TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Rabu, 10 November 2010

Sandaran Perbuatan Makhluk Dengan Tuhan-Tulisan Tuan Al-Faqir 101-BSC

http://www.bicarasufi.com/bsc/viewtopic.php?p=469203#469203

Kalau perbuatan makhluk bukan dari Tuhan, maka adakah daripada diri mereka sendiri? Kalau daripada diri mereka, dari mana mereka memiliki "kuasa" untuk melakukan perbuatan tersebut sedangkan "wujud" diri mereka sendiri bukan daripada diri mereka, apatah lagi "kuasa" yang menumpang sifat "Wujud"? Makhluk yang wujud daripada tiada bererti kewujudan dirinya bukan daripada dirinya. Jika kewujudan dirinya sendiri bukan daripada dirinya, bagaimana kuasa dan perbuatan secara hakiki daripada dirinya?

Perbuatan kembali kepada kuasa, kehendak dan ilmu. Ilmu, kuasa dan kehendak makhluk adakah daripada diri mereka atau daripada selain diri mereka? Sudah pasti ilmu, kuasa dan kehendak daripada selain diri mereka iaitulah daripada ALLAH s.w.t. yang bersifat qadim secara zat dan sifat-sifatNya.

Masalah perbuatan ALLAH s.w.t. dan makhluk kembali kepada perbahasan "kehendak" itu sendiri. Maka, alfaqir -dengan bantuan ALLAH s.w.t.- cuba menyusun perbahasan ringkas ini dengan neraca syarak bteraskan kefahaman ahlus-sunnah wal jamaah.

Ada dua jenis pilihan. Pilihan makhluk yang terikat. Pilihan ALLAH s.w.t. yang tidak terikat. Kita memilih dengan "pilihanNya". Dia memilih dengan pilihanNya.

Istilah terikat ialah Muqoyyad dan istilah tidak terikat/bebas/tersendiri/terasing ialah Mutlak. Sesuatu yang terikat adalah sesuatu yang tidak terlepas daripada pengaruh selain dirinya sedangkan sesuatu yang mutlak adalah sesuatu yang tidak dipengaruhi oleh pihak lain.

Makhluk adalah kewujudan yang terikat kerana wujudnya tidak terlepas daripada pengaruh wujud ALLAH s.w.t.. Maka, kita katakan, wujud makhluk adalah muqoyyad (terikat). Wujud yang merupakan sifat nafsi (asas bagi sesuatu) bagi makhluk itu sendiri adalah terikat dalam pengaruh wujud ALLAH s.w.t., apatah lagi juga sifat-sifat yang lain yang berdiri pada wujud yang muqoyyad tersebut, sudah pasti bersifat muqoyyad (terikat atau dipengaruhi oleh pengaruh lain).

Maka, Dialah ALLAH s.w.t., sumber sesuatu lagi yang mempengaruhi sesuatu. Tiada yang berlaku dalam kerajaanNya sesuatu yang tidak dikehendaki olehNya. Maka, hatta pilihan manusia "yang merasa memilih" juga tidak terlepas daripada kehendak dan pilihanNya. Ini adalah hakikat tauhid dan maksud La haula wa la Quwwata illa billah.

Namun, dalam berinteraksi dengan makhluk yang bernama manusia, ALLAH s.w.t. meletakkan dalam diri mereka "rasa memilih" lalu menurunkan syariat bagi tujuan "kehambaan" mereka. Konsep "kehambaan" yang dimaksudkan adalah: setiap yang dilakukan oleh manusia "dinisbahkan" oleh ALLAH s.w.t. kepada mereka sebagai tujuan dan fungsi ibadah dan kehambaan yang mana ituah tujuan manusia diciptakan.

Maka, syariat menisbahkan "pilihan" dan perbuatan kepada manusia di bawah fungsi dan tujuan kehambaan ini. Sesiapa yang cuba menafikan nisbah ini bererti biadab di hadapan ALLAH s.w.t. kerana tidak memahami fungsi dan tujuan kehambaan ini.

Maka, ahli sunnah, dengan penghayatan tauhid hakiki tadi, melihat sudut kehambaan juga, lalu menisbahkan "pilihan" dan perbuatan" kepada manusia secara adab dalam ungkapan "kasb". Mereka menolak fahaman ektrim yang menafikan pengaruh ALLAH s.w.t. dalam manusia seperti fahaman Mu'tazilah dan Qadariyyah dalam masa yang sama menafikan fahaman ektrim lain yang menafikan maksud, fungsi dan tujuan kehambaan dengan menafikan "nisbah" perbuatan dan kehendak manusia kepada mereka lalu bertindak mensia-siakan syarak.

Ahli Sunnah wal Jamaah memahami hubungan antara hakikat tauhid di mana semua kembali kepada ALLAH s.w.t. dan tidak terlepas daripada pengaruh ketuhananNya, dengan syariat yang menisbahkan kehendak dan perbuatan manusia kepada manusia sebagai tujuan "pertanggungjawaban" dalam unsur kehambaan yang menjadi tujuan syariat diturunkan kepada manusia di samping diletakkan rasa memilih dalam diri mereka lalu memilih jalan kebenaran iaitu wujudnya pilihan yang hakiki dan mutlak iaitulah pilihan ALLAH s.w.t. dengan pilihan yang majazi dan muqoyyad iaitulah pilihan manusia.

Apakah perintah ALLAH s.w.t. dalam penghayatan terhadap kedua-dua penyaksian ini (perpaduan antara hakikat dan syariat) bagi kehambaan seseorang?

Perintah (Al-Amr) kepada seseorang hamba dalam konteks kehambaan dalam masalah ini adalah: menisbahkan keburukan dan kecelaan kepada diri sendiri dan menisbahkan kebaikan dan kemuliaan kepada ALLAH s.w.t."

Maka, kita sebagai manusia selaku hamba perlu fokus terhadap perintah (Al-Amr) ini berbanding hubungan sebenar antara hakikat dengan syariat kerana hubungan ini hanya difahami dengan zauq (perasaan) dan penghayatan, bukan secara teori dan andaian.

Dalil hakikat "tauhid" iaitu: pilihan makhluk dipengaruhi (terikat) dengan pilihan ALLAH

وَمَا تَشَاؤُونَ إِلَّا أَن يَشَاء اللَّهُ

"Tiadalah kamu kehendaki melainkan apa yang ALLAH kehendaki"...Surah At-Takwir: 29 dan Surah Al-Insan: 30

Imam Fakhruddin Al-Razi menjelaskan ayat ini dalam tafsirannya:

وهذه الإرادة موقوفة الحصول على أن يريد الله أن يعطيه تلك الإرادة

Kehendak ini (makhluk) bergantung dapatannya (dalam diri manusia) kepada kehendak ALLAH s.w.t. untuk memberi kepada manusia tersebut akan kehendak itu. [Mafatih Al-Ghaib]

Dalil "syariat Muhammadiyyah" iaitu: pilihan "dinisbahkan" kepada makhluk dalam tujuan kehambaan dan pertanggungjawaban:

ALLAH s.w.t. berfirman:

فَمَن شَاء فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاء فَلْيَكْفُرْ

Maksudnya: Sesiapa yang mahu maka berimanlah dan sesiapa yang mahu maka kufurlah... (Surah Al-Kahfi: 29)

Dalam ayat ini, ALLAH s.w.t. menisbahkan kehendak kepada manusia sebagai tujuan kehambaan.

Dalil "perpaduan antara hakikat tauhid dan syariat Muhammadiyyah" dalam rangka menunaikan kehambaan dengan sempurna:

وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ رَمَى

Maksudnya: Tidaklah kamu (Muhammad) melemparkan tatkala kamu melemparkan melainkan ALLAH-lah yang melemparkan..." (Surah Al-Anfal: 17)

Dalam ayat ini ALLAH s.w.t. menggabungkan pandangan sudut syariat di mana Rasulullah s.a.w. melaksanakan dan memilih untuk melakukan tugas syariat (dalam ayat ini melemparkan kepada orang-orang kafir) dalam masa yang sama mengingatkan hakikat tauhid dan pengaruh ketuhanan ALLAH s.w.t. dalam pilihan dan perbuatan Rasulullah s.a.w. iatulah tidak terlepas daripada pengaruh ALLAH s.w.t..

Dalil "Al-Amr" (perintah) dalam "adab" syariat dalam konteks permasalahan ini, iaitu menisbahkan kebaikan dan kemuliaan kepada ALLAH s.w.t. dan menisbahkan keburukan dan kehinaan kepada manusia secara adab:-

اهدِنَا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

Maksudnya:"Tunjukilah kami jalan yang lurus (mustaqim). Jalan orang-orang yang "Engkau" beri nikmat ke atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dibenci dan oran-orang yang sesat". (Surah Al-Fatihah: 6-7)

Dalam ayat ini, ALLAH s.w.t. mengajar ungkapan doa yang perlu kita amalkan iaitulah dengan menyebut kebaikan lalu dinisbahkan hanya kepadaNya (seperti dalam kalimah "orang-orang yang Engkau beri nikmat ke atas mereka) dan tidak menisbahkan keburukan dan kerendahan kepadaNya" (seperti kalimah orang-orang yang dibenci tanpa menyebut siapa yang membenci dan orang-orang yang sesat tanpa menyebut siapa yang menyesatkan mereka).

Namun, hakikat tauhid dan hakikat ketuhanan ALLAH s.w.t. tetap, semuanya kembali kepada ALLAH s.w.t.. Namun, ada beza bagaimana kita berinteraksi kepada ALLAH s.w.t . dan bagaimana ALLAH s.w.t. berinteraksi dengan diriNya sendiri. Kita berinteraksi kepada ALLAH s.w.t. sebagai hamba yang perlu menjaga adab kehambaan di hadrahNya bukan sebagai tuhan yang berusaha untuk bersaing denganNya dari sudut kefahaman atau menyamainya dari sudut pengetahuan terhadap hakikat sifat-sifat dan urusanNya. Na'uzubillah...

Penghayatan penyatuan antara hakikat dan syariat tidak mampu difahami oleh akal yang kosong daripada hati yang berhubungan dengan ALLAH s.w.t., tetapi hanya mampu dihayati oleh hati yang murni dalam kehambaan diri kepadaNya. Di sinilah terlimpahnya cahaya Muhammadi atau zahirnya Hakikat Muhammadiyyah dalam diri seseorang, yang mampu melihat Al-Haq dalam Al-Khalq dan Al-Khalq dalam Al-Haq secara perasaan, bukan secara andaian dan gambaran.

Wallahu a'lam...

2 ulasan:

  1. Maka, syariat menisbahkan "pilihan" dan perbuatan kepada manusia di bawah fungsi dan tujuan kehambaan ini. Sesiapa yang cuba menafikan nisbah ini bererti biadab di hadapan ALLAH s.w.t. kerana tidak memahami fungsi dan tujuan kehambaan ini.

    Salam tuan
    sy kurang faham petikan di atas. Blh tuan explain mengikut kefahaman tuan. Tq.

    BalasPadam
  2. Salam Anon 702pm...memang bahasa Tuan Al-Faqir101 ni bukan mudah nak memahaminya. Bagi hamba ambil faham yg mudah yg boleh kita faham. Semua kehendak, ilmu dan perbuatan dalam takluk Allah. Perbuatan makhluk juga dalam takhluk Allah tetapi Allah memberikan 'rasa memilih' dalam kalangan manusia yang dengan 'rasa memilih' itu seadilnya nanti manusia dihitung di depan Tuhan akan apa yg diperbuatnya di dunia ini. 'Rasa memilih' ini wajib diselaraskan dengan 'syariat' sbg panduan hidup di muka bumi...jadi manusia akan dipertanggungjawabkan atas 'pilihannya' berdasarkan 'rasa memilih' yg telah diberikan Tuhannya bersandar pada hukum. Tuhan yg maha adil telah memberikan 'rasa memilih' yg cukup untuk manusia memilih (berdasarkan hukum akal, wahyu dll), maka manusia akan dipertanggungjawabkan akan atas apa yg dia pilih. wallahu'alam . sama ada tuan semakin faham atau semakin kelitu.

    BalasPadam