TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)
Memaparkan catatan dengan label Ibadat Haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ibadat Haji. Papar semua catatan

Rabu, 2 November 2011

Hikmah wuquf di Arafah


Hikmah wuquf di Arafah



WUQUF di Arafah adalah antara simbol menunjukkan perpaduan dan kesatuan umat Islam walaupun berlainan warna kulit dan bangsa.


PARA fuqaha bersepakat ibadah wukuf di Padang Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada hari kesembilan Zulhijjah setiap tahun. Ia bermula daripada waktu gelincir matahari (zuhur) sehingga sebelum waktu fajar (subuh) pada hari kesepuluhnya. 

Ia tidak sah jika diganti oleh orang lain. Sesiapa yang sempat berwuquf pada waktu tersebut, dia memperolehi ibadat haji, manakala yang tidak sempat berwuquf dia pasti tidak akan mendapat haji tersebut. 

Justeru, ibadat wuquf merupakan tiang asas kepada haji dan nadinya. 

Para jemaah haji akan bertemu sesama mereka di Padang Arafah untuk menunaikan ketaatan kepada Allah. Pada masa yang sama, perhimpunan itu juga mengingatkan umat Islam bahawa mereka adalah umat yang satu.

Taraf mereka adalah sama sahaja di sisi Allah SWT melainkan bagi orang yang meningkatkan amalan ketaqwaan dan ketaatan yang banyak kepada Allah SWT. 

Mereka sewajarnya bekerjasama di dalam mempertingkatkan kesedaran diri di dalam menegakkan suara kebenaran, bertolong-tolongan melakukan kebaikan dan berusaha kuat di dalam mempertahankan keimanan dan keyakinan terhadap agama dan nilai kemanusiaan.

Setiap tahun umat Islam yang menghadiri perhimpunan ini akan mengingati dan merenungi pertemuan seumpamanya yang telah dihadiri sendiri oleh Rasulullah SAW di samping mengetuai dan memimpinnya. 

Mereka seolah-olah berada di dalam kelompok ratusan ribu para sahabat yang membanjiri Padang Arafah untuk sama-sama menjejaki cara ibadat haji yang dikerjakan oleh nabi SAW yang dikenali sebagai Hajjatul Wada'

Di sanalah Allah SWT menurunkan ayat tentang ketuanan agama Islam dan penerimaan-Nya terhadap wadah yang dibawanya (rujuk al-Maidah: 3)

Di situlah juga nabi SAW yang sedang menaiki unta, berdiri di antara bongkah batu-batu besar di kaki Jabal Arrahmah memberi peringatan, nasihat dan amanat kepada para jemaah haji ketika itu.

Baginda SAW mengajak mereka berpegang kepada tali agama Allah dan menyatakan kerugian akibat perpecahan sesama sendiri, menerangkan tentang dasar-dasar keunggulan agama dan peranan umat yang bakal bertanggungjawab terhadap penyebaran risalah keamanan kepada sekelian manusia.

Baginda SAW di dalam khutbahnya (pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah) turut menjelaskan dasar-dasar agama Islam, menghapuskan ciri-ciri kesyirikan dan jahiliah, menyatakan tentang kehormatan darah manusia, harta dan maruah mereka di samping pengharaman menumpahkan darah, merampas harta dan menjatuhkan maruah sebagaimana yang disepakati oleh kesemua ajaran agama langit. 

Turut dijelaskan di dalam khutbahnya tentang amalan berhubung dengan perkara jahiliah yang telah dihapuskan. Baginda SAW juga mengharam dan membatalkan perbuatan riba, selain memberi amanat dan wasiat kepada kaum lelaki (suami) supaya memelihara wanita (isteri), di samping menyatakan tanggungjawab dan hak-hak yang perlu dilaksanakan untuk kebaikan mereka seperti pemberian makanan dan pakaian dan menjelaskan tanggungjawab para isteri untuk ditunaikan terhadap para suami mereka.

Khutbah haji wada'
Antara sabda Baginda SAW : "Sesungguhnya darah dan harta sesama kamu adalah mulia dan haram (dicerobohi) seperti mulianya hari ini (Arafah), bulan ini (Zulhijjah) dan negeri ini (Mekah). Ketahuilah bahawa setiap perkara jahiliah diletakkan di bawah kakiku ini (dibatalkan). Segala tuntutan (bayaran) darah di zaman jahiliah dahulu juga dibatalkan. 

"Tuntutan darah pertama yang dibatalkan adalah tuntutan darah anak kepada Rabi'ah bin Al-Harith yang telah menyusu di kampung Bani Saad yang kemudianya dibunuh oleh Huzail. 

"Tuntutan terhadap harta riba di zaman jahiliah juga dibatalkan, tuntutan pertama yang dibatalkan adalah harta riba yang menjadi hak kepada Al-Abbas bin Abdul Muttalib, kesemuanya telah dibatalkan. 

"Takutilah kamu kepada Allah dalam (menguruskan) para wanita (isteri), kerana kamu mengambil mereka (sebagai isteri) dengan amanah (yang diwajibkan oleh) Allah serta kamu dihalalkan untuk mereka dengan kalimah Allah (akad nikah). 

"Adalah menjadi kewajipan mereka (wanita) tidak membenarkan sesiapa pun yang kamu tidak gemari duduk di hamparan (masuk ke rumah) kamu. Jika mereka melakukan demikian (memberi keizinan untuk orang lain) maka kamu pukulilah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. 

"Kamu hendaklah memberikan perbelanjaan rezeki dan pakaian untuk mereka dengan cara yang baik. Daku tinggalkan untuk kamu suatu perkara yang kamu tidak akan sesat sekiranya kamu berpegang dengannya iaitu Kitab Allah (al-Quran)".

Dengan khutbah yang amat padat itu, nabi SAW menggariskan umat Islam dasar perjalanan yang berketerampilan dan membawa kepada ketamadunan manusia yang sewajibnya diikuti dan dituruti sepenuhnya dengan rasa kemulian dan penuh bangga. 

Kesemua itu demi menjaga segala peraturan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk dipikul di atas bahu mereka. Pelaksanaan terhadapnya pasti menjadi umat berdaya saing untuk terus maju sejajar dengan dasar kemanusiaan dan kemaslahatan sejagat yang berpaksikan kebenaran, kesaksamaan dan keadilan. 

Isi khutbah di atas menjelaskan bagaimana ketamadunan palsu umat terdahulu yang menyimpang jauh daripada tuntutan nilai kemanusiaan yang telah dihidupi oleh generasi awal, yang menjauhi petunjuk ilahi, dan akhirnya membawa kepada kecelakaan dan malapetaka yang amat dahsyat kepada mereka yang meruntuninya.

Ketamadunan terdahulu yang tersasar daripada prinsip agama dan akhlak, menjual segala asas budi pekerti untuk dilelong di pasar-pasar perdagangan dan kilang-kilang pengeluaran bahan.

Insan telah dimanipulasi untuk menjadi ganas dan gasar, membentuk jiwa yang sentiasa menginginkan penumpahan darah dan merampas harta orang lain. 

Oleh sebab itu, kemajuan setempat walaupun amat menarik dan mengagumkan pada pandangan mata, ia pasti tidak dapat dinikmati dalam keadaan jiwa yang tenang dan hati yang tenteram bahkan segala kegusaran dan penderitaan terus menerus menghantui minda dan jiwa raga manusia setempat. 

Rasulullah SAW 'seolah-olah' pada hari Arafah tersebut ditunjukkan keadaan umat mendatang setelah zaman baginda yang berada dalam keadaan perpecahan dan perseteruan yang amat berkecamuk. 

Tiada penyatuan di kalangan mereka, silih berganti generasi yang datang dan pergi tetapi ia sama tanpa penambahbaikan, permasalahan masih tidak dapat diselesaikan, kesulitan dan kecelaruan yang menimpa tiada tindakan dan kajian terperinci yang boleh mengatasinya.

Justeru, sampailah ketika dan saatnya di mana umat Islam sewajibnya menyedari dan memahami makna kefarduan haji ini.

Ibadat haji bukan sahaja dilaksanakan penunaiannya terhadap beberapa perkara ibadah secara praktikalnya malahan mereka sewajarnya dapat menyelami segala kemanfaatan yang dipaparkan oleh Allah SWT menerusi rukun Islam yang kelima ini.

Kekuatan umat dapat dipaparkan:
l Dalam kesepaduan dan kesekataan apabila ia dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya;
l Keteguhan prinsip dan ketenteraman perasaan apabila Al-Quran dipegang dan dihayati sewajarnya;
l Saling berkongsi harapan dan bekerjasama dalam meleraikan permasaalahan sesama ummat;
l Bersepakat di dalam mempertahankan diri daripada ancaman dan tipu daya musuh Islam ;
l Juga mengawal diri umat daripada dicela, dipijak dan ditertawakan oleh sebarang musuh yang sentiasa mencari jalan bagi melemahkan kekuatan dan keteguhan perpaduannya.

Sejarah umat Islam terdahulu yang amat panjang tidak pernah menyaksikan sebarang serangan musuh di dalam pelbagai situasi seperti yang dihadapi oleh mereka ketika ini. 

Seluruh kekuatan musuh dan taktik peperangan saraf dilancarkan oleh musuh Islam demi membantutkan keserlahan umat yang telah mengungguli dunia kemanusiaan. 

Justeru, bagi menghadapi ancaman musuh dan mempertahankan diri serta prinsip yang teguh, umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, membuang segala kekalutan minda dan menjernihkan kembali perseteruan dan perbalahan sesama sendiri.

Kerana itu, peristiwa wuquf di Arafah setidak-tidaknya dapat mengembalikan nostalgia lalu, memaparkan bagaimana kesemua diri umat menuju kepada ajaran Allah SWT, patuh dan tunduk kepada-Nya dan arahan-Nya.

Di sanalah Baginda SAW memperingatkan umat supaya menjaga amanah yang amat besar lagi kudus ; amanah persaudaraan, amanah menegakkan hukum hakam agama Allah, mempraktikkan amalan bantu membantu, membuang segala perasaan keakuan dan negatif sesama sendiri.

Umat yang disifatkan sebagai "bangsa yang beriman kepada Allah, dilahirkan untuk kebaikan manusia sejagat, bersama menyuruh berbuat baik, bersama mencegah perbuatan kemungkaran". (ali-'Imran: 110) sepatutnyalah bertindak menyelami maksud hari Arafah dengan membentuk jiwa yang mantap, kesepaduan yang teguh, berpegang kepada al-Quran, melaksanakan suruhan dan menjauhi larangan berlandaskan syariat Ilahi, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi.

Selasa, 18 Oktober 2011

Pentingnya sihat semasa haji



Pentingnya sihat semasa haji

Oleh DR. AZAH ABDUL SAMAD

Semua maklum bahawa perjalanan ke Mekah untuk mengerjakan haji adalah salah satu perkara yang ditunggu oleh semua orang Islam. Ia merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba terhadap Allah, Maka sudah tentu mempunyai ganjaran dan hikmah yang besar. Tetapi ganjaran itu pasti tidak mampu dicapai jika niat suci itu terhalang oleh beberapa faktor terutama kesihatan.

Bakal-bakal haji perlu memahami keadaan di Tanah Suci kerana berbeza dengan persekitaran di negara kita. Hawanya berdebu dan kering berbanding dengan keadaan cuaca di Malaysia yang lembap.

Perbezaan paling ketara adalah perubahan cuaca yang sangat ekstrem antara malam dan siang. Suhu waktu siang adalah lebih 30darjag celsius dan pada waktu malam serendah 18 darjah celsius.

Suhu sejuk dan keadaan berdebu mendedahkan jemaah kepada jangkitan saluran pernafasan. Sebab itu mereka dinasihat menyemak keadaan suhu di media massa sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pada musim haji kali ini, ia dijangka bertembung dengan musim panas. Maka bakal jemaah diingatkan jangan berjemur di tengah panas dan perlu minum banyak air serta tidak berpakaian tebal di waktu siang.

Lagi pula ibadah haji itu sendiri memerlukan kekuatan fizikal untuk melakukan saie, tawaf dan melontar. Jemaah terpaksa berjalan beberapa kilometer untuk menunaikan ibadah-ibadah tersebut selain perlu bermalam di Arafah, Mina dan Mudzalifah dengan kelengkapan tempat tidur dan tandas yang paling asas. Pasa masa sama mereka perlu berjalan untuk ibadah melontar empat hari berturut-turut.

Jemaah juga terpaksa berulang-alik ke masjid yang jaraknya dengan tempat penginapan adalah antara 50 meter ke 700 meter. Ringkasnya jemaah haji memerlukan kekuatan fizikal sama ada untuk menunaikan ibadah atau urusan peribadi ketika di Tanah Suci.

Disebabkan bilangan jemaah yang ramai, maka masa untuk melaksanakan sesuatu ibadah itu lebih panjang. Jemaah yang ramai itu juga banyak masalah kesihatan disebabkan virus atau bakteria yang dibawa oleh jemaah negara lain.

Kepentingan kesihatan
Lulus pemeriksaan kesihatan dan mendapat akuan doktor merupakan salah satu dari peraturan haji kerajaan Arab Saudi sebelum visa haji diluluskan.

Pemeriksaan kesihatan yang sempurna bagi melakukan pengesanan awal dan memastikan jemaah yang mengidap penyakit tertentu mendapat rawatan yang sepatutnya sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pada masa ini, semua bakal jemaah telah lulus pemeriksaan kesihatan. Semua perihal kesihatan telah dicatit di dalam Buku Rekod Rawatan (BRR) yang dibekalkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).

Pastikan buku rekod rawatan lengkap diisi oleh doktor dan segala tambahan atau perubahan dos ubat-ubatan dicatatkan.

Ini penting kerana hanya buku itu yang menjadi penghubung antara doktor di Malaysia dan doktor yang bertugas di tanah suci.

Jika buku itu tidak mempunyai maklumat lengkap maka doktor yang bertugas di Tanah Suci akan menghadapi kesulitan dalam memberi rawatan terbaik.

Buku rekod rawatan hendaklah sentiasa berada dalam beg galas jemaah dan sentiasa di bawa bersama-sama di Tanah Suci.

Jemaah dinasihat membawa bekalan ubat yang mencukupi sepanjang musim haji. Walaupun rombongan perubatan TH turut membawa bekalan ubatan, mungkin ada ubat yang tiada dalam senarai. Bagi bakal jemaah haji yang memerlukan ubat khas dari doktor pakar swasta atau Institut Jantung Negara, ia hendaklah dibawa secukupnya.

Vaksinasi
Vaksinasi boleh membantu menyediakan ketahanan badan terhadap penyakit. Untuk bakal jemaah, vaksinasi yang diwajibkan adalah vaksinasi meningococcal.

Ia untuk ketahanan badan terhadap jangkitan selaput otak. Vaksinasi pilihan yang digalakkan adalah untuk influenza dan pneumococcal untuk ketahanan badan terhadap jangkitan paru-paru.

Vaksinasi wajib
Pada musim haji 1987 (1407 Hijrah), musim haji 2000 dan 2001, wabak penyakit meningitis berlaku di Tanah Suci. Berikutan itu, kerajaan Arab Saudi mewajibkan vaksinasi meninggococcal (suntikan vaksin Quadrivalent meningokokus ACWY-135) kepada semua jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Tanpa suntikan itu, pihak Arab Saudi tidak membenarkan jemaah haji masuk ke Tanah Suci. Vaksinasi ini akan beri perlindungan ketahanan imuniti selama dua hingga tiga tahun.

Vaksinasi pilihan
Vaksinasi juga boleh membantu menyediakan ketahanan terhadap kuman yang menyebabkan radang paru-paru. Vaksinasi pilihan yang disyorkan adalah suntikan influenza (selesema bermusim) dan suntikan pneumococcal.

Kedua-dua suntikan itu adalah pilihan yang boleh didapati di klinik-klinik swasta. Ia bagi memberi perlindungan imuniti untuk tempoh setahun.

Mereka yang digalakkan mendapat vaksinasi pilihan adalah:
  • Jemaah yang berumur 65 tahun ke atas.
  • Pesakit yang mengidap penyakit kronik seperti sakit buah pinggang, diabetes dan sakit paru-paru.
  • Pesakit yang mempunyai ketahanan badan yang rendah. 

Vaksinasi yang diambil juga mesti dicatit dalam buku rekod rawatan kerana tanpa vaksinasi wajib iaitu vaksinasi meningococcal, jemaah tidak dibenarkan masuk ke tanah suci.

Penyakit sering dihidapi
Oleh kerana perubahan suasana, suhu dan aktiviti di Tanah Suci seperti hawa yang panas dan berdebu, kesesakan tempat tinggal dan tempat ibadat dan keletihan badan, maka jemaah sering menghidap penyakit ringan seperti:

  • Batuk dan demam selsema. Pada kebiasaannya hampir 90 peratus dari jemaah haji menghidap batuk. Mereka perlulah mendapat rehat yang cukup. Banyakkan minum air, tiha ke empat liter sehari terutama selepas menggunakan tenaga berlebihan dan penting bagi mereka mendapatkan rawatan awal dari klinik sebelum keadaan bertambah teruk.
  • Pecah-pecah kulit, tumit dan bibir (khususnya di Madinah). Cara mengatasinya adalah dengan menyapu krim pelembap sejurus berada di Tanah Suci untuk mengelakkan kulit dan bibir pecah. Keadaan cuaca yang kering menyebabkan kulit, bibir dan tumit pecah. Kurangkan penggunaan sabun mandi untuk mengelakkan kekeringan kulit dan jangan berjalan tanpa alas kaki. Lain-lain penyakit ringan adalah sakit kerongkong, hidung berdarah, sembelit dan cirit-birit.

Permasalahan tawaf




TAWAF pada bahasa bermaksud mengelilingi. Seperti yang diketahui, pada istilahnya pula, tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali yang diniatkan untuk tawaf kerana Allah dengan mengikut syarat-syaratnya.

Tawaf adalah salah satu rukun haji dan umrah yang mesti dilakukan oleh mereka yang melakukan ibadah haji dan umrah.

Cara tawaf adalah dengan bermula mengiring tubuhnya semua ke arah hajar al-aswad. Tidak sah tawaf tanpa melepasi garisan hajar al-aswad semua badannya.

Yang demikian dia mengadap kaabah dan berdiri di sebelah hajar al-aswad dengan bertentangan dengan arah rukun Yamani, di mana jadilah semua hajar al-aswad di sebelah kanannya dan bahunya yang kena di hujung sebelah hajar al-aswad.

Kemudian niatlah kerana Allah SWT dengan membanyakkan mengadap hajar al-aswad berjalan ke arah kanan hingga melepasi hajar al-aswad.

Apabila dia melepasi dengan menjadikan kirinya ke arah Baitullah dan kanannya di luar kalau dilakukan cara ini bermula daripada yang pertama lagi dan meninggalkan mengadap Hajar al-Aswad, hukumnya harus.

Kemudian hendaklah berjalan ke depan mengelilinginya (tawaf kaabah, melintasi multazam yang terletak antara Hajar al-Aswad dan pintu kaabah). Dinamakan multazam kerana ramai orang beriltizam di situ memohon doa.

Kemudian melalui rukun kedua selepas Hajar al-Aswad, dinamakan rukun Iraqi, kemudian melalui belakang Hijir Ismail yang menghadap ke arah Syam dan Maghribi. Dia berpusing mengelilinginya hingga ke rukun yang ketiga.

Diletakkan rukun ini dan yang sebelumnya dengan dua rukun Syami. Ia juga dinamakan dengan Gharbiani (dua ke arah barat).

Kemudian mengelilingi kaabah hingga sampai kepada rukun yang keempat yang dinamakan rukun Yamani, kemudian berjalan ke hajar al-aswad, tempat memulakan tawaf, maka sempurnalah sudah satu pusingan.

Kemudian dia hendaklah sempurnakan lagi hingga cukup tujuh tawaf. Setiap pusingan dengan satu tawaf dan setelah selesai tujuh pusingan baru dianggap sempurna tawaf.

Imam al-Syafie Rahimahullah memakruhkan dengan menamakan tawaf sebagai syaut dan dur (pusingan).
Berikut beberapa permasalahan hukum berkaitan ibadah tawaf:

n Isu batal wuduk bersentuhan antara lelaki dan perempuan dibahaskan oleh ulama dengan panjang lebar sejak dahulu.

Muzakarah Haji oleh Tabung Haji memutuskan jika di Mekah pada musim haji ketika tawaf atau berada dalam Masjid al-Haram tidak batal wuduk bersentuh antara lelaki dan perempuan yang ajnabi kerana darurat dan sukar untuk memelihara wuduknya.

n Dalam al-Nihayah menyatakan bahawa, orang yang haid yang perlu tawaf boleh bertaklid kepada mazhab Abu Hanifah dan Ahmad dalam salah satu riwayatnya.

Sheikh Abdul Fatah Husin Rawah berkata: "Ini kerana kedua-duanya berpendapat tidak disyaratkan taharah daripada dua hadas dalam tawaf sama seperti wuquf di Arafah."

n Orang nifas sama hukumnya dengan orang yang haid dalam berkenaan dengan sah tawafnya.

n Sheikh Abdullah bin Jasir dalam bukunya Mufid al-Anam berkata: "Sheikh al-Islam berpendapat, begitu juga perempuan yang haid jika tidak mungkin melaksanakan tawaf fardu dengan sebab kesuntukan waktu dan terpaksa meninggalkan Kota Mekah mengikut satu pendapat di kalangan ulama, memadai baginya. Namun dikenakan dam sama ada seekor kambing atau seekor unta jika haid atau janabah dan seekor kambing jika daripada hadas kecil."

Walaupun begitu, beliau berpendapat sewajarnya wanita dalam haid tidak tawaf kecuali dalam taharah.
n Niat tawaf, jika tawaf bukan ibadat haji dan umrah, maka tidak sah tanpa berniat tanpa sebarang khilaf. Ibn Allan berkata: "Adapun qasad perbuatan, maka wajib niat secara mutlak."

Sebaliknya menentukan niat adalah jika sekiranya selain daripada tawaf nusuk (haji) atau umrah. Ini kerana sunat niat atas niat. Jika fardu seperti tawaf nazar maka hukumnya adalah wajib.

n Idtiba' hanya pada tawaf yang ada berlari anak (raml), tanpa raml tiada idtiba' padanya. Didatangkan keterangan tentang tawaf yang disertai raml melainkan disunatkan idtiba' pada semua pusingan tawaf yang tujuh, sedangkan raml hanya untuk tiga pusingan yang pertama.

Kanak-kanak seperti orang yang baligh sunat idtiba' mengikut mazhab yang masyhur. Perempuan tidak boleh idtiba' kerana tempat idtiba' itu bagi perempuan adalah aurat.

n Istilam (mengucup atau menyentuh hajar al-aswad) atau jika tidak berdaya (kerana ramai orang) memadai dengan diisyaratkan menyapu daripada jauh dengan tangan kemudian mengucupnya) hajar al-aswad dan mengucupnya dengan meletakkan wajahnya pada batu tersebut dan telah diterangkan terdahulu.

Sunat juga dia istilam Rukun Yamani tanpa mengucupnya. Cukup hanya mengucup tangan yang dia istilam dengannya. Kucupan tersebut hendaklah selepas istilam. Inilah pendapat yang sahih dan pendapat jumhur ashab kami.

Imam al-Haramain berkata: "Jika dia mahu, boleh mengucupnya kemudian istilam dengannya dan jika dia mahu, dia istilam kemudian dia mengucupnya. Pendapat yang terpilih adalah mazhab jumhur."

n Imam al-Nawawi berkata: "Berturutan antara pusingan tawaf hukumnya sunat muakad. Namun, ada pendapat yang mengatakan wajib."

Jika terpisah dengan masa yang lama dan dia menyangka melihat padanya telah memutuskan tawafnya atau selesai daripada tawafnya, lebih baik melakukan semula untuk keluar daripada khilaf.

Jika dia berpegang dengan pendapat yang pertama, tidak perlu mengulang. Hukumnya harus mengikut pendapat yang asah.

n Ijmak ulama berpendapat tawaf pada waktu-waktu yang dilarang solat adalah harus.

n Dalam Mazhab Syafie, solat sunat tawaf harus dilakukan pada semua waktu tanpa makruh. Demikian juga dengan Mazhab Hanbali.

n Sunat istilam Hajar al-Aswad dan di sisi Mazhab Syafie mengucupnya dan meletakkan dahi padanya.

n Rukun Yamani mengikut Mazhab Syafie hanya sunat istilam tanpa mengucup.

n Idtiba' dan raml hukumnya sunat di sisi Mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali.

n Syarat taharah daripada dua hadas dan najis serta menutup aurat adalah syarat di sisi Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali.

n Sunat membaca al-Quran ketika tawaf mengikut pendapat jumhur ulama termasuk Mazhab Syafie dan Ahmad.

n Jika jenazah hadir untuk disolatkan sedangkan ketika itu ada yang bertawaf, ada dua pendapat:

i. Mengikut Mazhab Syafie menyempurnakan tawaf adalah lebih utama. Ini juga pendapat Malik, Ibn al-Munzir, Ata' dan Amru bin Dinar.
ii. Keluar daripada tawaf dan solat jenazah sebentar adalah lebih baik. Ini pendapat Abu Hanifah.

n Jika seorang yang dalam ihram membawa atau menanggung orang yang dalam ihram lain dan tawaf kedua-duanya dengan berniat untuk diri masing-masing ada tiga pendapat mengikut mazhab Syafie:

i. Dikira berlaku kepada yang membawa. Inilah pendapat yang asah. Ini juga pendapat Malik dan satu riwayat daripada Ahmad.
ii. Dikira berlaku kepada yang dibawa.
iii. Dikira berlaku kepada kedua-duanya. Pendapat yang terakhir ini juga dikemukakan oleh Abu Hanifah dan Ibn al-Munzir dan satu riwayat daripada Ahmad.

n Mengikut pendapat Syafie, Hanbali dan Maliki, bagi yang melakukan haji qiran hanya perlu tawaf sekali dan juga saie sekali.

Sedangkan Abu Hanifah berpendapat dua kali tawaf dan saie iaitu umrah dan haji.

Ini juga dihikayatkan oleh Ali dan Ibn Masud. Walaupun begitu, Ibn al-Munzir berkata: Nisbah kepada Saidina Ali adalah tidak benar.

n Apabila seorang selesai tawaf dan solat fardu selepas itu memadai daripada solat sunat tawaf di sisi Mazhab al-Syafie mengikut pendapat yang asah. Imam Ahmad berkata: "Aku harap ia memadai". Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah berkata: "Ia tidak memadai".

Imam al-Nawawi berkata: Istimewa solat ini daripada yang lainnya dengan sesuatu iaitu dia boleh masuk ganti. Orang yang mengambil upah haji boleh solat untuk yang mengupah. Inilah pendapat yang asah.

Dalam kalangan ashab kami, yang berpendapat bahawa solat yang mengambil upah berlaku untuk dirinya. Jika dia hendak tawaf dua kali atau lebih, sunat baginya solat dua rakaat setiap kali tawaf.

Jika dia tawaf dua kali atau lebih atau banyak tanpa solat kemudian dia solat bagi setiap tawaf dua rakaat, hukumnya harus, tetapi dia telah meninggalkan cara yang afdal.

Dalam Hasyiah menyatakan memadai juga dua rakaat dari semua tujuh pusingan tersebut tanpa makruh sebagaimana juga disebut dalam al-Majmu'. Ini berdasarkan ia adalah sunat.

Rukun Haji


Rukun haji

RUKUN haji adalah pekerjaan yang mesti dilakukan semasa menunaikan fardu haji. Jika tidak ditunaikan sama ada sengaja atau tidak maka tidak sah hajinya. Rukun-rukun haji ialah:

1. Niat melakukan haji
Setiap amalan dalam Islam dimulakan dengan niat. Begitu juga bagi haji, niat untuk melakukan haji ini iaitu: "sahaja aku melakukan haji dan berihram dengannya kerana Allah SWT."

Seelok-elok niat adalah dalam bahasa Arab, jika tidak dalam bahasa Melayu pun dibolehkan. Niat ihram boleh dilakukan di mana-mana tempat yang telah ditentukan dan disebut sebagai miqat tempat. 

Kebiasaannya miqat tempat bagi mereka yang memasuki Mekah melalui Madinah ialah di Bir Ali manakala yang datang dari arah Malaysia dan terus memasuki Mekah adalah di Qarnul Manazil.
Tidak sah berniat miqat di Jeddah kerana Jeddah bukannya tempat miqat bagi mereka yang datang pertama kali merentasi miqat.

2. Wuquf di Padang Arafah
Rukun haji yang kedua merupakan wuquf di Padang Arafah. Masa yang dibolehkan wuquf di Arafah bermula masuk waktu zuhur (gelincir matahari) pada hari yang ke-9 Zulhijjah hingga terbit fajar pada hari 10 Zulhijjah. Inilah masa wuquf yang berlaku satu kali dalam setahun.

Wuquf dikira sah walaupun duduk dalam kenderaan di Arafah sama ada baring, tidur atau jaga-melainkan gila. Gila tidak sah wuquf kerana telah terkeluar daripada syarat sah haji. 

Jemaah yang hendak berwuquf hendaklah terdiri daripada ahli ibadat serta telah berniat ihram haji (tidak sah haji mereka yang hilang akal) dan berada di bumi Arafah walau seketika dalam masa waktu wuquf.

Semasa wuquf di Arafah, sekiranya jemaah menunaikan solat secara jamak tamam adalah sah kerana masyaqqah dan mengikut pendapat harus jamak tersebut kerana nusuk.

3. Tawaf Ifadah bagi haji
Rukun haji yang ketiga adalah tawaf di Baitullah di Mekah. Tawaf rukun hendaklah dilakukan setelah mereka berwuquf di Arafah. Masuk waktu untuk bertawaf rukun haji bermula waktu tengah malam pada malam 10 Zulhijjah. 

(Perkiraan waktu tengah malam dikira masuk waktu maghrib hingga masuk waktu subuh dibahagi dengan 2, jawapan daripada masa tersebut maka itu waktu tengah malam).

Syarat sah tawaf sama seperti untuk tawaf qudum, wida', tahiyatul bait, nazar serta sunat. Ada lapan syarat sah tawaf iaitu:-
* Menutup aurat.
* Suci daripada hadas besar dan kecil.
* Suci badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis.
* Bermula dan berakhir pada sudut Hajarul Aswad.
* Menjadikan Kaabah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan.
* Dilakukan dalam Masjidil Haram dan di luar Kaabah.
* Mengekalkan niat tawaf kerana Allah SWT sepanjang masa tawaf.
* Dilakukan tujuh pusingan dengan yakin.

4. Saie
Rukun yang keempat adalah saie. Saie yang dikehendaki di sini adalah berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah mengikut syarat-syaratnya. 

Walau bagaimanapun untuk sah saie haji, jemaah perlulah memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
* Dilakukan selepas tawaf qudum atau tawaf rukun.
* Bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah
* Cukup tujuh kali berulang-alik dengan yakin dikira dari Safa ke Marwah sekali dan Marwah ke Safa sekali.
* Hendaklah sampai ke penghujung tempat saie di kaki Bukit Marwah dan kaki Bukit Safa pada setiap saie.
* Hendaklah melakukan saie di tempat yang telah ditetapkan.
* Mengekalkan niat saie kerana Allah SWT sepanjang masa saie.

5. Bercukur atau bergunting
Bercukur atau bergunting adalah rukun haji yang kelima - iaitu menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bagi lelaki disunatkan bercukur dan bagi wanita disunatkan bergunting rambut. 

Rambut itu hendaklah dipotong sekurang-kurangnya sepanjang seruas jari di mana-mana sudut kepala. Bagi yang tidak mempunyai rambut, adalah disunatkan melalukan mata pisau cukur di atas kepala.
Jemaah haji boleh juga bercukur atau menggunting rambut sendiri dan rambut orang lain apabila masuk waktunya dengan tujuan niat tahalul.

Bagi haji, ada dua keadaan bergunting atau bercukur untuk tahalul (menanggalkan perkara yang dilarang dalam ihram dengan cara gunting rambut) iaitu Tahalul Awal dan Tahalul Thani. 

Tahalul Awal terjadi apabila jemaah selesai melakukan dua daripada tiga perkara berikut:
* Melontar di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah.
* Bergunting atau bercukur.
* Tawaf dan saie haji.
Tahalul Thani terjadi apabila jemaah melakukan ketiga-tiga perkara tersebut.

6. Tertib pada kebanyakan rukun
Tertib pada kebanyakan rukun termasuk rukun keenam bagi haji. Dimaksudkan dengannya adalah rukun haji dikerjakan dengan tertib pada kebanyakan rukun iaitu didahulukan niat ihram haji dari rukun-rukun yang lain. 

Didahulukan niat dari wuquf, Tawaf Ifadah dan didahulukan tawaf daripada saie (untuk haji Tamattuk).
Saie haji boleh mendahului wuquf dengan syarat telah melakukan tawaf qudum (bagi haji ifrad dan qiran). Bercukur atau bergunting boleh mendahului tawaf ifadah jika telah masuk waktunya

Falsafah Ibadat Haji

Falsafah ibadat haji



Jemaah haji perlu memahami setiap rukun dan wajib haji agar falsafah ibadat itu dapat dihayati sepenuhnya. - Gambar hiasan


PENULIS terpanggil untuk membuka ruang Bicara Haji yang akan menjelma tidak lama lagi dengan mengemukakan sedikit falsafah haji. 

Al-Jurjani dalam al-Ta'rifat (216) berkata: "Falsafah adalah menyerupakan dengan Tuhan mengikut kemampuan manusia untuk menghasilkan kebahagiaan yang abadi, sebagaimana yang diperintah oleh Rasulullah SAW yang bersifat benar." 

Ini selaras dengan kenyataannya yang bermaksud: "Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah SWT."

Al-Jarjawi dalam Hikmah al-Tasyri' wa Falsafatuh (hal. 5) berkata, syariat samawi bermatlamatkan empat perkara:

nMakrifatullah dengan mentauhidkan-Nya, memuji dan mensifatkan-Nya dengan sifat sempurna.
 * Cara menunaikan ibadah yang mengagungkan dan mensyukuri nikmat-Nya.
* Menggesa perlaksanaan amar makruf dan nahi mungkar serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.
* Menghentikan segala pencabulan berdasarkan ketepatan hukum syarak.

Seterusnya, perbincangan ini dimulakan dengan memahami tafsiran kalam Allah yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah), dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197).

Zahir nas ini menjelaskan bahawa haji itu mempunyai waktu yang tertentu, iaitu pada beberapa bulan tertentu iaitu Syawal, Zulkaedah dan 10 hari pertama Zulhijjah. 

Berdasarkan nas ini, tidak sah ihram dengan haji melainkan dalam bulan-bulan yang ditentukan sahaja. Walaupun ada sesetengah mazhab mengatakan sah berihram dengan haji di sepanjang tahun dan menentukan bulan-bulan yang tertentu ini untuk menunaikan syiar-syiar haji pada masa-masanya yang termaklum. 

Pendapat yang akhir ini dipegang oleh Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad Ibn Hanbal. Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibrahim al-Nakhaie, al-Thauri dan al-Laith Ibn Saad. 

Sementara pendapat yang pertama pula dipegang oleh Imam al-Syafie. Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibn Abbas, Jubair, Ata, Tawus dan Mujahid dan ia merupakan pendapat yang azhar.

Firman Allah SWT: Maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji

Makna al-Rafath adalah perbuatan menyebut kata-kata persetubuhan dan kata-kata yang mendorong ke arahnya sama ada secara umum atau di hadapan perempuan. 

Makna al-Jidal adalah perbuatan bertengkar atau berbalah yang menimbulkan kemarahan. Makna al-Fusuq adalah melakukan maksiat sama ada besar atau kecil. 

Larangan ini bertujuan meninggalkan segala yang bertentangan dengan suasana sopan santun terhadap Allah dan suasana penumpuan diri kepada Allah dalam masa ihram.

Ia juga bertujuan meningkatkan diri daripada keinginan-keinginan bumi dan melakukan latihan rohani supaya bergantung kepada Allah sahaja.

Beradab sopan di rumah-Nya bagi sesiapa yang berkunjung kepada-Nya dengan diri yang bersih dari segala-galanya hingga dari segala pakaian yang berjahit.

Larangan semasa tunai haji
Secara tafsirnya, orang yang sedang mengerjakan haji itu dilarang mengerjakan perkara-perkara berikut: 

* Dilarang mencampuri isterinya sebelum tahallul awal, kerana yang demikian itu akan merosakkan hajinya. Orang yang berbuat demikian akan dikenakan denda (kaffarah), iaitu menyembelih seekor unta dan mesti meneruskan pekerjaan hajinya, kemudian mengqada hajinya pada tahun hadapan.

* Dilarang melakukan maksiat. Melakukan maksiat dalam ayat ini bermaksud, segala perbuatan yang terkeluar dari mentaati Allah. Juga diertikan, perkara-perkara yang diharamkan pada masa berpakaian ihram, seperti membunuh buruan darat yang tidak buas, mengerat kuku dan mencabut bulu atau rambut. Atau juga diertikan, mengejek-ngejek orang dengan gelaran yang tidak baik.

* Dari Abu Hurairah katanya, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mengerjakan haji, tiada ia bersetubuh dan tiada berbuat maksiat, kembalilah ia (bersih dari dosa), sebagaimana pada hari ia dilahirkan oleh ibunya."

* Dilarang bertengkar, berjidal atau berdebat yang menyebabkan kemarahan antara seseorang dengan yang lain. Perkara fusuq dan jidal dalam ayat ini adalah ditegah di dalam sebarang masa. Tetapi, tersangat besar larangannya jika dilakukan pada waktu mengerjakan haji kerana sangat buruknya dan tidak layak.

Takwa adalah bekalan dan makanan hati dan jiwa. Dengan takwa, hati mendapat tenaga dan kekuatannya, mencapai kesuburan dan kegemilangannya. 

Takwa adalah tempat pergantungan hati untuk sampai kepada Allah dan mencapai keselamatan, dan mereka yang berakal merupakan orang yang pertama dapat memahami bimbingan kepada takwa dan merekalah sebaik-baik orang yang mendapat manfaat dari bekalan takwa ini.

Sebagai penutup tafsiran ayat di atas, penulis menukilkan kisah kefahaman al-Junaid tentang syiar haji melalui Mabadi' al-Tasawuf al-Islami, oleh Sheikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarani (hal. 129-130). Iaitu seorang lelaki yang baru menunaikan haji telah datang berjumpa dengan al-Junaid.
Lalu al-Junaid bertanya kepada lelaki tersebut: "Adakah kamu meninggalkan semua dosa-dosa kamu ketika meninggalkan rumah?" Jawab lelaki tersebut: "Tidak." Kata al-Junaid: "Sebenarnya, kamu tidak pergi mana-mana." 

Tanya al-Junaid lagi: "Dan setiap tempat di mana kamu bermalam, adakah kamu berhenti untuk Allah?" Jawab lelaki itu: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Kamu tidak berhenti dari satu tempat ke satu tempat."

Kemudian, ditanya lagi: "Ketika kamu memakai ihram pada tempatnya, adakah kamu meninggalkan sifat-sifat basyari (kemanusiaan), tatkala kamu menanggalkan baju kamu?" Jawab lelaki itu: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Sebenarnya, kamu tidak berihram." 

Ditanya lagi: "Ketika wuquf di Arafah, adakah kamu berfikir tentang Allah walaupun dalam satu saat?" Jawabnya: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Kamu tidak wuquf di Arafah. Ketika kamu pergi ke Muzdalifah untuk menunaikan rukun-rukun kamu, adakah kamu menolak semua hawa nafsu?" 

Jawab lelaki tersebut: "Tidak". Berkata al-Junaid: "Kamu tidak menunaikannya di Muzdalifah. Ketika kamu bertawaf di Baitullah, adakah kamu memahami keindahan Ilahi di rumah suci itu?" Jawab lelaki itu: "Tidak." 

Berkata al-Junaid: "Kamu tidak bertawaf di Baitullah. Dan ketika kamu bersaie antara Safa dan Marwah, adakah kamu memahami apa itu al-Safa dan al-Muru'ah?" Jawab lelaki tadi: "Tidak."

Berkata al-Junaid: "Kamu tidak bersaie." Kemudian, ditanya lagi: "Ketika kamu sampai ke tempat korban dan kamu berkorban, adakah kamu mengorbankan sebab-sebab keseronokan dunia?"

Jawabnya lagi: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Kamu tidak berkorban. Dan ketika kamu melontar Jamrah, adakah kamu melontar juga pemikiran-pemikiran jasadmu?" 

Jawab lelaki tersebut: "Tidak." Berkata al-Junaid: "Kamu tidak melontar Jamrah, bahkan kamu tidak menunaikan haji."

Inilah contoh roh ibadat yang diamalkan oleh ahli sufi. Ia menunjukkan sejauh mana mereka mempertingkatkan diri untuk sampai ke darjat yang tinggi dengan menunaikan syiar-syiar agama, yang bertujuan beribadat kepada Allah.

Isnin, 16 Mei 2011

Umrah 2010 - Mekah dan sekitarnya

Assalamu'alaikum,

Hari Sabtu, 3 Julai 2010, rakan Indonesia yang hamba jumpa dan kenal di Madinah menempah sebuah teksi untuk kami sekeluarga ke Mekah. Bayarannya adalah 450 Riyal satu teksi. Memandangkan kami tak ambil MPV, maka anak kedua hamba duduk dengan hamba di depan. Kalau di Malaysia memang salah, tetapi 'tidak salah' di Arab Saudi. Lagipun teksinya besar.... Kalau MPV rasanya dalam 600-650 riyal juga...Pemandunya adalah orang luar (Pakistan??? India???) yang sudah agak lama di Arab Saudi.  Kami berhenti di Bir Ali untuk tukar pakaian ihram dan hamba membeli pakaian ihram untuk anak kedua dan ketiga di sini. Agak laju beliau bawa teksinya, maklumlah mengejar trip. Dalam laju-laju tu, kena 'tembak' sekali dengan Polis di sana dan kena tahanlah untuk dapat surat cinta...Purata 130-140 kilometer beliau bawa....kecut perut juga tapi tawakkal dgn Allah sebab 'usaha dan kerja' dah dilakukan.. Dalam 4 jam lebih sikit kami telah sampai di Mekah dari Madinah.

Kami tiba di sebuah hotel, Manazil Al Rayed. Sebenarnya tempahan di hotel ini hamba lakukan semasa di UK lagi melalui seorang rakyat Malaysia yang menguruskan agensi umrah dan lain2 di Mekah, Haji Arshad (http://hjarshad.blogspot.com/) .  Melalui Haji Arshad, hamba dapat no. telefon pelajar Malaysia di Madinah yang menguruskan pengangkutan kami dari Lapangan Terbang Madinah ke hotel di Madinah. Cuma kena hati-hati juga dengan pelajar Malaysia di Madinah yang tolong kita ni. Hamba taklah 'kena caj tinggi' tetapi seorang rakan hamba yang juga mengerjakan umrah kena caj tinggi / 'mark-up' oleh pelajar Malaysia di Madinah  untuk hotelnya. Maksudnya setiap malam, pelajar Malaysia di Madinah tu 'mark-up' mereka dalam 75-100 riyal juga.  Banyak tu, padahal tolong tempah saja....Nampaknya budaya kapitalisme pun dah meresap ke dalam benak bakal-bakal ustaz di Madinah...Nak ambil untung pun berpadalah dengan perkhidmatannya. Satu lagi, duduk pun tempat elok, tanah haram, 'ihsan' kena ada...Akhirnya selepas menetap beberapa malam, rakan hamba tu cari sendiri hotel lain bila tahu pelajar ini mark-up tinggi...Sepatutnya saudara seagama dan senegara tolong-menolong, tapi ini tolong-menguntung...tolong sambil buat untung....:-( 

Hotel di Mekah ini tidaklah dekat sangat dengan Masjidil Haram.  Dalam 400 - 500 meter juga.  Tapi kerana dah berjanji akan tinggal sekurang2nya tiga malam, maka kami sekeluarga bermalam juga tiga malam di sini. Semalam bayarannya adalah 300 riyal untuk bilik 4 katil. Cantum 2 katil jadi satu dan 2 katil jadi satu, cukuplah untuk kami enam beranak. Memandangkan semua keletihan, kami berehat di bilik hotel dahulu...Malamnya selepas Maghrib, kami dapat menyempurnakan kerja-kerja umrah sekitar Masjidil Haram...Waktu saie antara Safa dan Marwah, 'teruja' tengok anak hamba yang ketiga, dengan pakaian ihramnya, cekedik-cekedik berlari dan berjalan antara Safa dan Marwah...:-)....Alhamdulillah anak-anak tak buat hal ..Kami solat Isyak di kawasan antara Safa dan Marwah...Waktu bercukur, hamba dan anak kedua dan ketiga 'botak licin'...:-)...

Selepas tiga malam di  Manazil Al Rayed, kami ber;indah ke hotel di sebelah belakang Hotel Hilton. Bayarannya masih sama 300 riyal semalam untuk bilik 4 katil. Alhamdulillah, hamba sempat mencari sendiri hotel yang lebih dekat dengan masjid. Kebetulan hotel ini juga merupakan salah satu hotel penginapan jemaah Andalusia Travel & Tours dari Malaysia. Sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, kami cari sendiri. Nasi masak sendiri sebab bawa 'rice cooker' dari UK..:-)...Jadi kena beli lauk sajalah...13 malam di Mekah, masakan Pakistan, Bangladesh, Tok Arab dan lain menjadi santapan kami, sampai 'cemuih' jugalah... Untuk ziarah, Alhamdulillah, terdapat kekosongan dalam bas jemaah Andalusia Travel & Tours, jadi kami sekeluarga dapat tumpang ziarah mereka dengan percuma. 'Semangat' macam nilah kita nak, walaupun Andalusia Travel & Tours boleh caj hamba dan hamba pun memang nak bayar mereka, tapi mereka bagi naik percuma sahaja. Bersyukur banyak2 kat Allah Taala. Umrah kedua bersama ziarah Andalusia Travel & Tours ini kami bermiqat dari Masjid Ja'ranah.

Cuaca memang agak panas, siang dalam 38-43 celcius dan malamnya antara 28-30 celcius. Alhamdulillah, hotel kami tidah jauh dari Pintu King Abdul Aziz, kami sering bersolat di kawasan berhawa dingin. Biasanya pergi awal sikit untuk solat tahajud dan lain2 sehingga Subuh. Selepas Subuh, balik hotel cari sarapan pagi. Kemudian, kami akan pergi awal sebelum solat Zohor (kalau tak buat umrah). Selepas solat Zohor balik semula ke hotel untuk makan tengahari (cari le!!!). Waktu Asar, biasanya pergi awal sebelum Asar, dan kami terus berada di dalam masjid sampai Isyak. Kena bawalah sedikit makanan yang sesuai untuk anak2....Selepas Isyak, balik semula ke hotel untuk makan malam dan tidur. Begitulah rutin hamba sekeluarga dari umrah 2000, 2002 dan 2010 ini.  Perkara yang penting di Mekah dan Madinah adalah memanfaatkan masa sebaik-baiknya. Bukan senang nak sampai sini, bila dah sampai tu, manfaatkanlah masa sebaik2nya.  Jangan ikut orang lain kalau anda mengerjakan umrah, hanya pergi Masjidil Haram waktu solat sahaja, waktu lain di hotel, sembang2, tengok TV, layari internet dll.

 Bangunan lama dirobohkan

 Lupa pejabat apa ni???

 Playground ada






Jabal Tsur - Jabal Tsur terletak kurang lebih 6 km di sebelah selatan Masjidil Haram. Untuk mencapai Gua Tsur ini memerlukan perjalanan mendaki selama 1.5 jam. Di gunung inilah Nabi Muhammad saw dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq bersembunyi dari kepungan orang Quraisy ketika hendak hijrah ke Madinah.

Berhati-hati dengan penjual jalanan...kerana kekadang mereka seperti 'memaksa' anda membeli kalau anda melihat barangan mereka. Langkah terbaik adalah jangan layan  mereka langsung.



Ini di sekitar Jabal Rahmah

Tiga orang anak hamba naik unta ni...Yang penting, jangan bayar sebelum naik unta, bersetuju dengan harga sebelum naik, sebab kat sini macam2 boleh jadi.

Umrah 2000, 2002, kami sekeluarga naik ke atas puncak bukit Jabal Rahmah. Kali ini tak naik sebab masa pun tak panjang, anak pun dah ramai. ..

Puncak Jabal Rahmah dikatakan tempat pertemuan Nabi Adam AS dengan Siti Hawa setelah 'turun ke bumi'. Ada banyak kisah dan 'rahsia' di tempat ini. Namapun bukit rahmat.... Sekitar sini juga ada tapak khutbah wida' oleh Junjungan Nabi SAW, namun malangnya telah dirobohkan oleh kerajaan Arab Saudi...

Ni sekitar Arafah...


Masjid Ibrahim di Padang Arafah

Masjid ini hanya digunakan ketika musim haji...

Biasanya jemaah Malaysia dilarang meninggalkan khemah masing-masing ketika Wukuf di Padang Arafah dikhuatiri sesat...

kedai apa ???



Empangan yang didirikan oleh ??? semasa ???

Jalan dan stesen LRT sedang dibina

Ketiga2 Jamratul di Mina sedang dibina ketika ini...Hotel 5 bintang pun dah ada di Mina. Jelas, pemikiran kapitalisme sudah meresap ke dalam kerajaan Arab Saudi...Siapa nak buat melontar dengan selesa, bayar berpuluh2 ribu, boleh duduk kat hotel lima bintang di Mina...Sepatutnya dengan kemewahan minyak dan gas yang dianugerahi Allah, semua tetamu Allah diberikan kemudahan yang setara oleh pemerintah Arab Saudi. Sebenarnya, secara tidak langsung, pemerintah Arab Saudi 'mewujudkan kasta', itu hakikatnya walaupun perit untuk diterima.

Inilah tempat paling baik, paling barokah di muka bumi. Itu Nabi SAW, Rasul yang terakhir yang kata...Dan kata2 RSAW dijamin benar oleh Allah Taala. Jangan dok dengaq kata sesetengah org yang sesetengah tempat di Pulau Jawa adalah baik, sama hebat dgn Mekah...Kita hidup di zaman ini, maka sesuaikanlah dengan tuntutan dan ketentuan zaman ini...

Ketika mengerjakan tawaf, ada lambaian di Penjuru Yamani. Siapa yang dilambai sebenarnya? Ketika di penjuru Hajaratul Aswad, ada kelakuan tertentu dibuat, apa hakikatnya? Ketika sa'ie ada lambaian Ibrahim, siapa yang dilambai? Mengapa memandang Baitullah pun dah dapat pahala? Apa yang dipandang apabila memandang Baitullah?

Nak masuk ke dalam kawasan Masjidil Haram ada adabnya. Nak masuk ke dalam Masjidil Haram ada adabnya. Lihat Baitullah, Hijir Ismail, Makam Nabi Ibrahim dan lain2 ada adabnya bagi ahli tasawuf yang hakiki. Kena belajar dari mereka yang tahu kalau tidak tahu...Kerja-kerja syariat itu tidak berubah sama sekali cuma perlu 'diisi' dengan 'kerja2 hakikat' bagi yg tahu.

Jangan lupa minum air zam2 dan 'isikan niatnya' dengan betul. Ada hadis Nabi SAW tentang minum air zam2 ini. Dari itulah, ramai musafir dari jauh yang boleh hidup sekitar Masjidil Haram hanya dengan meminum air zam-zam.  Jangan lupa bawa balik air zam-zam. Khasiatnya banyak.

Banyak hotel baru dibina melingkungi Masjidil Haram, malangnya hotel canggih2, hanya yang kaya-raya saja mampu. Tepatlah Hadis Nabi SAW tentang akhir zaman, ada yang datang melancong, ada yang datang berniaga...:-(...Mekah dan Madinah sudah jadi pusat komersial, pusat pelancongan, bukan pusat ibadat.

Sepatutnya rahmat Mekah dan Madinah itu dikongsi untuk memudahkan semua umat Islam datang mengerjakan umrah, haji dan beribadat, sekarang dah jadi lain.  

Apabila iman itu hanya tinggal di mulut, bukannya di dalam dada, 'macam2 boleh jadi'...Apabila Islam itu hanya pada aspek zahir, maka pelbagai kerosakan boleh terjadi.

Sedangkan iman itu berkaitan perkara yang ghaib, ihsan itu juga ghaib, bukan perkara yang zahir sahaja.

Sedangkan kekuatan Islam itu dibina atas kekuatan rohaniah, dan kekuatan zahir ini sebagai pelengkap sahaja. Jika kekuatan Islam itu hanya pada kekuatan zahir, Islam tidak akan menang dalam Perang Badar sebagai contoh.

Rumah kelahiran RSAW sekitar Masjidil Haram pun dah diruntuhkan. Sepatutnya cari jalan bagaimana memulihara rumah ini walaupun Masjidil Haram diperbesarkan....Ini kerja golongan Wahabi. Habis peninggalan dan sejarah Islam 'mahu dilenyapkan'. Sedangkan istana raja yang besar di atas bukit itu, di sebelah  Masjidi Haram dibiarkan gah begitu dan selalunya kosong. Tidakkah itu namanya membazir??? Tidakkah itu diharamkan dalam Islam??? Mengapa tidak dirontohkan saja Istana itu untuk memperbesarkan Masjidil Haram?


Hamba memang ada mengarang risalah kecil tentang ziarah di Madinah dan Mekah serta kerja-kerja umrah dan ibadat, tetapi untuk tatapan rakan seperjalanan sahaja....

Bagi ahli salik, beramal dan beribadatlah dan usahakan untuk mengerjakan umrah dan ziarah di Mekah dan Madinah. Jika anda ada guru mursyid, belajar dahulu daripada guru sebelum ke Tanah Haram ini.  Sebaiknya pastikan 'diri anda berada di sana sebelum anda ke sana.' Kerjakanlah haji di ketika usia muda, di ketika kudrat masih ada, di ketika penyakit masih kurang, di ketika masa masih mengizinkan...

Kami meninggalkan kota Mekah yang penuh barokah pada 15 Julai 2010, hari Khamis. Penerbangan kami adalah dari Jeddah ke Kuala Lumpur, dengan tukar penerbangan di Riyadh. Tidak ada kesedihan seperti kesedihan meninggalkan Kota Mekah dan Kota Madinah. Tidak ada kerinduan ingin datang lagi sepertimana kerinduan kepada Kota Mekah dan Kota Madinah. Moga2 Allah Taala mengizinkan hamba sekeluarga menjadi tetamu-Nya pada lain kali....Kami sampai di Malaysia hari Jumaat, 16 Julai 2010. Kami meninggalkan Malaysia pada hari Khamis, malam Jumaat, 28 September 2006. Hari Jumaat bermulanya uzlah kami di luar negara, hari Jumaat juga berakhirnya uzlah kami di Malaysia. Kita merancang, Allah Taala jua yang menentukan.