TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Isnin, 21 Mac 2011

Makam Tuan Guru Hj Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang

Assalamu'alaikum,

Pada 4 Mac 2011, hari Isnin bersamaan 9 Rabiulakhir 1432, hamba ke Kepala Batas, Seberang Perai. Walaupun kurang sihat, hamba gagahkan juga. Kami bertolak selepas Solat Zohor.  Kepala Batas terletak dalam Daerah Seberang Perai Utara dan merupakan antara bandar utama dalam daerah ini selain Butterworth. Kawasan yang terletak dalam Parlimen mantan Perdana Menteri ini mengalami pertumbuhan pesat di awal 2000 sehingga sekarang. Jika anda 10 tahun tidak berkunjung ke sini, pasti kagum dengan kepesatan pembangunan yang berlaku. Itu adalah lumrah di Malaysia, kawasan yang diwakili oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pasti akan mengalami lonjakan pembangunan. Antara pembangunan dalam 10 tahun ini adalah Balai Bomba, MRSM, Kolej Perubatan, padang golf, taman perumahan, Hotel Seri Malaysia...banyak...:-)....Kalau dulunya Tol Bertam tak banyak kenderaan, kini semakin bertambah...Hamba singgah ke Kompleks Dato Kailan di Kepala Batas. Dato Kailan merupakan ibu kepada mantan PM, Pak Lah. Hamba menurunkan isteri dan anak-anak di situ sementara mereka menunggu hamba menghabiskan kerja di Masjid Jamiul Badawi...Orang Perempuan, kata ja nak hantar kat Kompleks Beli-Belah, setuju selalu...:-)...Di bawah adalah gambar kompleks ini.


Selepas itu, hamba bersama anak ketiga yang nak ikut (lelaki) menuju ke Masjid Jamiul Badawi, Kepala Batas. Orang ramai ada yang panggil Masjid Badawi saja. Di masjid ini hamba tercari-cari Makam Tuan Guru Hj Abdullah Fahim, datuk kepada mantan PM. Orang kampung panggil TokLah Fahim saja...Alhamdulillah bertemu dengan seorang warga tempatan dan beliau memberikan petuanya iaitu di kawasan depan masjid, makamnya jelas berbeza dengan makam-makam yang lain.  Kalau diikutkan, TokLah Fahim ada bau-bau bacang dengan Tok Ayah (atuk lelaki sebelah ibu) hamba kerana masing-masing ada darah Melayu Pattani...


Alhamdulillah, kami dapat mencari makamnya...Zaman dulu-dulu, ramai orang kampung panggil TokLah Fahim ni 'keramat hidup'...Tak ada orang yang berani 'melawannya'...Hamba pun buat beberapa kerja yang patut dan selesai dalam 4.18 petang. Waktu ni hujan dah mula turun, basah juga baju hamba, tapi hamba biarkan sahaja, hatta ini kali pertama dalam ziarah makam-makam, hamba dibasahi hujan...Hujan rahmat, kata hati hamba, biarkan saja ia membasahi baju hamba dan kepala hamba.

Batu nisan TokLah Fahim jelas dapat dibaca. Beliau kembali menemui Sang Pencipta pada tahun 1961M

Selepas 'kerja di Makam',  hamba masuk masjid dan sambung lagi kerja dalam masjid. Hamba selesai kerja dalam jam 440 petang. Kemudiannya kembali ke Kompleks Dato Kailan untuk ambil isteri dan anak di situ. Isteri dan anak-anak merungut kerana banyak kedai tak buka kerana tak dapat bertahan. Walaupun Kompleks ini 'seperti Pekan Rabu' di Alor Setar, nampaknya ia tak dapat bertahan.  Ramai peniaga 'tutup kedai', pengunjung tak ramai. Hamba pun tak sempat kaji mengapa, lokasinya dah OK, apa yang tak OK???

Makam TG TH Abdullah Fahim di tengah-tengah, bersebalahan dengan makam anaknya dan menantunya


Kemudian kami ke Kedai Jago, hamba nak tempah capal. Dulu Jago pun ada buka kedai di Kompleks Dato Kailan, tapi 'dah keluar'...Jago terletak di Pekan Lama Kepala Batas, dalam 1 km dari bandar baru. Perniagaan buat capal ini diteruskan oleh anaknya, Badrul. Hamba tempah sepasang capal, harganya RM70...memang boleh tahan harganya, tapi kualitinya ramai yg kata OK...Lagipun capal kat kedai tak tahan lama dan tak sedap pakai, sesekali nak sedap juga kaki ni pakai capal. Selepas itu, kami kembali ke kampung halaman....


Penghawa dingin tu utk Tok Imam


sumber: http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/abdullah-fahim-ulama-mahir-ilmu-falak.html

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim.

Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.

Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.

Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.

Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.

Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.

Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin)

Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla' al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).

Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal.

Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.

Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.

Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.

Kepakaran ilmunya:
Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.

Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.

Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.

Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.

Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin.

Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi.

Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.

Karya dan pemikirannya:
Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.

Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H).

Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.

Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:

``Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``

Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah, ``Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ... ``

Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal.

Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, ``Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''

Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis, ``Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah ... ``

Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, ``Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu''.

Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.

Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.

Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis, ``Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din ...''

Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, ``Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin''.

Abdullah Fahim menegaskan, ``Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.''

Keturunannya:
Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya.

Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia.


sumber : http://ulamak.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=51:sheikh-abdullah-fahim&catid=36:ulamak-tanah-melayu&Itemid=89



Sheikh Abdullah Fahim: Ketua Dewan Ulamak PAS Pertama 
Kepulangan Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulamak dan guru di Masjidil Haram ke Tanah Melayu pada 1922 telah mencetuskan pemikiran baru tentang perjuangan kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini. 

Sheikh Abdullah Fahim atau nama sebenarnya Abdullah bin Ibrahim adalah ulamak berdarah campuran Arab-Pattani yang berasal dari Makkah. Beliau dilahirkan di Kota Suci pada 1869 di mana ayahnya, Sheikh Ibrahim bin Tahir adalah guru di Masjidil Haram semenjak berhijrah dari Pattani ke Kedah, kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Makkah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam pada 1830-an.

Dengan keistimewaan beliau sebagai anak seorang ulamak di Makkah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk mendalami pelbagai ilmu agama di sana. Sepanjang pengajiannya, Haji Abdullah telah berjaya menguasai ilmu-ilmu agama seperti usuluddin, fiqh, tasawuf dan tarekat, tafsir al-Quran, hadis, falak serta ilmu alat seperti arudh dan qawafi dalam rumpun sastera Arab. 

Beliau dikata berguru dengan lebih 50 orang ulamak dan mendapat 42 ijazah dalam pelbagai bidang pengajian termasuk politik. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921. 

Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanah air dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun. 

Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai “Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah”. Perkataan “al-Wathaniyah” atau Bumiputera itu jelas memperlihatkan semangat kemerdekaannya. 

Tuan Guru Haji Abdullah Fahim bukan sahaja mengasas dan mengajar di sini, tetapi turut menjadi mudir sehingga 1930. Antara murid beliau yang paling terkenal ketika ini ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin. Di sini, Haji Abdullah telah memperkenal pengajian berkelas (nizami) dan juga umum (adami). 

Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Antara pelajar beliau di sini termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Prof Zulkifli Mohammed. 

Setelah meninggalkan Bukit Chandan, Haji Abdullah kembali ke Kepala Batas dan menguruskan Madrasah Daeratul Maarif. Walau bagaimanapun, beliau hanya berkhidmat sebagai penaung, manakala anaknya, Tuan Haji Ahmad Badawi sebagai mudir dan murid kesayangannya, Ustaz Abdul Halim al-Hadi sebagai guru besar. Beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai Sheikhul Islam Kedah kerana menjaga maslahat madrasah ini. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana. 

Selepas Perang Dunia Kedua tercetus, Sheikh Abdullah Fahim telah mula terlibat dalam politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai. Ketika Umno ditubuhkan pada 1946, beliau adalah ahli Umno pertama dari Pulau Pinang. Beberapa ketika kemudian, kerana kemasyhuran beliau sebagai seorang ulama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Meskipun menjadi ahli Umno, kemahuan beliau untuk melihat kemerdekaan tidak padam walaupun Umno ketika itu tidak memperjuangkan kemerdekaan. 

Ketika murid beliau, Ustaz Abu Bakar al-Bakir menubuhkan Hizbul Muslimin, beliau bukan sahaja memberikan sokongan tetapi telah dilantik mempengerusikan Majlis Penasihat Hizbul Muslimin pada 1948 dan dalam masa yang sama mengetuai Bahagian Agama Umno. Ekoran beberapa krisis dalaman Umno berkaitan sikap Umno terhadap isu-isu agama seperti isu judi loteri, fun-fair, kaberet, isu pemurtadan Natrah dan lain-lain, Haji Abdullah telah berundur sebagai Pengerusi Bahagian Agama pada 1950. Selepas itu, jawatan ini diambil alih oleh muridnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan. 

Walaupun Haji Abdullah tidak menyertai dua Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 1950 dan 1951, tetapi beliau menghantar anaknya, Haji Ahmad Badawi untuk menyertainya. Apabila Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, persatuan tersebut telah merancang mengadakan Persidangan Ulamak di Butterworth pada 24 November 1951 untuk meluluskan undang-undang tubuh dan melantik jawatankuasanya. Haji Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang telah merasmikan persidangan ini yang akhirnya telah mengambil keputusan menukar nama Persatuan Ulama Se-Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Abdullah Fahim sendiri dicalon sebagai Yang Dipertua Agung PAS tetapi tewas kepada Tuan Haji Ahmad Fuad. 

Sebaik sahaja PAS ditubuhkan, Madrasah Daeratul Maarif telah dipilih sebagai Pejabat Agung PAS yang pertama sebelum berpintah ke Bukit Mertajam. Selepas itu ia kembali ke madrasah ini pada 1953 sebelum menumpang beberapa ketika di rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki iaitu berhampir madrasah ini juga. 

Kerana penyertaan Haji Abdullah dalam PAS, hampir seluruh murid dan keluarganya menjadi tenaga penting PAS. Turut menyertai PAS di kalangan jawatankuasa madrasah ini ialah Cikgu Ahmad Awang, Ustaz Abdul Halim al-Hadi, Ustaz Abdul Kadir Kamal dan Ustaz Mohd Saghir. Di kalangan keluarganya pula ialah anaknya, Haji Ahmad Badawi; menantunya, Hajah Kailan Hassan; iparnya, Haji Mansor Hassan JP dan beberapa yang lain. 

Pada 3 April 1952, Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulama PAS bagi menyatukan tenaga ulama dan mengelola urusan hukum-hukum agama, maka Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama. Antara langkah penting dilaksanakan oleh beliau ialah mengadakan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat pada 22 Mei 1952 bagi merundingkan usaha untuk menyatukan sekolah agama dan membentuk kumpulan wang untuk membangunkan sistem pendidikan tersebut. Beliau juga telah membuka Pejabat Dewan Ulama PAS di Madrasah Khairiyah, Pokok Sena iaitu sekolah milik Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein. 

Pada akhir 1953, telah berlaku krisis kepemimpinan PAS ekoran sokongan PAS terhadap National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman. PAS mula membentuk disiplin parti dengan mencegah pimpinan PAS menjadi ahli parti lain. Pada Ogos 1954, bertempat di Madrasah ad-Diiniyah, Bagan Serai, PAS meluluskan usul tersebut. Akibatnya, beberapa pimpinan PAS seperti Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Maansor JP, Tuan Guru Haji Huseein Che Dol, Haji Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Badawi terpaksa memilih untuk kekal dalam PAS atau menjadi ahli Umno. Haji Hussein Che Dol, Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki memilih untuk meninggalkan PAS dan kekal bersama Umno. Pendirian ini turut diambil oleh Sheikh Abdullah Fahim. 

Walaupun tidak lagi bersama PAS selepas 1954, Haji Abdullah Fahim selaku Mufti bersama Ustaz Abdul Halim al-Hadi (Guru Besar Maarif Wathaniyah) dan Sheikh Salleh Masri (Pengerusi Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang) telah mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam keluar mengundi dan melarang mereka mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya 1955. Isu ini menjadi hangat kerana ia dilihat merugikan Perikatan dan Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang pula menyokong fatwa ini. Pada 31 Mei 1955, pendaftaran PAS telah diluluskan dengan beralamat di “Arabic School, Kepala Batas” iaitu madrasah milik Haji Abdullah Fahim. 

Sumbangan penting Haji Abdullah dalam politik negara ialah menetapkan tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Berdasar keilmuan beliau dalam bidang falak, beliau mengatakan itu tarikh terbaik untuk Tanah Melayu merdeka. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia pada 27 April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.



Sheikh Abdullah bin Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Sheikh Abdullah Fahim merupakan ulama terkenal Tanah Melayu dan mufti pertama Pulau Pinang yang berkhidmat dari 1951 - 1961. Beliau dilahirkan di Kampung Syib ‘Ali, Makkah pada tahun 1286H dan dibesarkan di sana dalam suasana ilmu keagamaan. Beliau berdamping dan berguru dengan ramai ulama, menurut riwayatnya guru beliau di Makkah dan Madinah tidak kurang 42 orang.

D
i antara guru-gurunya ialah:-
Sheikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (murid Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan pengarang kitab I`aanathuth -Tholibin yang masyhur. Jelas bahawa terdapat hubungan sanad keilmuan antara beliau dengan Sidi Ahmad Zaini.;
Sheikh Muhammad Sa`id BabShil;
Sheikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki;
Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani;
Sheikh Wan ‘Ali Kutan al-Kalantani; dan
Sheikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.


Sheikh Abdullah Fahim selain alim dalam ilmu-ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf, juga mendalami ilmu falak. Keahliannya dalam ilmu falak menyebabkan nasihatnya diminta mengenai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dan cadangannya untuk tarikh tersebut diterima. Jangan pula disalah anggap bahawa ilmu falak Sheikh Abdullah Fahim tu serupa dengan ramalan Tok Sami dan Tok Cha. Kalau nak tahu berkenaan ilmu falak kenalah belajar dengan ahlinya, cuma kena ingat bahawa falak ulama itu bukan setakat melihat anak bulan sahaja. Mudah-mudahan titihan zuriat beliau yang akhirnya menjadi Perdana Menteri ke-5 Malaysia dapat memartabatkan lagi Islam di persada dunia umumnya dan Nusantara khususnya.

Wasiat Sheikh Abdullah Fahim I


Ikhwah, sebenarnya aku terlupa, almaklumlah nama sahaja insan tempat berlaku khata` dan nisyan (salah dan lupa). Alhamdulillah, nasib baik ada sahabat yang mengingatkan aku berhubung dengan pesanan Sheikh Abdullah Fahim kepada anak bangsanya. Dalam buku “Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2)” dipetik antara pesanan beliau:-
Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.
Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-’Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.

Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.
Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.



Wasiat Sheikh Abdullah Fahim II

Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah was sholatu was salamu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala alihi wa ashabihi. (Amma ba’d), tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`).

Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan Mathla`ul Badrain dan lainnya.

U
suluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhajul ‘Abidin, Ihya` Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyarus Salikin.

Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang lagi terbilang) diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.













Tiada ulasan:

Catat Ulasan