Assalamu'alaikum,
Alhamdulillah, segala puji hamba panjatkan ke hadrat Ilahi, segala kesyukuran di atas segala limpahan rahmat-NYA yang berterusan, tanpat rahmat-NYA, tiadalah dapat hamba meneruskan kehidupan di dunia yang serba mencabar ini. Semalam (17 Julai 2013 bersamaan 8 Ramadhan 1434)), hamba menghadiri Konvokesyen ijazah doktor falsafah di sebuah universiti di United Kingdom. Datang pada 13 Julai 2013 (3 Ramadhan 1434), insya-Allah hamba akan kembali ke Malaysia pada 19 Julai 2013 (10 Ramadhan 1434). Alhamdulillah, hamba dapat mengerjakan puasa Ramadhan di bumi UK ini, kira-kira 18 jam sehari, setakat ini tiada masalah. Alhamdulillah, walaupun hamba keseorangan dalam Majlis Konvokesyen ini, isteri, anak-anak, bonda, adik-beradik, anak-anak saudara semua dapat bersama kerana mereka menonton secara 'live' Majlis Konvokesyen (ataupun dipanggil Graduation Ceremony) di laman sawang universiti. Hajat di hati memang nak bawa bonda, isteri dan anak-anak, tetapi kosnya adalah begitu besar dan lebih baik wang itu disimpan untuk perkara yang lebih penting. Apatah lagi di bulan puasa, anda tidak dapat membawa rombongan ke sana-sini atas pelbagai kekangan yang ada.
Pengajian PhD (doktor falsafah) bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi di Universiti di United Kingdom ini, khususnya Universiti yang 'bergelar' Universiti Penyelidikan (Research University). Tidak mudah untuk diterima belajar di Universiti Penyelidikan kerana persaingannya yang sengit dan tidak mudah menghabiskan pengajian PhD di Universiti Penyelidikan kerana standardnya yang tinggi. Anda tidak diharapkan menghasilkan suatu penyelidikan biasa, sebaliknya suatu penyelidikan yang meneroka suatu ilmu baru, menjangkaui sempadan ilmu semasa. Hasil penyelidikan anda mestilah suatu sumbangan ilmu baru kepada sempadan ilmu semasa dalam bidang anda tersebut. Anda tidak boleh mereplikasi suatu tujahan ilmu di tempat lain dan mengkajinya dalam konteks lain. Penyelidikan anda seharusnya menyumbang kepada penemuan baru dalam jurang teoritikal (theorytical gaps), jurang konteks (contextual gaps) dan jurang metodologi (methodological gaps) sedia ada. Ini perlu dilakukan dalam konteks ontologi, aksiologi, epistemologi ilmu (menurut kaedah Barat).
Tidak rugi belajar apa yang ada dan apa kefahaman Barat, asalkan anda tahu di mana letaknya Islam dalam konteks ilmu. Nabi SAW sendiri menyuruh kita menuntut ilmu sehingga ke negeri China. Antara maksud hadis tersebut juga adalah keluar dari sempadan dan konteks pembelajaran dan suasana semasa. Keluar dari kepompong, budaya, suasana di Malaysia dan merasai sendiri suatu konteks baharu. Kehidupan sekitar 3 tahun 9 bulan di United Kingdom memang banyak mengajar dan mendidik hamba, dan mengubah juga tasawur hamba tentang alam dan kehidupan. Ini tidak merosakkan jati diri hamba, sebaliknya meningkatkan kecintaan kepada tanahair. Kita seharusnya membawa apa yang baik yang ada di Tamadun Barat ke negara sendiri sebagaimana Barat mengambil apa yang baik yang ada dalam kegemilangan Tamadun Islam di Baghdad dan Andalusia dan membawanya ke Eropah (ketika itu Eropah masih di dalam kegelapan). Banyak perkara yang hamba belajar dan terkesan sepanjang kehidupan di luar negara. Dari segi kebersihan contohnya, umumnya masyarakat mereka begitu pentingkan kebersihan, jauh melebihi umat Islam di Malaysia, sedangkan Islam amat mementingkan kebersihan. Dari segi pemuliharaan alam sekitar, kita di Malaysia ketinggalan 10-20 tahun berbanding UK (mungkin lebih lagi) sedangkan dalam Islam, manusia adalah khalifah yang seharusnya mentadbir alam ini dengan baik dan bijaksana. Dari segi kasih-sayang kepada binatang mereka jauh lebih adil dan kasih kepada binatang berbanding orang Islam di Malaysia. Nilai-nilai dan sifat toleransi, keterbukaan, perdebatan yang substantif, integriti, jangan berbohong, dan profesionalisme sebagai contoh, mereka jauh lebih hebat dari kita di Malaysia, pada umumnya. Kadar kemalangan kenderaan di UK antara terendah di dunia, kita pula antara tertinggi di dunia. Memang banyak keburukan yang ada di Barat, tetapi hendaklah yang buruk itu kita jadikan sebagai pengajaran, agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kalau hendak diceritakan tentang kehidupan masyarakat di UK, banyak lagi, moga-moga dilapangkan masa untuk menulisnya.
Berbalik kepada ijazah PhD hamba. Kami meninggalkan bumi Malaysia pada 28 September 2006, di bulan Ramadhan yang penuh berkah dan selamat sampai di UK pada hari Jumaat, hari penuh barokah, 29 September 2006. Kehidupan awal sekeluarga memanglah susah. Tiada pelajar Malaysia di tempat kami sampai kerana ia kampus cawangan yang baru ditubuhkan. Sampai di hotel yang ditempah, hamba keluar keseorangan ke bandar. Pertamanya beli nombor telefon dahulu. Kemudian cari masjid, Alhamdulillah, jumpa masjid Pakistan. Minta pertolongan orang masjid, kami dapat berkongsi sewa dua buah bilik di sebuah rumah di tingkat atas, di bawahnya restoran ayam Pakistan. Yang tak tahannya Malam Sabtu dan Ahad kerana orang putih dok berkumpul sembang-gebang, gelak ketawa sampai 2-3 pagi. Rumah sewa ini kami sewa selama dua bulan, 'single glazing' dan sudah lama tidak dibaikpulih. Bayangkan pengalaman pertama menghadapi cuaca musim luruh. Memang tak tahan rasanya. Pernah kami tidur dengan berpakaian empat lapis, termasuk Long John dan jaket tebal kerana kesejukan. Apatah lagi, tiada pemanas di rumah ini!!!
Alhamdulilllah, cari punya cari, dapat sewa sebuah Rumah dua bilik (GBP500 sebulan). Keseluruhannya, kami berpindah-randah sebanyak empat kali (sewa lima rumah) sepanjang tinggal di UK. Waktu itu, biasiswa sebulan untuk seisi keluarga adalah GBP848, tolak sewa rumah, tinggallah GBP 348. Bajet makan-minum sekeluarga hanya GBP100 sebulan dan kami 'survive' setahun atas bajet ini. Kalau nak cerita bagaimana, panjang ceritanya. Kami makan ala kadar, telur sebiji dijadikan telur goreng yang nipis, dibelah lapan, siang makan empat bahagian, malam makan empat bahagian. Isteri 'tersiksa' juga kerana tiada kawan dan rakan untuk bersembang melainkan suaminya (hamba), itupun bila hamba balik dari universiti. Beberapa kali beliau melafazkan kata mengajak kembali ke bumi Malaysia. Kalaulah hamba tak cekal dan kuat zahir dan batin, pasti sudah menyerah kalah dan kembali ke Malaysia. Kami menyambut Hari Raya Aidil Adha 2006 di Malaysian Hall London, sebab teringin nak jumpa pelajar/orang Malaysia. Itu kali pertama kami keluar dari daerah tempat kami inap. Masalah biasiswa berkurang apabila Pak Lah sebagai pemimpin kerajaan mengumumkan dalam Bajet 2008 untuk menaikkan biasiswa kepada GBP1200++ mulai September 2007, rasanya. Ini melegakan semua pelajar Malaysia di UK.
Pengajian PhD adalah rezeki masing-masing. Ada yang 3 tahun dah habis, ramai 3-4 tahun dah habis. Mereka yang tidak pernah mengambil tahu masalah kawan-kawan semasa buat PhD tak akan faham mengapa hamba kata 'rezeki masing-masing'. Ada yang tak ada masalah dengan penyelia, tak ada masalah kutip data dan tiada masalah semasa viva serta lulus dengan mudahnya Viva (peperiksaan lisan). Hamba sendiri, pengajian PhD memang menempuhi banyak masalah. Pertamanya hamba adalah golongan awal pelajar PhD waktu itu yang mendaftar masuk untuk kampus cawangan yang baru ditubuhkan. Maklumlah kampus cawangan baru, banyak sangat masalah sama ada infrastruktur tak ada/tak lengkap, kemudahan tak ada, sistem masih dibangunkan, masalah tenaga akademik dan 1001 masalah. Kemudian 'bermasalah' pula dengan penyelia yang bukan bidang kepakaran, berlainan kaedah dan pendekatan penyelidikan, tidak banyak menyokong, tidak membaca draf tesis yang dikemukakan berbulan-bulan lamanya dan 1001 masalah lain.
Allah Taala menguji pula dengan diberinya 'satu penyakit besar' apabila tinggal di UK. Bermula dengan satu petunjuk dari-NYA dan doa/hajat yang berterusan untuk mengetahui tentang penyakit ini, akhirnya dapat kesahihan tentang penyakit ini melalui tanda-tandanya dan ... Apabila hamba balik Malaysia untuk kutip data sekitar 2008, berjumpa Guru di Hujung Benua yang hamba tahu 'ada penawar' untuk penyakit kritikal ini, tidak mahu pula beliau mengubatnya. Disuruh hamba mengamalkan sesuatu. Walaupun penyakit itu di peringkat permulaan, kehidupan tidaklah mudah kerana badan sudah tidak sihat, asyik sakit, kemampuan fizikal yang terhad dan macam2 implikasi dari penyakit itu. Kekanda hamba ada singgap sekejap di rumah kami, dalam perjalanannya balik dari Milan, Italy ke KLIA. Di penghujung pertemuan, hamba ceritakan juga masalah penyakit ini. Semasa kemuncak dalam berpenyakit ini, rasanya tahun 2009, hamba rasanya dah nak balik Malaysia, 'dah tak larah dah', dengan penyakit dan 'mental torture', PhD fikirkan kemudianlah, yang penting kesihatan diri sendiri, kalau nak mati pun, biarlah di Malaysia, begitu kiranya. Minta nasihat Sang Guru Yang Utama, disuruhnya untuk Solat Sunat Istikharah. Dengan 7 Salam Sunat Istikharah, dapatlah petunjuk dari-NYA, belum ada izin untuk pulang ke Malaysia. Wajib ikut petunjuk dari-NYA walaupun hati nak benda lain. Yakinlah dan ikutlah petunjuk Allah walaupun ia bertentangan dengan kehendak kita kerana Allah lebih tahu apa yang baik untuk hamba-hamba-NYA. Kita tidak tahu ajal-maut kita, di mana kita mati dan bila kita mati. Hamba dah siap berwasiat dengan isteri dan anak-anak tentang apa perlu dilakukan jika kematian menjemput hamba di bumi UK. Juga hamba tinggalkan wasiat untuk Bonda dan adik-beradik di Tanah Melayu. Hamba kira ianya satu pengalaman yang baik, iaitu betul-betul ingat akan kematian.
Sibuk menghadapi penyakit semasa, ujian ditambah lagi pada 2010 dengan tambahan dua penyakit lain yang menambah beban kepada diri sendiri. Sempat jugalah bermalam 3 malam di Hospital. Salah satu penyakitnya adalah diabetes. Kerana hamba tahu punca kepada diabetes ini, 6 bulan hamba berpantang gula dan jaga makan-minum, Alhamdulillah, hamba selamat dari diabetes. Hikmahnya adalah selepas itu, hamba sekeluarga memang tak 'minum manis-manis', takat sekadar rasa sahaja. Penyakit kedua ini, hamba masih belum sembuh sehingga sekarang. Bagi mukmin, penyakit adalah satu rahmat. Cuba baca di sini. Dengan tambahan 2 penyakit itu, hamba 'minta cuti sakit' dari pengajian PhD di Universiti dan diluluskan. Kami kembali ke Malaysia pada penghujung Jun 2010. Sebelum sampai ke Malaysia, hamba sekeluarga singgah di Tanah Madinah dan Mekah untuk ziarah dan umrah. Alhamdulillah, permohonan diluluskan oleh universiti di Malaysia untuk singgah buat umrah. Lima malam kami habiskan di Madinah dan 13 malam di Mekah. Memang puas hati sebab lama. Masih terbayang di mata, kenangan anak ketiga dengan pakaian umrahnya tergedik-gedik berlari-lari antara Sawa dan Marwah. Di Mekah, hamba selesaikan petunjuk dari amalan Guru di Hujung Benua untuk sembuh dari penyakit besar. Alhamdulillah, pemeriksaan kesihatan di Malaysa kemudiannya 'membebaskan' hamba dari penyakit besar ini.
Kehidupan dari Julai 2010 sehingga November 2011 adalah kehidupan yang padat. Baru balik Malaysia, cari sekolah anak, uruskan barang dari UK, memulakan semula kehidupan baru di Malaysia ambil 2-3 bulan juga nak selesai semuanya. Kemudian tugas-tugas pengajaran menambah beban semasa. Nak habiskan tesis pun kurang sedikit masanya. Ditambah pula dengan masalah penyelia hamba yang merugikan masa hamba kerana tidak berikan maklumbalas dan tidak baca draf tesis yang dihantar. Kemudiannya dapat surat dari Universiti mengingatkan tentang tempoh pengajian rasmi akan berakhir tidak lama lagi. Hamba perlukan surat akuan doktor sembuh dari penyakit dan boleh 'bertugas' untuk sambung pengajian di UK. November 2011, hamba kembali selama sebulan ke UK untuk habiskan tesis PhD dan hantar untuk pemeriksaan lisan (viva). Sebulan di UK, banyak masalah yang timbul, tak mahu hamba ulaskan di sini. Ia satu ujian besar dan hamba hanya perlu bergantung kepada-NYA mutlak, serah bulat-bulat selepas berusaha. Sebenarnya sebelum sebulan ke UK, tesis dah siap secara kasarnya cuma betul dan tambahbaik di sana sini. Alhamdulillah, 12 Disember 2011, hamba selamat hantar tesis dan kembali ke Malaysia pada 15 Disember 2011, tepat sebulan di UK. Lima bulan selepas hantar/submit, pada 11 Mei 2012, hari Jumaat yang mulia, hamba menjalani viva dan Alhamdulillah, lulus dengan sedikit pembetulan. Walaupun pembetulan ini diberikan 4 bulan untuk disiapkan, dan jika hamba pulun 6 jam sehari, hanya memerlukan 1-2 minggu sahaja, hamba tak pulun pun. Hamba menghabiskan pasca viva dengan relaks sekejap selama 1 bulan, kemudian mulakan pembetulan dan Alhamdulillah, hamba diijazahkan Doktor Falsafah dalam bidang .... pada 23 Oktober 2012, 6 tahun selepas mendaftar sebagai calon PhD (Ijazah PhD ikut surat Senat). Dan pada 17 Julai 2013, 7 tahun Hjrah selepas memulakan pengajian sebagai calon PhD, hamba 'menyempurnakan misi ini' dalam Majlis Graduasi yang berlangsung.
Pengajian PhD ini satu perjalanan yang panjang dan penuh cabaran, apatah lagi apabila kita sudah bergelar mahasitua, bukan mahasiswa. Sebab itu pengajian PhD di luar negara sebenarnya mematangkan kita dalam menghadapi kehidupan dunia dan akhirat. Hamba memulakan pengajian pada bulan Ramadhan 1427, tahun 2006, dan tamat pada bulan Ramadhan 1434, tahun 2013. Sewaktu Majlis Graduasi, Kekanda hamba yang sulong SMS, "Kejayaan yang sungguh simbolik, sama seperti mana kejayaan pahawan Badar dan pembukaan Makkah - ianya dicapai di bulan yang penuh berkah, iaitu Ramadhan". Walaupun kekanda hamba belum menjalani jalan tasawuf, "SMSnya itu penuh kiasan dari Allah Taala". Moga-moga kejayaan hamba menjadi perangsang dan semangat untuk anak-anak/anak-anak saudara untuk maju dan berjaya dalam pelajaran, tanpa kenal putus asa, tanpa mengira usia, tanpa memikirkan pelbagai tanggungjawab yang dipikul. Memang terasa begitu sebak semasa Majlis Graduasi berlangsung, walaupun ramai yang kelihatannya bergembia. Dengan 1001 ujian dan 1001 kepayahan, sedikit yang dicoretkan di sini, banyaknya biarlah dijadikan kenangan hidup yang bermakna, anda akan sebak dan bersyukur di atas kejayaan yang tiba akhirnya
Disitilahkan juga sebagai 'banduan akademik' selagi anda belum selesai PhD anda, faktor yang paling besar bagi hamba apabila tamat pengajian adalah selesai sudah satu amanah kepada agama, bangsa dan negara. Rasa terbalas segala bantuan dan biasiswa kerajaan, walaupun wang ringgit sendiri amat banyak dihabiskan untuk menamatkan pengajian ini, kiranya harga sebuah kereta mewah tempatan juga. Pengorbanan dan kasih-sayang Sang isteri yang setia disisi, menghadapi 1001 kepayahan di bumi asing, akan hamba kenang selama-lamanya. Pembesaran, pembelajaran, kehidupan bersama-sama Kilauan Pertama, yakni anak-anakku, dari tiga ke empat sepanjang kehidupan di UK, adalah satu episod-episod indah sepanjang kehidupan hamba. Kehidupan kami sekeluarga semakin erat di UK, selalu anak-anak ketiga dan keempat membelek-belek album kami di sana walaupun ketika itu mereka belum ingat sepenuhnya episod kehidupan kami di sana. Itulah indahnya kehidupan apabila ada masam, manis, pahit, pelat, masin, tawar, enak, sedap dan 1001 rasa, itulah nikmat dari Allah, Tuhan Sekalian Alam.
Sampai di UK bulan Ramadhan, memulakan pengajian PhD di bulan ramadhan, hamba menamatkan pengajian PhD di bulan ramadhan, hamba akan meninggalkan bumi UK ini bulan Ramadhan juga. Sampai di UK hari Jumaat yang mulia, peperiksaan Viva hari Jumaat yang mulia, hamba akan meninggalkan bumi UK ini hari Jumaat yang mulia juga (19 Julai 2013). Tujuh tahun berlalu sudah, dan akhirnya sampai juga ke destinasi. Teringat kata-kata Guru Yang Agung sewaktu sebelum ke UK tahun 2006, "Di penghujungnya berjaya juga", amat benar kata-katanya itu. Selesai sudah satu amanah, maka bermula sudah sebuah perjuangan yang panjang....Wassalamu'alaikum warrahmatullahi wabakaratuh.