan untuk tujuan yang baik. Apa tujuan yang baik? Demokrasi perlu digunakan untuk memelihara agama Islam, mengembangkan agama Islam, mempertahankan agama Islam, demokrasi perlu digunakan untuk menjaga jiwa, akal, keturunan dan harta. Itulah asas dalam Islam. Inikah yang berlaku dalam konteks Malaysia?

Hamba tidak bermaksud mempertahankan demokrasi. Sistem ini akan lupus jua nanti apabila masa yang dijanjikan oleh Allah SWT tiba. Bersabarlah, puzzle telah turun  di merata tempat, tiada yang mendapat puzzle yang lengkap, hanya DIA yang mengetahui segala-galanya. Tetapi orang Islam di Malaysia dalam konteks dan suasana sekarang harus menggunakan demokrasi sebaik-baiknya untuk kepentingan agama, bukan kepentingan lain. Kepentingan dan keutamaan bertindak dalam demokrasi harus disusun mengikut agama, bukan mengikut parti, bukan kepentingan undi, bukan kepentingan kemenangan. Anda lihatlah dalam musim pilihanraya ini, kemenangan yang dicari, bukan mencari kebenaran disisi Allah. Parti politik yang bertanding (PAS dan UMNO contohnya),  mencari kemenangan dalam pilihanraya. Untuk mencari kemenangan dalam pilihanraya, maka 1001 cara dihalalkan dan diharuskan. Anda masuk Facebook dan lihat sendiri bagaimana berita/cerita/kisah dipaparkan dan dikongsi tanpa mengetahui kebenaran berita tersebut. Maka, jadinya umpatan, kejian, fitnah disebarkan manusia yang mengaku Islam, yang mengaku parti Islam, yang mengaku memperjuangkan agama, tanpa mengira apa parti mereka. Ini adalah kenyataan, bukan fantasi. Blog digunakan untuk menyebarkan apa sahaja ‘yang dirasakan benar’ agar memperoleh kemenangan, tanpa mengira sumber berita, tanpa mengira kebenaran berita, tanpa mengira dosa dan pahala, agar boleh “mempengaruhi” orang lain mengundi calon mereka, parti mereka.  Jangan kata anda dari PAS tidak melakukan perkara ini. Jangan kata anda dari UMNO tidak melakukan perkara ini.

Sebahagian besar rakyat Malaysia belum matang untuk bergelumang dengan sistem demokrasi. Kekadang hamba senyum sendirian memikirkan beberapa pemimpin politik mencadangkan perdebatan dan perbahasan dalam musim pilihanraya untuk mengikut contoh masyarakat Barat. Samakah nilai, cara, prinsip hidup dan kematangan masyarakat Malaysia dengan masyarakat Barat? Perdebatan dan perbahasan secara tertib dan ilmiah boleh diadakan jika tiada pihak yang taksub dengan parti/pemimpin mereka, berfikiran terbuka, sanggup menerima kritikan, berlapang dada atas kelemahan sendiri, mencari yang terbaik untuk  negara. Anda pergilah ceramah-ceramah politik, itukah yang ada di ceramah-ceramah politik? Perlukah perdebatan jika anda hanya melihat parti anda saja betul, parti orang lain salah. Perlukah perbahasan jika 1001 kelemahan parti anda dibuka, anda menganggapnya sebagai fitnah/tidak betul. Perlukah perdebatan jika ia tidak memungkinkan anda melihat ada beberapa idea baik, cadangan bernas dari pihak lawan??? Apa yang anda cari dalam perdebatan itu sebenarnya? Seronok mendengar berapi-rapi pendebat berbahas, tanpa melihat intipati, idea, cadangan mereka. Masyarakat Malaysia amnya, orang Melayu/Islam khasnya, hanya melihat kuahnya, bukan isinya. Realitinya orang Melayu melihat siapa yang hebat berceramah, siapa yang pandai bercakap, apa lawak yang dikatakan, sejauhmana hebat penceramah membelasah lawan mereka, sejauhmana penceramah memanipulasi pihak lawan untuk kepentingannya, bukan intipati, idea, cadangan bernas dalam sesuatu ceramah.


Hamba berpengalaman menyaksikan sendiri bagaimana masyarakat di UK menghadapi pilihanraya umum. Sedikit-sebanyak mereka berjaya menggunakan demokrasi untuk kebaikan masyarakat mereka, walaupun dalam masa yang sama demokrasi merosakkan mereka. Anda bayangkan demokrasi digunakan untuk menghalalkan perkahwinan lelaki sesama lelaki dan telah diluluskan di berbelas-belas negara Barat/warisan Barat. Apa yang hamba maksudkan demokrasi ada  had dan keupayaannya, jika disalahgunakan, maka masyarakat akan rosak. Kematangan masyarakat di Barat berpolitik dalam demokrasi antaranya kerana nilai-nilai yang ditanam dalam kehidupan seharian. Seorang pensyarah agama dari Malaysia yang menyambung belajar di UK, dalam bidang teologi, menyatakan kepada hamba. Semasa kegemilangan Islam di Andalusia dan Baghdad, orang putih datang dari seluruh pelusuk Eropah untuk belajar dengan orang Islam. Mereka membawa balik, selain ilmu-ilmu, adalah nilai-nilai hidup, prinsip-prinsip hidup, apa yang baik dalam tamadun Islam pada waktu tersebut. Mereka tidak bawa balik perkara-perkara yang tidak baik yang ada dalam tamadun Islam pada waktu tersebut. Akhirnya Eropah mengalami zaman Pembaharuan dan Eropah (termasuk Amerika Syarikat) maju dan kini ‘memimpin dunia’.

Apa yang kita tanam, terap, didik, cuba bentuk dalam sistem kehidupan berumahtangga, untuk anak-anak kita, dari rumah sehingga ke sekolah sehingga ke menara gading? Lihatlah sendiri, masuklah bercampur gaul dengan masyarakat, rasailah apa yang berlaku dalam masyarakat Islam masa ini. Berapa ramai orang Islam yang mengaku memperjuangkan agama Allah  mengajar kebencian sesama Islam, menjatuhkan hukum kafir kepada saudara seagama, bercerai kerana berlainan parti, bermusuh ibu-bapa dengan anak-anak disebabkan persengketaan politik, mengajar anak-anak kecil seusia tadika membenci mereka dari parti politik berbeza, berpecah-belah masyarakat dalam kampung kerana fahaman parti politik, memboikot kenduri kahwin kerana parti politik, memboikot talkin kubur kerana politik berbeza dan 1001 masalah lain. Inikah yang diajar Islam? Inikah yang dididik RSAW? Atas dasar itu berlaku kerana fahaman politik yang berbeza, maka ada benarnya hujah hamba bahawa demokrasi merosakkan umat Islam di Malaysia. Bab mereka yang suka kafir-mengkafir ini, seorang guru hamba mengatakan mereka ini dirujuk dalam Al-Quran sebagai “....golongan yang melampaui batas...”.

Kita mendidik anak kita dengan perkara ini kerana merasakan perjuangan parti politik kita adalah untuk agama Allah, tetapi kita lupa bahawa parti politik bukanlah sempurna, boleh berubah arah tujunya, boleh rosak perjalanannya, ‘boleh digadai apa yang ada’ demi sekelumit kuasa. Tidak ada "Dulu, kini dan selamanya" dengan parti-parti politik sama ada PAS atau UMNO. Dulu, kini dan selamanya ‘hanya ada’ dengan Allah SWT, bukan dengan parti politik, bukan dengan perjuangan mana-mana parti politik. Malah tagline Dulu, kini dan selamanya dengan parti politik boleh menjurumuskan kita dengan kesyirikan, berhati-hatilah. Malang sekali kita boleh mendidik anak-anak kita dengan perjuangan parti politik anutan kita tetapi tidak boleh mendidik mereka dengan mengenal Allah. Kita ikat kasih-sayang, pengorbanan, perjuangan kita dan anak-anak kita dengan parti politik, malang sekali kita tidak ikat kasih-sayang, pengorbanan, perjuangan kita dan anak-anak kita dengan Allah SWT.

Itulah yang hamba cuba buat dengan anak-anak hamba. Ikatkan hati, kasih-sayang, perjuangan dan pengorbanan mereka dengan Allah Taala, secara bertahap, peringkat demi peringkat, tidak sesekali dengan mana-mana parti politik. Dalam 1001 kelemahan hamba sebagai seorang bapa, moga-moga anak hamba sentiasa dekat hati mereka dengan Allah, banyak menyebut kalimah Allah, selalu teringat akan Allah, berhubung dengan Allah, mohon hanya kepada Allah, takut hanya kepada Allah, sentiasa berharap kepada Allah. Tidak sesekali dengan parti politik yang bernaung  di bawah sistem demokrasi rekaan manusia yang banyak merosakkan umat Islam.

Kalau kita nak bongkarkan kesalahan dan kesilapan parti-parti politik yang mewakili umat Islam ini, memang tak habis. Lagi lama mereka memerintah, lagi banyak kebobrokan, kesalahan, kejahilan, kemaksiatan yang mereka lakukan dan biarkan ia berlaku. Kalau hamba kritik UMNO, pembaca yang menyokong UMNO mungkin kata hamba penyokong PAS, kalau hamba kritik PAS, pembaca yang menyokong PAS mungkin kata hamba penyokong UMNO. Itulah stereotaip, masalah besar masyarakat Islam di Malaysia. “Melabelkan seseorang berdasarkan ciri tertentu”. Kita tidak atau kurang dididik untuk berlapang dada menerima pendapat, menerima teguran, kita tidak dibiasakan untuk menerima idea-idea baru, cadangan pihak lawan yang lebih bernas. Kita tidak terbuka untuk menerima kelemahan diri/parti kita, kita mudah menghukum manusia berdasarkan pengalaman singkat kita mereka dengan mereka, kita dididik untuk mencari kesalahan pihak lawan, bukan mencari penyelesaian atas masalah yang sedang berlaku. Kita memiliki minda kelas bawahan, minda ke arah mazmumah bukan minda kelas atasan, minda ke arah mahmudah.


Bagi penyokong UMNO, kebaikan UMNO itu yang selalu diketengahkan agar jasa dan perjuangan itu dibalas kembali dengan undi. Dalam masa yang sama, UMNO juga dipenuhi dengan mereka yang mencari kekayaan, mencari peluang, membina empayar masing-masing melalui UMNO. Masih ramai rakyat yang miskin, masih ramai rakyat yang susah, masih banyak kampung yang ketinggalan. Apakah UMNO berpuashati dengan pembangunan lebih 56 tahun yang mereka terajui? Lihatlah Korea Selatan yang lebih mundur berbanding Malaysia pada tahun 1970 tetapi kini jauh lebih maju berbanding Malaysia. Mereka tidak punya kekayaan khazanah alam seperti Malaysia tetapi mengapa mereka lebih maju selepas 40 tahun? Apakah UMNO berpuashati dengan usaha, dasar dan keringat mereka? Lihatlah kebejatan sosial yang berlaku masa kini, masalah anak muda, masalah sosial masyarakat, korupsi yang berleluasa, pegawai penguasa yang ikut suka depa, golongan kaya yang semakin kaya, kelompok elit Melayu yang tidak berjiwa Melayu, dan 1001 masalah. Tidakkah UMNO bertanggungjawab dalam perkara ini kerana adalah parti yang memerintah? Sudah pasti UMNO bertanggungjawab tetapi tidak boleh 100% kita menyalahkan UMNO.  Kita tidak mendidik anak-anak kita, saudara-mara kita di sebalik kebobrokan UMNO, maksiat yang dibenarkan oleh UMNO, ada juga kebaikan parti UMNO ini. Tidak ada langsungkah kebaikan parti UMNO? Di sebalik pemimpin UMNO yang bermasalah moralnya, yang korupsi, yang mengaut pelbagai kekayaan dalam negara untuk kantung mereka sahaja, yang mementingkan diri sendiri, ada juga pemimpin UMNO yang baik, yang tulus berkhidmat untuk rakyat, yang membantu rakyat tanpa mengira parti politik, kaum dan agama penduduk kawasan mereka.

Bagi penyokong PAS, ramai mencari 1001 cara untuk menidakkan kebaikan yang UMNO lakukan untuk agama, bangsa dan negara. Ini tidak betul!  Kita juga mewarwarkan kebaikan parti kita saja. Tidak adakah pemimpin PAS yang rendah moralnya? Hamba sendiri tidak yakin PAS memperjuangkan hudud kerana hudud bagi PAS ‘hanya ketika musim pilihanraya’. Ini kerana Hudud sendiri telah tiada dalam manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan dalam PRU-13 ini. Apakah PAS melaksanakan perkara-perkara yang perlu, membuat persiapan yang penting, satu demi satu  untuk melaksanakan Hudud selepas Enakmen Hudud diluluskan di DUN Kelantan tahun 1993. PAS bersedia untuk melaksanakan hudud sekarang jika UMNO bersedia menyokong Hudud untuk dilaksanakan di Kelantan? Sedangkan hukuman takzir yang berkaitan kesalahan zina pun PAS ‘bermasalah dalam menanganinya’.  Hamba menyokong Hudud, takzir dan lain-lain hukum Islam untuk dilaksanakan. Cuma Islam bukanlah ‘hukuman semata-mata’. Islam itu sempurna, cukup indah, cukup cantik, maka memerlukan kebijaksanaan untuk berfikir dan bertindak.

Jika anda menyalahkan UMNO/BN atas berleluasanya maksiat di Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain di bawah pemerintahan UMNO/BN tetapi kenapa anda tidak menyalahkan PAS atas berleluasanya maksiat di Kedah (Pulau Langkawi, Sungai Petani sebagai contoh) sedangkan Kedah di bawah pemerintahan PAS. Pantai Cenang di Langkawi kalau di bulan Januari dan Februari seperti Hawaii, adakah kerajaan negeri di bawah PAS tidak ada kuasa langsung? Kenapa pusat-pusat hiburan berkembang di Sungai Petani, PAS buat apa? Gejala maksiat di lorong-lorong gelap di Kota Bharu, PAS buat apa sedangkan Kota Bharu diwarwarkan sebagai bandaraya Islam? Mengambil sikap menyalahkan memang mudah, tetapi mencari jalan penyelesaian bukanlah mudah dalam konteks sekarang. Mudah menyalahkan pihak lain bukanlah peribadi yang patut ada pada seorang Islam.  Umat Islam memerlukan pemikiran kepada substantif/isi/intipati, bukan kepada label/kuah. Ramai dalam kalangan kita yang suka dengan label/kuah sedangkan substantif/isinya kurang!!!  Kita memerlukan individu yang tinggi imannya walaupun zahirnya biasa sahaja daripada individu yang zahirnya elok tetapi pincang imannya. Tetapi kalau kita boleh menjadi individu yang zahir dan batinnya cantik, itulah paling baik. Kita perlu mengajak rakyat melihat kepada substantif dalam sesuatu perkara bukan kepada luaran/kuahnya!!!  Apa yang hamba nak sampaikan adalah kita tidak mendidik anak-anak kita, mereka di bawah kita dengan cara menilai yang betul.  Kalau nak berhujah dengan dalil Al-Quran dan Al-Hadis, memang kedua-dua pihak akan mempunyai dalil masing-masing.  Kita seharusnya mengkritik UMNO dan PAS, bukan kerana mencari kesalahan dan kesilapan parti ini tetapi kerana untuk membaiki, menasihat, atas dasar kasih-sayang kita kepada umat Islam yang bernaung di bawah parti politik ini.

Pada pemerhatian hamba, ada pejuang-pejuang Islam, pejuang-pejuang rakyat dalam kedua-dua parti politik tersebut. Dalam masa yang sama ada munafik dan fasik dalam kedua-dua parti tersebut.  Hamba tidak menyalahkan atau menyokong mana-mana individu atau kelompok yang ingin masuk PAS atau UMNO. Kalau anda sudah melakukan solat istikharah yang cukup atau lain-lain usaha untuk memohon petunjuk Allah, sudah mendapat petunjuk Allah yang jelas untuk masuk PAS, adakah hamba perlu menyalahkan petunjuk Allah itu? Sudah pasti tidak. Kalau anda sudah melakukan solat istikharah yang mencukupi, sudah mendapat petunjuk Allah yang jelas untuk masuk UMNO, adakah hamba perlu menyalahkan petunjuk Allah itu? Sudah pasti tidak. Kalau anda sudah melakukan solat istikharah dan banyak memohon petunjuk Allah, kemudian mendapat petunjuk Allah yang jelas untuk tidak masuk mana-mana parti politik, adakah hamba perlu menyalahkan petunjuk Allah itu? Sudah pasti tidak.

Seorang lulusan Al-Azhar baru balik ke Malaysia, katakan namanya Ustaz Abu, memohon pertolongan Allah SWT untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dan akhirnya beliau diterima sebagai editor agama di Utusan Malaysia sebagai contoh. Beliau seperti tidak mahu terima tawaran ini dan berterusan memohon petunjuk Allah SWT dan masih mendapat petunjuk yang sama untuk menerima jawatan sebagai Editor Agama di Utusan Malaysia. Beliau akhirnya menerima pekerjaan itu kerana diberikan petunjuk Allah menerima jawatan itu. Bagi penyokong PAS, Ustaz Abu mungkin dianggap sebagai penyokong UMNO tetapi kita tidak tahu ada kemungkinan Allah SWT 'memasukkan' Ustaz Abu ke dalam Utusan Malaysia untuk mendidik, mendakwah atas kapasitinya sebagai editor agama. Sahabat Ustaz Abu, Ustaz Bakar pula balik ke Kelantan dan memohon pekerjaan dan akhirnya mendapat tawaran kerja di sebuah agensi/jabatan di bawah kerajaan negeri Kelantan. Setelah berterusan memohon petunjuk Allah SWT, adalah jelas petunjuk Allah SWT agar Ustaz Bakar menerima jawatan itu. Walaupun 'kelihatan seperti berbeza parti', persahabatan tidak harus dirosakkan atas nama parti, dan lain-lain sebab. Begitulah juga para ulamak, agamawan yang berada di belakang BN, harus Allah SWT berkehendak mereka di situ untuk menjalankan aktiviti-aktiviti agama dalam kerajaan sedia ada dan lain-lain sebab yang Allah SWT lebih mengetahui. Begitu juga ulamak dan agamawan di dalam PAS sebagai contoh. Harus mereka bersama PAS untuk membantu perjuangan Islam, menegur apa yang patut, menasihat pemimpin PAS dan sebagainya. Kita tidak tahu kehendak Allah, kita tidak memiliki pengetahuan seperti Allah. Hanya Allah SWT yang maha meliputi pengetahuan-NYA.  Jadi kalau anda diberikan petunjuk Allah masuk PAS, masuklah PAS, Kalau anda diberikan petunjuk Allah masuk UMNO, masuklah UMNO. Kalau anda diberikan petunjuk Allah tidak masuk mana-mana parti politik, tak perlu masuk mana-mana parti politik. Jangan menyalahkan orang lain atas dasar ketentuan Allah berbeza atas setiap makhluk.


Yang memiliki pengetahuan yang meliputi segala sesuatu hanya Allah SWT, bukan manusia. Kita tidak tahu kehendak Allah, apa sahaja yang berlaku adalah mengikut kehendak Allah, bukan mengikut kehendak kita.  Kalau kita faham yang ini tidak susah. Tidaklah kita mudah menyalahkan, melabelkan orang-orang yang berlainan parti politik dengan kita.  Hamba tidak larang pembaca menegakkan  kebenaran dan mencegah kebatilan tetapi harus dalam adab-adabnya, ada batasannya.

Dalam BN ada parti dominan bukan Islam seperti MCA, MIC dan Gerakan. Dalam PR ada parti dominan bukan Islam seperti DAP dan PKR. Kalau sesama orang Islam, kita dituntut berhati-hati dengan berita yang dibawa oleh orang fasik, berjaga-jaga dengan golongan munafik, apatah lagi adab dan hubungan kita dengan orang bukan Islam. Umat Islam tidak boleh melihat parti bukan Islam ada dua, iaitu MCA, MIC dan Gerakan dalam BN dan DAP dan PKR dalam PR. Kita perlu melihat kafir harbi dalam kedua-dua parti (BN dan PR) dan juga kafir zimmi dalam kedua-dua parti (BN dan PR). Maksudnya cara kita menanggapi, mempersepsi perlu berubah kerana kita memperjuangkan Islam, bukan memperjuangkan parti politik pada hakikatnya.  Orang Cina adalah strategis yang hebat. Pernahkah anda membaca Seni Peperangan karya SunTze, lain-lain buku seni dan strategi dalam masyarakat Cina? Takpun pernah anda melihat filem Cina yang memaparkan kisah-kisah peperangan dan strategi? Hamba tidak menyuruh pembaca membenci orang Cina kerana lebih ramai orang Cina Islam di muka bumi berbanding orang Islam di Malaysia. Sejarah juga menunjukkan orang Cina  menerima Islam lebih awal  berbanding kepulauan Nusantara. Jangan benci orang Cina, RSAW tidak megajar kita membenci mengikut kaum. Kita harus melihat orang bukan Islam pada umumnya sebagai golongan yang harus didekati untuk disampaikan dakwah Islam. Islam membawa rahmat ke sekalian alam. 

Cuma, orang Islam dalam BN dan PR harus bijaksana dalam  menghadapi Kafir Harbi, sama ada Cina, India mahupun lain-lain kaum. Peringatan dalam Al-Quran adalah berkaitan bahaya Yahudi, Nasrani dan orang kafir, bukan bahaya mengikut kaum/etnik.   Jangan kuasa yang dikejar tak dapat, banyak lagi yang sedang dikendong berciciran. Realiti semenjak 2008 menunjukkan apabila umat Islam Malaysia berpecah teruk, maka orang bukan Islam yang untung. Lihatlah realiti yang berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Selangor di bawah pemerintahan PR dan bagaimana kerajaan Persekutuan (BN) memberikan 'pelbagai perkara' kepada masyarakat bukan Islam.  Perpecahan mengundang kerugian, bukannya keuntungan. Kalau roh Islam yang diutamakan, maka kerajaan majoriti mudah orang Islam boleh ditubuhkan di Perak dan Selangor. Namun realiti menunjukkan semangat dan kepentingan kepartian melebihi roh keIslaman. Itulah 'natijah' demokrasi jika kita tidak tahu atau tidak faham bagaimana sistem rekaan manusia ini boleh merosakkan agama Islam.  Kelemahan demokrasi menyebabkan UMNO/PAS 'terpaksa' mempertahankan kebatilan yang ada dalam parti-parti rakan mereka.

Lihatlah sendiri dalam isu Kalimah Allah. Tidak ada isu paling penting pada hamba dalam Pilihanraya Umum ke-13 ini melainkan isu ini.  Bagaimana liciknya pihak Kristian dan lain-lain NGO bukan Islam mempergunakan isu ini yang akhirnya bertujuan merosakkan agama Islam dalam jangka panjang.  Kata guru hamba di hujung benua, 'Bala ke atas siapa yang mengizinkan Kristian menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible mereka'. Mengundang bala bermakna mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Lihatlah bagaimana 'susahnya' BN hendak membuat keputusan sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan hukumnya. Alhamdulillah, akhirnya UMNO/BN sebagai kerajaan yang memerintah tidak membenarkan kalimah ini digunakan dalam Kitab Bible. Lihatlah betapa besarnya kesalahan pimpinan PAS yang bersetuju pada awalnya untuk mengizinkan orang Kristian menggunakan kalimah yang MAHA AGUNG ini dalam kitab Bible mereka. Betapa silapnya Pemimpin PAS sehingga menandatangani persetujuan bersama pemimpin PR yang lain untuk mengizinkan Kristian menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible. Istighfar panjang hamba.... Alhamdulillah, akhirnya Majlis Syura PAS memutuskan sebaliknya, terima kasih kepada Ustaz Haron Din yang konsisten dalam isu ini.  Pendapat hamba mudah saja. Pertamanya mendoakan siapa yang mengizinkan kalimah Allah ini digunakan  oleh Kristian dalam kitab Bible mereka diberikan petunjuk Allah dahulu. Kalau mereka-mereka ini, orang Islam ini masih berterusan mempertahankan pendapat mereka mengizinkan orang Kristian menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible, hamba mendoakan diturunkan bala ke atas mereka-mereka ini. Terpulang Allah Taala nak turunkan bala yang bagaimana kalau permohonan hamba itu diperkenankan. Banyak lagi kalau nak tulis bab Kalimah Allah ini, tetapi tidak sesuai untuk bacaan umum.


Hamba pernah dahulunya menyokong UMNO, kemudiannya menyokong PKR/Gerakan Reformasi dan seterusnya menjadi penyokong PAS. Kemudiannya dan akhirnya, sehingga kini, hamba tidak menyokong mana-mana parti politik, tidak taksub kepada mana-mana parti politik dan ulamak, hanya taksub kepada Allah dan Rasul. Hamba pendokong kebenaran. Kalau timbul apa-apa masalah yang hamba kurang jelas, hamba mohon petunjuk Allah.  Hamba bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana perjalanan fahaman politik hamba itulah merupakan satu 'tarbiyah' daripada Allah SWT. Allah Taala 'mendidik' hamba melalui pengalaman hidup hamba akan positif dan negatif parti-parti politik tersebut, nikmatnya dapat melihat kebaikan dan keburukan, kekuatan dan kelemahan setiap parti politik tersebut. Ia menambahkan kematangan hamba, membuka minda hamba akan had-had demokrasi dan keburukan demokrasi.  Akhirnya yang paling penting adalah hamba hanya taksub pada Allah dan Rasul. Justeru itu, hamba tidak menyalahkan sesiapa yang menjadi penyokong parti PAS atau UMNO. Banyak petunjuk Allah dalam masa hamba melayari perjalanan politik ini, kalau nak cerita, orang tak faham, hamba pun tidak bisa memahami kesemuanya tetapi itulah perancangan, ketentuan dan kehendak Allah untuk hamba. Kita tidak tahu perancangan Allah Taala atas apa yang berlaku. Kita tidak tahu mengapa kehendak Allah Taala sebegitu rupa.  Nak tahu lebih lanjut, bacalah tulisan hamba di sini, di sini dan di sini.


Akhir kata, walau siapapun anda, walau apa parti politik anda, tinggalkan kefahaman anda tentang apa  yang anda baca sebelumnya (dalam artikel ini) dan artikel-artikel hamba yang lain.  Tinggalkan parti politik anda, pemimpin/ulamak yang anda suka dan puji. Buangkan marah, dendam kesumat, hati anda yang bermasalah, benci-membenci sesama umat Islam, marah anda pada pemimpin politik, geram anda pada parti politik yang berbeza. Nak undi siapa? Masa masih ada, mohonlah petunjuk Allah, sama ada melalui Solat Sunat Istikharah, Solat hajat atau lain-lain amalan agama. Mohonlah sendiri kepada Allah AWJ siapa yang patut anda mengundi dalam PRU-13 ini.  Mohonlah dengan bersungguh-sungguh, dengan betul-betul merendah diri kepada-NYA (buangkan segala ketaksuban politik anda di sini), dengan linangan air mata, duduklah dalam 'Tauhid RSAW', 'Tiada daya upaya aku melainkan dengan pertolongan dan bantuan Allah Taala yang Maha Agung', mohonlah kepada-NYA atas segala sifat-NYA yang sesuai atas doa anda.  Mohonlah betul-betul sehingga anda yakin sebenar yakin dengan petunjuk Allah yang anda perolehi. Mengundilah mana-mana calon/parti yang ditunjuki Allah atau  anda tidak perlu mengundi (harus disisi-NYA) jika itu petunjuk-NYA.     Sesudah mengundi, bertawakallah kepada Allah AWJ dan redha dengan segala yang berlaku kerana yang berlaku adalah kehendak Allah, bukan kehendak kita.


Wassalam



2 ulasan:

  1. Alhamdulillah
    Trima kasih atas panduan yg sgt berguna.
    Semoga bermanafaat utk semua

    kc

    BalasPadam
  2. Sama2 KC. kongsilah dgn siapa yg bermanfaat.

    BalasPadam