Assalamu'alaikum,
Alhamdulillah, 26 Disember 2013, selepas bersiap-siap, kami meninggalkan Homestay Inai Putih. Dalam perjalanan ke Arau, kami singgah di sebuah kedai untuk sarapan pagi. Petuanya mudah saja, cari kedai yang ramai orang. Hamba dengan menu biasa nasi lemak, isteri dan anak-anak dengan roti canai. Yang datang ambil pesanan adalah seorang budak berumur 11 tahun (nak masuk 12 tahun sebab nak masuk Tahun 6). Hamba 'bersyarah sedikit' dengan anak-anak hamba, ambil suri dan tauladan dari kisah budak ini menolong di kedai semasa cuti sekolah. Terdiam anak hamba nombor dua sebab sebaya dengan budak tu. Selepas sarapan pagi, kami ke Masjid Negeri Perlis di Arau. Ada satu masjid di Kangar (Masjid Alwi) yang hamba nak singgah, tapi kekangan masa menyebabkan hamba singgah Masjid Negeri Perlis sahaja.
Alhamdulillah, kami sampai masih pagi. Hamba ambil banyak masa untuk 'urusan sendiri'. Hamba juga suruh anak sulung dan kedua 'buat kerja masing-masing'. Isteri hamba dengan 'kerjanya'. Anak ketiga dan keempat, biasalah, dapat masuk masjid dan kawasan lapang, berlari sana-sini, gurau tak habis-habis. Hamba tak ingat kali keberapa hamba ke sini. Sebelum hamba mengerjakan umrah kali pertama dengan isteri dan anak sulong pada tahun 2000, hamba pernah 'memandu 24 jam', dari BBBangi ke Perlis, untuk ke masjid ini atas satu urusan yang perlu diselesaikan sebelum umrah pertama. Alhamdulillah kami sampai balik ke BBBangi dalam 24 jam, hamba cuma berehat sekejap di Kawasan Rehat Ulu Bernam dalam perjalanan pulang. Selesai urusan di Masjid Negeri Perlis, kami ke Alor Setar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan