TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)
Memaparkan catatan dengan label Zakat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Zakat. Papar semua catatan

Jumaat, 8 Jun 2012

Zakat Bukan Cukai



Zakat bukan cukai

SAYA keliru apabila ada orang yang menyatakan zakat itu adalah sejenis cukai di dalam Islam. Benarkah pernyataan ini dan harap pihak ustaz dapat jelaskan?

Jawapan
Terima kasih kerana mahu mengajukan persoalan. Sebenarnya, pendapat yang menyatakan zakat itu adalah cukai dilontarkan oleh mereka yang tidak memahami kefarduan zakat dalam Islam.

Bahkan, tidak keterlaluan dikatakan pandangan ini dikeluarkan oleh golongan orientalis yang sentiasa berusaha melemahkan Islam.

Mereka mempelajari Islam bukan untuk mencari hidayah, tetapi berusaha mencari titik-titik kesamaran yang diharap menjadi pintu demi menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang sempurna.

Sudah menjadi lumrah cukai sering dianggap menekan. Andai kita mengiyakan pandangan bahawa zakat adalah cukai, dibimbangi maka kita akan cenderung menyatakan zakat juga menekan kehidupan.

Hakikatnya, jika kita mengkaji lebih dalam, amalan zakat dan cukai walaupun mempunyai persamaan namun kedua-duanya amat berbeza. Zakat adalah syariat yang qatie (putus) sedangkan cukai adalah perkara ijtihad semata-mata.

Zakat dalam Islam bukanlah perkara baharu. Jika kita merujuk kepada al-Quran, yakni pada surah al-Qasas (ayat 76-78) dan Maryam (ayat 31), maka kita akan dapati bahawa zakat sudah pun disyariatkan oleh Allah SWT kepada kalangan umat yang terdahulu.

Maknanya, ibadah zakat bukanlah rekaan Nabi Muhammad SAW yang bertujuan semata-mata mahu mengambil harta kekayaan manusia. Sebaliknya ia adalah ibadah yang maksud asasinya adalah untuk melestarikan perkongsian harta sesama manusia di samping menundukkan ketamakan dan keangkuhan manusia dalam berharta.

Hal ini adalah selari dengan fitrah manusia. Setiap orang benci kepada sifat bakhil dan tamak. Maka inilah yang digagaskan di sebalik amalan zakat. Fitrah juga mengajak kepada membantu sesama manusia. Hal ini jugalah yang terkandung di sebalik amalan zakat.

Bahkan fitrah manusia juga apabila menerima kebaikan maka dibalas dengan mengucapkan syukur dan menghargai perbuatan baik orang lain. Inilah yang disajikan di sebalik ibadah zakat.

Dalam pada itu, jika kita merujuk di dalam surah at-Taubah (ayat 75-79), maka kita akan bertemu dengan kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW, yang mana pada masa itu ada umat Islam yang menyamakan zakat dengan cukai.

Sebahagian mufassirin menyatakan, orang yang dimaksudkan sebagai Tsa'labah bin al-Hatib. Tetapi pendapat itu dibantah oleh sebahagian fuqaha yang lain dengan pelbagai hujah. Antaranya Tsa'labah adalah antara sahabat terawal memeluk Islam dan turut sama berperang dalam Perang Badar.

Mereka yang turut berperang dalam Badar al-Kubra telah mendapat jaminan syurga daripada Rasulullah SAW dan mustahillah seorang yang dijamin syurga akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat.

Maka, sebahagian ulama hanya menyatakan 'ada seorang lelaki' demi mengelakkan fitnah ke atas sahabat dalam keadaan kita sendiri kurang mengetahui (rujuk Eksklusif Zakat, hal. 139).

Walau bagaimanapun, apa yang jelas tindakan 'lelaki berkenaan' telah menimbulkan kemarahan kepada Nabi. Bahkan orang yang melakukan tindakan sedemikian dikhabarkan telah tidak diterima zakatnya hingga ke zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah. Orang berkenaan dikatakan meninggal dunia penuh penyesalan dan menanggung perasaan berdosa yang tidak terkira (rujuk Fizilalil Quran, jilid 7).

Mungkin ada pihak yang menyatakan bahawa Umar pada zamannya pernah mengutip cukai daripada rakyatnya. Benar! namun Umar sebenarnya lebih mengenakan cukai kepada kalangan orang-orang kafir (khususnya kafir zimmi) yang mendiami negara Islam.

Harus diingat, zaman Umar adalah zaman pembukaan wilayah baharu yang sudah pastinya menuntut beliau melakukan pelbagai pembaharuan dalam dasar kewangan negara demi meraikan keperluan semasa, termasuklah dalam isu cukai.

Selasa, 17 April 2012

Zakat barang perhiasan



Zakat barang perhiasan

SAYA amat suka mengumpul barang kemas, sama ada diperbuat daripada emas mahupun intan dan berlian. Soalan saya, apakah yang dimaksudkan dengan barang-barang kemas atau perhiasan itu?


Adakah semua barang yang dijadikan perhiasan perlu dizakatkan? Adakah harta perhiasan selain emas dan perak, seperti intan, berlian, mutiara dan sebagainya, wajib ditaksirkan nilainya dan dikeluarkan zakat ke atasnya?


Jawapan

Terima kasih kerana mengajukan pertanyaan. Mudah-mudahan Allah SWT mempermudahkan urusan puan dan memberkati niat dan usaha puan untuk membayar zakat.

Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran pada surah Ali Imran ayat 14: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak.
Sesungguhnya, emas dan segala macam perhiasan dunia hari ini, bukan sahaja disukai oleh wanita; bahkan sudah ramai lelaki Islam yang memakainya. Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah memberikan ingatan: "Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki (daripada kalangan) umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka." (riwayat at-Termizi)

Bahkan, jika ditinjau pada kebiasaan manusia pun, sesungguhnya kedudukan wanita dan perhiasan amatlah rapat. Allah SWT memang menjadikan wanita itu indah dan sesuailah jika wanita menggemari keindahan dan mengenakan perhiasan pada dirinya. Bahkan, dengan barangan perhiasan yang dipakai oleh wanita, akan bertambah indahlah diri dan dapat melunakkan hati para suami hingga lahirlah mawaddah wa rahmah di antara mereka.

Nabi Muhammad SAW menyatakan: "Tiga perkara yang disukai olehku daripada dunia, iaitu wanita yang halal, wangi-wangian dan rasa seronok dalam solat." (riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Merujuk kepada soalan puan di atas, iaitu apakah yang dimaksudkan dengan barangan kemas atau perhiasan? Dalam hal ini, ittifaq dalam kalangan fuqaha bahawa yang dimaksudkan dengan barangan perhiasan yang dikenakan zakat itu adalah segala item yang disandarkan kepada emas dan perak. Ia bermakna, semua barangan yang diperbuat daripada emas dan perak, sama ada dipakaikan di badan ataupun dijadikan perhiasan di rumah atau bangunan, ia adalah emas perhiasan.

Namun begitu, Rasulullah SAW telah menegah umat Islam daripada menggunakan perhiasan rumah daripada emas dan perak, seperti mana sabda Nabi SAW yang dilaporkan Huzaifah bin Yaman r.a: Janganlah kalian minum dalam bekas (yang diperbuat) daripada emas dan perak, dan janganlah mengenakan pakaian sutera, kerana pakaian sutera itu untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia dan untuk kalian di akhirat kelak. (riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, fuqaha telah bersilang pendapat sama ada emas yang dijadikan perhiasan ini wajib dikeluarkan zakat ke atasnya atau tidak. Namun begitu, pandangan yang sederhana dan diterima pakai di negara ini ialah, semua emas perhiasan adalah tunduk kepada zakat seandainya ia berlebihan daripada uruf. Manakala, emas yang tidak dijadikan perhiasan (simpanan), wajib ke atasnya apabila beratnya mencapai nisab, yakni 85 gram.

Ini jelas, apabila emas perhiasan itu sudah berlebihan daripada uruf maka ia bermakna, emas yang dipakai itu sudah melebihi daripada kebiasaan dan termasuklah ia dalam kondisi bermewah-mewahan, maka wajarlah ia dizakatkan.

Manakala, segala perhiasan yang dihasilkan daripada bahan selain emas dan perak, seperti batu permata, intan, mutiara dan sebagainya, maka telah ittifaq para ulama fiqh bahawa tidaklah dikenakan apa-apa zakat ke atasnya. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya: "Tidak terjadi perselisihan pendapat di antara para ulama mengenai perhiasan wanita selain emas dan perak, bahawa barang-barang tersebut tidak perlu dikeluarkan zakat; kecuali apabila untuk diperdagangkan." (Ensaiklopedia Fiqh Wanita, hal. 38).

Ini bermakna, seandainya barangan perhiasan daripada selain emas dan perak itu dijana hingga mendatangkan pendapatan atau penghasilan (seperti disewakan atau dijual), maka pada saat itulah ia menjadi takluk atau tunduk kepada zakat, iaitu dikenakan ke atas hasil yang dijana daripadanya sebagai zakat pendapatan atau zakat perniagaan.

Pandangan ini turut dilontar oleh seorang ulama Hambali, iaitu Abu Wafa' Ibn Akil seperti mana yang telah diterakan di dalam kitab Ibnu Qayyim dan kemudiannya dicuplik oleh al-Qaradawi di dalam kitabnya Hukum Zakat (hal. 442).

Suka juga ditambahkan di sini, biarpun Islam mengharamkan para lelaki Muslim memakai emas sebagai perhiasan; namun jika mereka masih memakainya sebagai perhiasan diri, hakikatnya ia masih wajib dizakatkan. Hukum memakainya adalah haram; namun kewajipannya tetap tidak terlepas dan masih juga wajib dizakatkan jika ia melebihi uruf.

Kesimpulannya, harta-harta perhiasan seperti emas dan perak adalah wajib dizakatkan, manakala perhiasan daripada batu-batu permata, intan, mutiara, ambar (sejenis batu dari perut ikan) dan sebagainya tidaklah wajib dizakatkan, kecuali ia dijadikan sewaan atau jualan hingga mendatangkan hasil. Wallahua'lam.

Zakat ke atas haiwan ternakan




Zakat ke atas haiwan ternakan


Haiwan yang dikategorikan sebagai haiwan liar asalnya, walaupun ia sudah diternak secara komersial, tidak wajib dizakatkan kecuali dikenakan zakat ke atas hasil daripadanya. - Gambar hiasan



SAYA ada kemusykilan mengenai zakat ternakan. Adakah semua jenis ternakan, termasuklah seladang dan rusa wajib dizakatkan? Keduanya, saya mempunyai sebuah ladang menternak kambing yang dikongsi dengan seorang teman. Jika menurut kiraan saya, kambing yang kami miliki, masing-masing tidak cukup nisabnya. Iaitu, saya memiliki 30 ekor dan teman saya pula 25 ekor. Adakah kami tidak perlu mengeluarkan zakat kambing berkenaan?

Jawapan
Alhamdulillah jika tuan mempunyai hasrat dan niat mengeluarkan zakat penternakan. Sesungguhnya, menternak kambing memang merupakan satu pekerjaan yang mulia. Ia adalah warisan para nabi. Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad SAW adalah orang yang pernah bekerja menternak haiwan ternakan ini, khususnya kambing.

Dalam bab zakat ternakan, Allah SWT hanya mewajibkan umat Islam untuk mengeluarkan zakat ke atas haiwan tertentu sahaja. Apa yang dimaksudkan sebagai haiwan ternakan tertentu ini ialah haiwan yang berkaki empat dan sudah biasa diternak oleh manusia sejak zaman dahulu. Dalam bahasa Arab ia diistilahkan sebagai al-an'am. (rujuk Yaasin: 71-73)

Maka, dapatlah kita fahami bahawa tidak semua haiwan yang diternak oleh manusia itu wajib dizakatkan. Hanya haiwan yang berkaki empat sahaja iaitu kambing, domba, biri-biri, kibas, kerbau, lembu dan unta yang wajib zakat. Manakala, ternakan lain seperti ayam, itik dan burung unta tidaklah wajib. Apatah lagi jika menternak burung, arnab dan kucing.

Manakala rusa, seladang mahupun apa sahaja haiwan yang memang dikategorikan sebagai haiwan liar asalnya, walaupun ia sudah diternak secara komersial, ia tidaklah wajib dizakatkan sebagai zakat penternakan. Haiwan seperti ini, hendaklah dikenakan zakat ke atas hasil daripadanya, iaitu sama ada zakat pendapatan mahu pun zakat perniagaan.

Jika kita merujuk kepada pandangan fuqaha, mereka turut membahaskan berkenaan nisab ke atas pemilikan harta yang dimiliki secara personal dan secara bersama atau perkongsian ini.

Sebahagian fuqaha, misalnya menurut pandangan Mazhab Syafie, al-Hassan al-Basri dan al-Sya'bi, mereka menukilkan: "Sesungguhnya harta kekayaan yang dimiliki secara bersama, adalah sama tarafnya dengan harta kekayaan yang dimiliki oleh seorang (personal). Jika harta kekayaan yang dimiliki secara bersama itu mencapai nisabnya, maka ia wajib dikeluarkan zakatnya, walaupun setiap orang yang bergabung itu memiliki kurang daripada ukuran nisab. Ketentuan ini berlaku untuk semua jenis harta kekayaan." (rujuk Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Dr. Abdul Karim Zaidan, hal. 23).

Mazhab Hambali juga mempunyai pandangan yang sama ke atas harta ternakan ini, iaitu: "Pemilikan bersama dalam binatang ternakan adalah dihukumkan sebagai harta kekayaan yang dimiliki oleh satu orang (tidak boleh dipisah-pisahkan) dan mesti dikeluarkan zakatnya apabila ia telah mencapai tahap ukuran nisab."

Oleh itu, hendaklah saudara mengeluarkan zakat ternakan tersebut dengan segera. Ambillah pesanan daripada hadis Nabi Muhammad SAW: Apabila seseorang memiliki unta, sapi (lembu) atau kambing (termasuklah biri-biri), (lalu) tidak menunaikan haknya (zakat), maka pada hari kiamat nanti ia (akan datang kepada tuannya dengan) kelihatan lebih besar dan gemuk daripada dirinya yang biasa. Ternakannya itu akan memijak-mijaknya dengan tapak kaki mereka dan menanduknya dengan tanduk-tanduknya. Setelah selesai gerombolan ternakan terakhir memijaknya, maka (gerombolan ternakan) yang pertama akan mengulanginya pula. Itulah hukuman yang (bakal) dia peroleh. (riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, keluarkan zakat ke atas haiwan ternakan tersebut dengan segera. Saya berdoa agar usaha tuan dipermudahkan Allah SWT dan perusahaan tuan berdua mendapat keberkatan berpanjangan, di dunia dan akhirat. Wallahua'lam.

Isnin, 19 Mac 2012

Semua jenis perniagaan kena zakat


Semua jenis perniagaan kena zakat
Semua jenis perniagaan sama ada kecil atau besar adalah tertakluk kepada zakat perniagaan. - Gambar hiasan


SAYA hanyalah seorang peniaga nasi lemak di warung kecil di kawasan perumahan saya. Alhamdulillah, rezeki yang saya peroleh semakin meningkat dan perniagaan juga berkembang. Sejak dua tahun lalu, saya sudah mampu menggajikan dua orang pekerja dan saya sendiri mendapat gaji tetap dari warung tersebut. Soalan saya, adakah saya dikenakan zakat pendapatan atau zakat perniagaan ke atas perniagaan tersebut? Jika zakat perniagaan, adakah saya perlu mengambil kira segala kos perniagaan sebelum mengeluarkan zakat perniagaannya? Bagaimana pula dengan pekerja saya, adakah saya wajib memotong zakat pendapatan mereka sebelum memberikan gaji?

Jawapan
Alhamdulillah, semoga niat suci tuan untuk menunaikan zakat mendapat keberkatan daripada Allah SWT, sesuai dengan pesanan daripada Rasulullah SAW: "Peniaga yang jujur lagi amanah akan bersama para nabi, para siddiqin dan para syuhada di akhirat (nanti)." (Riwayat Imam at-Tarmizi dan al-Hakim).

Sesungguhnya, ramai peniaga kecil-kecilan dalam kalangan umat Islam yang terkeliru tentang status zakat ke atas diri mereka. Pertamanya, adakah perniagaan kecil itu juga tertakluk kepada kewajipan zakat? Keduanya, adakah mereka dikenakan zakat perniagaan atau pendapatan? Ketiganya, bagaimanakah mengira atau mentaksir zakat perniagaan mereka yang kecil-kecilan itu?

Jawapan mudahnya, semua perniagaan sama ada kecil atau besar adalah tertakluk kepada zakat perniagaan. Oleh itu, semua peniaga Muslim yang telah mencapai syarat wajib zakat, maka hukumnya adalah wajib mengeluarkan zakat. Diulang semula, lima syarat asas itu ialah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan haul.

Manakala, tiga syarat tambahan zakat perniagaan ialah mestilah menjual produk yang halal, tidak melakukan urusniaga yang haram (misalnya riba dan menipu) serta sememangnya ia diniatkan sebagai perniagaan. Misalnya, jika memelihara kambing, memang diniatkan untuk diniagakan, maka kena zakat perniagaan dan bukan zakat penternakan.

Merujuk kepada persoalan di atas, adakah tuan dikenakan sama ada zakat pendapatan atau perniagaan sahaja; atau kedua-dua jenis zakat sekali gus? Maka, di sini, pertama sekali harus diketahui bahawa zakat pendapatan dikenakan ke atas pendapatan yang diterima. Manakala, zakat perniagaan dikenakan ke atas harta-harta perniagaan tuan.

Maka, di sini tuan hakikatnya dikenakan dua jenis zakat, pertama zakat ke atas pendapatan bulanan yang tuan terima dan kedua, zakat ke atas harta perniagaan apabila sampai haulnya.

Bagi zakat pendapatan, taksirannya adalah seperti mana yang telah diterangkan sebelum ini, iaitu dengan menolak terlebih dahulu beberapa perbelanjaan ke atas diri sendiri, keluarga dan beberapa item lain. Kemudian, bakinya jika masih ada dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus.

Bagi zakat perniagaan, secara mudahnya, tuan hendaklah mengira keuntungan perniagaan yang telah dibuat selama setahun dicampur dengan modal semasa (yakni barangan yang sudah siap untuk dijual), kemudian ditolak dengan hutang perniagaan tuan dengan pihak lain dan ditambah dengan hutang peniaga lain kepada tuan (yang diharapkan mampu dibayar pada tahun semasa), setelah itu dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus. Ini asasnya.

Tuan juga hendaklah menolak terlebih dahulu segala macam kos, termasuklah gaji tuan, gaji pekerja, sewaan tapak, kos utiliti dan sebagainya (jika ada).

Berkenaan para pekerja pula, maka tuan tidaklah diwajibkan untuk memotong zakat mereka, kerana ia adalah kewajipan ke atas individu Muslim untuk menekuni dan mematuhi kewajipan zakat mereka sendiri.
Namun, jika tuan mengetahui pekerja tuan sememangnya sudah termasuk kategori wajib dan jika dibiarkan, mereka memang diyakini enggan berzakat, maka kala itu wajarlah tuan melaksanakan arahan wajib pemotongan zakat terus daripada gaji bulanan mereka.

Pun begitu, kaedahnya hendaklah diperhalusi, misalnya diberikan maklumat dan penerangan awal kepada mereka, juga diberikan bukti pembayaran zakat kepada institusi zakat kepada semua pekerja. Tuan juga wajib mengambil kira, adakah pekerja tuan memang benar-benar layak berzakat, ini kerana, hanya yang layak sahaja wajib berzakat.

Tuan boleh merujuk kepada formula pengiraan zakat perniagaan yang lebih terkini seperti mana yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor. (sila rujuk http://www.e-zakat.com.my/
kalkulator-zakat/zakat-perniagaan/)

Kesimpulannya, tuan memang wajib mengeluarkan zakat ke atas perniagaan dan pendapatan tuan. Semoga penjelasan ini dapat membantu tuan dalam usaha mencapai keredaan Allah SWT, dalam setiap urusan dan pekerjaan. Wallahua'lam

Jumaat, 9 Mac 2012

Qada zakat yang terabai


Qada zakat yang terabai



membayar zakat bukan sahaja membersihkan harta tetapi juga membuka peluang kepada para asnaf memulakan perniagaan untuk membangunkan ekonomi mereka.


SELAMA ini saya tidak pernah membayar zakat. Jika dihitung, kira-kira 30 tahun saya langsung tidak membayar zakat, sama ada zakat pendapatan atau mana-mana zakat harta. Hanya zakat fitrah sahajalah yang saya tunaikan. Saya hanya pernah memberikan terus sedekah dan zakat kepada golongan asnaf, kerana merasakan ia lebih memberi kepuasan secara individu. Justeru, saya berzakat secara terus dengan kiraan saya sendiri dan tidak tetap. Saya yakin apa yang saya keluarkan masih belum setimpal dengan apa yang saya perolehi. Saya pernah menerima teguran Allah, namun saya masih leka dengan kemewahan yang saya nikmati. Sehinggalah kini, perniagaan yang saya bina sejak tahun 2000 mula merudum.Saya cuba menginsafi dan memperbaiki diri. Namun keadaan masih sukar dan terkadang hampir putus asa kerana puas mencari dimana silapnya. Saya hanya akur bahawa ini mungkin hukuman keatas sikap kealpaan saya selama ini. Sehinggalah saya mendengar sebuah kuliah zakat, lalu saya sedar dan saya insaf bahawa saya tidak menunaikan zakat pendapatan seperti yang diperintahkan-Nya. Kini keadaan kewangan syarikat berada dalam dilema. Justeru, bagaimana harus saya mula menunaikan tanggung jawab zakat tersebut. Bagaimana caranya hendak saya mula membayar zakat? Bila dan bagaimana saya hendak mula qada zakat yang tertunggak? Saya amat berharap ustaz dapat memberi huraian penyelesaian atas kekusutan persoalan saya ini agar saya dapat melaksanakan perintah-Nya sebaik mungkin.

JAWAPAN:
Semoga Allah SWT sentiasa memberikan pertunjuk-Nya dan membimbing kita menuju kejayaan. Alhamdulillah jika sudah ada cetusan perasaan dan kesedaran dalam kewajipan zakat.

Hakikatnya, bisikan ini datangnya daripada Allah SWT. Maka pesan saya, kuatkan tekad dan azam. Kemudian teruskan niat untuk mengqada zakat yang telah terabai itu.

Ingatlah, kala ini saya yakin pada diri saudara telah datangnya pelbagai bisikan daripada segenap penjuru agar saudara menimbang-nimbang kembali niat mahu melangsaikan hutang-piutang itu dengan Allah SWT.

Ini kerana, Allah SWT sudah menjelaskan bahawa inilah bisikan daripada iblis dan konco-konconya, firman Allah yang bermaksud: Syaitan (itu sentiasa) menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir atau kedekut); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 268)

Kini, apa yang paling utama, semoga ada jalan penyelesaian terhadap dilema yang sedang membelenggu saudara.
Dalam hal ini, suka saya sebutkan, memang dalam aspek hukum wujud khilaf dalam kalangan fuqaha mengenai harta zakat yang binasa dek kerana kelalaian seseorang.

Ada yang menyatakan, orang itu masih wajib berzakat dan ada yang menyatakan, sudah terlepas zakatnya kerana hartanya sudah binasa.

Namun saya sendiri menyetujui pandangan bahawa adalah wajib orang berkenaan menggantikannya apabila sudah ada harta kembali.

Inilah yang tepat dan sudah pasti ia dinamakan qada. Bahkan jumhur ulama menyatakan, berdosa besar bagi sesiapa yang sudah cukup syaratnya namun melengahkan zakat.

Bahkan, pihak pemerintah Islam sebenarnya berhak mengenakan tindakan takzir kepada pengingkar zakat, termasuklah bagi mereka yang melengah-lengahkannya.

Maka, apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang baharu insaf atau tersedar atas kesilapan, adalah seperti berikut:

l Menghitung kembali segala kekayaan cukup syaratnya yang lalu dan menunaikan zakatnya hari ini juga.

l Jika dia mampu, maka diqada secara tunai. Jika tidak mampu, qadalah secara berdikit-dikit

l Dalam masa yang sama, wajib baginya memohon ampun (bertaubat) atas kealpaannya

l Menjaga agar tidak teralpa lagi dalam zakatnya pada setiap tahun

Dalam kes saudara, saya dapat membayangkan sedikit-sebanyak kekangan yang ada. Namun, percayalah, ambillah gesaan Allah SWT: Dan apabila engkau telah mempunyai ketetapan hati (keazaman) maka berserah dirilah kepada Allah (akan natijahnya). (ali-'Imran: 159)

Harta milik Allah
Ingatlah, harta dan diri kita ini milik Allah SWT. Apabila kita cuba mendekatkan diri kepada Allah, sudah pasti Allah membukakan pintu-pintu keberkatan ke atas kita.

Ingatlah pesan Allah: Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi. (al-A'raf: 96)

Ingat juga, jika kita merasa bimbang menjadi fakir kerana berzakat, maka Allah boleh menambahkan kebimbangan dalam hati, menambahkan beban atas diri sehingga kita merasa sempit kanan dan kiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan engkau jadikan tangan engkau terbelenggu ke leher engkau dan jangan pula engkau lepaskan selepas-lepasnya (jangan bakhil dan jangan pemboros, nanti kamu akan duduk tercela dan menyesal. (al-Israk: 29)

Bahkan nabi turut berpesan, daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya: Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya. (riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Akhirnya, mari kita lihat janji Allah ini: Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu (sebagai) penolongnya, (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah (golongan) yang tetap menang (beroleh kejayaan). (al-Maidah: 55-56)

Dan juga firman-Nya: Tidak ada sesuatu yang melata di bumi melainkan ke atas Allahlah rezekinya dan Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat menyimpannya. Segala yang tersebut itu ada di dalam Kitab yang nyata. (Hud: 6).
Kesimpulannya, tunaikan qada zakat itu walaupun dengan jumlah RM50 sebulan, insya-Allah, jika saudara ikhlas dengan benar-benar mengharapkan keampunan dan keberkatan daripada Allah, maka Allah SWT Maha Berhak memberikannya tanpa sesiapa pun lagi dapat menahannya.

Semoga dengan berzakat, perniagaan saudara kembali pulih dan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda, insya-Allah. Wallahu a'lam.

Isnin, 5 Mac 2012

Sokong Produk Halal dan Pengusaha Muslim

Assalamu'alaikum,

Hamba tiada saham dan kepentingan dalam Mydin...Gambar di bawah merupakan gambar CEO Mydin sedang membentangkan pandangannya dalam Persidangan Francais Malaysia pada tahun lepas.  Beliau seorang pemotivasi yang hebat.  Kalau anda berpeluang mendengar kata-katanya, jangan lepaskan peluang itu. 30 minit tidak cukup baginya. Sekurang-kurangnya berikan Datuk Ameer Ali Mydin satu jam untuk berucap. Anda pasti tidak jemu dan teruja mendengar 'rasa hati beliau' . Malaysia memerlukan lebih ramai usahawan Muslim sepertinya.

Sebagai seorang Muslim, adalah wajar kiranya kita menyokong produk halal dan pengusaha Muslim di Malaysia ini. Bolehkah anda jihad ekonomi dalam kemampuan kita? Baca kembali tulisan lama hamba di sini.  Hamba kira di sebalik membuat keuntungan yang sememangnya diharuskan dalam Islam, Mydin telah mengisi kelompangan dalam Fardhu Kifayah dalam kalangan umat Islam di Malaysia dengan membuka berpuluh-puluh pasaraya, pasaraya besar, pasar mini dan sebagainya.  Satu yang anda perlu tahu adalah Mydin mendapatkan sebahagian besar barangnya daripada pengusaha Muslim. Jika anda membeli di Mydin, bermakna anda menyokong pengusaha Muslim yang lain yang 'bernaung' di bawah Mydin. 

Walaupun memang Mydin 'membantu pihak kerajaan' dalam membangunkan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), buangkan soal politik dalam pemikiran, hati dan jiwa anda. Begitu teruknya umat Islam di Malaysia bergaduh hal politik sampai semua perkara hendak dipolitikkan, dijadikan isu politik, bangun politik, makan politik, minum politik, tidur politik...tak habis-habis politik.  Orang bukan Islam 'ketawa sendirian' melihat kita, umat Islam bergaduh hal politik. Begitulah kebanyakan ahli politik Muslim di Malaysia, mereka 'tidak boleh hidup' tanpa politik. Jangan sampai hal politik meranapkan ekonomi umat Islam. Sepengalaman hamba di luar negara pun, tidaklah teruk orang putih bergaduh hal politik. Hal politik adalah urusan di Parlimen, selain itu urusan masyarakat, membantu masyarakat. Parti yang bertentangan boleh bersatu hal masyarakat.   Di Malaysia, malangnya bagi mereka yang bergelar 'ahli politik', semua perkara hendak dipolitikkan.

Marilah sama-sama kita berjuang dalam bab ekonomi. Empat dari Rukun Islam memerlukan ekonomi untuk disempurnakan. Solat memerlukan pakaian yang bersih, tempat solat yang bersih/elok, puasa memerlukan sahur dan berbuka yang memerlukan wang untuk membeli makanan. Zakat bukan setakat zakat fitrah. Pesan arwah Mursyid hamba, 'berusaha agar dapat membayar pelbagai jenis zakat yang ada', bukannya cukup dengan bayar zakat fitrah sahaja. Contohnya, simpan duit gaji agar cukup syaratnya dan melayakkan kita bayar zakat wang simpanan, bukan 'lari daripada bayar zakat'.  Kalau menternak binatang, ternak sampai cukup syarat untuk keluarkan zakat ternakan....begitulah seterusnya. Begitu juga dengan ibadat haji yang memerlukan ekonomi yang paling besar untuk mengerjakannya. Alhamdulillah, syariatnya hamba dah sempurnakan pada awal tahun 2004. Jangan tunggu usia tua untuk buat haji.  Kalau ekonomi OK, kerjakan umrah dahulu sebelum mengerjakan haji.

Cukuplah setakat ini di pagi Isnin ini (5 Mac 2012/ 12 Rabiulakhir 1433). Jangan jadikan politik sebagai cara hidup anda. Jangan biarkan politik mempengaruhi hidup anda. Jangan celarukan pemikiran dan pandangan anda dengan mereka-mereka yang bergelar ahli politik. Jangan pecah-belahkan masyarakat dengan politik anda kerana masyarakat Islam di Malaysia sudah teruk berpecah akibat politik dan ahli politik. Baca kembali tulisan hamba yang lalu tentang matlamat akhir kita mendalami dan mengamalkan tasawuf.  Pokok pangkal ahli tasawuf adalah Allah Taala (Kitabullah) dan Junjungan Nabi SAW (Sunnah). Selain kita tidak lari daripada Al-Quran dan As-Sunnah, yang penting adalah kita sentiasa 'merujuk kepada-NYA' dalam pelbagai perkara kerana hanya DIA yang maha mengetahui segala-galanya, maha bijaksana atas segala sesuatu. Wassalam.















Khamis, 23 Februari 2012

Zakat urusan pemerintah?



Zakat urusan pemerintah?

Benarkah pendapat yang menyatakan zakat ini adalah urusan pemerintah? Apakah dalil-dalil yang menyokongnya? Harap penjelasan daripada pihak ustaz.

JAWAPAN
Terima kasih kerana bertanya. Memang ramai juga yang tidak memahami, bahawa zakat ini adalah ibadah yang amat erat perkaitannya dengan urusan pemerintahan. Jika dibandingkan dengan ibadah wajib dan rukun yang lain, solat, puasa dan haji misalnya, maka zakat adalah ibadah yang melibatkan kepentingan umum (maslahah ammah).

Dalam istilah lain disebut amalan ijtimaiyyah, yang mana jika ia tidak dilakukan dengan sempurna, maka kesan buruknya akan menimpa orang lain, yakni asnaf yang lapan.

Berbeza dengan solat, puasa dan haji, ia adalah amalan fardhiyyah, yang pelaksanaannya tidak melibatkan kepentingan umum umat Islam.

Orang yang enggan bersolat dikira berdosa; namun jirannya yang kelaparan kerana tiada makanan tidak menanggung kesannya. Tetapi jika dia kaya dan enggan berzakat, maka ramai fakir miskin akan terus hidup melarat.

Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran, betapa orang yang diberikan Allah kekuasaan di atas muka bumi ini, maka wajib ke atas mereka melaksanakan amanah kekuasaan itu, termasuklah memastikan zakat dilaksanakan dengan berkesan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang-orang (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (al-Hajj: 41)

Ulama tafsir, misalnya Sheikh Abdullah Basmeih menyatakan, apa yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah, mereka yang telah diberikan kekuasaan itu (yakni khalifah atau pemerintah), hendaklah melaksanakan segala hukum-hakam dan syariat Allah SWT.

Dalam hal ini, termasuklah memastikan ibadah dan urusan zakat dilaksanakan dengan sepenuhnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Maka, sudah jelas di sini bahawa pemerintah Islam wajib memastikan pelaksanaan zakat di dalam sistem pemerintahannya. Jika tidak, mereka termasuk dalam golongan yang mengingkari arahan Allah SWT.

Di samping itu, ada lagi ayat al-Quran yang menerangkan bahawa urusan mengelola zakat ini terletak di bahu pemerintah.

Misalnya, firman Allah SWT yang menegaskan: Ambillah sebahagian daripada harta mereka (muzakki) sebagai sedekah (zakat), dan juga ayat 60 surah yang sama: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin dan para amil...(at-Taubah: 103)

Menurut perbahasan ulama misalnya Imam ar-Razi dan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, ia adalah petunjuk jelas, bahawa hanya pihak pemerintah sahaja yang berhak melaksanakannya.

Ini kerana, bukan sembarangan orang boleh mengambil harta orang lain, hanya pemerintah dengan peruntukan kuasa yang ada padanya sahajalah yang mampu melakukannya.

Samalah dengan peruntukan kuasa-kuasa lain, yang mana tujuan akhirnya adalah demi menjamin maslahah ummah.

Mengulas lebih lanjut tentang ayat 103 dari surah at-Taubah di atas, Imam Ibn Katsir di dalam tafsirnya menjelaskan, ayat ini merupakan satu arahan daripada Allah SWT agar rasul-Nya, yakni Nabi Muhammad SAW mengutip zakat dalam kalangan umat Islam.

Maka, nabi pun melaksanakan peruntukan kuasa yang diberi oleh Allah SWT ini dengan mengutip zakat sebagaimana yang sepatutnya.

Imam Ibn Katsir turut menghuraikan, ayat ini juga dijadikan hujah oleh sebahagian umat Islam yang setelah kewafatan Rasulullah SAW telah enggan menyerahkan harta zakat mereka kepada Abu Bakar.

Alasan mereka, hanya Rasulullah SAW sahaja yang berhak mengutip zakat daripada mereka.

Fahaman mereka ini ditentang keras oleh Abu Bakar r.a, bahkan baginda telah mengisytiharkan perang ke atas golongan ini dan mereka juga dikelompokkan bersama-sama golongan ar-Riddah, yakni orang-orang yang murtad (yakni bersama dengan golongan nabi-nabi palsu dan orang yang mengisytiharkan diri mereka keluar daripada Islam).

Natijah daripada ketegasan Abu Bakar inilah, akhirnya golongan yang menolak zakat ini akhirnya kembali kepada Islam dan dapat menyelamatkan umat Islam dan Madinah daripada kekacauan (rujuk Terjemah Singkat Ibnu Katsir, Jilid IV, hal. 132-133).

Peristiwa ini juga menjadi pertunjuk penting, bahawa zakat adalah amanah kepada pemerintah untuk memastikannya sentiasa terlaksana.

Bahkan, dalam usaha melestarikan arahan Allah SWT di dalam ayat 103 di atas, Nabi Muhammad SAW turut mewakilkan urusan kutipan zakat kepada para sahabatnya, yakni para amil.

Di antara sahabat nabi yang terkenal sebagai amil zakat ialah Muadz bin Jabal, Umar Ibnul Lutbiah, Rawahah bin Abdullah al-Ansari dan Ubadah bin Somit (rujuk Yusuf al-Qaradawi, Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawab, hal. 47-49).

Kepada mereka ini, Rasulullah SAW memberikan perincian tentang tugasan amil, seperti mana Nabi SAW pernah mengungkapkan kepada Muadz: Ambillah kekayaan daripada kalangan penduduk Yaman dan agihkan kembali kepada golongan fakir dalam kalangan mereka. (muttafaqun 'alaih).

Dalam kesempatan lain, Nabi SAW turut memberi amaran kepada para amil lantikan baginda, betapa tugas mereka perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.

Misalnya: Sesiapa yang telah kami lantik sebagai amil zakat kemudian dia menyembunyikan sebatang jarum penjahit atau benda lain yang lebih berharga daripada (pengetahuan) kami, maka perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan yang akan dituntut tanggungjawabnya pada hari kiamat. (riwayat Muslim dan Abu Daud).

Bahkan Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Hukum Zakat secara terang-terangan telah menukilkan, bahawa adalah menjadi kewajipan bagi pemerintah menugaskan para pemungut zakat, yakni sesuai dengan saranan sunnah dan mestilah menepati dengan segala kriteria yang telah pun ditetapkan oleh syarak.

Kesimpulannya, zakat sama ada urusan kutipan dan agihannya, adalah sebahagian daripada urusan pemerintahan.

Maka, menjadi satu kewajipan pemerintah untuk berlaku adil dan penuh tanggungjawab dalam memikul amanah zakat ini.

Seandainya mereka tidak adil dan cuai sehingga umat Islam yang memerlukan menderita, maka mereka dikira berdosa.

Ia sebagaimana pernah dinukilkan oleh Imam Abu Yusuf: "Wahai amirul mukminin, perintahkanlah para amil zakat untuk mengutip harta zakat dan bahagikannya kepada mereka yang berhak.

"Lakukanlah semua urusan itu sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW dan para khalifah selepas baginda...orang yang memulakan satu tradisi yang buruk, maka dia berdosa dan ditimpakan pula dosa ke atasnya bagi orang-orang yang mengikuti perbuatannya, tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun". (rujuk Yusuf al-Qaradawi, Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawab, hal. 52). Wallahu a'lam.

Khamis, 20 Oktober 2011

Zakat bukan untuk yang miskin sahaja


Zakat bukan untuk yang miskin sahaja


Wang zakat adalah untuk diagihkan kepada asnaf sebagai mana yang termaktub dalam al-Quran. - Gambar hiasan


KAYA masih layak dapat zakat? Bukankah zakat hanya untuk orang miskin? Demikianlah antara persoalan semasa mengenai agihan zakat. Tidak dinafikan, umumnya umat Islam sering mengaitkan zakat dengan fakir dan miskin.

Bagi menjawab isu ini, kita tidak boleh bersifat melulu menafikan sesuatu yang kita tidak tahu. Hakikatnya, asnaf zakat ada lapan. Hanya dua asnaf sahaja yang disyaratkan miskin, iaitu fakir dan miskin. 

Bagi hamba sahaya, mereka bukanlah miskin melainkan mereka asnaf istimewa, justeru diri mereka adalah milik tuannya. Dalam Islam, hamba hendaklah dilayani dengan santun oleh tuannya dan kebajikannya dipelihara oleh tuannya.

Mereka memang tiada harta tetapi kebajikan mereka sepatutnya terjaga, justeru mereka adalah milik tuannya yang kaya.

Lima lagi asnaf zakat iaitu amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil tidaklah disyaratkan miskin ke atas mereka. Walaupun begitu, pastilah dalam tata cara pengagihan zakat, hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin. Justeru, mereka inilah yang paling layak diraikan dalam agihan zakat sesuai dengan tatanan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Mungkin ada yang berhujah, bukankah ulama fikah sendiri ada yang menegah zakat diberikan kepada orang-orang kaya. Mereka memberi dalil, iaitu saat Nabi Muhammad SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman, maka nabi telah berpesan: Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang-orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin di kalangan mereka. (riwayat Bukhari).

Namun begitu, kita mesti melihatnya secara objektif dan jelas. Fuqaha misalnya Dr. Abdullah Nashih Ulwan memang menyatakan orang-orang kaya itu ditegah daripada mendapat agihan zakat. Namun, apa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah jika diambil harta zakat itu daripada bahagian (asnaf) fakir dan miskin dan diberikan kepada orang kaya. 

Sekiranya diambil daripada asnaf yang lain, misalnya daripada asnaf fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin.

Sehubungan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya di Selangor, setiap orang Islam boleh mendapat bantuan zakat walaupun mereka tidak miskin.

Misalnya dalam kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. 

Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf-asnaf lain yang sesuai. Bukan atas sifat kemiskinannya.

Mungkin juga ada pihak yang berhujah, bahawa nabi pernah menolak untuk memberikan zakat kepada orang kaya, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis: "Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang yang kuat yang mampu berkerja," (riwayat Abu Daud).

Memang diakui, Islam amat tidak meraikan sikap malas sehingga menjadikan penganutnya suka meminta-minta. Sayid Sabiq dalam kitabnya Anasir Kekuatan Dalam Islam, ada menukilkan kisah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW pernah menolak permintaan seorang pemuda Ansar dan dia diajar mencari kayu sehingga mampu berdikari dan tidak sekadar mengharapkan simpati demi sesuap makanan.
Ini menunjukkan Islam tidak meraikan orang yang kaya dan mampu bekerja.

Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga telah membuat pengecualian bahawa zakat masih boleh diberi kepada orang kaya jika mereka memerlukan zakat sesuai dengan keadaan diri mereka - yakni tidak sampai berlebih-lebihan dan mengabaikan hak fakir dan miskin.

Rabu, 19 Oktober 2011

Infak, sedekah dan zakat


Infak, sedekah dan zakat

Dalam Islam, ada tiga perkara yang sering dikaitkan dengan harta kekayaan, iaitu infak, sedekah dan zakat. Bolehkah dijelaskan perbezaan di antara ketiga-tiga perkara ini?

Ketiga-tiga perkara di atas, adalah merujuk kepada bagaimana seseorang Muslim itu membelanjakan harta kekayaannya ke jalan yang diredai oleh Allah SWT. 

Apabila harta itu dibelanjakan ke jalan kemaksiatan, maka ia tidak lagi dinamakan dengan nama-nama di atas. Dalam ajaran Islam, harta itu perlu dimanfaatkan ke arah kebaikan sama ada yang hukumnya wajib atau sunat. 

Misalnya memberi belanja kepada ahli keluarga dan menunaikan zakat, ia adalah wajib. Dengan cara itu harta dapat menyelamatkan manusia daripada diazab pada hari akhirat. 

Infak bermaksud membelanjakan harta pada jalan Allah SWT secara umum. 

Dalam al-Quran, kalimah infak disamakan maksudnya dengan nafkah. Infak terbahagi kepada dua iaitu infak wajib dan infak yang tidak wajib. 

Infak wajib termasuk zakat, bayaran kafarah, menunaikan nazar dan keperluan tanggungan wajib termasuk makan minum dan tempat tinggal untuk anak-anak, isteri dan ibu bapa. 

Infak yang tidak wajib termasuk derma kepada pertubuhan kebajikan dan orang perseorangan, membantu program dakwah, bersedekah atas nama kemanusiaan dan sebagainya. Allah SWT menyebut perkataan infak dan nafkah sebanyak 49 kali dalam al-Quran. (Antaranya, ayat 215 surah al-Baqarah) 

Saad bin Abi Waqas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelanjaan rumah tangga) juga akan diberi pahala oleh Allah. (riwayat al-Bukhari)

Sedekah juga mempunyai makna yang umum. Sedekah boleh jadi infak atau zakat, malah sedekah boleh melibatkan apa-apa sahaja kebaikan yang dilakukan, sama ada melibatkan pemberian harta ataupun tidak melibatkan harta. 

Tanggapan yang mengatakan sedekah adalah pemberian sunat semata-mata tidak tepat. Hakikatnya sedekah boleh jatuh hukum wajib dan boleh jatuh hukum sunat. 

Hal ini berlaku demikian kerana ada ayat-ayat al-Quran yang memberi makna zakat pada perkataan sedekah. (rujuk firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 60)

Dalil untuk sedekah yang sunat pula adalah hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa bersedekah seberat biji kurma daripada usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sedekah bukan mesti dengan harta

Dalil sedekah tidak semestinya dengan harta adalah hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis (senyuman) dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya". (Riwayat Ahmad)

Bagi zakat pula, hukum mengeluarkannya adalah wajib secara mutlak. Oleh kerana itulah, Islam telah memperincikan zakat sebagai ibadah yang mempunyai syarat-syarat yang tertentu. 

Selagi seseorang Muslim itu belum memenuhi syarat-syarat yang melayakkannya berzakat, maka tidak wajib baginya mengeluarkan zakat. 

Misalnya, jika anak dan isteri tidak mempunyai makanan pada hari raya, maka seorang suami berhak untuk tidak mengeluarkan zakat fitrah ke atas mereka kerana tidak mampu. 

Bahkan jika dia masih berzakat sehingga menyebabkan tanggungan wajibnya tidak mendapat makanan yang cukup dan kelaparan, dia dihukumkan haram dan berdosa. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Mereka bertanya kepada kamu (wahai Muhammad) tentang apakah harta yang perlu mereka nafkahkan? Maka jawablah: Apa yang berlebih daripada keperluan (diri dan tanggungan wajib). (al-Baqarah: 219)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. (riwayat Muslim).

Selasa, 18 Oktober 2011

Golongan kaya boleh terima zakat atas nama fisabilillah


Golongan kaya boleh terima zakat atas nama fisabilillah 

Oleh Hamizul Abdul Hamid

2011/10/14

KAYA masih layak dapat zakat? Bukankah zakat hanya untuk orang miskin? Demikianlah antara persoalan semasa mengenai agihan zakat. Tidak dinafikan, umumnya umat Islam sering mengaitkan zakat dengan fakir dan miskin.

Asnaf zakat ada lapan dan hanya dua asnaf yang disyaratkan miskin, iaitu fakir dan miskin. Bagi hamba sahaya, mereka bukanlah miskin melainkan mereka asnaf ‘istimewa’, justeru diri mereka adalah milik tuannya. 

Dalam Islam, hamba hendaklah dilayani dengan santun oleh tuannya dan kebajikannya dipelihara. Mereka memang tiada harta tetapi kebajikan mereka sepatutnya terjaga, justeru mereka adalah milik tuannya yang kaya. 

Lima lagi asnaf zakat, iaitu amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil, tidak disyaratkan miskin. Walaupun begitu, dalam tatacara pengagihan zakat, hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin, justeru mereka paling layak diraikan dalam agihan zakat.

Sesetengah mungkin berhujah, ulama fiqh ada yang menegah zakat diberikan kepada orang kaya. Nabi Muhammad SAW ketika mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman, berpesan: “Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin dalam kalangan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kita mesti melihatnya secara objektif dan jelas. Fuqaha Dr Abdullah Nashih Ulwan memang menyatakan orang kaya ditegah daripada mendapat agihan zakat namun yang dimaksudkan tegahan ialah jika diambil harta zakat itu daripada bahagian fakir dan miskin, diberikan kepada orang kaya.

Jika diambil daripada asnaf lain seperti fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin. Sehubungan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya Selangor, setiap orang Islam boleh mendapat bantuan zakat walaupun tidak miskin.

Seperti kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf lain yang sesuai; bukan atas sifat kemiskinan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang kuat yang mampu bekerja,” (Hadis riwayat Abu Daud)

Memang diakui, Islam tidak meraikan sikap malas sehingga menjadikan penganutnya suka meminta-minta. Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasir Kekuatan Di Dalam Islam’, menukilkan kisah diriwayatkan Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW pernah menolak permintaan pemuda Ansar.

Sebaliknya, pemuda itu diajar mencari kayu sehingga mampu berdikari dan tidak mengharapkan simpati demi sesuap makanan. Ini menunjukkan Islam tidak meraikan orang kaya dan mampu berkerja dengan suka meminta-minta.

Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga membuat pengecualian bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang kaya jika mereka memerlukan zakat sesuai keadaan diri serta tidak berlebih-lebihan hingga mengabaikan hak fakir dan miskin.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW menyatakan: “Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan ini, iaitu amil; orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; orang yang berhutang dan orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkan kembali kepada orang kaya itu.”

Fuqaha Syafie dan Hambali menyatakan, dalil ini membolehkan lima golongan kaya menerima zakat demi kemaslahatan diri mereka kerana masing-masing daripada lima golongan itu memerlukan zakat bukanlah atas kapasiti kemiskinan melainkan memang perlu diberikan zakat atas tujuan tertentu.

Amil diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai usaha dan kerja keras menguruskan zakat.

Mualaf boleh mendapat zakat bertujuan melunakkan hatinya supaya lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.

Orang yang ikut berperang diberi zakat kerana itu tugas mulia di jalan Allah (fisabilillah) dan mereka tidak sempat mencari rezeki. Hal ini dikiaskan pula kepada pencari ilmu, sehingga melayakkan mereka menerima zakat atas nama fisabilillah.

Orang yang berhutang pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir kerana hutangnya. Orang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat tetapi hadiah.

Golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika termasuk kategori diizinkan. Bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, fakir dan miskin lebih diutamakan, manakala asnaf lain tertakluk kepada tatacara agihan zakat, seperti diputuskan Majlis Fatwa.

Penulis ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)