TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Khamis, 31 Mac 2011

Kehidupan Di Kampung Dengan Kehidupan Di Bandar

Assalamu'alaikum,

Sewaktu balik kampung cuti sekolah yang lepas, setiap pagi hamba ke pasar, beli ikan, sayur-sayuran dan kuih untuk sarapan pagi. Keluar waktu pagi2 di kampung terasa begitu nyaman sekali. Udaranya begitu segar, pemandangannya menghijau, burung riang berkicauan. Hawanya memang terasa dingin tetapi dalam tahap yang bersesuaian. Hamba lihat suhu...ehmmm masih 23 celcius. Suhu waktu tengah malam dan sehingga terbit matahari di kampung memang tidak tinggi, hamba kira dalam 21-23 celcius.  Maksudnya kalau pengaliran udara di rumah bersesuaian, tak perlu penghawa dingin di rumah di kampung. Suhu sekitar 21-23 celcius sudah cukup untuk tidur dengan nyenyak dan bangunnya dengan begitu segar.

Dunia dah  berubah. Kalau dulu di kampung, sarapan pagi sedia sendiri, kini boleh beli di pasar dan kedai berhampiran. Apa yang menarik tentang sarapan pagi di kampung adalah kuih-muihnya. Hamba beli nasi lemak, kuih badak dan beberapa kuih yang lain. Nasi lemak sebungkus baru 6 kupang, bila makan masih terasa lemaknya.  Berebut-rebut anak hamba dan anak menakan (anak saudara) nak makan nasi lemak. Kalau orang dewasa dua bungkus baru RM1.20 dan dah cukup untuk sarapan pagi.  Kuih badak atau Cucuk Badak, hamba beli banyak sebab isteri suka (suami Mithali macam hamba mesti tahu kuih kegemaran isteri...:-)  )...Apa yang menarik tentang cucuk Badak ni? Yang menariknya adalah apabila kita makan cucuk badak ni 'masih terasa' kesedapannya macam cucuk badak. Kalau di bandar, kuih-muih yang kita beli cukup untuk kenyangkan perut sahaja, 'rasanya' dah kurang.  Kalau nasi lemak, lemaknya pun dah tak ada, cuma sambalnya, ikan bilis, timun dan telur yang menjadikannya nasi lemak sedangkan nasinya tidak berlemak atau kurang lemak. Ringkasnya orang kampung masih ada 'nilai-nilai murni', walaupun kuih-muih dijual untuk menyara kehidupan, 'rasanya belum hilang'. Adakah orang bandar tak ada nilai murni sebagaimana di kampung? Hamba yakin ada, cuma kalau buat sedap2, kos mahal, orang tak nak beli pula sebab persaingan banyak. Lagi satu pertimbangan komersial lebih tinggi di bandar berbanding di kampung kerana tekanan hidup di bandar.

Dulu, rumah kat kampung tak payah berpagar, pintu dan tingkap rumah biar terbuka, supaya udara dan angin boleh masuk, beredar-edar dalam rumah dan luar rumah. Lani, susah sikit kalau tak tutup pintu rumah. 'Kawaq' banyak.  Kampung hamba dulu OK, kebelakangan ni sejak 'dadah' masuk kampung, kampung tak selamat macam dulu lagi. Pintu rumah nak kena berkunci. Banyak budak-budak dadah, yg hairannya ibu-bapa di kampung pun macam sebahagian ibu-bapa di bandar, anak hisap dadah, depa buat tak reti saja, biaq macam tu saja. Bila orang lain marah, depa pertahankan pulak 'kejahatan' anak tu...Zaman dah berubah....kejahatan anak dipertahankan....kalau orang kampung dulu, semua rumah dalam satu kampung depa kenai, anak sapa depa kenai, kalau jadi apa2 senang, sifat saling ambil-berat ada. Lani kampung dah macam bandar, individualistik semakin tinggi. Gotong-royong semakin kurang. Jawatankuasa masjid berpecah kerana fahaman politik. Nak baca talqin bila meninggal pun jadi isu sebab fahaman politik berbeza.

Nak buat macam mana, perubahan zaman menyebabkan ramai anak muda ke bandar dan menetap di bandar. Kat kampung tak banyak kerja yang ada. Jadi jalan mudahnya orang muda berhijrah ke bandar. Kita cuba ikut Jepun dalam pembangunan kampung tapi tak jadi. 1 Kampung 1 Produk la, macam2 dah buat tak jadi. Isunya kita cuba tiru program depa, kita tak ikut semangat depa. Jepun merupakan antara negara jurang pendapatan antara orang kaya dengan orang miskin yang paling kecil di dunia. Maksudnya, perbezaan orang kaya dengan orang miskin tak banyak, maknanya, ramai rakyatnya dalam kelas sederhana. Di kampung di Jepun,  rakyat tak perlu ke bandar sebab perusahaan di kampung adalah sistematik. Maksudnya kalau perusahaan buah-buahan, sampai pembungkusan, perlabelan dibuat di industri di kampung. Buah2 dah siap bungkus dll, cuma hantar ke bandar untuk dijual sahaja. Satu lagi, pengangkutan awam di Jepun cekap. Jadi tak perlu duduk di bandar jika ingin kerja di bandar.

Air sungai di kampung pun dah tak jernih macam dulu lagi. Kalau dulu, mak hamba memang larang mandi sungai. Kalau minta izin, dalam 10 kali, 1 saja dapat. Dulunya, biasa budak2 kampung mandi sungai dan belajaq berenang cara kampung, berkocak2 air...kedepung, kedepung...Hamba mandi sungai juga, tapi curi2, kalau tidak, tak jadi budak kampung. Sekarang ni, air sungai dah cetek. Pembangunan di hulu sungai menyebabkan airnya keruh dan mengurangkan kawasan tadahan air lantas menyebabkan paras air sungai semakin rendah/cetek.

Di kampung banyak benda percuma dan masih percuma. Tak perlu penghawa dingin, jadi udara dan hawa sejuknya masih percuma. Kat belakang rumah, sebelah rumah macam2 percuma. Daun cendehom percuma, kelapa dan santan masih percuma, air kelapa yang mengiurkan tu masih percuma, pucuk janggus, kalau dimakan sbg ulam (pergghh) dengan nasi masih percuma, bunga kantan juga percuma. Kekadang kalau kita tak ada minta kat jiran saja, nak beli depa tak mau, depa bagi percuma saja. Itulah antara nilai kejiranan di kampung. Apa lagi percuma??? Pucuk paku, kalau rajin menyelusuri sungai, tak payah pi pasar, percuma saja.   Pucuk ubi masih percuma. Serai tak payah kata, berlambak di belakang rumah, siap bagi kat orang lagi. Kalau sengkek sangat tak ada duit nak beli sayur dan ikan-daging-ayam, jadi 'vegetarian' ja, macam2 sayuran percuma ada di sekeliling kampung.

Dulu, kalau musim orang buat bendang, lepas sekolah petang (sekolah agamalah tu) atau hari cuti, budak2 turun bendang, cari ikan semilai (ikan pelaga)...Kalau pandai, dapatlah tangkap banyak, siap boleh buat jual lagi kat tokey di bandar....Habis tangkap ikan semilai, pi cari lumut-lumut di sungai untuk boh dalam balang ikan semilai tu...Kalau tak minat ikan semilai, ikan kapi ada...tak payah beli mahai2, tahu parit/longkang dlm kampung yang mana, bolehlah tangkap ikan-ikan ni...Ikan kapi memang lebih cantik, terutamanya yang jantan, yang betinanya besaq sikit, tak warna-warni macam yang jantan...Lani dah tak ada benda2 ni. Nak bela ikan semilai, ikan kapi kena beli kat kedai..

Budak2 dulu tak payah PSP, DSi, tak payah Play Station, Nintendo, tak perlu Astro, tak perlu rancangan TV 24 jam, tapi kehidupan budak2 dulu di kampung memang 'indah'....Budak2 sekarang, kalau tak ada benda2 tu, depa nak basikal yang mahai2 pulak...Budak2 dulu, cuti hujung minggu memang ditunggu. Keluaq rumah waktu pagi, waktu tengahari baru balik untuk makan tengahari. Kemudian keluaq balik, petang sebelum Maghrib kena balik. Apa permainan budak2 dulu? Main guli, itu kewajipan, ada macam2 jenis 'game' dlm main guli ni. Lagi? Main congkak...tak payah beli papan congkak yang harga RM20-RM30 tu, korek lubang dalam tanah, cari buah getah, biji asam jawa, batu jalan raya sebagai buah congkak. Free!!!  Kalau ramai2, main perang le, senapang buat dari batang bemban saja, peluru takdak, tapi keluaq bunyi macam2, kot mulut la tu...:-)

Apa lagi? Ada mainan tu nama 'hoki'....masing2 kena ada kayu/tongkat dan jaga lubang masing2...Sapa yg 'kena' kena tujukan bola ke kawan yang letakkan kayu/tongkat dia dalam lubang masing2 dan elakkan dari kena boleh yang dibaling oleh kawan 'yg kena' tadi tu...Kalau lepas sekolah petang, kekadang main bola sepak kat kebun getah. Buat tiang gol pakai buluh, kayu, ada kawan yg sponsor bola, main sampai azan berkumandang... Nak sebut lagi game di kampung memang banyak...kalau musim bulan posa, hamba selalu main 'pistol api'...buat pistol dari papan, buat tempat 'pegang mancis' dan lorong dia, jadi, pakat tembak-menembak sapa mati dulu...biasanya buat 2 kumpulan...Duit belanja sekolah yg tak pakai tu pakat beli mancis api...Nasib baik takdak rumah yg terbakaq dek mainan ni...Takat baju berlubang sana-sini tu biasalah...musim posa ada game nama dia 'Chalot'...Chalot ni game sembunyi-sembunyi...Buat 2 kumpulan, 1 kumpulan kena cari 1 kumpulan yang kena sembunyi dalam malam yang gelap dan pekat tu...Nyorok 1 kampung, jenoh nak cari...he3...waktu tu mana takut hantu...he3... Nak cerita pasai game di kampung ni tak habis artikel ni nanti, konda-kondi, baling kasut, rounders dan lain2, takat ni sajalah...

Hamba sengaja mengimbas kenangan lalu, kenangan 30 tahun dulu dan bandingkan dengan zaman anak-anak sekarang, zaman anak2 hamba membesar di bandar. Memang jauh berbeza. Semasa ziarah Ustaz Ismail tempohari, hamba suka melihat budak kampung mandi parit ban dan sentiasa riang saja.  Insya-Allah balik kampung sekali lagi, hamba nak 'ajar' anak2 tentang kehidupan budak2  di kampung.  Nak ajak anak2 mandi sungai, mandi parit ban, tangkap ikan dan lain2...Biar anak-anak mengerti kehidupan dan nilai kehidupan di kampung kerana kehidupan kampunglah yang banyak membentuk asas jatidiri, peribadi, harga diri dan integriti hamba kini.

wassalam.

Isnin, 28 Mac 2011

Jalan Kebatinan atau Jalan Ketuhanan atau ???

Assalamu'alaikum,

Ada pembaca yang bertanya kepada hamba akan perbezaan antara jalan kebatinan dengan jalan ketuhanan. Dalam masa yang sama, hamba memang dah tulis tajuk dalam blog hamba ini tentang perkara itu, cuma belum siap penulisannya...Dari segi maksud dan makna secara umum, jalan kebatinan dan ahli kebatinan adalah mereka yang belajar dan beramal dengan ilmu-ilmu kebatinan. Apakah ilmu kebatinan? Umumnya ilmu kebatinan berkaitan perkara yang batin, perkara yang tidak zahir, perkara di alam ghaib, perkara metafizik, berkaitan ilmu persilatan, dan ada ilmu kebatinan yang tidak berkaitan dengan ilmu persilatan seperti ilmu perubatan.

Di atas jalan persilatan, jarang silat yang tiada ilmu batin, ilmu kebatinan.  Seni Gayong dengan Ibu Gayongnya, Silat Cekak dengan Ibu Cekaknya, ada Ibu Gerak, ada Ilmu Selisih, dan lain-lain ilmu kebatinan seperti pelbagai jurus kebatinan yang ada dalam Gerak Kilat (hamba pernah belajar dan mengamalkan Gerak Kilat waktu berusia 17-19 tahun), Kipas Nandung, Raja Kipas Nandung, Cuca, Pendinding Diri, Penderas, Pelimun, Garis Laksamana dan pelbagai amalan kebatinan. Pembaca boleh layari laman sesawang ilmu persilatan dan boleh baca peringkat-peringkat ilmu kebatinan dalam setiap ilmu persilatan.

Pada peringkat awal ilmu persilatan, biasanya jarang anak murid didedahkan dengan ilmu kebatinan. Apatah lagi kalau masih sekolah rendah dan sekolah menengah rendah. Peringkat umur sebegini tidak sesuai didedahkan dengan ilmu kebatinan, silap jadinya. Guru Silat juga arif dalam menilai anak muridnya, yang mana sesuai menerima kebatinan dan yang mana tidak sesuai menerima ilmu kebatinan.

Pada hakikatnya anak murid dah didedahkan dengan ilmu kebatinan secara tidak langsung semasa belajar silat. Kalau Gayung Pusaka (hamba belajar juga waktu Tingkatan 2 dan 3), ada mandi limau untuk jadi ahli. Mandi limau ni sebenarnya ada 'unsur kebatinan', cuma guru beritahu atau tidak saja, cuma guru tahu atau tidak sahaja.  Kalau macam Gerak Kilat, memang belajar jurus dan belajar jurus itu adalah ilmu kebatinan.  Dalam membuka gelanggang untuk pertunjukan contohnya, guru yang mengiring ada bacaan2nya, bukan main atas gelanggang kosong saja. 'Kalau tidak nahas'..

Kalau ilmu perubatan, kebatinan adalah perkara biasa.  Tok bomoh dengan jampi-serapahnya, khadamnya, dan lain2. Masakan tidak, nak berentap dengan macam2 pasti kena ada persediaan.  Kalau tok bomoh tak bersedia, tok bomoh yang 'kena cekik'...:-)...Ilmu kebatinan juga dikaitkan dengan petigeni, bertapa, beramal di bukit, gunung dan tempat-tempat tertentu seperti Gunung Jerai, Gunung Ledang, Bukit Panau dan sebagainya. Mereka yang 'tamat' atau khatam akan memperolehi natijah beramal seperti beroleh ilmu perubatan, beroleh ilmu kebal, beroleh batu tertentu seperti geliga sekian2, boleh terbang, boleh menghilangkan diri dan sebagainya.  Hamba membezakan petigeni, dan bertapa dengan berkhalwat dan suluk kerana tujuan/niat beramal adalah berbeza dan natihah beramal adalah berbeza.  Berkhalwat adalah Sunnah Rasul, berkehendak mendekatkan diri dengan Maha Pencipta, bertujuan mencari keredhaan Allah, bukan mencari 1001 barang hikmah dan sakti.

Dalam ilmu persilatan, ilmu kebatinan biasanya diajar pada murid yang dah lama, yang makin matang, yang meningkat maju dalam ilmu persilatannya. Ada yang nak kena habiskan surah Al-Ikhlas di tempat-tempat menakutkan, ada yg kena mandi minyak, ada yang khatamnya di Gunung Ledang, ada yg khatamnya di Gunung Jerai, ada yang khatamnya di Pulau Besar, Melaka dan pelbagai lagi.  Murid persilatan diberikan amalan-amalan berupa ayat Al-Quran, bacaan-bacaan tertentu yang perlu diamalkan. Ada juga amalan yang bersangkut dengan perlu puasa pada hari sekian2, selama sekian, perlu memutih, perlu makan bertih saja sepanjang berpuasa dan pelbagai lagi.  Dalam sesetengah persilatan yang gurunya mengamalkan tariqat, ada zikir-zikir tertentu yang perlu diamalkan ketika bersilat, berjurus dan sebagainya.

Dalam ilmu kebatinan yang dibawa oleh Tok Bomoh, Pawang, Dukun dan seumpamanya, persoalan kebenaran atau kepalsuan atau dampingan mereka terletak utamanya pada hati mereka sendiri, pada amal mereka sendiri, pada nafsu mereka sendiri. Jika Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun itu sendiri tiada jalan ketuhanan, jika mereka sendiri bernafsu ammarah, jika hati mereka sendiri tidak ingatkan Tuhan, jika hati mereka sendiri gelap, apakah anda yakin mereka berada di atas jalan yang lurus?  Jika Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun itu sendiri tidak mendirikan solat, tidak menjaga hukum-hakam Islam, mengambil mudah perkara syariat, adakah anda masih yakin bahawa mereka benar disisi Allah? Bagi Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun sebegini, dampingan mereka adalah jin, syaitan dan Iblis Laknatullah...Hati yang tidak menyebut nama-Nya yang agung tidak ditakuti oleh jin, syaitan dan Iblis Laknatullah. Inilah antara yang menyebabkan berlaku beberapa 'kes perkosaan/pencabulan' ke atas mangsa, si pesakit. Pendapatan mereka adalah bersumberkan kerja mereka sebagai Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun.

Malangnya masyarakat hari ini mencari Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun yang 'dengar-dengarnya Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun tu pandailah, hebatlah, ramai orang berubat dengan dialah, dia ubat baiklah dan 1001 dengar-dengar'...Asalkan baik, asalkan sembuh berubat sajalah, persendakan 'syirik' ke atas diri sendiri, biarkan syirik ke atas anak-pinak, 'sebarkan syirik' ke atas orang lain dengan merekomenkan Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun tersebut.  Ini menunjukkan sifat taqwa, percaya kepada Qada dan Qadar (sebahagian daripada Rukun Iman),  redha atas ketentuan Ilahi sudah jauh benar dari hati-hati manusia hari ini. 

Satu lagi golongan  Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun kelihatannya mematuhi hukum-hakam, mengubat dengan menggunakan  ayat-ayat al-Quran, berpuasa dan sebagainya. Ada juga yang boleh 'bedah cara zahir', tetapi tidak berdarah, pakai telur dan sebagainya. Perbezaan mereka ini dengan mereka yang di atas jalan ketuhanan adalah mereka mengenakan caj, dan ada juga yang pakai caj tetap. Dan kekadangnya bayarannya memang tinggi. Ramai orang mengunjungi mereka, mereka ada iklan di akhbar tabloid, ramai orang datang mengunjungi mereka (kena ambil nombor !). Nasihat hamba adalah jauhkan diri dari berubat dengan  Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun yang mempunyai/mengenakan caj, ada caj tetap....Walaupun mereka tidak seperti golongan mensyirikkan Allah Taala, niat mereka lain, mereka berubat untuk tujuan kebendaan, bukan lillahi taala. ....Berhati-hatilah, sebaik2nya solat sunat Istikharah dahulu sebelum datang berubat dengan golongan ini.

Ada golongan kebatinan yang mereka itu mampu menzahirkan kesaktian. Mereka mampu berjalan menembusi dinding, hilang, 'ghaib', orang tak nampak, memegang benda panas dengan selamba, menghilangkan orang dalam peti (macam silap mata tu), yg biasanya ditunjuki di pasar-pasar malam, mampu terbang, tetak dengan pedang tajam tak lut, 'bersilat apa saja jenis silat', dan 1001 kesaktian. Dalam zaman internet ini, mereka menawarkan pelbagai ilmu dan kesaktian dengan pelbagai yuran dan caj. Implikasinya mudah, bayar mahal, mudah dapat ilmu, mudah dapat kesaktian. Ilmu mereka 'diturunkan dengan mudah' kepada mereka yang berminat. Ramai pulak orang yang berminat tu....:-(  Nasihat hamba, tinggalkanlah orang-orang sebegini. Kalau dah 'ambil', bukan senang nak buang. Tidak ada jalan mudah memperolehi ilmu kebatinan yang hak.  Ilmu yang benar disisi Allah, bukan boleh dijual-beli dengan wang ringgit.

Berbalik kepada orang-orang di jalan persilatan dengan ilmu kebatinan mereka, yang tidak disepadukan dengan jalan tariqat, dengan jalan ketuhanan, maka persoalan hamba adalah apa niat mereka mengambil ilmu kebatinan itu? Apakah mereka mengamalkan amalan kebatinan mereka kerana Allah Taala, lillahi taala?  Apakah mereka tidak menuntut faedah, natijah, kesan daripada amalan kebatinan itu?  Contohnya jika mereka mengamalkan ilmu kebal, adakah mereka mengamalkannya kerana Allah Taala atau kerana nak kebal?  Apakah tauhid mereka, iktiqad mereka semasa mengamalkan ilmu kebal itu? Semasa mereka mengamalkan ilmu pendinding, apa tujuan mereka memakai ilmu pendinding tersebut? Adakah mereka berfaham bahawa ilmu pendinding itu boleh melindungi mereka daripada sekian-sekian. Justeru itulah, ilmu kebatinan dalam jalan persilatan 'banyak masalahnya' jika tidak dibimbing oleh guru yang arif, bukan saja tentang silat tetapi arif tentang ilmu tauhid, tentang ilmu tasawuf. Berapa ramai ahli persilatan yang tidak sedar mereka memakai dampingan daripada jin, syaitan dan dewa-dewi dalam amalan persilatan mereka. Berapa ramai ahli persilatan yang tidak tahu mereka mensyirikkan Allah Taala dengan amalan kebatinan mereka itu...

Tidak adakah Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun yang benar disisi Allah? Ada, malah Ustaz Ahmad Janggut sendiri menyatakan adalah menjadi Fardhu Kifayah bagi pengamal perubatan Islam untuk jadi Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun sebab banyak sangat yang sesat (yang sesat lebih ramai dari yang benar)....Tak adakah jalan persilatan yang mengamalkan kebatinan yang benar disisi Allah? Ada, kan Wali Songo itu hebat-hebat ilmu persilatan dan kebatinan mereka. Cuma kita sebagai orang biasa, sebagai orang awam jangan mudah terpengaruh dengan cadangan, pandangan orang ramai tentang bab mengubat ni. Rugikah kita jika kita mendirikan Solat Sunat Istikharah sebelum pergi berubat dan menjurumuskan diri ke arah lembah kesyirikan? Yang mana lebih penting, kesihatan atau kesyirikan? Yang mana lebih baik, sihat dalam kesyirikan atau sakit dalam rahmat Allah?

Ingatlah sakit juga ada kebaikannya. Selain harus diusahakan dengan berubat, harus juga tahu bahawa sakit itu menghapuskan dosa. Hamba terbaca dalam Futuhul Ghaib, demam sehari itu boleh menghapuskan dosa setahun (Sabda Nabi SAW)...

Hamba akhiri dahulu tajuk ini sebagai permulaan bicara yang konteks awalnya adalah umum dan tidak hamba khususkan kepada mana-mana Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun, tidak hamba khususkan ke atas mana-mana jalan persilatan. Kalau dah terlajak jalan, boleh berpatah balik, berpatah baliklah....Insya-Allah, akan ada sambungan tentang jalan ketuhanan yang benar yakni mereka yang menjadi ahli ketuhanan dan juga ahli kebatinan...

wassalam.

Khamis, 24 Mac 2011

FATWA SONGSANG SALAHPI-WAHHABIY

sumber : http://al-ghari.blogspot.com/2011/03/fatwa-songsang-wahhabiy.html



Saya sedikitpun tidak terkejut dengan fatwa-fatwa songsang mereka yang berfahaman Salafiy-Wahhabiy. Memang salah satu dari doktrin Salafiy-Wahhabiy bersikap fanatic dengan hujjah mereka. Dalam masa yang sama mereka menyalahkan fahaman dan amalan orang yang tidak sehaluan dengan mereka. Metod ini telah dipergunakan zaman-berzaman oleh Muhammad bin Abdul Wahhab dan pengikutnya untuk mengkafirkan umat Islam, menyalahkan ulamak, membid'ahkan mereka dan melancarkan peperangan terhadap umat Islam atas nama jihad fi sabillillah.

Berbalik Isu Akad Nikah dalam masjid sewajarnya tak perlu diungkitkan kembali memandangkan ia masalah picisan dan telah lama diselesaikan beribu-ribu ulamak muktabar sebelum kita. Mari kita tinjau pandangan mereka dalam masalah ini satu persatu. Sekurangnya terdapat dua pandangan utama dalam membicarakan Isu Akad Nikah di Masjid. Iaitu pandangan Jumhur Ulamak (majoriti) dan pandangan peribadi Imam al-Syaukani

Pandangan Jumhur Ulamak :

Menurut Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Jumhur Ulama mengatakan, SUNAT melakukan akad nikah di masjid (jilid 39, ms.221). Mereka terdiri daripada ulama-ulama Mazhab Syafie dan Hanafi (jilid 32, ms.6) serta Mazhab Hambali (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi' al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231)

Manakala Mazhab Maliki mengatakannya HARUS sahaja, bukannya sunat (Mausu'ah Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, jilid 32. ms.6). Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah mencatatkan :

Terjemahan : "Berkata ulama-ulama [mazhab] Hanafi dan Syafie, disunatkan [dilakukan] akad nikah dalam masjid berdasarkan hadis "umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya dalam masjid serta pukullah kompang". Berkata ulama-ulama [mazhab] Maliki, ia (melakukan akad nikah di masjid adalah) harus".

Ulama-ulama lain yang turut mengatakan SUNAT melakukan akad nikah dalam masjid ialah Imam Ibn Taimiyyah dalam Majmu' al-Fatawa dan Imam Ibnu Qayyim dalam I'lam al-Muwaqqi'in (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi' al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231).

Kesimpulannya, para ulama 4 mazhab (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali) bersepakat mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi' al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.259)

Hujjah Jumhur Ulamak :

Pertama : Hadis Tabarani adalah hadis yang hasan. (al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, jilid 1, ms.36, al-'Ajluni dalam Kasyful Khafa', jilid 1, ms.145 dan lain-lain.)

Kedua : Akad nikah dilakukan di masjid bagi mengambil keberkatan masjid sebagai rumah Allah SWT dan aktiviti ibadah. (al-Baqarah 114)

Ketiga : Masjid adalah tempat yang diketahui ramai. Justeru, melakukan akad nikah dalam masjid akan menyebarkan berita perkahwinan. Menyebarkan berita perkahwinan pula adalah satu tuntutan syarak.

Keempat : Nikah adalah ibadat untuk tujuan iman dan taqwa. Oleh itu sunat untuk dilakukan akad dalam masjid.

Kelima : Melakukan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan fungsi masji adalah sebahagian pengimarahan masjid (al-Taubah 18)

Keenam : Memudahkan tugas Imam untuk menjalankan urusan perkahwinan yang berbilang.

Ketujuh : Mengingatkan pasangan dan rombongan perkahwinan bahawa mereka membina ikatan perkahwinan secara mulia.(hadis sahih riwayat Ibn Khuzaimah, Kitab Solat, Bab Syahadah Bil Iman no : 1502)

Kelapan ; Mendapat pahala sampingan seperti melakukan sunat Tahiyyatul masjid, iktikaf , zikir, wirid, doa, membaca al-Qur'an dan lain-lain.

Kesembilan : Isu akad Nikah di masjid diamalkan secara mutawattir dalam dunia Islam. Tiada seorang ulamak pun bangkit membantah dan menganggap ia sebagai amalan bid'ah yang bercanggah dengan amalan Rasulillah SAW kecuali AJK Fatwa Perlis.

Pandangan Imam Syaukani

Imam Syaukani mempunyai pendapat yang berbeza dengan jumhur ulama. Bagi beliau, akad nikah TIDAK HARUS dilakukan dalam masjid.Alasannya kerana, masjid hanya dibina bagi menjadi tempat mengingati Allah dan mendirikan solat. Aktiviti selain mengingati Allah dan mendirikan solat, tidak boleh dilakukan di dalam masjid, kecuali dengan adanya dalil khusus yang mengharuskannya.Dalam kitabnya al-Sail al-Jarrar (jilid 2, ms.247-248) : "Masjid sesungguhnya dibina bagi [menjadi tempat] mengingati Allah dan [mendirikan] solat, maka TIDAK HARUS [dilakukan] di dalamnya (masjid) selain [daripada] itu, melainkan dengan [adanya] dalil yang mengkhususkan keumuman [hukum] ini, seperti permainan lembing oleh orang-orang Habsyah di masjid Nabi s.a.w sambil Baginda melihatnya dan seperti perakuan [Nabi s.a.w] kepada orang-orang yang membaca syair di dalamnya (masjid)".

Imam Syaukani tidak menerima hadis Tabarani yang menjadi dalil jumhur ulama, kerana ia adalah hadis dhaif pada penilaian beliau (rujuk Nayl al-Awtar, jilid 6, ms.211).

Kesimpulan :

1. Mazhab Jumhur Ulamak (iaitu Hanafi, Maliki, Syafi'ie, Hambali dan lain-lain bersepakat mengatakan SUNAT melakukan akad nikah di masjid.

2. Pandangan peribadi Imam al-Syaukani merupakan pandangan terpencil yang syadz kerana menyalahi jumhur ulamak. Ia bukanlah pandangan muktamad dalam penyelesaian isu ini. Oleh itu, menggunakan pandangan ini untuk menyalahkan pandangan Jumhur dikira sebagai menyanggah arus fatwa sedia ada, meragukan masyarakat dan dikira satu kesalahan.

3. Amalan melakukan akad nikah dalam masjid mempunyai sandaran dalil yang kukuh. Ia bukan bersandarkan kepada logic akal atau seputar isu pentadbiran hal ehwal masjid semata-mata.

4. Bagaimanapun, Majlis Tetap Fatwa Arab Saudi yang mengatakan melakukan akad nikah dalam masjid secara konsisten, atau beranggapan ia ada kelebihan, adalah bid'ah.(Rujuk : http://www.islam-qa.com/ar/ref/132420) adalah satu amalan dalam negara mereka. Pandangan ini bukan bersifat mutlak tetapi ada qaidnya yang tersendiri. Iaitu berbeza antara akad nikah secara konsisten ataupun tidak. Pandangan ini tidak bersesuaian untuk dipraktikkan di Malaysia memandangkan ia menjustifikasikan kesan negative (bid'ah sesat) terhadap berjuta-juta umat Islam yang telah melakukan akad nikah di Masjid dalam perkahwinan mereka sebelum ini. Apakah umat Islam boleh sesat dan bid'ah bila mengikut pandangan jumhur ulamak? Atau mereka dituduh sesat hanya berkhilaf dalam perkara furuk? Fikirkanlah.

3. Individu yang menegah akad nikah dalam masjid sebenarnya lebih mirip kepada pandangan Imam al-Syaukani. Tetapi Imam Syaukani sendiri tidak membid'ahkan pandangan Jumhur Ulamak. Apatah lagi menyalahkan mereka dan menuduh mereka melakukan amalan yang bertentangan dengan Rasulillah SAW. Jika ia diprakktik di perlis, maknanya umat Islam Perlis sebahagian besarnya dianggap telah melakukan perbuatan bid'ah kerana telah melakukan akad di masjid sebelum ini. Kemungkinan jua termasuk Datuk Ahmad Jusoh sendiri jika ayah dan ibunya melakukan amalan yang sama. Maka sewajarnya fatwa songsang ini tidak dipraktikkan.

4. Fatwa atau pandangan sembrono dari Perlis membuktikan aliran pemikiran mereka bukan berteraskan kepada fahaman Salafus Soleh atau Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut disiplin mazhab. Sebaliknya mereka mempunyai kecenderungan yang kuat kepada aliran Salafi Wahhabiy. Pandangan Dr Mohd Asri, Dr Juanda Jaya, Dr Azwira Abdul Aziz dan Datuk Ahmad Jusoh jika dianalisa dengan teliti dilihat mempunyai banyak persamaannya. Kami mempunyai bukti eksklusif untuk penghujahan.

5.Mengqiaskan amalan akad nikah dalam masjid menyerupai amalan orang Kristian yang melakukannya dalam gereja adalah satu contoh kiasan yang salah (Qiyas Maal Fariq). Ini kerana tidak wujud persamaan illat antara kedua majlis aqad Nikah di atas. Alasan yang jelas ialah akidah dan syariat kita berbeza antara satu sama lain (Islam, Kristian dan Yahudi). Jika ada persamaan pun ia hanya kebetulan sahaja. Contohnya, jika semua penganut agama berpuasa. Apakah dengan berpuasa kita dilihat mempunyai persamaan pegangan dan amalan? Bukankah al-Qur'an membezakan akidah dan syariat kita dgn mereka pada surah al-Kafiruun ayat 6. Jika anda memahami kaedah penggunaan kias ini anda sesekali tidak menganggap isu akad nikah ini mempunyai persamaan. Ia tidak dilakukan oleh orang yang berakal. Maka Mengertilah.

Rabu, 23 Mac 2011

Hukum Berakad Nikah Di Masjid

sumber : http://bahrusshofa.blogspot.com/2011/03/hukum-berakad-nikah-di-masjid.html


Nampaknya geng pendakwa "kami ikut sunnah, hok lain semua ahli bid`ah", telah menimbulkan satu isu lagi untuk diperselisihkan umat Islam dalam negara kita. Apa yang tidak sedapnya ialah apabila dengan mudahnya membuat tuduhan bahawa perbuatan mengadakan akad nikah perkahwinan dalam masjid adalah menyimpang daripada amalan Rasulullah SAW.... Allahu ... Allah .... laser..laser.

 
Marilah kita kembali merujuk kepada para fuqaha kita untuk mengetahui sebenaq-benaqnya hukum mengadakan akad nikah dalam semejid (baca: masjid jangan dibaca samjid). Kalu kita bukak telaah kitab fiqh mazhab Syafi`i kita, antaranya yang hok mudah didapati lagi banyak manfaat dan berkatnya, karya waliyUllah Sidi Abu Bakar ad-Dimyathi rahimahUllah iaitu "Hasyiah I`aanathuth Thaalibin" jilid 3 halaman 315 kita dapati ibaratnya sebagai berikut:-

....... iaitu dan DISUNNATKAN agar akadnikah itu dilakukan dalam masjid. Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah dalam "Tuhfah" menyatakan: Ini adalah kerana ada suruhan (baca: anjuran) dengannya sebagaimana khabar yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani. Iaitu "Hebahkanlah pernikahan ini, laksanakan ia di masjid-masjid, palulah kompang-kompang dan seseorang daripada kamu buatkanlah kenduri walaupun hanya dengan seekor kambing...."
Selain Imam ath-Thabrani rahimahUllah, Imam at-Tirmidzi turut meriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi" juzuk 2 halaman 247 sebagai berikut:-

Daripada Sayyidatina 'Aisyah radhiyAllahu 'anha menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Hebahkanlah akan pernikahan ini, laksanakanlah ia di masjid-masjid dan palulah untuknya kompang-kompang."
Imam at-Tirmidzi rahimahUllah menilai hadits ini sebagai hasan gharib, di mana seorang rawinya yang bernama 'Isa bin Maimun dipandang sebagai seorang yang dhaif. Sungguhpun begitu, beliau meriwayatkannya daripada Ibnu Abu Najiih seorang yang tsiqah. Hadits yang diriwayat oleh Imam ath-Thabrani yang tersebut dahulu juga tidak lepas dari perselisihan muhadditsin. Sebahagian muhadditsin seperti al-Hafiz as-Sakhawi dan al-Ajluni menilainya sebagai hasan, manakala sebahagian lain menilainya sebagai dhaif. Oleh itu pihak yang menghukumkan sunnat berakadnikad di masjid mempunyai sandaran antaranya hadits-hadits tersebut, dan tidak mustahil ada sandaran-sandaran lain yang tidak kita ketahui kerana kecetekan ilmu kita.

Mengenai hukumnya dalam mazhab-mazhab lain, maka tersebut dalam "Mawsu`ah al-Fiqhiyyah" sebagai berikut:-

Bahawa adalah pernikahan tersebut diakadkan dalam masjid. Ulama al-Hanafiyyah dan asy-Syafi`iyyah menghukumkan MANDUB untuk melaksanakan akad pernikahan dalam masjid, kerana hadits: "Hebahkanlah akan pernikahan ini, laksanakanlah ia di masjid-masjid dan palulah untuknya kompang-kompang." Ulama al-Malikiyyah menghukumkannya sebagai JAIZ.
Begitulah hukumnya melangsungkan upacara akadnikah dalam masjid. Maka tuduhan bahawa ianya menyimpang daripada amalan Rasulullah SAW adalah suatu tuduhan melulu tanpa usul periksa dan perlakuan biadap kepada para ulama muktabar yang menghukumnya sebagai sunnat atau setidak-tidaknya harus. Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan upacara pernikahan di masjid, sayogia diberikan perhatian yang sungguh-sungguh agar kesucian dan kehormatan masjid tidak dicemari. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberikan taufiq dan hidayahNya bagi kita semua sebagaimana para ulama kita terdahulu.

Makam Sultan Mansur Shah I Di Masjid Kampung Kota Lama Kanan

Assalamu'alaikum,

Setelah lebih kurang 2 jam setengah dengan Ustaz Ismail, kami menuju ke Masjid Kampung Kota Lama Kanan. Hamba dah banyak kali ke sini, dah tak ingat kali ke berapa...Anda perlu mengikuti Jambatan yang melintasi Sungai Perak ke Sayong dan lain2 tempat untuk ke Kampung Kota Lama Kanan. Kalau dari jambatan ini, kampung ini terletak di sebelah kiri jalan. Kami sampai ke masjid dalam jam 515-520 petang. Masjid ini dah 'berkunci'...Alhamdulillah, ada notis (seperti gambar di bawah) tentang penjaga kunci masjid ini. Hamba pun menelefon En Yusoff dan dalam 10-15 minit beliau sampai. Hamba bertanya sama ada perlu menelefon beliau semula setelah kami hendak meninggalkan masjid ini, beliau kata tak payah, tutup pintu sampai rapat...Katanya dengan masalah 'budak dadah' dan lain-lain masalah, masjid ini terpaksa dikunci. Mungkin J/K Masjid tahu masjid ini 'juga popular', jadi diletakkan notis siapa perlu dihubungi untuk sesiapa yang datang untuk bersolat ketika dikunci (notis sebegini ada di Makam Tuan Tulis di Kuala Pilah)...

Kami bersolat di sini dan hamba menghabiskan kerja-kerja yang patut...  Kalau dibaca sejarah ada macam-macam versi tentang Marhum Kampung Kota Lama Kanan ini, pembaca kena cari sendiri versi mana yang betul....:-)....Cuma hamba bagi 'clue', sebahagian Raja dan Sultan dahulu banyak ilmu, banyak amalnya, dari itu digelar juga orang-orang dulu yang Sultan ini 'Bayangan Tuhan di muka bumi'...Ada maksud yang mendalam pada gelaran itu.... Daulat itu juga datangnya dari perkataan 'daulah' yakni wilayah (versi yang hamba faham le), dan diangkat seseorang Sultan itu sebagai Raja/Sultan, bukan sahaja oleh umat manusia tetapi oleh bangsa jin, jadi jin pun setuju Sultan bangsa manusia itu Raja depa...kat sini timbul istilah 'jin kerajaan'...banyak perkara lain yang boleh dikaji jika ingin mengkaji, contohnya mengapa Sunan Ampel mengangkat 'Waris kerajaan Majapahit' sebagai Sultan Demak yang pertama? bukan beliau sendiri menjadi Sultan...

Tentang ghaib ketika solat mengikut sebahagian versi, pasti ada ilmu dan rahsia Allah di situ. Nak tahu kena belajar, kena mengaji dan kena mengkaji...:-)...Kami meninggalkan masjid ini dalam pukul 6.41 petang...Kalau diikutkan sejarah, sudah berusia sekurang-kurangnya 434 tahun tapak masjid ini...lama tu...walaupun terbakar dan dibina semula, tapaknya lama...Kalau kita lihat masjid di Mekah dan Madinah, semua masjid baru tapi tapaknya tapak asalkan....apa maksud hamba ???

Kemudian ke bandar Kuala Kangsar, nak makan laksa Kuala tak sempat sebab kedai-kedai dah tutup....tapi isteri kata tudung-tudung kat sini murah...Kemudian meneruskan perjalanan ke Selangor, singgah sebentar di Hentian Simpang Pulai sebab panggilan alam, sempat beli buah jambu... Kemudian singgah sekali lagi di Kawasan Rehat ??? untuk bersolat dan makan malam.....Kami sampai di rumah 10 minit sebelum jam 12 tengah malam...Hampir 14 jam dalam perjalanan singgah sini-sana...Alhamdulillah, kena demam 4 hari dapat satu petua, tak jadi ziarah Makam Wali Allah di Pulau Pinang, dapat ziarah dua makam terpilih (1 di Kepala Batas dan 1 di Kuala Kangsar) dan dapat ziarah tiga orang guru...Kita merancang, DIA juga merancang dan rancangan-NYA yang menjadi kenyataan...

wassalam.


Papan tanda ke Masjid ini

Masjid ini dari perkarangan

Ada meriam di sini...apa maksudnya???

Ada satu makam di sini, tak sempat tanya makam siapa

Kalau tengok batu nisan ni dah boleh agak tua atau tidak kawasan perkuburan ini

Ada yang lama dan ada yang baru

Ni makam terpilih tadi, tak sempat baca tulisannya

Ada lebih daripada 2 makam dalam pagaran ini



Notis kalau masjid berkunci, siapa perlu dihubungi

Dari sebelah kiri masjid (pintu utama)


Dari sebelah kanan masjid; kelihatam batu nesan sebatang di situ...



Tulisan dari kanan


Dari belah kiri


Latar belakang

Sultan Mansur Syah I (1549-1577), Sultan Perak ke 2[1]
Sultan Mansur Syah telah diputerakan di Bentan, Riau, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Melaka. Apabila Sultan Mudzaffar Syah pertama mangkat pada tahun 1549 di Tanah Abang (Telok Bakang), Lambor, Daerah Perak Tengah, Baginda Sultan Mansur Syah dilantik menjadi Sultan Perak yang kedua. Baginda kemudian berpindah bersemayam di Kampung Kan Kong (Kota Lama Kanan), Kuala Kangsar, di tepi Sungai Perak.

Hubungan dengan Siam

Sultan Mansur Syah dengan diiringi oleh Bendahara Megat Terawis telah mudik ke Ulu Perak dan menetapkan di sebelah utara Negeri Perak dengan Negeri Reman (Siam). Sempadan itu bertandakan sebuah batu bernama Tapong yang dijadikan sempadan dan dinamakan Batu Belah, kerana kononnya batu itu boleh dibelah oleh Baginda dengan pedang Baginda sendiri. Perjanjian itu telah dipersetujui oleh Raja Negeri Reman hingga ke ahkir tahun masehi yang ke-18.

Hasil daripada bijih timah, Kerajaan Perak menjadi kaya. Orang-orang Siam menyerang mengakibatkan kekalahan di pihak Negeri Perak dan Pemantu Baginda Raja Ali terus terbunuh. Negeri Perak terpaksa menghantar Bunga Emas pada tiap-tiap tahun kepada Kerajaan Negeri Siam sebagai ufti dan membenarkan mereka membeli timah sebarang cukai.

Hubungan dengan Aceh

MENGIKUT SEJARAH ACHEH: Sultan Husain Ali Riayat Syah pemerintah Acheh telah dikatakan menyerang Perak lalu mengalahkannya dan dibawa ke Acheh. Putera Sulung Baginda yang bernama Raja Alauddin dikahwinkan dengan puteri Acheh bernama Raja Puteri dan kemudiannya diangkat menjadi Sultan Acheh. Setelah itu Kerajaan Acheh menghantar Sultan Mansur Syah menduduki Takhta Kerajaan Negeri Perak yang menjadi takluk Kerajaan Acheh.

MENGIKUT SEJARAH RAJA-RAJA PERAK: Sultan Mansur Syah dan isteri serta puteranya tidak ditawan oleh Acheh melainkan Putera Sulung Baginda sahaja dibawa ke Acheh menjadi Sultan Acheh. Kemudian barulah Sultan Acheh menghantar orang-orangnya ke Negeri Perak mengambil Baginda Sultan Mansur Syah dan isteri. Tetapi sebelum Sultan Mansur Syah dibawa ke Acheh, Baginda terus beristerikan anak seorang Batin (Ketua Orang Asli) di Kuala Kinta dan daripada keturunan anak Baginda dengan perempuan orang asli itulah kononnya lahir "Panglima Kinta", Orang Besar Perak di Daerah Kinta.

Mangkat

Sultan Mansur Syah telah mangkat di Negeri Perak pada tahun 1577. Kemangkatan Baginda tidak diketahui dengan sahnya. Mengikut cerita Baginda sedang Bersembahyang Jumaat di Masjid Kota Lama Kanan, tiba-tiba Baginda ghaib dan rakyat pun menyangkakan Baginda telah Mangkat. Baginda digelar Marhum Kota Lama Kanan.

Sultan Mansur Syah tidak mempunyai makam melainkan Batu Peringatan Sultan Mansur Shah yang terletak di Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar. Batu Peringatan ini merupakan sebuah nisan yang dipasang dengan perintah Sultan Idris Murshidul 'Aadzam Syah bagi memperingati Sultan Mansur Syah yang hilang ketika menunaikan fardhu Jumaat di masjid itu. Masjid Kota Lama Kanan dibina semula dalam tahun 1916 menggantikan masjid yang asal yang telah dibakar oleh Penjajah Inggeris semasa berlaku Perang Perak dalam tahun 1875-1876.


Isnin, 21 Mac 2011

Makam Tuan Guru Hj Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang

Assalamu'alaikum,

Pada 4 Mac 2011, hari Isnin bersamaan 9 Rabiulakhir 1432, hamba ke Kepala Batas, Seberang Perai. Walaupun kurang sihat, hamba gagahkan juga. Kami bertolak selepas Solat Zohor.  Kepala Batas terletak dalam Daerah Seberang Perai Utara dan merupakan antara bandar utama dalam daerah ini selain Butterworth. Kawasan yang terletak dalam Parlimen mantan Perdana Menteri ini mengalami pertumbuhan pesat di awal 2000 sehingga sekarang. Jika anda 10 tahun tidak berkunjung ke sini, pasti kagum dengan kepesatan pembangunan yang berlaku. Itu adalah lumrah di Malaysia, kawasan yang diwakili oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pasti akan mengalami lonjakan pembangunan. Antara pembangunan dalam 10 tahun ini adalah Balai Bomba, MRSM, Kolej Perubatan, padang golf, taman perumahan, Hotel Seri Malaysia...banyak...:-)....Kalau dulunya Tol Bertam tak banyak kenderaan, kini semakin bertambah...Hamba singgah ke Kompleks Dato Kailan di Kepala Batas. Dato Kailan merupakan ibu kepada mantan PM, Pak Lah. Hamba menurunkan isteri dan anak-anak di situ sementara mereka menunggu hamba menghabiskan kerja di Masjid Jamiul Badawi...Orang Perempuan, kata ja nak hantar kat Kompleks Beli-Belah, setuju selalu...:-)...Di bawah adalah gambar kompleks ini.


Selepas itu, hamba bersama anak ketiga yang nak ikut (lelaki) menuju ke Masjid Jamiul Badawi, Kepala Batas. Orang ramai ada yang panggil Masjid Badawi saja. Di masjid ini hamba tercari-cari Makam Tuan Guru Hj Abdullah Fahim, datuk kepada mantan PM. Orang kampung panggil TokLah Fahim saja...Alhamdulillah bertemu dengan seorang warga tempatan dan beliau memberikan petuanya iaitu di kawasan depan masjid, makamnya jelas berbeza dengan makam-makam yang lain.  Kalau diikutkan, TokLah Fahim ada bau-bau bacang dengan Tok Ayah (atuk lelaki sebelah ibu) hamba kerana masing-masing ada darah Melayu Pattani...


Alhamdulillah, kami dapat mencari makamnya...Zaman dulu-dulu, ramai orang kampung panggil TokLah Fahim ni 'keramat hidup'...Tak ada orang yang berani 'melawannya'...Hamba pun buat beberapa kerja yang patut dan selesai dalam 4.18 petang. Waktu ni hujan dah mula turun, basah juga baju hamba, tapi hamba biarkan sahaja, hatta ini kali pertama dalam ziarah makam-makam, hamba dibasahi hujan...Hujan rahmat, kata hati hamba, biarkan saja ia membasahi baju hamba dan kepala hamba.

Batu nisan TokLah Fahim jelas dapat dibaca. Beliau kembali menemui Sang Pencipta pada tahun 1961M

Selepas 'kerja di Makam',  hamba masuk masjid dan sambung lagi kerja dalam masjid. Hamba selesai kerja dalam jam 440 petang. Kemudiannya kembali ke Kompleks Dato Kailan untuk ambil isteri dan anak di situ. Isteri dan anak-anak merungut kerana banyak kedai tak buka kerana tak dapat bertahan. Walaupun Kompleks ini 'seperti Pekan Rabu' di Alor Setar, nampaknya ia tak dapat bertahan.  Ramai peniaga 'tutup kedai', pengunjung tak ramai. Hamba pun tak sempat kaji mengapa, lokasinya dah OK, apa yang tak OK???

Makam TG TH Abdullah Fahim di tengah-tengah, bersebalahan dengan makam anaknya dan menantunya


Kemudian kami ke Kedai Jago, hamba nak tempah capal. Dulu Jago pun ada buka kedai di Kompleks Dato Kailan, tapi 'dah keluar'...Jago terletak di Pekan Lama Kepala Batas, dalam 1 km dari bandar baru. Perniagaan buat capal ini diteruskan oleh anaknya, Badrul. Hamba tempah sepasang capal, harganya RM70...memang boleh tahan harganya, tapi kualitinya ramai yg kata OK...Lagipun capal kat kedai tak tahan lama dan tak sedap pakai, sesekali nak sedap juga kaki ni pakai capal. Selepas itu, kami kembali ke kampung halaman....


Penghawa dingin tu utk Tok Imam


sumber: http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/abdullah-fahim-ulama-mahir-ilmu-falak.html

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim.

Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.

Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.

Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.

Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.

Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.

Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin)

Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla' al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).

Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal.

Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.

Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.

Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.

Kepakaran ilmunya:
Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.

Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.

Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.

Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.

Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin.

Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi.

Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.

Karya dan pemikirannya:
Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.

Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H).

Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.

Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:

``Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``

Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah, ``Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ... ``

Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal.

Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, ``Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''

Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis, ``Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah ... ``

Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, ``Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu''.

Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.

Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.

Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis, ``Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din ...''

Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, ``Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin''.

Abdullah Fahim menegaskan, ``Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.''

Keturunannya:
Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya.

Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia.


sumber : http://ulamak.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=51:sheikh-abdullah-fahim&catid=36:ulamak-tanah-melayu&Itemid=89



Sheikh Abdullah Fahim: Ketua Dewan Ulamak PAS Pertama 
Kepulangan Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulamak dan guru di Masjidil Haram ke Tanah Melayu pada 1922 telah mencetuskan pemikiran baru tentang perjuangan kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini. 

Sheikh Abdullah Fahim atau nama sebenarnya Abdullah bin Ibrahim adalah ulamak berdarah campuran Arab-Pattani yang berasal dari Makkah. Beliau dilahirkan di Kota Suci pada 1869 di mana ayahnya, Sheikh Ibrahim bin Tahir adalah guru di Masjidil Haram semenjak berhijrah dari Pattani ke Kedah, kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Makkah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam pada 1830-an.

Dengan keistimewaan beliau sebagai anak seorang ulamak di Makkah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk mendalami pelbagai ilmu agama di sana. Sepanjang pengajiannya, Haji Abdullah telah berjaya menguasai ilmu-ilmu agama seperti usuluddin, fiqh, tasawuf dan tarekat, tafsir al-Quran, hadis, falak serta ilmu alat seperti arudh dan qawafi dalam rumpun sastera Arab. 

Beliau dikata berguru dengan lebih 50 orang ulamak dan mendapat 42 ijazah dalam pelbagai bidang pengajian termasuk politik. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921. 

Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanah air dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun. 

Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai “Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah”. Perkataan “al-Wathaniyah” atau Bumiputera itu jelas memperlihatkan semangat kemerdekaannya. 

Tuan Guru Haji Abdullah Fahim bukan sahaja mengasas dan mengajar di sini, tetapi turut menjadi mudir sehingga 1930. Antara murid beliau yang paling terkenal ketika ini ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin. Di sini, Haji Abdullah telah memperkenal pengajian berkelas (nizami) dan juga umum (adami). 

Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Antara pelajar beliau di sini termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Prof Zulkifli Mohammed. 

Setelah meninggalkan Bukit Chandan, Haji Abdullah kembali ke Kepala Batas dan menguruskan Madrasah Daeratul Maarif. Walau bagaimanapun, beliau hanya berkhidmat sebagai penaung, manakala anaknya, Tuan Haji Ahmad Badawi sebagai mudir dan murid kesayangannya, Ustaz Abdul Halim al-Hadi sebagai guru besar. Beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai Sheikhul Islam Kedah kerana menjaga maslahat madrasah ini. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana. 

Selepas Perang Dunia Kedua tercetus, Sheikh Abdullah Fahim telah mula terlibat dalam politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai. Ketika Umno ditubuhkan pada 1946, beliau adalah ahli Umno pertama dari Pulau Pinang. Beberapa ketika kemudian, kerana kemasyhuran beliau sebagai seorang ulama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Meskipun menjadi ahli Umno, kemahuan beliau untuk melihat kemerdekaan tidak padam walaupun Umno ketika itu tidak memperjuangkan kemerdekaan. 

Ketika murid beliau, Ustaz Abu Bakar al-Bakir menubuhkan Hizbul Muslimin, beliau bukan sahaja memberikan sokongan tetapi telah dilantik mempengerusikan Majlis Penasihat Hizbul Muslimin pada 1948 dan dalam masa yang sama mengetuai Bahagian Agama Umno. Ekoran beberapa krisis dalaman Umno berkaitan sikap Umno terhadap isu-isu agama seperti isu judi loteri, fun-fair, kaberet, isu pemurtadan Natrah dan lain-lain, Haji Abdullah telah berundur sebagai Pengerusi Bahagian Agama pada 1950. Selepas itu, jawatan ini diambil alih oleh muridnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan. 

Walaupun Haji Abdullah tidak menyertai dua Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 1950 dan 1951, tetapi beliau menghantar anaknya, Haji Ahmad Badawi untuk menyertainya. Apabila Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, persatuan tersebut telah merancang mengadakan Persidangan Ulamak di Butterworth pada 24 November 1951 untuk meluluskan undang-undang tubuh dan melantik jawatankuasanya. Haji Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang telah merasmikan persidangan ini yang akhirnya telah mengambil keputusan menukar nama Persatuan Ulama Se-Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Abdullah Fahim sendiri dicalon sebagai Yang Dipertua Agung PAS tetapi tewas kepada Tuan Haji Ahmad Fuad. 

Sebaik sahaja PAS ditubuhkan, Madrasah Daeratul Maarif telah dipilih sebagai Pejabat Agung PAS yang pertama sebelum berpintah ke Bukit Mertajam. Selepas itu ia kembali ke madrasah ini pada 1953 sebelum menumpang beberapa ketika di rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki iaitu berhampir madrasah ini juga. 

Kerana penyertaan Haji Abdullah dalam PAS, hampir seluruh murid dan keluarganya menjadi tenaga penting PAS. Turut menyertai PAS di kalangan jawatankuasa madrasah ini ialah Cikgu Ahmad Awang, Ustaz Abdul Halim al-Hadi, Ustaz Abdul Kadir Kamal dan Ustaz Mohd Saghir. Di kalangan keluarganya pula ialah anaknya, Haji Ahmad Badawi; menantunya, Hajah Kailan Hassan; iparnya, Haji Mansor Hassan JP dan beberapa yang lain. 

Pada 3 April 1952, Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulama PAS bagi menyatukan tenaga ulama dan mengelola urusan hukum-hukum agama, maka Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama. Antara langkah penting dilaksanakan oleh beliau ialah mengadakan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat pada 22 Mei 1952 bagi merundingkan usaha untuk menyatukan sekolah agama dan membentuk kumpulan wang untuk membangunkan sistem pendidikan tersebut. Beliau juga telah membuka Pejabat Dewan Ulama PAS di Madrasah Khairiyah, Pokok Sena iaitu sekolah milik Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein. 

Pada akhir 1953, telah berlaku krisis kepemimpinan PAS ekoran sokongan PAS terhadap National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman. PAS mula membentuk disiplin parti dengan mencegah pimpinan PAS menjadi ahli parti lain. Pada Ogos 1954, bertempat di Madrasah ad-Diiniyah, Bagan Serai, PAS meluluskan usul tersebut. Akibatnya, beberapa pimpinan PAS seperti Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Maansor JP, Tuan Guru Haji Huseein Che Dol, Haji Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Badawi terpaksa memilih untuk kekal dalam PAS atau menjadi ahli Umno. Haji Hussein Che Dol, Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki memilih untuk meninggalkan PAS dan kekal bersama Umno. Pendirian ini turut diambil oleh Sheikh Abdullah Fahim. 

Walaupun tidak lagi bersama PAS selepas 1954, Haji Abdullah Fahim selaku Mufti bersama Ustaz Abdul Halim al-Hadi (Guru Besar Maarif Wathaniyah) dan Sheikh Salleh Masri (Pengerusi Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang) telah mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam keluar mengundi dan melarang mereka mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya 1955. Isu ini menjadi hangat kerana ia dilihat merugikan Perikatan dan Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang pula menyokong fatwa ini. Pada 31 Mei 1955, pendaftaran PAS telah diluluskan dengan beralamat di “Arabic School, Kepala Batas” iaitu madrasah milik Haji Abdullah Fahim. 

Sumbangan penting Haji Abdullah dalam politik negara ialah menetapkan tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Berdasar keilmuan beliau dalam bidang falak, beliau mengatakan itu tarikh terbaik untuk Tanah Melayu merdeka. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia pada 27 April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.



Sheikh Abdullah bin Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Sheikh Abdullah Fahim merupakan ulama terkenal Tanah Melayu dan mufti pertama Pulau Pinang yang berkhidmat dari 1951 - 1961. Beliau dilahirkan di Kampung Syib ‘Ali, Makkah pada tahun 1286H dan dibesarkan di sana dalam suasana ilmu keagamaan. Beliau berdamping dan berguru dengan ramai ulama, menurut riwayatnya guru beliau di Makkah dan Madinah tidak kurang 42 orang.

D
i antara guru-gurunya ialah:-
Sheikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (murid Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan pengarang kitab I`aanathuth -Tholibin yang masyhur. Jelas bahawa terdapat hubungan sanad keilmuan antara beliau dengan Sidi Ahmad Zaini.;
Sheikh Muhammad Sa`id BabShil;
Sheikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki;
Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani;
Sheikh Wan ‘Ali Kutan al-Kalantani; dan
Sheikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.


Sheikh Abdullah Fahim selain alim dalam ilmu-ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf, juga mendalami ilmu falak. Keahliannya dalam ilmu falak menyebabkan nasihatnya diminta mengenai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dan cadangannya untuk tarikh tersebut diterima. Jangan pula disalah anggap bahawa ilmu falak Sheikh Abdullah Fahim tu serupa dengan ramalan Tok Sami dan Tok Cha. Kalau nak tahu berkenaan ilmu falak kenalah belajar dengan ahlinya, cuma kena ingat bahawa falak ulama itu bukan setakat melihat anak bulan sahaja. Mudah-mudahan titihan zuriat beliau yang akhirnya menjadi Perdana Menteri ke-5 Malaysia dapat memartabatkan lagi Islam di persada dunia umumnya dan Nusantara khususnya.

Wasiat Sheikh Abdullah Fahim I


Ikhwah, sebenarnya aku terlupa, almaklumlah nama sahaja insan tempat berlaku khata` dan nisyan (salah dan lupa). Alhamdulillah, nasib baik ada sahabat yang mengingatkan aku berhubung dengan pesanan Sheikh Abdullah Fahim kepada anak bangsanya. Dalam buku “Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2)” dipetik antara pesanan beliau:-
Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.
Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-’Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.

Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.
Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.



Wasiat Sheikh Abdullah Fahim II

Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah was sholatu was salamu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala alihi wa ashabihi. (Amma ba’d), tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`).

Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan Mathla`ul Badrain dan lainnya.

U
suluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhajul ‘Abidin, Ihya` Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyarus Salikin.

Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang lagi terbilang) diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.













Sabtu, 19 Mac 2011

Balik Kampung dan Kenduri Kahwin

Assalamu'alaikum,

Sabtu, 12 Mac 2011, selepas Tuan Bakal Jenazah dan rakannya ziarah hamba, kami pun bersiap untuk balik kampung ke Utara.  Dalam jam 3 petang baru kami dapat bertolak keluar dari rumah.  Kami singgah di Kawasan Rehat Tapah untuk Solat Asar dan beli buah le...Perjalanan seterusnya dalam keadaan hujan, lebat dan renyai-renyai. Hamba tak bawa laju dalam 70-80 km sejam saja. Sampai rumah dalam jam 9 lebih, badan dah letih...Lepas solat terus tidur....


Pokok apa kat gambar atas tu??? Hamba berasal dari negeri tersebut, lahir dari negeri tersebut walaupun bukan di bahagian pulaunya....Percutian kali ini sedikit bermasalah sebab hamba 'demam'...Jadi rancangan sebelum balik mungkin bertukar... yalah, kita merancang, DIA yang menentukan...Apa saja yang berlaku kena redha atas segala ketentuan-NYA.

Ahad, 13 Mac 2011, paginya dalam jam 10 pagi, hamba pergi tempah batu nisan untuk bapa saudara bersama bonda hamba. Kemudian, bila balik, hamba pusing2 kampung, dah lama tak pusing kampung.  Kemudiannya ada kenduri kahwin di kampung. Hamba sekeluarga, keluarga abang hamba dan bonda hamba pun ke kenduri kahwin ini, dekat saja dalam 50-60 meter dari rumah...

Kenduri kahwin di kampung pun dah tak meriah macam dulu....dah pakai katering...semua urusan kenduri, syarikat katering yang uruskan.  Kalau dulunya, kenduri kahwin memang meriah. Sehari atau dua hari sebelum hari kahwin, kumpulan pemuda akan ramai-ramai ke masjid untuk angkat 'kayu  dan zink untuk buat balai'... Selain batang kayu, pakat-pakat angkat pinggan-mangkuk, periuk besar, kuali, peralatan-peralatan memasak yang semuanya milik Masjid. Orang yang nak buat kenduri akan sewa dari masjid dan kadar sewanya murah saja...apabila sampai barang yang diangkut dari masjid (guna lori), pakat-pakat pasang khemah dan balai...bukan kerja yang senang, tetapi dengan semangat gotong-royong, semua jadi mudah...

Selain itu, kaum hawa pula akan berkumpul di rumah tuan rumah dan pakat-pakat buat kerisik...Kelapa nak kena kopek, belah dan mesin/kisar...lepas mesin/kisar kena goreng...waktu nilah, telur direbus dan dimasukkan ke dalam bekas telur...waktu ni juga, kaum hawa pakat-pakat potong bawang, potong, belah apa yang patut untuk dimasak pada hari kenduri keesokannya...kanak-kanak memang sibuk dok keliling rumah tuan kenduri, nanti dapatlah makan bubur kacang yang dimasak untuk kaum hawa dan sesiapa yang datang menolong.

Pada hari kenduri kahwin, orang kampung akan datang awal.  Terbit ja matahari, orang kampung dah sampai. Kalau ada daging yang belum dilapah, waktu nilah, pakat-pakat lapah dan potong daging, potong segala sayuran dan buahan dan segala persediaan untuk buat lauk kenduri.  Biasanya tukang masak ada dua tiga orang. Yang masak nasi ada pakarnya, bukan senang nak masak nasi kawah, sukatan nasi dengan air kena betul, kemudian api kena jaga agar nasi masak elok dan sedap dimakan. Begitu juga dengan lauk-pauk kenduri, ada tukang masaknya. Yang bestnya kalau ada 'kerabu' dan acar...hamba memang suka kerabu dan acar...tapi orang bandar hari ini tak suka sangat dah makan kerabu dan acar....anak hamba (kira orang bandar le) pun tak minat kerabu dan acar....pergghhh...memang best...

Biasanya dalam jam 12 tengahari, lauk dan nasi dah siap dimasak...Orang kampung tak minta upah apa2 pun, cukup bagi kain tuala Good Morning sorang selai, bagi rokok dua-tiga batang....kemudian bila depa nak balik, bagi nasi dan lauk-pauk yang dah dibungkus. Sebelum pengantin sampai, ada majlis Marhaban, anak-anak muda digalakkan sertai Marhaban ni, yang biasanya diikuti dengan sedikit tahlil....lepas doa baru boleh makan...kenduri kahwin kat kampung tak payah nak upah 'mentara' (tukang angkat pinggan/pelayan), orang-orang muda memang 'dipertanggungjawabkan', jadi mentara, tolong masukkan lauk dalam mangkuk/pinggan, bubuh nasi dalam pinggan dan tangkupkan, angkat lauk, nasi, ke atas meja, bersihkan meja, dan sebagainya...


Bila dah habis kenduri, jiran-jiran pakat datang untuk kemaskan khemah dan lain-lain peralatan dan barang kenduri...esok atau lusa, kalau dah kemas, pakat angkat ramai-ramai masukkan dalam lori dan hantar semula ke masjid.

Begitulah antara nilai kehidupan di kampung, suatu ketika dahulu...Orang sekarang suka nak nilai sesuatu dengan kebendaan....Ini menghakis sifat tolong-menolong, gotong-royong, bekerjasama, kejujuran dan keikhlasan hati dalam berbuat sesuatu...

Itulah antara gambaran kenduri kahwin dulu-dulu...Zaman dah berubah, suasana dah berubah...kalau kat kampung hamba pun, ramai tukang masak dah meninggal dunia dan tak ada pelapis...

Begitulah sedikit-sebanyak celoteh hamba tentang kenduri kahwin di kampung hamba suatu ketika dulu...Gambar kenduri di atas ini guna khidmat katering...Orang kampung cuma datang dan makan saja...wassalam.