sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Golongankayabolehterimazakatatasnamafisabilillah/Article
Golongan kaya boleh terima zakat atas nama fisabilillah
Oleh Hamizul Abdul Hamid
2011/10/14
KAYA masih layak dapat zakat? Bukankah zakat hanya untuk orang miskin? Demikianlah antara persoalan semasa mengenai agihan zakat. Tidak dinafikan, umumnya umat Islam sering mengaitkan zakat dengan fakir dan miskin.
Asnaf zakat ada lapan dan hanya dua asnaf yang disyaratkan miskin, iaitu fakir dan miskin. Bagi hamba sahaya, mereka bukanlah miskin melainkan mereka asnaf ‘istimewa’, justeru diri mereka adalah milik tuannya.
Dalam Islam, hamba hendaklah dilayani dengan santun oleh tuannya dan kebajikannya dipelihara. Mereka memang tiada harta tetapi kebajikan mereka sepatutnya terjaga, justeru mereka adalah milik tuannya yang kaya.
Lima lagi asnaf zakat, iaitu amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil, tidak disyaratkan miskin. Walaupun begitu, dalam tatacara pengagihan zakat, hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin, justeru mereka paling layak diraikan dalam agihan zakat.
Sesetengah mungkin berhujah, ulama fiqh ada yang menegah zakat diberikan kepada orang kaya. Nabi Muhammad SAW ketika mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman, berpesan: “Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin dalam kalangan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kita mesti melihatnya secara objektif dan jelas. Fuqaha Dr Abdullah Nashih Ulwan memang menyatakan orang kaya ditegah daripada mendapat agihan zakat namun yang dimaksudkan tegahan ialah jika diambil harta zakat itu daripada bahagian fakir dan miskin, diberikan kepada orang kaya.
Jika diambil daripada asnaf lain seperti fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin. Sehubungan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya Selangor, setiap orang Islam boleh mendapat bantuan zakat walaupun tidak miskin.
Seperti kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf lain yang sesuai; bukan atas sifat kemiskinan.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang kuat yang mampu bekerja,” (Hadis riwayat Abu Daud)
Memang diakui, Islam tidak meraikan sikap malas sehingga menjadikan penganutnya suka meminta-minta. Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasir Kekuatan Di Dalam Islam’, menukilkan kisah diriwayatkan Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW pernah menolak permintaan pemuda Ansar.
Sebaliknya, pemuda itu diajar mencari kayu sehingga mampu berdikari dan tidak mengharapkan simpati demi sesuap makanan. Ini menunjukkan Islam tidak meraikan orang kaya dan mampu berkerja dengan suka meminta-minta.
Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga membuat pengecualian bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang kaya jika mereka memerlukan zakat sesuai keadaan diri serta tidak berlebih-lebihan hingga mengabaikan hak fakir dan miskin.
Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW menyatakan: “Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan ini, iaitu amil; orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; orang yang berhutang dan orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkan kembali kepada orang kaya itu.”
Fuqaha Syafie dan Hambali menyatakan, dalil ini membolehkan lima golongan kaya menerima zakat demi kemaslahatan diri mereka kerana masing-masing daripada lima golongan itu memerlukan zakat bukanlah atas kapasiti kemiskinan melainkan memang perlu diberikan zakat atas tujuan tertentu.
Amil diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai usaha dan kerja keras menguruskan zakat.
Mualaf boleh mendapat zakat bertujuan melunakkan hatinya supaya lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.
Orang yang ikut berperang diberi zakat kerana itu tugas mulia di jalan Allah (fisabilillah) dan mereka tidak sempat mencari rezeki. Hal ini dikiaskan pula kepada pencari ilmu, sehingga melayakkan mereka menerima zakat atas nama fisabilillah.
Orang yang berhutang pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir kerana hutangnya. Orang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat tetapi hadiah.
Golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika termasuk kategori diizinkan. Bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, fakir dan miskin lebih diutamakan, manakala asnaf lain tertakluk kepada tatacara agihan zakat, seperti diputuskan Majlis Fatwa.
Penulis ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan