Falsafah ibadat haji
PENULIS terpanggil untuk membuka ruang Bicara Haji yang akan menjelma tidak lama lagi dengan mengemukakan sedikit falsafah haji.
Al-Jurjani dalam al-Ta'rifat (216) berkata: "Falsafah adalah menyerupakan dengan Tuhan mengikut kemampuan manusia untuk menghasilkan kebahagiaan yang abadi, sebagaimana yang diperintah oleh Rasulullah SAW yang bersifat benar."
Ini selaras dengan kenyataannya yang bermaksud: "Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah SWT."
Al-Jarjawi dalam Hikmah al-Tasyri' wa Falsafatuh (hal. 5) berkata, syariat samawi bermatlamatkan empat perkara:
nMakrifatullah dengan mentauhidkan-Nya, memuji dan mensifatkan-Nya dengan sifat sempurna.
* Cara menunaikan ibadah yang mengagungkan dan mensyukuri nikmat-Nya.
* Menggesa perlaksanaan amar makruf dan nahi mungkar serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.
* Menghentikan segala pencabulan berdasarkan ketepatan hukum syarak.
Seterusnya, perbincangan ini dimulakan dengan memahami tafsiran kalam Allah yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah), dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197).
Zahir nas ini menjelaskan bahawa haji itu mempunyai waktu yang tertentu, iaitu pada beberapa bulan tertentu iaitu Syawal, Zulkaedah dan 10 hari pertama Zulhijjah.
Berdasarkan nas ini, tidak sah ihram dengan haji melainkan dalam bulan-bulan yang ditentukan sahaja. Walaupun ada sesetengah mazhab mengatakan sah berihram dengan haji di sepanjang tahun dan menentukan bulan-bulan yang tertentu ini untuk menunaikan syiar-syiar haji pada masa-masanya yang termaklum.
Pendapat yang akhir ini dipegang oleh Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad Ibn Hanbal. Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibrahim al-Nakhaie, al-Thauri dan al-Laith Ibn Saad.
Sementara pendapat yang pertama pula dipegang oleh Imam al-Syafie. Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibn Abbas, Jubair, Ata, Tawus dan Mujahid dan ia merupakan pendapat yang azhar.
Firman Allah SWT: Maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji.
Makna al-Rafath adalah perbuatan menyebut kata-kata persetubuhan dan kata-kata yang mendorong ke arahnya sama ada secara umum atau di hadapan perempuan.
Makna al-Jidal adalah perbuatan bertengkar atau berbalah yang menimbulkan kemarahan. Makna al-Fusuq adalah melakukan maksiat sama ada besar atau kecil.
Larangan ini bertujuan meninggalkan segala yang bertentangan dengan suasana sopan santun terhadap Allah dan suasana penumpuan diri kepada Allah dalam masa ihram.
Ia juga bertujuan meningkatkan diri daripada keinginan-keinginan bumi dan melakukan latihan rohani supaya bergantung kepada Allah sahaja.
Beradab sopan di rumah-Nya bagi sesiapa yang berkunjung kepada-Nya dengan diri yang bersih dari segala-galanya hingga dari segala pakaian yang berjahit.
Larangan semasa tunai haji
Secara tafsirnya, orang yang sedang mengerjakan haji itu dilarang mengerjakan perkara-perkara berikut:
* Dilarang mencampuri isterinya sebelum tahallul awal, kerana yang demikian itu akan merosakkan hajinya. Orang yang berbuat demikian akan dikenakan denda (kaffarah), iaitu menyembelih seekor unta dan mesti meneruskan pekerjaan hajinya, kemudian mengqada hajinya pada tahun hadapan.
* Dilarang melakukan maksiat. Melakukan maksiat dalam ayat ini bermaksud, segala perbuatan yang terkeluar dari mentaati Allah. Juga diertikan, perkara-perkara yang diharamkan pada masa berpakaian ihram, seperti membunuh buruan darat yang tidak buas, mengerat kuku dan mencabut bulu atau rambut. Atau juga diertikan, mengejek-ngejek orang dengan gelaran yang tidak baik.
* Dari Abu Hurairah katanya, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mengerjakan haji, tiada ia bersetubuh dan tiada berbuat maksiat, kembalilah ia (bersih dari dosa), sebagaimana pada hari ia dilahirkan oleh ibunya."
* Dilarang bertengkar, berjidal atau berdebat yang menyebabkan kemarahan antara seseorang dengan yang lain. Perkara fusuq dan jidal dalam ayat ini adalah ditegah di dalam sebarang masa. Tetapi, tersangat besar larangannya jika dilakukan pada waktu mengerjakan haji kerana sangat buruknya dan tidak layak.
Takwa adalah bekalan dan makanan hati dan jiwa. Dengan takwa, hati mendapat tenaga dan kekuatannya, mencapai kesuburan dan kegemilangannya.
Takwa adalah tempat pergantungan hati untuk sampai kepada Allah dan mencapai keselamatan, dan mereka yang berakal merupakan orang yang pertama dapat memahami bimbingan kepada takwa dan merekalah sebaik-baik orang yang mendapat manfaat dari bekalan takwa ini.
Sebagai penutup tafsiran ayat di atas, penulis menukilkan kisah kefahaman al-Junaid tentang syiar haji melalui Mabadi' al-Tasawuf al-Islami, oleh Sheikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarani (hal. 129-130). Iaitu seorang lelaki yang baru menunaikan haji telah datang berjumpa dengan al-Junaid.
Lalu al-Junaid bertanya kepada lelaki tersebut: "Adakah kamu meninggalkan semua dosa-dosa kamu ketika meninggalkan rumah?" Jawab lelaki tersebut: "Tidak." Kata al-Junaid: "Sebenarnya, kamu tidak pergi mana-mana."
Tanya al-Junaid lagi: "Dan setiap tempat di mana kamu bermalam, adakah kamu berhenti untuk Allah?" Jawab lelaki itu: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Kamu tidak berhenti dari satu tempat ke satu tempat."
Kemudian, ditanya lagi: "Ketika kamu memakai ihram pada tempatnya, adakah kamu meninggalkan sifat-sifat basyari (kemanusiaan), tatkala kamu menanggalkan baju kamu?" Jawab lelaki itu: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Sebenarnya, kamu tidak berihram."
Ditanya lagi: "Ketika wuquf di Arafah, adakah kamu berfikir tentang Allah walaupun dalam satu saat?" Jawabnya: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Kamu tidak wuquf di Arafah. Ketika kamu pergi ke Muzdalifah untuk menunaikan rukun-rukun kamu, adakah kamu menolak semua hawa nafsu?"
Jawab lelaki tersebut: "Tidak". Berkata al-Junaid: "Kamu tidak menunaikannya di Muzdalifah. Ketika kamu bertawaf di Baitullah, adakah kamu memahami keindahan Ilahi di rumah suci itu?" Jawab lelaki itu: "Tidak."
Berkata al-Junaid: "Kamu tidak bertawaf di Baitullah. Dan ketika kamu bersaie antara Safa dan Marwah, adakah kamu memahami apa itu al-Safa dan al-Muru'ah?" Jawab lelaki tadi: "Tidak."
Berkata al-Junaid: "Kamu tidak bersaie." Kemudian, ditanya lagi: "Ketika kamu sampai ke tempat korban dan kamu berkorban, adakah kamu mengorbankan sebab-sebab keseronokan dunia?"
Jawabnya lagi: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Kamu tidak berkorban. Dan ketika kamu melontar Jamrah, adakah kamu melontar juga pemikiran-pemikiran jasadmu?"
Jawab lelaki tersebut: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Kamu tidak melontar Jamrah, bahkan kamu tidak menunaikan haji."
Inilah contoh roh ibadat yang diamalkan oleh ahli sufi. Ia menunjukkan sejauh mana mereka mempertingkatkan diri untuk sampai ke darjat yang tinggi dengan menunaikan syiar-syiar agama, yang bertujuan beribadat kepada Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan