TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Melayu. Papar semua catatan

Rabu, 2 November 2011

PPSMI perlu dimansuh serta-merta - Dr. Isahak


PPSMI perlu dimansuh serta-merta - Dr. Isahak

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dimansuhkan serta-merta tanpa menunggu sehingga 2015.

Pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Emeritus Dr. Isahak Haron berkata, ia penting bagi mengelak proses transisi kepada dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) mendatangkan masalah kepada pelajar.

Katanya, berdasarkan kajian yang telah dilakukan, seramai 14.4 juta pelajar dijangka akan berdepan dengan masalah sepanjang proses transisi dasar tersebut.

"Kajian itu juga menunjukkan sebanyak 70 peratus pelajar sekolah rendah ketika ini berdepan kesukaran untuk memahami pelajaran sains dan matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

"Apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan daripada pelajar itu pula terdiri daripada pelajar Melayu yang terdedah kepada kesan daripada sudut sosial kerana berdepan kesukaran dalam pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pembentangan kertas kerja bertajuk 'Memperkasakan Dan Memartabatkan Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan' pada Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu di sini hari ini.

Daripada kajian sama, tambah Isahak, 80 peratus pelajar sekolah rendah mendakwa mereka perlu merujuk kepada buku dan bahan rujukan dalam bahasa Melayu untuk memahami mata pelajaran itu.

Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan menyediakan buku tambahan sains dan matematik dalam bahasa Melayu secara percuma bagi membantu meningkatkan pengetahuan pelajar dalam mata pelajaran itu.

"Ini kerana daripada jumlah itu pula, hanya 40 peratus sahaja yang mampu membeli buku dan bahan rujukan tersebut manakala selebihnya menghadapi masalah kekangan kewangan dan kebanyakan mereka ini terdiri daripada orang Melayu," jelasnya.

Pilihan kaedah pembelajaran boleh cetus kucar-kacir


Pilihan kaedah pembelajaran boleh cetus kucar-kacir

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menentukan kaedah pembelajaran anak-anak mereka sama ada menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sukar dilaksanakan kerana ia boleh menimbulkan keadaan kucar-kacir dalam sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, langkah itu juga boleh mendatangkan masalah di peringkat Kementerian Pelajaran untuk merancang kaedah sesuai bagi memenuhi kehendak sekolah yang mahukan sistem pendidikan bahasa Inggeris dan sekolah yang sebaliknya.

"Perkara ini sebenarnya sudah kita perhalusi, teliti dan pertimbangkan di peringkat kementerian.

"Bukan kerajaan tidak memahami hasrat ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka, tetapi kita mahu lihat pendekatan yang lebih sesuai dan itu yang sedang kita laksanakan ketika ini menerusi program Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya selepas merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahukan kerajaan memberi pilihan kepada ibu bapa menentukan sendiri kaedah pendidikan sains dan matematik bagi anak-anak mereka sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Muhyiddin menambah, keputusan kerajaan memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dihormati semua pihak kerana ia hadir dengan jaminan bahawa bahasa Inggeris tidak sesekali dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara.

Sebagai contoh tegas beliau, kurikulum MBMMBI yang dilaksanakan tahun ini telah dirombak menjadi lebih menarik, tambahan masa pengajaran subjek Bahasa Inggeris dan membawa guru penutur bahasa Inggeris untuk memantau guru-guru tempatan.

"Saya percaya langkah-langkah yang diambil kerajaan ini akan membuahkan hasil dalam beberapa tempoh akan datang sebab adalah mustahil ia akan menunjukkan kejayaan dalam masa setahun dua," katanya.

Isnin, 24 Oktober 2011

DBP: Orang Melayu tak yakin dengan bahasa sendiri


DBP: Orang Melayu tak yakin dengan bahasa sendiri
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP Abdul Ghapar Abdullah berkata sikap tidak bangga, tiada kesedaran dan kurang jati diri bangsa menyebabkan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan terjejas.

NONEBeliau berkata DBP memang bertanggungjawab memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dengan betul tetapi sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai daripada tidak menggunakan Bahasa Malaysia.

"Contohnya samalah dengan kempen Ops Sikap yang dilaksanakan polis.  Walaupun pelbagai usaha dan kempen yang dilakukan, kemalangan tetap berlaku dan ia berpunca dari sikap pengguna jalan raya.

"Begitu juga dengan DBP yang melaksanakan pelbagai program untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan tetapi orang ramai masih juga menggunakan bahasa rojak," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata DBP tidak boleh menghalang dan menguatkuasakan atau mendenda orang yang tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan, tetapi apa yang boleh dibuat ialah membantu sekiranya mereka tidak begitu arif dengan penggunaannya.

Untuk program Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan ini, Abdul Ghapar berkata kira-kira 300 program khusus diadakan di seluruh negara dan ia tidak termasuk program dan kempen yang dilaksanakan DBP sepanjang tahun.
Bahasa bercampur

"DBP sedia membantu mana-mana pihak yang mahu menggunakan khidmat nasihat untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan betul, sama ada menerusi bengkel atau seminar," katanya.

azlan"Penyiar iaitu media cetak atau elektronik termasuk radio swasta banyak menggunakan bahasa bercampur. Jadi dalam konteks ini kita tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Namun untuk penyiar yang tidak mempunyai kepakaran, DBP sedia membantu di mana yang perlu," katanya.

Mengambil contoh penggunaan bahasa Kebangsaan yang betul di papan-papan iklan pula, beliau berkata DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan kerana yang ada kuasa ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau kesal banyak orang Melayu sendiri yang tidak mempunyai keyakinan, jati diri dan rasa bangga untuk menggunakan Bahasa Malaysia dalam perhubungan sehari-hari.

mahathir meets bloggers 150807 crowdMenurutnya dalam pelbagai mesyuarat rasmi juga kadang-kadang Bahasa Malaysia tidak digunakan sepenuhnya.

"Kita nak beritahu, Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan dan bukannya bahasa orang Melayu sahaja. Jadi setiap rakyat Malaysia perlu mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan itu seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Papan iklan

Di pihak DBP, katanya, pada laman sesawang DBP (dbp.gov.my), pelbagai usaha dipaparkan untuk memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul di bawah tajuk perkhidmatan antara lainnya - Khidmat Nasihat Bahasa, Pedoman dan Panduan Bahasa Melayu dan Pantau Tegur Bahasa.

dewan bahasa dan pustaka logoMenurutnya, Pantau Tegur Bahasa mengajak rakyat bersama-sama berusaha mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat-tempat awam, seperti di papan iklan atau papan tanda, sama ada di luar atau pun di dalam bangunan, yang mesti dicegah segera untuk mengelak mencemarkan maruah Bahasa Kebangsaan.

"Antara ciri pencemaran bahasa ialah pengutamaan bahasa asing, sama ada dari segi saiz atau warna, penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata, pembentukan kata, pengolahan  ayat, dan penggunaan laras, atau pun mencampuradukkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris," katanya.

DBP dalam menyempurnakan tugas dan tanggungjawabnya pastinya akan terus menerus melaksanakan pelbagai kempen dan program bagi memartabatkan Bahasa Kebangsaan, suatu usaha yang mungkin tidak berpenghujung.

azlanPara pencinta dan penggiat Bahasa Kebangsaan pula akan terus menyuarakan pandangan demi pandangan, yang semuanya bernas, tentang bagaimana Bahasa Kebangsaan boleh dimartabatkan, dijadikan bahasa ilmu dan bahasa perniagaan baik di peringkat dalam negara mahupun hingga ke luar negara.

Namun, tanpa kesedaran dan perubahan sikap di kalangan semua rakyat Malaysia, sukar untuk menentukan bila masanya Bahasa Kebangsaan sudah mencapai martabatnya yang seharusnya.

Bagi, pejuang dan pakar Bahasa Kebangsaan Dr Awang Sariyan, sikap dan penerimaan masyarakat terhadap Bahasa Kebangsaan merupakan topik penting yang kerap dibincangkan setiap kali memperkatakan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.
Menimbulkan keghairahan

Katanya, proses globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa Inggeris, menimbulkan keghairahan yang kadangkala berlebihan di kalangan masyarakat untuk mengutamakan penguasaan Bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan Bahasa Melayu.

awang sariyanMenurut beliau, ia terjadi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat sama ada pemimpin, profesional dan orang awam.

"Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berhubung kait dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi," katanya dalam sebuah tulisannya.

Ada kebimbangan yang nyata di sebalik tulisan bekas penyandang pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing Foreign Studies University dan bekas Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.
Penyair dan pencinta Bahasa Kebangsaan Dr Ibrahim Ghafar, yang menyetujui pandangan Dr Awang, berkata di situlah letaknya sikap yang salah di kalangan masyarakat yang mengaitkan penggunaan Bahasa Malaysia secara negatif dengan taraf sosial dan pendidikan serta nilai ekonomi.
Bersosial rendah

"Seolah-olah Bahasa Malaysia hanya layak dituturkan oleh mereka yang bertaraf sosial rendah, berpendidikan tidak tinggi. Apatah lagi bila menganggap Bahasa Kebangsaan tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, hilanglah jati diri bangsa kita," katanya.

Beliau berkata seharusnya rakyat menanam sikap 'marilah bersama-sama kita menambah nilai ekonomi Bahasa Kebangsaan' dengan menuturkannya secara meluas, menggunakan dalam urusan rasmi dan perniagaan dan mempelbagaikan aktiviti yang boleh mendorong kecintaan kepada Bahasa Kebangsaan.

"Biar apapun keturunan kita, sebagai rakyat Malaysia kitalah yang harus berperanan memberi nilai tambah kepada Bahasa Kebangsaan kita kerana ia bukan milik satu bangsa sahaja tetapi milik keseluruhan rakyat Malaysia," katanya.

NONEAhli parlimen kawasan Kepong Dr Tan Seng Giaw pula melihat usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan wajib dimulakan dari awal sejak di bangku sekolah lagi dengan memastikan kualiti dan kemahiran guru-guru yang mengajarnya termasuk di semua sekolah jenis kebangsaan.

Dr Tan yang bangga fasih berbahasa Melayu dan boleh pula membaca dan menulis Jawi, berkata latihan awal penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik ibarat membentuk buluh daripada rebungnya lagi dan boleh dilihat kesannya apabila murid-murid itu membesar sebagai penutur yang baik.

"Saya tidak pernah berhenti menimbulkan hal ini di Parlimen. Kita harus melihat semua sisi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kebangsaan termasuk usaha meningkatkan standard dan penguasaan di kalangan guru. Ingatlah Bahasa Jiwa Bangsa," katanya

Zombie PPSMI menjenguk, pendidikan negara menuju Sparta moden


Zombie PPSMI menjenguk, pendidikan negara menuju Sparta moden — Zul Fikri Mohamad Munir

September 29, 2011
 
29 SEPT — Merujuk tulisan Datuk Dr Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara ke-10 bertajuk Tamadun Melayu dan PPSMI bertarikh 27 Ogos 2011 sebagai reaksi pantas terhadap bayangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu yang mengumumkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan untuk meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya; sebuah keputusan yang mengejutkan ramai kerana bertentangan secara “predestined” atau “foreordained” dengan semangat keputusan kerajaan pasca 7 Mac 2009 yang menyatakan untuk memansuhkan PPSMI bermula 2012.

Sekali lagi, sebuah dasar pendidikan bersifat “aftermath spin-off” diumumkan. Sekuelnya menarik, diumum mansuh pada 2009, diumum anti-mansuh menjelang 2012, manakala prekuelnya lebih berahi, dimum hanya beberapa bulan sebelum dilaksanakan pada 2002! Kini menjelang tahun pemansuhannya, rakyat Malaysia, murid sekolah khasnya ternanti-nanti keputusan penuh kerajaan. Yang menariknya, (mengambil contoh Anwar Ridhwan), penantian ini bagaikan menanti Zombie baharu yang sudah ditalkinkan!

Sejarah pendidikan moden negara bermula sekitar tahun 1945 hingga ke 1957 dan dikenali sebagai “zaman perubahan”. Beberapa penyata telah dikeluarkan, sebahagiannya untuk menyeragamkan polisi pendidikan di antara semenanjung Tanah Melayu dengan Singapura yang berbeza ketika itu, dan juga untuk menukarkan sistem pendidikan penjajah kepada sebuah sistem pendidikan yang berteraskan kebangsaan. Penyata tersebut adalah Penyata Barnes-Fenn Wu dan Penyata Razak.

Tiga tujuan utama Penyata Razak iaitu; a) bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, b) Sukatan pelajaran yang sama untuk setiap sekolah dan c) Dasar Pelajaran yang bermaksud menyatukan semua kanak-kanak dari pelbagai bangsa melalui satu peraturan telahpun dilaksanakan melalui Penyata Rahman-Talib kemudiannya, sekitar 1958 hingga ke 1964.

Kelihatan ketika itu, murni sungguh dasar pendidikan negara dari sisi falsafah, terutamanya melalui penggunaan bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu secara unilateral walaupun tidak mandatori (bahasa lain dibenarkan untuk diajar).

Pada tahun 1974, Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Berikutan dengan itu, Kaedah Tatatertib pelajar telah digubal pada 1975, khusus untuk mengawal kelantangan para pelajar dari menunjukkan sokongan terhadap proksi pembangkang.

Secara tepatnya, Akta Universiti Kolej Universiti yang dilaksanakan pada tahun 1971 (berikutan peritiwa 13 Mei 1969) diperkenalkan selaras dengan citarasa Dr Mahathir yang berfungsi sebagai Menteri Pendidikan ketika itu.

Sekitar 1990-an pula, setelah naik sebagai perdana Menteri pada 1982, Dr Mahathir secara “soft approach” telah cuba mengubah landskap pendidikan negara dengan meminta beberapa universiti menggunapakai bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar.

Realitinya kini, IPTA umum seperti UM dan UKM, hanya Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Akademi Pengajian Melayu serta Akademi Pengajian Islam sahaja yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Begitu juga di UTM, USM, UiTM dan UPM, di anggarkan, tidak sampai 20 peratus sahaja fakulti yang masih mengguanakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

Lebih serius, rata-rata IPTS juga menggunakan hampir 100 peratus bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di setiap fakulti mereka.

Dikenali sebagai Bapa Pemodenan dan “pencipta” Wawasan 2020, pada 2002 Dr Mahathir yang telah menerajui negara selama 22 tahun selaku Perdana Menteri telah mengusulkan sebuah dasar baharu iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Tanpa merujuk kepada Sultan selaku ketua negara, kabinet mahupun ahli cendekiawan, dasar ala-“hubris” tersebut dilaksanakan setahun kemudiannya, super-mandatori kepada semua Sekolah Kebangsaan (majoriti Melayu) dan ala-fleksibel kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (dibolehkan diajar dalam dwi-bahasa).

Lebih mengecewakan kerana “pencipta” Wawasan 2020, Dr Mahathir berpendapat bahawa rakyatnya masih belum bersedia untuk mencapai wawasan yang diimaginasikan oleh dirinya sejak dari dulu.

Maka, sebuah jalan pintas, “shortcut” telah dibina untuk memudahkan rakyatnya menunaikan impian individualistiknya tersebut; yakni PPSMI, dengan harapan apabila dasar tersebut dilaksanakan, maka rakyatnya akan cepat pandai, mudah bersaing seantero dunia lantas membawa Malaysia lancar di atas platform Wawasan 2020 tanpa mempedulikan pengkhianatan yang dilakukan terhadap Falsafah Pendidikan Negara, Dasar Pendidikan Negara dan yang lebih penting, semangat Perlembagaan Negara.
Sifat “ultra-kiasu” ini, membakul-sampahkan Falsafah Pendidikan Negara yang tegas menyatakan perlunya kerajaan menyediakan suasana pembelajaran yang adil dan saksama serta capaian ilmu yang sama taraf terhadap setiap rakyat dengan perbezaan mazhab orientasi pedagogi di antara sekolah bandar dan sekolah pendalaman. Kesamarataan tidak mungkin wujud kerana pelbagai faktor seperti kebolehan guru dan aspek kemudahan prasarana sekolah yang berbeza.

Sifat “super-hubris” ini, menyepak terajang Dasar Pendidikan Negara yang jelas menyifatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar dalam pendidikan, sekaligus menjadi agen perpaduan. Perpaduan akan menjadi mimpi ngeri apabila masyarakat moden di bandar berbahasa Inggeris manakala masyarakat luar bandar masih kekal berbahasa mengikut kaum masing-masing, tanpa mempunyai sebuah bahasa tunggal sebagai pemangkin kesatuan sebuah bangsa berdaulat.

Keadaan “absolute despotic” ini malangnya, mencaci lekeh Perlembagaan Negara yang terang menjelaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan memperlakukan bahasa kebangsaan itu sebagai “dampratan”, tidak sama taraf dengan bahasa Inggeris, tidak superior malah penyebab wujudnya inferior di dalam diri masyarakat!

Maka setelah 44 tahun Penyata Razak dibentangkan, semangat dan tujuan murni penyata tersebut bukan sahaja dipandang sepi oleh kerajaan, juga diperlakukan seumpama tidak wujud oleh sebahagian besar ahli kabinet yang pada waktu tersebut gagal untuk membantah.

Sistem pendidikan negara bukan sahaja terikat kepada isu “seindah” dan “sehebat” PPSMI, lebih agung dari isu bahasa, orientasi dan pelaksanaannya secara mudah dilihat terpesong jauh dari sikap dan sifat asalnya sebagai sebuah alat pendidikan.

Murid difragmen-fragmenkan kepada “streaming” yang dianggap perlu, walhal pengasingan murid kepada sistem berdasarkan “Sains” dan “Sastera” ini dilihat cuba memandang rendah keupayaan murid untuk meneroka potensi diri yang lebih terbuka.

Pengasingan ini menyebabkan “Sains” menjadi terlalu eksklusif, terhad kepada murid yang pandai dan bijak sahaja, manakala “Sastera” dihuni oleh murid yang tidak mempunyai arah tuju yang lain atau secara sinisnya dipaksa belajar bukan berdasarkan minat.

Implikasinya, dua teres strata lapisan masyarakat wujud, dengan sikap ahli “Sains” yang tidak pandai melihat secara seni atau estetik kerana tidak diberi peluang mengaji bahan “Sastera”, manakala masyarakat “Sastera” pula kekal wujud sebahagi masyarakat kelas bawahan kerana tidak terlibat secara lansung dalam persaingan globalisasi dunia yang berteraskan teknologi.

Lapisan masyarakat seperti ini pada akhirnya, akan menyumbang kepada ketidakseimbangan sumber manusia dari sudut vektor kepada negara, lantas keputusan-keputusan yang dibuat oleh kelas atasan menjadi terlalu analitik, pragmatik serta tidak praktikal secara menyeluruh kerana ketiadaan unsur estetik seperti yang selalu dianjurkan oleh dunia “Sastera”.

Negara kita, setelah mencapai status kemerdekaanya yang ke-54, sedang menuju pantas melalui pendidikan untuk menjadi negara Sparta moden yang bercorak “aristokratis”. Kanak-kanak dilahirkan untuk kuat fizikal, dilatih untuk berperang dan hidup semata untuk kekuatan. Bayi yang lemah akan dibunuh kerana akan memalukan negara.

“Crito, we owe a cock to Asclepius; please pay it and don’t forget it,” adalah ayat terakhir Socrates sebelum mati dibunuh ketika umurnya mencecah 70 tahun oleh masyarakat Athenians sendiri. Sarjana sendiri tidak dapat mengagak maksud ayatnya tersebut, tetapi menurut Charlotte Higgins (2008) kemungkinan besar Socrates menggambarkan kematian sebagai penawar kepada kehidupan.

Apakah PPSMI, yang telah ditalkinkan rupanya hidup kembali sebagai Zombie? Jika begitu, Pendidikan Negara kita kita sendiri tidak lebih baik dari filem satira-humor Mamat Khalid!

Tiada bezanya di antara Sparta atau Malaysia, mana-mana murid yang lemah, tidak kira sekolah bandar atau pedalaman, sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan, akan dipilih untuk menghuni masyarakat kelas bawahan, dilatih sebagai pekerja suruhan, dalam kata yang lain, hidupnya dibunuh oleh masyarakat kelas atasan kerana tidak mampu bersaing!

* Zul Fikri Zamir Mohamad Munir adalah seorang pelajar pasca-siswazah di salah sebuah IPTA tempatan.
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

GMP mahu kerajaan tidak layan tuntutan kekal PPSMI

October 24, 2011
KUALA LUMPUR,24 Okt — Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat penegasan bahawa keputusan memansuhkan dasar pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tidak dikaji semula ketika terus wujud gesaan agar kerajaan membenarkan ospsyen dwibahasa kepada pelajar.

Pertubuhan bukan kerajaan PAGE terus membawa rayuan agar kerajaan membenarkan penggunaan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah.

Kerajaan masih menjalankan kajian dan mempertimbangkan perkara tersebut.

Pengerusi GMP Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, pendirian agar kerajaan membuat penegasan segera dibuat dalam mesyuarat mereka kelmarin.

“Pada kesempatan ini GMP juga ingin mempertahankan kewarasan dan kebijaksanaan kerajaan memansuhkan PPSMI kerana ada golongan yang malah mempersoalkan hal ini dengan menyangkal satu persatu yang dituntut oleh kupulan ini yang kononnya lebih waras itu,” katanya lagi.

Dasar PPSMI diperkenalkan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003 dan pada 8 Julai 2009 Muhyiddin mengumumkan ia akan dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun depan.

Dr Mahathir juga masih berharap dasar itu akan diteruskan bagi membantu negara mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang dan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Menurut Shaharir, baru dua tahun dasar baru ini berjalan sudah ada kedengaran kembali golongan elitis yang amat minoriti dan memang menyokong PPSMI dahulu mendesak kerajaan mengubah dasar tersebut supaya mewujudkan kembali dasar lama sebagai pilihan rakyat kerana kononnya ramai rakyat mahu PPSMI diteruskan.

“Selain daripada tinjauan pandangan awam oleh kumpulan minoriti itu, yang amat dipertikaikan keesahannya oleh GMP dan pelbagai pihak lain, pelbagai helah lain lagi diutarakan oleh kumpulan ini untuk mencapai hasrat menjadikan Bahasa Inggeris bahasa utama pembangunan pendidikan di negara ini.

“Memanglah golongan ini menolak bulat-bulat hakikat 'bahasa jiwa bangsa, bahkan bahasa jiwa ilmu, yang rata-rata sudah tidak dipertikai oleh semua ilmuan di seluruh dunia atau mereka menerimanya tetapi mahu jiwa-jiwa rakyat Malaysia ini akhir seperti jiwanya sekarang mengagungkan kebudayaan Inggeris sahaja,” katanya.

Shaharir berkata GMP merakamkan setinggi-tinggi penghormatan atas keberanian dan ketegasan “luar biasa” timbalan perdana menteri bahawa akan mengotakan janji pemansuhan PPSMI.

“Sekali gus beliau dengan tepatnya yang mengening terhadap dasar bahasa yang didokonginya ini.

“Sekali gus beliau dengan tepatnya mengingatkan mereka yang menuntut pengembalian PPSMI agar menghormati Perlembagaan negara yang tidak membenarkan Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar mana-mana pelajaran di sekolah kebangsaan,” katanya.

“Oleh kerana kumpulan yang mahu mengembalikan PPSMI ini seolah-olah engan menerima hakikat bahawa ketagasan timbalan perdana menteri itu adalah ketegasan kerajaan juga, maka GMP merasakan sudah sampai masana perdana menteri mencelah dengan menegaskan perkara yang sama,” kata beliau lagi.

Jumaat, 30 September 2011

Tamadun Melayu dan PPSMI


Tamadun Melayu dan PPSMI
Anwar Ridhwan
Teras-teras jati diri kebangsaan Malaysia berpaksi kepada bahasa Melayu dan agama Islam(tanpa menafikan hak serta kepentingan bahasa dan kepercayaan lain). 
azlanDi dalam Perlembagaan Persekutuan, antara perkara yang disebut ialah Perkara 32(1) yang memaktubkan kedudukan raja-raja Melayu; Perkara 152(1) tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi; dan Perkara 3(10) mengenai Islam sebagai agama Persekutuan.

Berhubung perkara yang menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, mereka yang berjiwa Melayu dan rakyat Malaysia yang terbuka minda untuk bergerak ke hadapan bersama-sama jati diri kebangsaannya, pastilah ingin melihat bahasa kebangsaan itu diperkasakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, termasuk sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

Golongan yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu tinggi, lebih disebabkan kelemahan mereka menguasai bahasa Melayu, bukan kerana kelemahan bahasa Melayu. Dan semua pejuang bahasa kebangsaan bukanlah golongan fanatik, berpandangan jumud atau berusaha mengundurkan bangsanya ke belakang.
asia euro cultural minister meeting pak lah 220408 wayang kulitPejuang-pejuang bahasa selalu memetik kebijakan Hang Tuah yang menguasai 12 bahasa, sebagai suatu unjuran profetik 'pujangga penulis' karya agung itu bahawa setiap bangsa akan menjadi lebih maju jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Akan tetapi walaupun menguasai pelbagai bahasa, setiap bangsa harus meletakkan bahasa kebangsaannya dimercunya yang tinggi, atau seperti sepotong puisi Sasterawan Negara Usman Awang, “manakan sama bahasa bunda.”

Jika menurut tiga kriteria yang dikenalpasti oleh Charles Ferguson, sesungguhnya bahasa Melayu sudah dianggap sebagai 'bahasa maju.' 

Tiga kriteria Charles Ferguson itu ialah (a) Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan. Dalam hubungan ini bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisannya sendiri – sama ada dalam jawi atau pun rumi; (b) Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu. Bahasa Melayu jelas mengatasi segala dialek, kerana di Malaysia dialek tidak mempunyai penerbitan bakunya; dan (c) Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan ilmu dan pemikiran moden. 

Ini jelas terbukti dengan penerbitan pelbagai buku dalam bidang dan subbidang ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu, sejak kurun ke-12 Masihi lagi, dan memasuki era 'moden'nya sejak sebelum merdeka lagi hingga memuncak mutakhir ini.

azlanTradisi ilmu dalam bahasa Melayu telah berkembang, termasuk di IPTA, umpamanya di UKM sejak awal tahun 1970-an. Tokoh ilmuwan Selangor 2011, Dr Shahril Mohamad Zain (mantan profesor fizik dan matematik di UKM) pernah membentangkan fakta bahawa UKM telah menghasilkan lebih 450 tesis Ph.D dan lebih 2,000 tesis Sarjana (MA & M.Sc.) dalam bidang sains dan pelbagai bidang lain, yang ditulis dalam bahasa Melayu. 

Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantar untuk pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden di IPT, dan memanfaatkan penguasaan bahasa asing sebagai pelengkap sebagaimana saranan profetik Hang Tuah.

Tamadun Melayu boleh diperkasakan jika terdapat ilmu-ilmu pengetahuan moden (termasuk sains & matematik) disampaikan dan ditulis dalam bahasa ini (Melayu). 

muhyiddin yassin and education ppsmiSehubungan itu pelbagai pihak berasa terperanjat apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membayangkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan sama ada meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya.

Pendirian tersebut amat berbeza semangatnya daripada pengumuman yang beliau lakukan tahun lepas, untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012. 

Sesuatu dasar kerajaan (termasuk untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012, empat bulan dari sekarang) mestilah bersifat merata dan menyeluruh. Tidak boleh mana-mana kumpulan kecil dan serpihan untuk menebuk dasar itu di mana-mana, lalu menghidupkan dasar PPSMI semula.
ppsmi march 070309 crowd.jpgJika kumpulan kecil dan serpihan itu mewakili elit di bandar dan kota, yang kaya raya, maka mereka boleh menghantar putera puteri mereka ke sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, dan jangan dibiarkan menebuk dasar pemansuhan PPSMI mulai 2012 menurut selera mereka.

Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran pastilah telah menerima “Kajian Tahap Kompetensi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” (2008, setebal 186 halaman tidak termasuk tiga lampiran) oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA). 

Kajian ini dengan jelas menunjukkan kompetensi guru yang boleh dipersoalkan, yang mengakibatkan kelemahan pembangunan modal insan murid khususnya di luar bandar, Felda dan sebagainya.
anti ppsmi rally 070209 chinese educationalistPrinsip ketamadunan kerajaan harus berpegang kepada kajian yang berwibawa, menyeluruh dan mendalam seperti dilakukan PEMBINA. 

Sebarang polisi yang tidak didasari kajian akan goyah dalam tempoh yang pendek. Bagi pejuang bahasa Melayu dan mereka yang yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dapatan PEMBINA adalah pendorong utama kepada 'cadangan' pemansuhan dasar PPSMI mulai 2012, dan dengan itu mereka tidak perlu lagi turun ke jalan raya untuk mendesak pemansuhan PPSMI. 

Akan tetapi jika dasar PPSMI hidup semula selepas ditalqinkan, ia adalah zombie baru. Mamat Khalid pun tahu bagaimana cara untuk menewaskan zombie!

Datuk Dr Anwar Ridhwan merupakan sasterawan negara ke-10. Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Antara karyanya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto.

Tulisan ini bahagian kedua daripada siri artikel pendek bertemakan'Masyarakat Bertamadun"yang akan diterbitkan setiap dua minggu.

Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.