TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)
Memaparkan catatan dengan label Israk Mikraj. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Israk Mikraj. Papar semua catatan

Isnin, 4 Julai 2011

Israk dan Mikraj bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh

Assalamu'alaikum,

Hamba salin dan tampal dari blog yang dinyatakan di bawah. Hamba tidak terlibat dengan politik, tidak menyertai mana-mana parti politik dan tidak bergiat aktif dengan apa-apa kegiatan politik.  Namun begitu, walaupun Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh bergiat dalam PAS, beliau merupakan antara segelintir ulamak PAS yang hamba amat hormati, kagumi dan kasihi.  Anda boleh baca dalam blog di bawah bagaimana ramai orang UMNO sendiri menghormati Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh.  Pasti ada keistimewaan pada Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh yang begitu dihormati dan disegani rakan dan lawan, disenangi atas dan bawah.  Darul Syifa yang diasaskannya menerima kehadiran pesakit dari pelbagai lapisan umat Islam tanpa mengira fahaman parti politik. Moga2 Allah Taala memberi kesihatan yang berpanjangan, rezeki yang murah, masa yang lapang dalam menabur bakti di tanah bertuah ini kepada Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh.

sumber : http://almukminun.blogspot.com/2011/07/israk-dan-mikraj-bersama-tuan-guru-dato.html



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه


Israk dan Mikraj bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh
30 Jun 2011
Tulisan : alfaqirillah ; almukminun


alfaqir tiba di rumah jam 1800pm setelah 4 hari berbengkel bersama agensi-agensi kerajaan seeprti PDRM, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunana Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan JAKIM di Port Dickson membincangkan pendekatan terbaik dalam mengani isu keganasan rumah tangga. Al faqir disapa oleh isteri tercinta yang mengajak ke majlis Isra’ dan Mikraj di Masjid As-Sobirin Bukit Changang Banting di bawah pimpinan Tuan Guru yang dikasihi Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh.

Kiri dan kanan jalan dipenuhi kenderaan menunjukkan betapa besarnya pengaruh Tuan Guru yang dikasihi ummah ini. Beliau setahu saya didalam mana-mana pengajiannya amat cermat tanpa menyentuh keaiban individu. Contoh-contoh dibawa oleh beliau amat tepat dan disenangi. Malah, saya sempat berbual mesra dengan salah seorang jamaah yang hadir, beliau mengaku : “saya ni orang UMNO, saya kalau Tuan Guru Haron Din datang bagi kuliah saya mesti datang, tu sebelah sana yang ramai-ramai [merujuk di kalangan lelaki yang berusia dan anak muda,kira-kira puluhan orang semuannya] tu semua ahli UMNO, ramai lagi yang datang....”. Bukti menunjukkan uslub dakwah daripada Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh amat terkesan di kalangan kawan dan lawan. Beliau merupakan tokoh ulama PAS yang amat digeruni kerana keilmuan dan kewarakan yang dimilikinya. Berkata Tuan Guru Dato’ Dr. Harun Din : Tiada seorang Nabi dan Rasul yang menjalani pengalaman ruhani sebagaimana yang dialami oleh Sayyiduna Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Malah, ALLAH Subhanahu Wa Taala menegaskan bahawa perjalanan yang dilalui Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam dalam surah khusus diberi nama al-Isra’:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

"Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

Ini merupakan tanda penghormatan buat junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam yang merupakan Nabi dan Rasul agung buat kita umat Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam di akhir zaman. “Subhana” disyarahkan oleh Tuan Guru betapa kesucian ALLAH Subhanahu Wa Taala daripada sebarang sifat atau tempat yang dimiliki oleh makhluk ciptaan NYA.

Lafaz “Subhana” juga dimiliki di dalam ayat akhir surah Yassin :

“Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

Disini, penegasan bahawa “Maha Suci ALLAH” yakni dengan segala kebesaran dan kemampuan mencipta dan melaksanakan sesuatu luar dari upaya pemikiran cetek manusia yang sibuk dengan melogikkan agama dengan upaya nafsu yang terbatas. SUBHANALLAH.

Ia juga menggambarkan betapa ALLAH Subhanahu Wa Taala memberi gambaran jelas betapa kesahihan perjalanan ini bagi menjawab penipuan golongan kufar dan munafik yang cuba mendustakan kebenaran perjalanan Isra’ dan Mikraj Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam.

Tuan Guru membuat perumpamaan : apabila ikan didalam sebuah perigi diambil lalu diletakkan ke dalam galas berkaca, kemudian ikan tersebut dibawa berjalan-jalan didalam kereta ke Banting-Sijangkang-Morib-Port Kelang kemudian ia dimasukkan kembali di perigi Bukit Changgang. Maka, ikat itu akan mewar-warkan kepada rakan-rakan ikan yang lain, aku telah merasai pengalaman Isra’ dan Mikraj! Maka, sudah pasti ikan itu akan dikatakan gila oleh rakan-rakan ikan yang lain. Ketika ini kelihatan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menahan sebak. Begitulah yang dialami oleh Sayyiduna Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Tetap tabah berjuang, berdakwah walau dihambur fitnah.

Merentas Alam
Sayyiduna Muhammad Shollalahu Alaihi Wassalam telah dibawa melintasi kepelbagaian alam daripada Makkah al-Mukaramah Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam dibawa menuju ke Baitulmaqdis, inilah alam adabu syahadah yakni alam yang dapat dilihat oleh manusia awam. Tetapi, perjalanan yang dilalui oleh Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam merupakan perjalanan yang merentasi alam batin.

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam ditemani oleh malaikat Jibrail A.S dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam telah dijemput oleh Jibrail A.S untuk berhenti dan menunaikan solat sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah dan Baitul-Laham (tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan);

Ketika ini, Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam melintasi wanita tua yang dihiasi dengan perhiasan cantik. Kata Jibrail Alaihi Salam, itulah dunia. Semakin berusia, ia tetap menggambarkan kecantikan nikmatnya kepada manusia. Seru Tuan Guru : apabila diperhatikan dunia, dihiasi dengan kecanggihan teknologi, bangunan semakin tinggi. Manusia bercita-cita mengambarkan bahawa dunia ini tidak pernah akan mati dan berakhir riwayatnya selagi ada manusia-manusia bijak mendiami bumi. Sedangkan, kebenarannya dunia ini telah berusia jutaan tahun dan sunnahtullah, yang muda pasti akan tua dan akhirnya mati “kiamat”.ALLAHU ALLAH. Malang, akhir-akhir usia dunia ini menampakkan bertambahnya kecintaan manusia kepada isi dunia.

ALLAH Subhanahu Wa Taala mengarahkan malaikat Jibrail A.S membawa Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam ke alam arwah. Sebagaimana yang dinyatakan didalam tafsir al-Tobari, al-Qurtubi, al-Manar, ALLAH Subhanahu Wa Taala telah mencipta 18000 alam dan salah satu darinya ialah dunia. Al-Qatadah menyatakan pula, kewujudan alam ini berjumlah 80000, beliau mensyarahkan didunia sahaja memiliki alam haiwan, alam manusia, alam serangga, alam tumbuh-tumbuhan, alam laut dan lain-lain.

Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam telah bertemu dengan kesemua anbiya yang telah wafat kecuali Nabi Isa A.S. Perjalanan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam melalui alam yang dihuni para malaikat [alam malakut] dijelaskan dengan jelas dalam surah al-Ma’arij 3-4 :

Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik.

Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menjelaskan maksud ayat ini, para malaikat naik dan turun berulang alik dari alam malakut ke alam dunia dalam masa yang sangat singkat.

Keindahan Para Malaikat
Ketika Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam didekati oleh Jibrail A.S semasa peristiwa wahyu pertama al-Quran al-Kareem pada 17 Ramadhan, Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam melihat cahaya yang menerangi bumi Makkah, cahaya yang tidak pernah disaksikan olehnya. Malaikat Jibrail A.S mendekati Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam dengan rupa tubuh manusia. Mengikut kitab al- Anwaarul Bahiyyah Min Israa’ Wa Mikraj Khoiril Bariyyah.

Tuan Guru dengan penuh hikmah menyentuh isu arasy, dimana kalangan ahlu bid’ah menyatakan keberadaan ALLAH Subhanahu Wa Taala duduk dilangit. Jibrail berkata kepada Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bahawa jika ALLAH izinkan untuk melihat malaikat Israfil yang memiliki 6 ribu sayap dikiri dan kanan. Jika dibuka sahaja 2 sayap, ia akan menutupi bumi, bayangkan jika ia buka kesemua sekali sayap, mana mungkin malaikat Israfil berada di dunia ini. Arasy memang wujud, tetapi Tuan Guru menggambarkan alam ini amat luas, teramat luas sehingga tidak terjangkau dalam akal fikir manusia.

Tuan Guru menyatakan mengenai rekaan terbaru “Mount Baroma” sebuah teleskop galaksi terbaru yang memiliki jarak penglihatan sejauh 36 angka kosong. Tuan Guru menyulam pengkisahan beliau dengan surah az-Zariyat [47] : 

Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya. “

Kerusi ALLAH & Sidratul Muntaha

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menegaskan bahawa makhluk paling berani di bumi ini ialah manusia. Malaikat sangat patuh kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala sehingga apabila mendengar sahaja nama ALLAH, mereka akan ketakutan. Tetapi tidak kepada manusia, walaupun berbuat dosa dan dikhabarkan bahawa neraka adalah tempat untuk pelaku dosa mereka tidak merasa apa-apa. [kitab al-Aini syarah kepada Sahih Bukhari]

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.” [Surah al-Hajj : 35]
Jibrail A.S terus membawa Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam ke Sidratul Muntaha. Sidrah ialah pokok bidara dan muntaha [daun]. Sehelai daun tersebut mampu memayungi seluruh umat Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam.

Sidratul Muntaha ini juga hanya diistimewakan kepada junjungan mulia umat akhir zaman, Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam kerana tiada Nabi atau Rasul selain Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam diizinkan oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala untuk tiba di Sidratul Muntaha.

Bertepatan dengan kemuliaan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam yang digelar sebagai cahaya atas segala cahaya. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh menjelaskan mengapa beliau membaca surah al-Hasyar ayat 21-24 ketika mengimamkan solat fardhu Maghrib sebentar tadi. Ketika ini, alfaqir melihat Tuan Guru terdiam seketika dengan ucapan yang teresekat-sekat sebak ternyata kerinduan beliau kepada Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam tidak dapat dibendung dihadapan para hadirin.

Sambung Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh, Jibrail A.S mempersilakan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam untuk melewati Sidratul Muntaha, namun kesantunan akhlak Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam menjemput Jibrail A.S untuk mendahului Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam. Jibrail A.S menolak dan menyatakan dengan satu langkahnya ke Sidratul Muntaha pasti akan menghancurkan seluruh jasadnya kerana makam yang dimiliki oleh Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam melayakkannya untuk melintasi Sidratul Muntaha.

Seruan ALLAH Subhanahu Wa Taala
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan ALLAH Subhanahu Wa Taala lantas bersujud. Kemudian berlakulah dialog antara ALLAH Subhanahu Wa Taala dan Muhammad, Rasul-Nya:

ALLAH Subhanahu Wa Taala : Ya Muhammad.
Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam : Labbaika. 

ALLAH Subhanahu Wa Taala : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. 

Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam : Ya, Rabb. Ibrahim dikenali sebagai Khalilullah dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa dan dia digelar kalimullah. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan dan dia dikenali sebagai Ruhullah.

Maka, ketika ketiaadaanku gelarlah aku sebagai Muhammad Yatiman wal Faqiran [Muhammad anak yatim dan faqir miskin]. Ketika membahaskan kalam ini Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh kelihatan kembali sebak. Bagaimana tawadhunya seorang pensuruh ALLAH yang telah begitu rapat kepada Penciptanya. Maka ALLAH Subhanahu Wa Taala menjawab ; “engkaulah kekasih KU [Anta Habibi]”. Itulah kemuliaan pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj yang wajib hidup pada dada nurani umat Islam sehingga akhir hayat mereka.

Itulah kemuncak maqam Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam yang terlalu dekat, telalu hampir dengan ALLAH Subhanahu Wa Taala sehingga Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menerima wahyu secara langsung daripada ALLAH Subhanahu Wa Taala.

ALLAH Subhanahu Wa Taala : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan bersihkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepada dirimu dan umatmu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak Aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.


Solat
Tuan Guru menyambung : “Sesungguhnya solat difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang tertentu, dan sabda junjungan Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam :
فرض على أمتي ليلة الإسراء خمسين صلاة فلم ازل اراجعه واسأله التخفيف حتى جعلها خمسا في كل يوم وليلة
Yang bermaksud : Telah memfardhukan oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala ke atas umatku pada malam Israk Miikraj solat 50 waktu , oleh itu aku berulang-ulang mengadap ALLAH Subhanahu Wa Taala dan meminta kurangkan solat sehingga dikurangkan kepada 5 waktu sehari semalam.

...Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang”
[Surah Al-Muddatstsir: 42-43]

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron din Hafizhulloh menegaskan :


..Sesungguhnya perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka sesungguhnya dia kafir.
[Hadits riwayat an-Nasa’ie dan at- Tarmidzi]


[Manusia bersifat serba lemah]. Manusia yang beriman kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala amat sedikit, manakala yang bersyukur kepada ALLAH amat kecil bilangannya.

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.” [Surah al-Hajj : 38]

Kesimpulan

ALLAH Subhanahu Wa Taala melalui peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan kepada manusia bahawa seluruh makhluknya tunduk dan patuh kepadaNYA. Wa katsirun minnanass (ramai manusia yang patuh kepadaKU), namun ramai juga yang menderhaka kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala.

Sabda Rasulullah SAW: “Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain”. (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma’ al Zawaid (1/291)).

Jelas Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh : Israk dan Mikraj merupakan sebentuk ujian keimanan yang sangat tinggi sehingga ada yang menyebutnya sebagai haqqul yaqin (keyakinan atas kemutlakan ALLAH Yang Maha Berkuasa) bagi sesiapa yang dapat mempercayai kedua-dua kejadian ini di saat ada yang mendakwa kononnya kisah Israk dan Mikraj adalah salah satu daripada kisah-kisah Israiliyyat atau hadis-hadis yang bersifat mauduk dan sebagainya.


WALLAHU’alam

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir illa ALLAH Al-Ghaniy:
Al-Mukminun
1 Syaaban 1432H / 03072011
BBST, Sepang, Selangor, Malaysia.

Rujukan :
Kitab Al Anwaarul Bahiyyah dan Dzikrayaat wa Munaasabaat
Kitab Al Anwaarul Bahiyyah Min Israa’ Wa Mi’raaj Khoiril Bariyyah

Khamis, 30 Jun 2011

Perbezaan pendapat tentang Israk Mikraj

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Perbezaan pendapat tentang Israk Mikraj


 


ISRAK MIKRAJ adalah peristiwa spiritual yang dialami Nabi Muhammad SAW. Ia difahamkan sebagai perjalanan malam Nabi dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan terus menerus menembusi dinginnya langit menuju sebuah puncak yang disebut Sidratul Muntaha.

Diriwayatkan, ketika Rasulullah sedang tidur malam bersama para sahabatnya di Masjidil Haram, tiba-tiba Jibril datang membangunkan dan membawanya untuk Israk Mikraj. Dalam konteks ini Thabathaba'i (Tafsir al-Mizan), menyebut bahawa di antara sahabat yang sedang bersama Nabi SAW saat itu adalah Hamzah Ibnu Abdul Muttalib, Jaafar Ibnu Abi Talib, dan Ali Ibnu Abi Talib.

Namun suatu riwayat seperti dipetik Fakh al-Din al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib, menyatakan bahawa Israk Mikraj tidak dimulai dari dalam Masjidil Haram, melainkan dari rumah Ummu Hani binti Abi Talib. Yang lain lagi menyatakan, bahawa mulai Israk Mikraj itu adalah dari sebuah ruangan dalam rumah Abu Talib r.a.

Beberapa kenyataan Islam menyebutkan bahawa Israk Mikraj itu ditempuh hanya dalam satu malam. Perjalanan yang panjang ini dimulai setelah selesai waktu Isyak dan diakhiri pada waktu fajar menyingsing.
Demikian jauhnya jarak perjalanan ini, maka Aisyah dan Muawiyah berpendapat bahawa Israk Mikraj merupakan perjalanan rohani dan bukan perjalanan fizik jasmani.

Menurut Aisyah, roh Nabi Muhammad bergerak membelah semesta alam untuk berjumpa dengan Allah, sementara jasadnya bersemayam di bumi.

Pendapat itu ditolak oleh jumhur ulama yang mengatakan Israk Mikraj melibatkan jasmani rohani Nabi Muhammad secara sekali gus.

Bagaimana mungkin benda seperti jasad manusia boleh berjalan lebih cepat daripada gerakan cahaya.
Menurut teori Einstein, jika ada benda berjalan secepat cahaya, maka benda itu akan terurai dan hancur lebur. Kemudian jumhur ulama berkata, bahawa Israk Mikraj adalah untuk dipercayai dan diyakinkan, bukan untuk diperdebatkan.

Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj itu? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat yang berbeza. Ulama yang berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Inilah pandangan paling popular di kalangan umat Islam.

Namun sebahagian lain berpendapat peristiwa Israk Mikraj itu terjadi di awal dan bukan di akhir bulan Rejab.
Menurut pendapat al-Harbi, seperti dipetik oleh al-Qurtubi dalam Al-Jami'il lil Ahkam al-Qurtubi, Israk Mikraj terjadi pada 27 Rabiul Awal. Sama juga pendapat seperti yang dikatakan oleh az-Zuhri dan Urwah.
Ibnu Abbas berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal.

Sebabnya pada hari, tarikh dan bulan itulah Rasulullah dilahirkan, diangkat menjadi Nabi, di Israk Mikrajkan, berhijrah ke Madinah dan meninggal dunia.

As-Suddi pula berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada bulan Zulkaedah (Ibnu Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah).

Bukan hanya bulan yang diperselisihkan, melainkan juga tahun peristiwa itu. Ada ulama berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi satu tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Sebahagian lain berkata bahawa Israk Mikraj diperkirakan terjadi 18 bulan sebelum peristiwa hijrah.
Sementara yang lain lagi berkesimpulan bahawa Israk Mikraj terjadi ketika Khadijah masih hidup.

Menurut Yunus Ibnu Bukair, pasca Israk Mikraj, Khadijah masih sempat melaksanakan solat. Ini kerana Israk Mikraj terjadi pada tahun kelima dari kenabian, beberapa bulan sebelum Khadijah meninggal dunia. Bahkan seperti dikutip oleh Thabathaba'i, Ibnu Abbas berkata bahawa Israk Mikraj terjadi pada tahun kedua dari kenabian.

Intisarinya bermacam pendapat, yang berkata tahun ketiga kenabian, 10 tahun tiga bulan dari kenabian, 12 tahun dari kenabian, satu tahun lima bulan sebelum hijrah, satu tahun tiga bulan sebelum hijrah, dan enam bulan sebelum berhijrah.

Mengapa berlaku perselisihan? Sebabnya, ketika peristiwa Israk Mikraj berlaku tidak ada orang yang mencatat dan merekodkannya secara betul. Rasulullah pun dikisahkan tidak boleh membaca dan menulis.
Mengenai hari, tarikh, bulan, dan tahun peristiwa Israk Mikraj di atas sepenuhnya didasarkan pada ingatan para sahabat, dan bukan pada data rakaman tertulis.

Selasa, 28 Jun 2011

Meraikan Israk - Mikraj

Assalamu'alaikum,

Malam ini apabila bermulanya Maghrib maka bermulalah Israk Mikraj. Kita dapat melihat ramai umat Islam di seluruh dunia 'meraikan' Hari Kebesaran ini dengan pelbagai sambutan dan acara. Antaranya adalah mendengar ceramah/kuliah berkaitan Israk Mikraj, jualan buku/kitab, majlis berzikir di masjid dan pelbagai lagi. Memandangkan esoknya bukan cuti rasmi di kebanyakan negeri di Malaysia, ia masih bukan penghalang untuk kita sama-sama 'meraikan' hari yang penuh keberkatan ini dengan majlis amal terutamanya. Kemungkinan memang ada segelintir manusia yang meraikannya sehari atau dua hari lebih awal berdasarkan ilmu masing-masing, tetapi hamba sendiri mengikut kalendar rasmi Tahun Hijrah yang kita gunakan di Malaysia. Kemungkinan ada juga umat Islam di dunia yang menyambutnya pada hari yang berbeza kerana perbezaan pendapat ulamak tentang tarikhnya yang tepat. Namun, hamba kekal meraikannya pada 27 Rejab setiap tahun sebagaimana lazimnya umat Islam di Malaysia. Namun kesyukuran kita meraikan Israk Mikraj juga janganlah menyebabkan kita hanya meraikan Hari-Hari Kebesaran Islam sahaja sedangkan setiap hari adalah hari yang bermakna, jika kita mengetahui, memahami dan menginsafi (Lihat surah al-Asr).

Barangsiapa yang mampu, tiada salahnya untuk beramal dari Maghrib sampai Subuh esoknya...Kalau kurang mampu, dari tengah malam sampai Subuhnya...Kalau kurang2 mampu lagi, dari jam 3 pagi ke Subuhnya... Hamba pun belum tahu mampu ke tidak, dari jam berapa mampu beramal, sehingga jam berapa mampu bertahan. Hanya kepada-NYA, hamba memohon pertolongan dan bantuan agar dapat memanfaatkan masa di hari kebesaran  ini sebaik-baiknya...Jika kita mengkaji Al-Quran dan As-Sunnah, waktu  malam ada rahmat, keberkatan dan kelebihan yang tersendiri yang siangnya tiada. 

Jika kita mengkaji al-Quran, Al-Hadis dan kitab para ulamak, pelbagai kelebihan dan rahmat ada pada Israk Mikraj ini.  Peristiwa Israk Mikraj amatlah penting kerana 1001 asbab yang telah dihuraikan dan dibincangkan oleh para ulamak. Hamba yang bukan ulamak dan masih jahil ini, tidaklah perlu mengulas lebih lanjut lagi. Peristiwa ini telah disebut dalam Al-Quran, diriwayatkan dalam Al-Hadis dan dibincangkan, dikitabkan oleh para ulamak. Sebab itulah hamba salin dan tampal beberapa artikel sebelum artikel ini yang membicarakan tentang Israk Mikraj ini, sekurang-kurangnya kita ada kefahaman asas akan apa peristiwa yang amat bersejarah ini (Bukit Tursina, teladan dan peringatan, urutan ringkas peristiwamaklumat ringkaspengajaran, Rejab dan Israk Mikraj, dan peristiwa Israk Mikraj). Kalau anda hendak tahu dengan lebih terperinci, pergilah ke kedai buku, dan belilah buku-buku yang khusus membicarakan tentang peristiwa bersejarah ini. Ataupun dengarlah pelbagai ceramah dan syarahan para ulamak tentang peristiwa bersejarah ini.

Antara intipati Israk Mikraj adalah solat fardhu sehari semalam lima kali yang 'diterima oleh Rasulullah SAW daripada Allah Taala'. Solat merupakan tiang agama, 'jika kukuh dan mantap solat, maka teguhlah agama kita'. Jika lalai kita dalam bersolat, maka 'goyanglah kita dalam beragama'. RSAW menyuruh kita bersolat sebagaimana baginda bersolat. Dapatkah kita bersolat sebagaimana RSAW bersolat,  zahir dan batinnya? Inilah antara perkara utama yang perlu kita kaji, teliti dan perbaiki agar kita dapat bersolat sebagaimana RSAW bersolat. Solat juga mampu mencegah kita dari perbuatan yang keji dan mungkar. Persoalannya mengapa ramai yang bersolat tetapi masih mengamalkan, berbuat kelakuan dan perbuatan keji dan mungkar? Sudah pasti solat mereka tidak sebagaimana solat yang disarankan dalam agama. Sudah pasti solat mereka tidak sebagaimana solat RSAW.

Solat juga 'satu mikraj' bagi orang mukmin, sebagaimana maksud hadis. Inilah ilmu yang perlu dicari, diterokai dan diamalkan.   Mengapa dinisbahkan solat itu satu 'mikraj' bagi orang yang beriman? Balasan neraka juga kepada mereka yang lalai dalam solat. Ini disebut dalam Al-Quran. Mengapa dibalas neraka kepada mereka yang lalai dalam bersolat? Anda boleh baca kitab-kitab tafsir untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini. Namun dalam masa yang sama, tiada rugi untuk bertanyakan guru mursyid yang murabbi akan hakikat sebenarnya.
 

Mengapakah khalifah Islam yang lalu mohon dicabut senjata yang menikam diri mereka ketika solat? Apakah rahsianya sehingga menjadi sebegitu rupa? Mengapakah sebahagian kecil umat Islam mampu bersolat berjam-jam lamanya, berpuluh atau beratus rakaat semalam? Apakah rahsianya? Bagaimanakah seorang hamba Allah dapat bersujud berjam-jam lamanya sedangkan kalau kita, lima minit bersujud dah 'rasa macam2'... Bagaimanakah mereka-mereka ini dapat bersolat sedemikian rupa?  Bagi orang awam selain solat itu satu kefardhuan, ia juga seperti 'satu yang perlu dibereskan'. Sedangkan bagi mereka yang khusus, solat itu sebenarnya satu kenikmatan, anugerah, keasyikan dan..... Hamba yakin, perkara utama dalam fardhu ain yang wajib kita perhalusi dan sentiasa ditambahbaik adalah solat kerana ia tiang agama. Moga-moga kita sama-sama berusaha membaiki solat kita dan berusaha bersolat sebagaimana Rasulullah SAW bersolat.

Wassalam.


Isnin, 27 Jun 2011

Peristiwa Israk Mikraj


Peristiwa Israk Mikraj

PENGENALAN
Ketika tulisan ini ditulis menunjukkan bahawa bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Tarikh hari ini adalah 22 Rejab 1429 bersamaan 25 Julai 2008. Maka semakin terasa dekatnya diri ini untuk bertemu dengan bulan mulia lagi penuh rahmat iaitu Ramadhan al-Mubarak. Namun seringkali dilupai bahawa di penghujung bulan Rejab ini berlaku suatu peristiwa yang besar dan penuh bermakna bagi seluruh umat Islam khususnya. Peristiwa yang dimaksudkan ini ialah peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W menurut jumhur ulama. 

Terdapatnya sedikit khilaf dalam menentukan tarikh dan waktu sebenar berlakunya peristiwa Israk Mikraj ini sebenarnya. Namun itu bukanlah suatu perkara yang perlu dipanjangkan pedebatannya. Apa yang terlebih penting adalah peristiwa ini benar-benar berlaku kepada Rasulullah S.A.W. kerana ia ada dinyatakan oleh al-Quran al-Karim dan diceritakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang telah diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi. 

Matlamat penting daripada peristiwa Israk Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah S.A.W. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamuNya pada malam yang sangat bersejarah itu. Para ulama telah mencapai kata sepakat bahawa sesiapa yang meragui atau langsung tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini maka hukumnya adalah kafir.

Sungguhpun peristiwa luar biasa Israk Mikraj yang terjadi itu nampak mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia namun selaku umat Islam maka wajib percaya dan yakin bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Imam Nawawi menyatakan bahawa perkara sebenar yang telah disepakati para ulama dan begitu juga para sahabat bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala dengan roh dan jasadnya sekali.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah Taala kepada baginda untuk memperlihatkan tanda-tanda keagungan dan kekuasaanNya. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah Taala selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ
Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud:

Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Surah al-Israa: ayat 1).

Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.
(Surah an-Najm: ayat 13-18). 

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ
Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).

Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi. 

Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.

PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ
Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.
Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.

KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ
Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:
Baginda melihat orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.

Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU
Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.

Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi. 

Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.

Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.

Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.

PERTIKAIAN KAFIR QURAISY
Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya.

Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad S.A.W pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad S.A.W. ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsrak dan diMikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.

Sekiranya Nabi Muhammad S.A.W itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut. 

Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad S.A.W. kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W. sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang ahli sihir.

Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd S.A.W. tentang rupabentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril A.S. untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Justeru itu Nabi Muhammad S.A.W. dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.

Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.

PENUTUP
Dari segala apa yang telah saya nyatakan ini maka sudah tentulah pelbagai pengajaran dapat diambil dari peristiwa Israk Mikraj ini. Ia bukanlah hanya sekadar cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ringkas ini. InsyaAllah.

Bulan Rejab dan Peristiwa Isra' Mikraj

sumber : http://www.masjidnegara.gov.my/portal/index.php?option=com_content&view=article&id=341:tazkirah-bulan-rejab-dan-peristiwa-isra-mikraj-&catid=1:latest

Bulan Rejab dan Peristiwa Isra' Mikraj
Betapa benarnya ulama’ tersebut tatkala beliau mengungkapkan kata-kata di atas. Masa lebih berharga dari emas, tidak mampu dijual beli dan tiada gantinya.

Detik masa akan sentiasa berlalu. Hari bertukar bulan, dan bulan bertukar tahun. Dan kini, samada kita sedar ataupun tidak, kita sudah menghampiri ke penghujung bulan Rejab. Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama muhasabah diri, sejauh mana penghayatan kita terhadap sempena-sempena yang telah Allah sediakan untuk kita.



Bulan Rejab

Bulan rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram dalam kalendar Islam.

‘Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram.’
At-Taubah : 36

Selain Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram, Rejab merupakan salah satu daripada bulan-bulan mulia, dimana diharamkan pertumpahan darah padanya. Juga sebagaimana bulan-bulan Islam yang lain, bulan Rejab dihiasi dengan ukiran peristiwa-peristiwa perjuangan Rasulallah dan Umat Islam. Bulan Rejab menjadi saksi kepada  Hijrah pertama ke Habsyah, peristiwa Isra’ Mikraj, Perang Tabuk, pembukaan semula Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dan beberapa peristiwa yang lain.


Isra’ Mikraj

Peristiwa Israa’ Mikraj merupakan antara peristiwa yang paling istimewa dan luar biasa dalam hidup Baginda s.a.w. Beliau telah menjadi undangan Allah s.w.t. Dari Makkah ke Baitul Maqdis, dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, beliau telah dimuliakan dengan pertemuan langsung dengan Allah s.w.t, pada tempat yang mana malaikat sendiri tidak dapat hadir.

‘Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.’
Al-Isra’ : 1

Luka kehilangan Abi Talib dan Khadijah masih merah di hati, tatkala Rasulallah dengan penuh harapan memilih untuk berdakwah ke Thoif. Alangkah sedihnya hati tatkala menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan oleh penduduk Thoif. Dalam pada itu, Rasulallah mengungkapkan kata-kata yang penuh bermakna;

‘Sekiranya engkau (wahai Allah) tidak murka kepadaku, maka aku tidak kisah.’

Betapa jelasnya Rasulallah s.a.w akan tugas yang dipikulnya. Beliau hanya penyampai dan Allah jualah pemberi hidayah. Para malaikat dan seluruh alam berkongsi kesedihan Rasulallah s.a.w, sehinggakan malaikat menawarkan untuk membinasakan penduduk Thoif.

Inilah suasana dimana berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj. Tatkala muslimin bersedih dan tertanya-tanya adakah masih ada sinar harapan untuk dakwah ini.

Allah telah memilih masa yang paling sesuai untuk menyeru kekasih-Nya. Pertemuan dengan Allah s.w.t telah mengubati kesedihan Rasulallah s.a.w. dan memberi semangat baru kepada Baginda.

Umat Islam telah dihadiahkan dengan kewajipan solat. Kewajipan utama yang bakal menjadi rahsia perpaduan dan kekuatan ummat Islam. Betapa pentingnya solat sehinggakan Rasulallah s.a.w sendiri naik ke langit untuk menerimanya, dan bukan melalui perantaraan Jibril seperti kewajipan-kewajipan yang lain.

Peristiwa Isra’ Mikraj juga menjadi petanda bahawa Islam akan menerajui tampuk pemerintahan dunia satu masa nanti. Dengan menyebut Masjidilharam dalam ayat pertama surah Al-Isra’, Allah telah menjanjikan Makkah untuk muslimin, sedangkan Kaabah ketika itu dipenuhi berhala. Perjalanan Rasulallah s.a.w yang aman dari Makkah ke Palestin juga menjadi tanda bahwa Islam akan menguasai tanah diantara kedua-duanya.

Perjalanan Rasulallah s.a.w ke Baitul Maqdis menjadi petanda akan kepentingan dan ketuanan bumi Palestin kepada umat Islam. Bumi yang menjadi rebutan dan sentiasa bergelojak ini akan hanya aman apabila muslimin kembali memerintahnya.


Rejab dan Ramadhan


Apabila tibanya bulan Rejab, Rasulallah s.a.w akan meningkatkan amalan beliau. Terutamanya puasa. Ini kerana Rejab merupakan titik tolak untuk menghadapi Ramadhan. Doa Rasulallah s.a.w ketika datang bulan Rejab;

'Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan pertemukanlah kami (panjangkan umur kami sehingga dapat berjumpa) dengan Ramadhan.’

Apabila tiba sahaja Ramadhan, Rasulallah s.a.w dan para sahabat akan mengucapkan selamat tinggal sesama mereka. Beruzlah dan bermunajat, masing-masing berusaha untuk mencapai tahap yang tertinggi di sisi Allah s.w.t. Jelas kelihatan kesungguhan mereka, kesungguhan yang bermula daripada Ramadhan yang lepas, ditiupkan pada awal Rejab, yang akhirnya membara dan terus meningkat di bulan Ramadhan.


Syaaban menanti

Rejab yang bersejarah dan penuh dengan kebaikan ini akan pergi meninggalkan kita. Sedangkan kita baru sahaja berkenalan dengan Isra’ Mikraj, kepentingan Al-Quds dan perjuangan saudara kita disana.

Ramadhan al-Mubarak semakin menghampiri, malangnya kita masih belum mengorak langkah kearahnya. Puasa sunat kita masih longlai.
Adakah begitu malang nasib kita?

Sahabat yang dikasihi sekalian, ketahuilah bahawa pintu kebaikan sentiasa terbuka luas. Dan Allah tidak akan sesekali mensia-siakan amalan hambanya yang ikhlas.

‘Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.’
Al-Kahfi : 30

Pedoman yang diambil dari kealpaan yang lalu,
Lebih bermakna dari ilmu yang dibiarkan membisu.
Sekiranya pemergian Rejab itu ditangisi,
Semoga Syaaban yang bakal menanti menghiburkan hati.
Sedikit peringatan buat semua,
Dalam keasyikan memburu cinta,
Jangan lupa perjuangan mereka disana.

Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj


RKIB : 13/07/2009

Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj


Solat adalah manifestasi pengabdian manusia kepada Allah dan wajib dilakukan walaupun di mana kita berada. - Gambar hiasan


PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.

Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.

Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.
Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.

Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.

Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).

Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).

Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: "Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.

Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj.