TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Isnin, 24 Oktober 2011

Zombie PPSMI menjenguk, pendidikan negara menuju Sparta moden


Zombie PPSMI menjenguk, pendidikan negara menuju Sparta moden — Zul Fikri Mohamad Munir

September 29, 2011
 
29 SEPT — Merujuk tulisan Datuk Dr Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara ke-10 bertajuk Tamadun Melayu dan PPSMI bertarikh 27 Ogos 2011 sebagai reaksi pantas terhadap bayangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu yang mengumumkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan untuk meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya; sebuah keputusan yang mengejutkan ramai kerana bertentangan secara “predestined” atau “foreordained” dengan semangat keputusan kerajaan pasca 7 Mac 2009 yang menyatakan untuk memansuhkan PPSMI bermula 2012.

Sekali lagi, sebuah dasar pendidikan bersifat “aftermath spin-off” diumumkan. Sekuelnya menarik, diumum mansuh pada 2009, diumum anti-mansuh menjelang 2012, manakala prekuelnya lebih berahi, dimum hanya beberapa bulan sebelum dilaksanakan pada 2002! Kini menjelang tahun pemansuhannya, rakyat Malaysia, murid sekolah khasnya ternanti-nanti keputusan penuh kerajaan. Yang menariknya, (mengambil contoh Anwar Ridhwan), penantian ini bagaikan menanti Zombie baharu yang sudah ditalkinkan!

Sejarah pendidikan moden negara bermula sekitar tahun 1945 hingga ke 1957 dan dikenali sebagai “zaman perubahan”. Beberapa penyata telah dikeluarkan, sebahagiannya untuk menyeragamkan polisi pendidikan di antara semenanjung Tanah Melayu dengan Singapura yang berbeza ketika itu, dan juga untuk menukarkan sistem pendidikan penjajah kepada sebuah sistem pendidikan yang berteraskan kebangsaan. Penyata tersebut adalah Penyata Barnes-Fenn Wu dan Penyata Razak.

Tiga tujuan utama Penyata Razak iaitu; a) bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, b) Sukatan pelajaran yang sama untuk setiap sekolah dan c) Dasar Pelajaran yang bermaksud menyatukan semua kanak-kanak dari pelbagai bangsa melalui satu peraturan telahpun dilaksanakan melalui Penyata Rahman-Talib kemudiannya, sekitar 1958 hingga ke 1964.

Kelihatan ketika itu, murni sungguh dasar pendidikan negara dari sisi falsafah, terutamanya melalui penggunaan bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu secara unilateral walaupun tidak mandatori (bahasa lain dibenarkan untuk diajar).

Pada tahun 1974, Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Berikutan dengan itu, Kaedah Tatatertib pelajar telah digubal pada 1975, khusus untuk mengawal kelantangan para pelajar dari menunjukkan sokongan terhadap proksi pembangkang.

Secara tepatnya, Akta Universiti Kolej Universiti yang dilaksanakan pada tahun 1971 (berikutan peritiwa 13 Mei 1969) diperkenalkan selaras dengan citarasa Dr Mahathir yang berfungsi sebagai Menteri Pendidikan ketika itu.

Sekitar 1990-an pula, setelah naik sebagai perdana Menteri pada 1982, Dr Mahathir secara “soft approach” telah cuba mengubah landskap pendidikan negara dengan meminta beberapa universiti menggunapakai bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar.

Realitinya kini, IPTA umum seperti UM dan UKM, hanya Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Akademi Pengajian Melayu serta Akademi Pengajian Islam sahaja yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Begitu juga di UTM, USM, UiTM dan UPM, di anggarkan, tidak sampai 20 peratus sahaja fakulti yang masih mengguanakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

Lebih serius, rata-rata IPTS juga menggunakan hampir 100 peratus bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di setiap fakulti mereka.

Dikenali sebagai Bapa Pemodenan dan “pencipta” Wawasan 2020, pada 2002 Dr Mahathir yang telah menerajui negara selama 22 tahun selaku Perdana Menteri telah mengusulkan sebuah dasar baharu iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Tanpa merujuk kepada Sultan selaku ketua negara, kabinet mahupun ahli cendekiawan, dasar ala-“hubris” tersebut dilaksanakan setahun kemudiannya, super-mandatori kepada semua Sekolah Kebangsaan (majoriti Melayu) dan ala-fleksibel kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (dibolehkan diajar dalam dwi-bahasa).

Lebih mengecewakan kerana “pencipta” Wawasan 2020, Dr Mahathir berpendapat bahawa rakyatnya masih belum bersedia untuk mencapai wawasan yang diimaginasikan oleh dirinya sejak dari dulu.

Maka, sebuah jalan pintas, “shortcut” telah dibina untuk memudahkan rakyatnya menunaikan impian individualistiknya tersebut; yakni PPSMI, dengan harapan apabila dasar tersebut dilaksanakan, maka rakyatnya akan cepat pandai, mudah bersaing seantero dunia lantas membawa Malaysia lancar di atas platform Wawasan 2020 tanpa mempedulikan pengkhianatan yang dilakukan terhadap Falsafah Pendidikan Negara, Dasar Pendidikan Negara dan yang lebih penting, semangat Perlembagaan Negara.
Sifat “ultra-kiasu” ini, membakul-sampahkan Falsafah Pendidikan Negara yang tegas menyatakan perlunya kerajaan menyediakan suasana pembelajaran yang adil dan saksama serta capaian ilmu yang sama taraf terhadap setiap rakyat dengan perbezaan mazhab orientasi pedagogi di antara sekolah bandar dan sekolah pendalaman. Kesamarataan tidak mungkin wujud kerana pelbagai faktor seperti kebolehan guru dan aspek kemudahan prasarana sekolah yang berbeza.

Sifat “super-hubris” ini, menyepak terajang Dasar Pendidikan Negara yang jelas menyifatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar dalam pendidikan, sekaligus menjadi agen perpaduan. Perpaduan akan menjadi mimpi ngeri apabila masyarakat moden di bandar berbahasa Inggeris manakala masyarakat luar bandar masih kekal berbahasa mengikut kaum masing-masing, tanpa mempunyai sebuah bahasa tunggal sebagai pemangkin kesatuan sebuah bangsa berdaulat.

Keadaan “absolute despotic” ini malangnya, mencaci lekeh Perlembagaan Negara yang terang menjelaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan memperlakukan bahasa kebangsaan itu sebagai “dampratan”, tidak sama taraf dengan bahasa Inggeris, tidak superior malah penyebab wujudnya inferior di dalam diri masyarakat!

Maka setelah 44 tahun Penyata Razak dibentangkan, semangat dan tujuan murni penyata tersebut bukan sahaja dipandang sepi oleh kerajaan, juga diperlakukan seumpama tidak wujud oleh sebahagian besar ahli kabinet yang pada waktu tersebut gagal untuk membantah.

Sistem pendidikan negara bukan sahaja terikat kepada isu “seindah” dan “sehebat” PPSMI, lebih agung dari isu bahasa, orientasi dan pelaksanaannya secara mudah dilihat terpesong jauh dari sikap dan sifat asalnya sebagai sebuah alat pendidikan.

Murid difragmen-fragmenkan kepada “streaming” yang dianggap perlu, walhal pengasingan murid kepada sistem berdasarkan “Sains” dan “Sastera” ini dilihat cuba memandang rendah keupayaan murid untuk meneroka potensi diri yang lebih terbuka.

Pengasingan ini menyebabkan “Sains” menjadi terlalu eksklusif, terhad kepada murid yang pandai dan bijak sahaja, manakala “Sastera” dihuni oleh murid yang tidak mempunyai arah tuju yang lain atau secara sinisnya dipaksa belajar bukan berdasarkan minat.

Implikasinya, dua teres strata lapisan masyarakat wujud, dengan sikap ahli “Sains” yang tidak pandai melihat secara seni atau estetik kerana tidak diberi peluang mengaji bahan “Sastera”, manakala masyarakat “Sastera” pula kekal wujud sebahagi masyarakat kelas bawahan kerana tidak terlibat secara lansung dalam persaingan globalisasi dunia yang berteraskan teknologi.

Lapisan masyarakat seperti ini pada akhirnya, akan menyumbang kepada ketidakseimbangan sumber manusia dari sudut vektor kepada negara, lantas keputusan-keputusan yang dibuat oleh kelas atasan menjadi terlalu analitik, pragmatik serta tidak praktikal secara menyeluruh kerana ketiadaan unsur estetik seperti yang selalu dianjurkan oleh dunia “Sastera”.

Negara kita, setelah mencapai status kemerdekaanya yang ke-54, sedang menuju pantas melalui pendidikan untuk menjadi negara Sparta moden yang bercorak “aristokratis”. Kanak-kanak dilahirkan untuk kuat fizikal, dilatih untuk berperang dan hidup semata untuk kekuatan. Bayi yang lemah akan dibunuh kerana akan memalukan negara.

“Crito, we owe a cock to Asclepius; please pay it and don’t forget it,” adalah ayat terakhir Socrates sebelum mati dibunuh ketika umurnya mencecah 70 tahun oleh masyarakat Athenians sendiri. Sarjana sendiri tidak dapat mengagak maksud ayatnya tersebut, tetapi menurut Charlotte Higgins (2008) kemungkinan besar Socrates menggambarkan kematian sebagai penawar kepada kehidupan.

Apakah PPSMI, yang telah ditalkinkan rupanya hidup kembali sebagai Zombie? Jika begitu, Pendidikan Negara kita kita sendiri tidak lebih baik dari filem satira-humor Mamat Khalid!

Tiada bezanya di antara Sparta atau Malaysia, mana-mana murid yang lemah, tidak kira sekolah bandar atau pedalaman, sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan, akan dipilih untuk menghuni masyarakat kelas bawahan, dilatih sebagai pekerja suruhan, dalam kata yang lain, hidupnya dibunuh oleh masyarakat kelas atasan kerana tidak mampu bersaing!

* Zul Fikri Zamir Mohamad Munir adalah seorang pelajar pasca-siswazah di salah sebuah IPTA tempatan.
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan