Selepas urusan di Masjid Negeri Perlis, kami ke Jitra, mencari Kg Tanjung Pauh. Semasa belajar di Utara tanahair awal 1990-an dahulu, hamba biasa terperasan papan tanda Makam Sheikh Abdul Jalil ini, semasa naik bas dari Alor Setar ke Changlun sebagai contoh. Alhamdulillah, tidak sukar mencari Makam Sheikh Abdul Jalil ini. Apabila sampai ia berkunci, ada Jemaah tabligh di Masjid bersebelahan. Hamba telefon Ustaz Malik (016-2740264) dan beritahu sudah ada di depan Makam dan nak ziarah. Alhamdulillah, dalam lima minit beliau sampai dan bukakan pintu Makam. Beliau beritahu sekejap saja, tapi hamba minta sedikit masa. Alhamdulillah, dapatlah dalam 30 minit di kawasan makam. Sultan dahulunya mempunyai Ulamak besar, hatta Wali Allah sebagai Mufti, Kadi Besar, jadi mereka sentiasa mendapat nasihat yang betul. Ada riwayat yang mengatakan Sheikh Abdul Samad al-Palembangi, ulamak Nusantara yang terkenal itu merupakan anak kepada Sheikh Abdul Jalil Al-Mahdani R.A., tetapi ada beberapa pandangan lain yang berbeza. Selesai urusan di sini, kami ke Alor Setar.
Kalau tak ada perkara khurafat, maka Masjlis Agama Islam Kedah (MAIK) tak perlu masuk campur. Kalau kes di Makam Sultan Arifin Pulau Besar, Melaka, banyak perkara khurafat berlaku dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terpaksa 'gazetkan'/dapatkan tanah Makam tersebut' daripada kerajaan negeri Melaka supaya penguatkuasaan boleh dijalankan tanpa pertikaian mahkamah
Syeikh Abdul
Jalil al-Mahdani - Guru agama Sultan Kedah
Oleh Haji Wan Mohd.
Shaghir Abdullah
PENGENALAN awal gerangan orang yang
bernama Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani hanyalah daripada satu sumber
sahaja, iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Kerani
Muhammad Arshad dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, yang kemudian ditransliterasikan
dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968.
Oleh sebab ulama ini dinyatakan dalam
buku yang tersebut adalah ayah atau orang tua kepada Syeikh Abdus Shamad
al-Falimbani, sedangkan dalam beberapa maklumat yang lain ayah atau orang tua
Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Syeikh Abdullah, dan yang lain pula
menyebut bernama Syeikh Abdur Rahman, maka penelitian dan kajian yang lebih
kemas perlu dilakukan.
Namun begitu, penulis pernah membuat
bahasan terawal mengenai hal ini, dan dapat diperhatikan dalam buku penulis
berjudul Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu
(cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1996, hlm: 1-5).
ASAL USUL DAN KEDATANGAN KE NUSANTARA
Nama lengkap beliau ialah Syeikh Abdul
Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Berasal dari Sana, Yaman. Nama-nama lain untuk
personaliti ini ialah Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman belum dibicarakan
di sini, selanjutnya dibahas di bawah judul Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani.
Tersebut kisah seorang Arab penyebar
Islam yang berasal dari Sana,
Yemen. Nama beliau ialah Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahhab
bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani. Kurang jelas tahun kedatangannya ke
Palembang, Indonesia namun dikatakan bahawa setelah enam bulan beliau berada di
Palembang, beliau berangkat ke Tanah Jawa bersama muridnya, Tengku Muhammad
Jiwa keturunan Sultan Kedah.
Beliau menyebar Islam di Pulau Jawa
tidak lama, lalu berangkat pula ke India. Muridnya yang berasal dari Kedah itu
juga mengikut beliau ke India. Oleh kerana Tuan Syeikh Abdul Jalil tidak
mengetahui bahawa muridnya yang setia itu seorang anak raja, maka seolah-olah
Tengku Muhammad Jiwa itu adalah sebagai khadamnya. Namun demikian, muridnya itu
sangat pandai menyembunyikan kebangsawanannya. Bahawa dia sentiasa tawaduk
kepada Syeikh Abdul Jalil itu.
Syeikh Abdul Jalil dan muridnya itu
sentiasa berpindah-pindah tempat di negeri India itu, barangkali sangat banyak
kota dan kampung menjadi tempat kegiatan dakwah yang beliau rintis, sehinggakan
di negeri India beliau mendapat seorang murid yang setia seperti Tengku
Muhammad Jiwa, nama pemuda itu Hapisap.
Setelah sekian lama Tengku Muhammad
Jiwa menjadi muridnya, namun Tengku Muhammad Jiwa tetap menyembunyikan dirinya
sebagai seorang putera raja Kedah.
Pada satu ketika Tengku Muhammad Jiwa
menceritakan kepada gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan sahabatnya
Hapisap bahawa Kedah satu negeri besar juga, rajanya seorang Islam bernama
Sultan Abdullah. Tengku Muhammad Jiwa mengatakan bahawa adalah patut Tuan
Syeikh dan Hapisap berlayar ke sebelah sana.
Ajakan Tengku Muhammad Jiwa itu tiada
lain, melainkan didorong oleh kerinduan beliau kepada sanak keluarga, rasa
cinta kepada tanah air dan utamanya, ingin menyebar agama Islam lebih luas
lagi.
Dari segi hubungan sanak-saudara, ia
teringatkan hadis-hadis tentang suatu kewajipan menghubungi silaturahim yang
telah terputus, antaranya dengan sanak-saudara di Kedah itu. Ditinjau dari segi
cinta kepada tanah air, ia tiada lupa bahawa, mencintai tanah air itu adalah
sebahagian daripada iman (hadis Nabi Muhammad s.a.w.).
Ampuh dan kukuh
Lebih dari segala itu adalah
menyebarkan Islam, bahawa ia berasaskan kewajipan menyebarkan ilmu pengetahuan
Islam, kerana ilmu yang dikuasainya sangat banyak dan mendalam yang diterimanya
dari Syeikh Abdul Jalil Mahdani itu. Bahawa ia bercita-cita membina Islam di
Kedah yang telah kuat berpegang dengan dasar-dasar Islam sejak lama itu lebih
ampuh dan kukuh asas Islamnya pada masanya, dan masa-masa mendatang kemudian
daripadanya.
Pada tahun itu juga (1122 H bersamaan
1710 M), Syeikh Abdul Jalil Mahdani berkenan memenuhi ajakan muridnya itu, maka
berangkatlah mereka bertiga dengan sebuah kapal yang berasal dari sebuah
pelabuhan Arab (berbangsa Maskat) yang kebetulan singgah di India untuk menuju
ke Tenggara. Dalam pelayaran itu mereka singgah di pelabuhan Murgi/Murgui di
negeri Burma.
Kejadian di Negeri Kedah pula pada masa
keberangkatan Tengku Muhammad Jiwa, bahawa ayah Tengku Muhammad Jiwa, Sultan
Abdullah al-Muazzam Shah mangkat pada 13 Jamadilakhir 1118 H/1706 M. Baginda
diganti oleh puteranya, Tengku Ahmad Tajuddin Halim Syah. Baginda mangkat pula.
Oleh kerana Tengku Ahmad Tajuddin tidak meninggalkan putera mahupun puteri,
maka timbullah masalah tentang pengganti baginda sebagai Sultan Kedah.
Maka, para pembesar Kedah sepakat untuk
mencari Tengku Muhammad Jiwa, kerana enam tahun lamanya meninggalkan Kedah
tanpa memberi berita sesuatu apa pun juga.
Dato Kema Jaya berangkat mencari berita ke arah jurusan
Sumatera dan Jawa. Dato
Indera Mambang menuju ke arah jurusan India dan Burma. Dato Seri Indera Mambang berhasil menemui
Tengku Muhammad Jiwa, yang kebetulan kapal layar kedua-dua pihak itu berlabuh
di pelabuhan negeri Burma.
Pada mulanya Dato Seri Indera Mambang tidak mengenali
Tengku Muhammad Jiwa kerana pakaian yang telah berubah, mungkin kerana menurut
model India tidak mengikut model pakaian Melayu Kedah dan parasnya juga telah
berubah. Tetapi Tengku Muhammad Jiwa masih mengenali Dato Seri Indera Mambang.
Setelah diketahui oleh Tengku Muhammad
Jiwa bahawa ayahandanya telah mangkat, demikian juga saudaranya Tengku Ahmad
Tajuddin, lalu ia menangis. Maka barulah diketahui oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil
bahawa Tengku Muhammad Jiwa itu adalah seorang putera Sultan Kedah sendiri.
Tengku Muhammad Jiwa menjawab
pertanyaan gurunya tentang dirinya semuanya menggunakan bahasa Arab, memang
tidak sia-sialah dia belajar selama ini, bahawa ia fasih berkata-kata dalam
bahasa Islam yang tercinta itu. Akhirnya semua mereka berangkat menuju ke
Kedah.
DILANTIK SEBAGAI MUFTI
Tengku Muhammad Jiwa dilantik menjadi
Sultan Kedah menggantikan saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin. Ketika beliau
ditabalkan menjadi Sultan, gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani telah membaca
doa untuk baginda. Pada suatu hari, pada suatu permusyawaratan, Sultan Tengku
Muhammad Jiwa berkata: Hamba
persilakan mamak-mamak dan guru hamba kerana hamba hendak bermuafakat hendak
memberi pangkat kepada Hapisap iaitu menjadi kadi menggantikan kadi yang telah
kembali ke rahmatullah Taala itu.
Maka dijawab sekalian menteri dan Tuan Syeikh, Benar seperti titah itu.
Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata
pula, Hamba
harap guru hamba menjadi mufti di dalam negeri Kedah ini.
Tidak berapa lama setelah pengangkatan
tersebut, Tengku Muhammad Jiwa berusaha pula menjodohkan tuan gurunya, Syeikh
Abdul Jalil al-Mahdani dengan perempuan di lingkungan istana, bernama Wan
Zainab binti Dato
Seri Maharaja Putra Dewa.
KETURUNAN
Setelah beberapa bulan perkahwinan Tuan
Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Wan Zainab, tiba-tiba datang seorang muridnya
dari Palembang bernama Raden Siran. Muridnya itu mengajak gurunya ziarah ke
Palembang kerana murid-muridnya di Palembang sangat rindu kepada beliau.
Di Palembang, Raden Siran berusaha
mencarikan isteri untuk gurunya itu, maka terjadilah perkahwinan antara Syeikh
Abdul Jalil Mahdani dengan Raden Ranti/Rantai.
Hasil perkahwinan Raden Ranti dengan
Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani itu, mereka memperoleh seorang anak, Abdus
Shamad. Dialah yang dikenal sebagai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani seorang
ulama sufi Asia Tenggara yang terkenal dengan karyanya yang terkemuka,
Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang biografinya akan diperkenalkan
kemudian.
Menerusi perkahwinan Syeikh Abdul Jalil
dengan Wan Zainab di Kedah pula, beliau mendapat dua orang anak iaitu Wan Abdul
Qadir yang menjadi Mufti Kerajaan Kedah dan Wan Abdullah yang memangku gelaran
Seri Maharaja Putera Dewa di Kedah.
Ada pun Syeikh Abdus Shamad Palembang
itu, maklumat keturunannya hanya diketahui seorang anaknya bernama Fathimah.
Mengenai kedua-dua anaknya yang di Kedah, keturunan selanjutnya belum dapat
dikesan.
WAFAT
Makamnya terletak di Tanjung Pauh,
Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah. Penulis pernah sampai ke makam itu membuat
penyelidikan dalam tahun 1992, memperoleh catatan bahawa Syeikh Abdul Jalil
al-Mahdani meninggal dunia tahun 1196 H/1782 M. Kawasan makam sangat luas,
sekali-sekali ada orang datang berziarah kerana membayar nazar.
Penulis diberitahu oleh salah seorang
penunggu makam bahawa orang-orang India datang ke tempat itu setahun sekali,
secara beramai-ramai kerana membuat kenduri dan menyampaikan nazar.
Siapa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani
- Ayah kepada Syeikh Abdus Shamad
al-Falimbani
- Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul
Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.
- Berasal dari San'a, Yemen.
- Nama-nama lainnya ialah; Syeikh
Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.
- Berkahwin dengan Wan Zainab (Kedah)
dan Raden Ranti/Rantai (Palembang).
- Meninggal dunia pada 1196 H/1782 M.
- Makamnya terletak di Tanjung Pauh,
Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah.
* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd.
Shaghir Abdullah.